Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

Empat biji tayar kereta yang sedari tadi berputar akhirnya mematikan pergerakannya di tepi sebuah bendang yang kian menghijau. Nafas lega dihela rapi sebaik sahaja perjalanan yang agak jauh tadi tiba ke penamatnya. Imanina meliarkan biji matanya buat beberapa minit di kawasan kampung itu. Kelihatan ramai juga tetamu yang ingin bertandang ke tempat yang sama dengannya barangkali.

Sudah namanya kenduri kahwin, kan? Pastilah ramai yang diundang tanpa putus. Tambah pula makanan yang dijamu adalah percuma. Siap dapat cenderahati lagi sebelum pulang dari kenduri. Tapi, tapi, tapi... Bukanlah jenis Imanina yang gemar menghadirkan diri di tempat sebegini. Bikin bising dan serabut sahaja kepala otaknya dengan orang ramai dan bunyi lagu-lagu pengantin yang didendangkan sepanjang majlis. Lantas sebuah keluhan paling berat dibebaskan serta-merta.

"Cool, Nina! Cool! Kau kena ingat yang Sara tu dah banyak kali tolong kau waktu di universiti dulu. Kalau tak kerana dia, confirm kau takkan dapat grad! Kalau tak sebab dia juga, kau takkan dapat jadi lawyer macam sekarang. Lawyer kut! Peguam Puteri Imanina binti Iskandar Syah. Bukan semua orang mampu nak jadi peguam melainkan orang yang bijak pandai macam aku ni, kan?"

Langkah disusun dengan lagak wanita korporat yang sedang menapak masuk ke dalam syarikat gah di mata dunia. Walhal, terpaksa menghadiri majlis perkahwinan sahabat baiknya di sebuah perkampungan yang terletak di negeri Perak Darul Ridzuan itu.

"Tak apalah, Nina. Bukannya selalu pun nak makan nasi kenduri macam ni. Lepas makan, kau dah boleh blah dari sini. Tak lama pun. Asalkan dapat bagi hadiah dan tunjuk muka dekat Sara pun dah cukup. Tak kuasa aku nak berlama-lamaan di tempat asing lagi menyemakkan kepala ini. Kampung-kampung tak ada air cond macam ni memang not my style betullah! Yang Si Sara ni pun satu, kenapalah tak buat majlis kahwin dia kat hotel?!"

Gadis itu sempat menghadiahkan senyuman plastiknya kepada beberapa orang tetamu yang berselisih jalan dengannya. Barangkali sudah mahu pulang dari rumah kenduri. Dalam hati masih lagi tidak putus membebel sendiri. Jangankan kata nak dapat berkat semoga jodohnya juga dipercepatkan, nak dapat pahala bertandang ke walimatulurus sahabat sendiri pun jauh sekali.

Deringan telefon bimbit Imanina yang berkumandang secara tiba-tiba itu serta-merta membantutkan langkah gadis itu untuk menuju ke arah pengantin perempuan yang mungkin sedang diandam di dalam bilik pengantin. Kening berkerut kecil tatkala melihat nama pemanggil yang sedang tertera di skrin telefon bimbit. Hairan!

"Ya, Sara! Aku baru aje sampai kat rumah kau ni. Hajatnya nak jumpa kau teruslah dulu ni. Kau ada kat dalam rumah ke?" Tanpa sebarang mukadimah, Imanina segera menyoal temannya itu.

"Alhamdulillah. Kau dah sampai ya, Nina? Bagus! Kau sampai tepat pada masanya, Nina!" Agak ceria suara Sara kedengaran dari corong suara telefon bimbit itu. Misteri pun ada juga.

"Haah. Aku dah sampai dah ni. Yang kau telefon aku ni kenapa? Tak sabar sangat ke nak jumpa aku ni?" Imanina sengih kecil sebelum menyambung semula langkahnya untuk memasuki ruang rumah pengantin itu.

"Memang aku tak sabar nak jumpa kau pun sekarang ni, Nina. Aku nak minta tolong kau satu benda."

"Tolong? Tolong apa?"

"Tolong jadi pengapit aku, Nina!"

"Pengapit?!"

Tapak kaki Imanina betul-betul mati di muka pintu bilik pengantin. Serentak bebola mata gadis itu bertembung dengan biji mata temannya. Sara segera menguntum senyum lebar bila melihat kelibat Imanina yang sudah pun berada di hadapan matanya itu. Imanina masih terpaku di situ. Tercengang beberapa minit.

Perlu ke aku balik KL sekarang ni juga?

"Hesy! Kau ni biar betul, Sara? Kenapa aku pula yang kena jadi pengapit kau? Pengapit asal kau pergi mana?" Tanpa segan-silu Imanina segera menghempaskan punggungnya di bahu katil pengantin menghadap pengantin perempuan yang sudah sedia diandam dari tadi. Selamba dia merasmikan katil mempelai yang sudah cantik dihias itu.

"Sepatutnya sepupu aku yang jadi pengapit aku hari ni, Nina. Tapi dia ada hal yang tak dapat dielakkan. Aku pun dah buntu nak minta tolong siapa lagi untuk jadi pengapit terjun aku. Dalam kepala aku cuma terfikir nama kau, Nina. Tolong aku, eh?" Riak Sara betul-betul ingin meraih simpati agar majlis persandingannya sekejap lagi dapat berjalan dengan lancar.

Imanina membebaskan keluhan kecil seketika.

"Aku bukannya tak boleh tolong kau, Sara. Tapi kau sendiri pun tahu kan yang aku ni bukannya suka sangat hadir majlis orang kahwin. Ini pun sebab kau yang kahwin tau. Kalau bukan sebab kau, aku tak datang. Dan sekarang kau suruh aku pula jadi pengapit kau? Bagi orang lain perkara ni mungkin kecil. Tapi bagi aku perkara ni besar. Tersangat besar untuk aku, Sara."

Berjela Imanina membalas kata temannya itu. Seboleh-bolehnya dia ingin melarikan diri dari tugas yang tidak diundang itu. Tak ada orang lain lagi ke yang boleh jadi penyelamat Sara selain aku? Mesti ada punya. Aku yakin!

"Nina... Kau tahu kan yang kau tersenarai dalam orang-orang yang aku paling sayang dalam hidup aku? Kau sampai hati ke nak tengok aku tercongok seorang diri tanpa ada peneman kat atas pelamin? Kau sanggup ke tengok aku berjalan tanpa ada pengapit payungkan aku?" Sara tidak putus asa memujuk.

Kali ni Imanina sudah membuang pandang ke arah luar tingkap bilik. Kala itu juga kelihatan sekumpulan anak muda kampung yang berpakaian serba hitam melintasi anak matanya. Kumpulan silat kampung yang bakal membuat persembahan untuk pengantin barangkali. Tak semena-mena dia juga terjebak dalam kebuntuan teman baiknya itu. Ni yang aku lemah ni! Kenapalah benda yang aku tak suka mesti benda tu juga yang aku kena buat? Haih!

"Okey! Aku tolong kau. Tapi kali ni saja. Ini pun aku kira hutang budi tau. Nanti bila-bila aku nak kau bayar, kau kena bayar okey?"

Sara akhirnya menguntum senyum lebar seraya memeluk erat tubuh temannya itu. Tak terkata betapa gembiranya dia saat itu bila Imanina bersetuju untuk menjadi pengapitnya. Dia kenal sangat dengan sahabat baiknya itu walaupun gadis itu berhati kering namun masih ada marshmallow yang lembut dalam hati itu.

"Okey, aku bayar. Aku janji. Terima kasih, Nina! Thank you so much."

"You are welcome, my dear! Sudahlah tu. Jom get ready cepat! Rombongan suami kau dah nak sampai dah tu."

Imanina menyambut senyuman temannya dengan manis. Kalau tadi, bukan main kelat air muka gadis itu. Semoga masa berlalu dengan pantas dan aku dapat pulang ke KL secepat mungkin. Tak pasal-pasal kena duduk kat rumah kenduri ni sampai petang. Anggap sajalah hari ni merupakan pengalaman manis dalam hidup kau, Nina. 'Manis'lah sangat!

Pasangan mempelai masih lagi bersanding di atas pelamin. Ini bermakna Imanina juga masih lagi terpaksa berdiri tegak di sisi pengantin perempuan sambil mengipas lembut teman baiknya itu. Sesekali gadis itu membersihkan tapak tangan Sara yang direnjis dengan air mawar oleh sanak saudara dan para tetamu yang bersalaman dengan pengantin.

Tak letih ke Si Sara ni dari tadi asyik senyum dan bersalam dengan mak cik-mak cik ni semua? Memang macam ni ke orang kampung kahwin? Aku yang cuma jadi pengapit ni pun dah rasa penat dan bosan berdiri kat sini. Bila aku kahwin suatu hari nanti, jangan harap aku nak buat majlis kahwin macam ni! Dah macam pasar malam pula bila tengok banyak kanopi yang dia orang guna untuk tempat makan tetamu. Semak betul biji mata. Tak kemas langsung.

Atur cara majlis diteruskan lagi dengan persembahan silat dari ahli-ahli kumpulan silat yang dibawa khas untuk tontonan pengantin dan para tetamu. Alat-alat muzik tradisional seperti serunai, gegendang dan gong yang biasa digunakan dalam persembahan silat mula didendangkan. Kesemua biji mata yang berada di majlis itu segera dipakukan ke arah pemuda-pemuda yang sudah bersiap-sedia untuk membuka langkah pertama.

Tidak terkecuali juga dengan Imanina. Bebola matanya tanpa disuruh segera menumpukan perhatian kepada persembahan silat yang sedang ditayangkan. Pertama kali dalam seumur hidupnya dia dapat melihat persembahan silat secara langsung di hadapan matanya. Selalunya tengok di kaca televisyen saja. Walaupun seni silat merupakan seni mempertahankan diri tradisional, namun setiap pergerakan betul-betul memukau dan menarik perhatian para penonton.

Tambah pula anak-anak muda ini sangat pandai bermain dengan senjata. Keris digunakan sebagai senjata untuk berlawan dengan seteru masing-masing. Sepasang demi sepasang lawan akan mempersembahkan pergerakan mereka. Imanina fokus. Sampaikan Sara tidak dikipasnya kerana terlalu khusyuk melihat persembahan silat yang sedang berlangsung itu. Interesting!

Dalam leka melihat pergerakan silat dari anak-anak muda kampung itu, tak semena-mena dahi gadis itu berkerut. Benaknya berasa gusar. Ada sesuatu yang kurang senang bakal berlaku kala itu. Beberapa saat sahaja air muka Imanina berubah seratus peratus bila terpandang ke arah seorang pesilat yang ingin menghunus sebilah keris ke bahagian abdomen lawannya. Gadis itu kaget.

Tanpa diduga, Imanina menjerit di khalayak ramai di majlis perkahwinan itu. Kesemuanya diam dan senyap. Segala pergerakan mati. Pesilat yang sedang beraksi juga menjadi patung. Serta-merta dendangan alat muzik terhenti. Kini semua biji mata hanya tertumpu pada gadis itu termasuklah pasangan mempelai. Bukan calang-calang punya jerit tapi gadis itu terus meronta bagai kena rasuk untuk meminta pertolongan.

"Tolong! Tolong!!!"

Sara yang terperanjat besar segera memalingkan kepalanya ke arah Imanina yang masih berdiri tegak di sebelahnya itu. "Eh, Nina! Kau dah kenapa?! Tiba-tiba menjerit minta tolong ni kenapa?"

"Lelaki tu nak kena bunuh tadi, Sara! Sesiapa tolong telefon polis cepat!"

Bergetar bibir Imanina. Takut sekiranya benar-benar berlaku pembunuhan di hadapan matanya saat itu.

"Kau cakap apa ni, Nina?! Lelaki mana pula yang nak kena bunuh?!"

"Tu! Yang pesilat tadi tu! Aku nampak dengan biji mata aku ni yang lawan dia nak bunuh dia!" tukas gadis itu dengan penuh yakin.

Suasana majlis itu menjadi hingar tak semena-mena. Para tetamu mula berkata sesama sendiri. Pesilat-pesilat tadi sudah pun berdiri tegak memandang ke arah pengantin dan gadis yang tiba-tiba membuat onar di majlis perkahwinan orang itu. Salah seorang daripada pesilat itu mendekati pelamin. Air muka pemuda itu tampak tenang. Barangkali dia adalah ketua kepada kumpulan silat itu.

"Cik... Saya rasa cik dah salah faham ni. Lawan saya tadi bukan nak bunuh saya betul-betul. Kami hanya berlakon untuk mempersembahkan seni silat menggunakan keris saja. Tak ada apa-apa pun yang berlaku. Tak perlu telefon polis, ya?" Pemuda itu bersuara lembut seraya mengukir senyum manis buat Imanina yang masih dengan riak terkejutnya itu.

"Dengar tu, Nina! Hesy, kau ni! Itulah lain kali orang jemput pergi kenduri kahwin, pergi! Sampai dah tak tahu nak bezakan yang mana lakonan dan yang mana betul. Ni mesti first time kau tengok persembahan silat ni, kan?" Sempat pula pengantin membebel di atas pelamin.

"Tak! Ni bukan lakonan, Sara. Aku yakin lelaki tu hampir kena bunuh tadi. Awak! Saya nampak riak muka lawan awak tu memang betul-betul nak bunuh awak tadi. Bukan lakonan ke apa ke. Sumpah! Percayalah cakap saya ni." Imanina masih lagi dengan pendiriannya. Tepat bebola mata gadis itu bertembung dengan wajah pemuda itu.

Pesilat-pesilat yang lain sudah berpandangan sesama sendiri. Serentak mereka juga menghampiri kawasan pelamin yang dijadikan medan perbincangan itu.

"Tak apalah. Kami semua hargai pandangan cik tentang pergerakan silat kami tadi. Lain orang lain pendapat, kan? Tapi sekarang ni tak ada apa-apa pun yang berlaku. So, cik jangan risau sangat, ya?" Salah seorang daripada ahli kumpulan silat itu pula menyampuk.

"Kenapa semua orang tak percaya ni, ha? Aku cakap benda betullah! Ingat aku sengaja nak buat cerita ke?!" Mendadak nada Imanina secara tiba-tiba. Tak puas hati betul dia bila tiada seorang manusia pun yang percayakan kata-katanya kala itu.

"Masalahnya, awak cakap benda yang tak betul! Tak masuk akal langsung! Kalau awak tak dapat nak terima kenyataan yang tiada unsur bunuh-bunuhan kat sini, saya rasa lebih baik awak balik rumah. Tak kasihan ke kat pengantin bila awak buat onar dalam majlis dia orang?" Giliran pemuda yang dianggap ketua kumpulan silat itu pula meninggikan suara. Nak kata perempuan ni tak siuman tapi tengok muka dan penampilannya nampak siuman.

"Awak cakap saya buat onar kat sini?! Tak kenang budi punya orang! Saya dah selamatkan awak tadi tau?! Kalau tidak awak dah mati katak tadi. Baru padan muka untuk lelaki yang biadab macam ni!" Naik turun nafas Imanina melepaskan geram.

Berang betul hatinya tika itu. Mustahil dia hendak merosakkan majlis perkahwinan sahabat baiknya sendiri. Jauh panggang dari api! Tak pernah sekecil zarah pun dia hendak berbuat demikian kepada Sara.

"Eh, perempuan ni muncul dari planet mana ya? Kawan kau ke, Sara? Kalau perempuan ni kawan kau, aku nasihatkan lain kali kau pilihlah kawan yang elok-elok. Cari yang waras sikit, ya?"

Sara hanya mampu tercengang bila namanya turut dikaitkan dalam perbalahan mulut yang sedang berlangsung itu. Imanina apa lagi? Gegendang telinga sudah berdesing bila dirinya dikatakan tidak waras atau dalam erti kata lain, gila!

"Awak tak puas hati dengan saya ke? Kalau tak puas hati, cakap! Sesedap rasa saja cakap saya ni gila, ya? I'll sue you. Just wait and see." Biji mata menikam tepat wajah pemuda yang masih dengan sengih sinisnya itu.

"Akid, sudahlah tu. Aku rasa tak ada gunanya kita bertegang urat kat sini. Sara, kita orang minta maaflah buat majlis kau tergendala macam ni. Dan cik, saya berharap sangat cik tak fikir yang bukan-bukan lagi tentang ahli kumpulan kami. Kita kosong-kosong kat sini sajalah, ya? Anggap sajalah semua ni salah faham. Saya minta maaf bagi pihak kumpulan silat kami sekiranya ada salah dan silap sepanjang persembahan dijalankan tadi."

Pemuda yang bergelar sepupu kepada Akid itu tumpang menyelit lagi. Cuba meredakan keadaan tegang daripada menjadi lebih parah.

Anak mata Imanina masih lagi dihala tepat ke wajah lelaki yang bernama Akid itu. Tidak kurang juga dengan Akid yang sedang memerhati gadis asing itu atas bawah. Hanya pandang pada wajah gadis itu sahaja pun sudah tahu yang Imanina adalah orang luar yang baru pertama kali bertandang ke kampung itu.

"Sara! Sorry, sebab aku hanya mampu jadi pengapit kau sampai sekarang saja. Aku tak boleh tunggu lama lagi dah kat sini. Hati aku dah panas sangat. Rasanya inilah kali pertama dan terakhir tapak kaki aku jejak kampung ni. Aku balik KL dulu, eh? By the way, congrats on your wedding!" Imanina sempat memeluk lembut bahu temannya itu dengan berbekalkan jutaan rasa kesal menghadirkan diri di situ.

Sara hanya mampu membiarkan Imanina berlalu pergi dari ruang itu tanpa sebarang kata. Terasa sungguh buntu bila mengenangkan insiden yang tidak diundang tadi berlaku dalam majlis perkahwinannya sendiri.

"Nina..."

"And you, handsome man! Watch out! Somebody might kill you soon. Trust me, I'm a lawyer!"

Tapak kaki dipaku tepat menghadap Akid. Ayat keramat yang baru sahaja terbit dari bibir mungil gadis itu seolah-olah menyimpan seribu satu makna. Air muka Akid yang ingin berubah cuaca segera dikawal apabila anak matanya juga menikam wajah gadis itu.

Lantas Imanina tarik senyum sinis bila biji matanya sengaja dilirikkan ke wajah pesilat yang menjadi seteru Akid dalam persembahan silat tadi. Lelaki itu pula segera melarikan anak matanya ke tempat lain agar dia tidak dipersalahkan lagi dalam hal ini. Dari tadi dia hanya membatu di situ membiarkan Akid dan sepupunya, Adam membela dirinya.

Belakang gadis yang sedang berlalu pergi itu diperhati lama. Bukan sahaja Akid, malah semua ahli kumpulan silat itu tidak berganjak biji mata memandang Imanina yang sedang menuju ke arah keretanya. Adam dan sepupu-sepupunya yang lain lekas mendekati Akid yang masih berdiri tegak di ruang itu.

"Aku rasa macam ada yang tak kena dengan perempuan ni," ujar Akid perlahan.

Masing-masing turut mengiakan sendiri. Musykil benar dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba hari ni.


BAB 1

"Hai, belum masa makan tengah hari lagi takkan dah cedok nasi kut?" tegur Puan Aniza bila melihat anak lelakinya yang sudah pun menghenyak punggung di atas kerusi meja makan.

Bau ikan pekasam goreng yang menusuk ke dalam hidung, siapa sahaja yang boleh tahan? Akid meleret sengih panjang memandang wajah ibunya itu.

"Inilah namanya kuasa ikan pekasam goreng ni, ibu. Orang yang kenyang pun boleh jadi lapar."

"Tengoklah ikan pekasam buatan mana pula," sambut Puan Aniza pula seraya meletakkan piring yang berisi tiga ekor ikan pekasam goreng itu di atas meja.

"Ikan pekasam made in Kampung Gajah Putihlah, ibu. Paling sedap, paling segar, paling rangup! Krup krap!" Siap buat mimik muka Akid melahap nasi putih dengan ikan pekasam goreng itu. Masuk bakul, angkat sendiri.

Puan Aniza hanya mampu menggeleng perlahan melihat gelagat anak terunanya yang seorang itu. "Memanglah paling sedap tapi tauke ikan pekasam ni dah lupa pergi kerja ke hari ni? Jangan selalu ponteng. Nanti pekerja-pekerja kamu tu curi tulang pula."

"Ibu janganlah risau sangat. Pekerja-pekerja Kid tu orang kampung kita juga. Dia orang jujur dan amanah. Ibu janganlah fikir yang bukan-bukan. Dia orang yang support Kid selama ni sampaikan produk ikan pekasam kita tu terkenal kat negeri Perak ni. Tak lama lagi Kid dah mula nak edar ke seluruh negeri bila modal dah cukup nanti," hurai Akid panjang lebar mencipta angan-angan.

"Hmmm, yalah. Itu ibu tahu. Ibu cuma nasihat saja. Hati orang ni lain-lain warna. Kita yang kena sentiasa berhati-hati. Tak boleh terlalu senang bila hidup senang. Takut ada yang kurang senang."

Pantas pemuda itu tergelak kecil sebaik sahaja Puan Aniza menghabiskan ayat. "Ayat ibu tu boleh buat pantunlah, bu. Sedap bunyinya."

"Cuba-cuba menanam pisang, moga-moga tumbuh mangga, cuba-cuba menanam sayang, moga-moga tumbuh cinta..."

"Ha, tu tukang pantun kamu yang tegar dah sampai!" Puan Aniza segera menguntum senyum ke arah gadis yang muncul secara tiba-tiba di muka pintu dapur rumahnya itu.

Akid mencebik dua saat sebelum menyuap semula makanan ke dalam mulutnya. Kenal sangat dah dia dengan gerangan yang datang berpantun di dapur rumahnya hari-hari itu.

"Assalamualaikum, Mak Cik Ani dan Abang Akid. Sya ada bawa kuih seri muka ni. Mak buat lebih tadi. Nanti Abang Akid makan, ya?" Tanpa dipelawa, Tasya melangkah masuk seraya melabuhkan punggung menghadap Akid yang sedang menjamu selera.

Pemuda itu segera menghabiskan makanan di dalam pinggannya lalu menuju ke singki untuk membasuh tangan. "Aku tak makan benda manislah."

"Kid! Hesy, budak ni! Tak baik layan tetamu macam itulah."

Tasya yang sedang menarik muka segera tayang sengih bila Puan Aniza membela dirinya. Nampak sangat Mak Cik Ani dah setuju sangat nak jadikan dia menantu. Aku yakin! Tak sia-sia aku rajin bertandang ke rumah dia ni.

"Ala, jamahlah sikit kuih ni, Abang Akid. Abang Akid kan baru lepas makan nasi, elok sangatlah jamah pencuci mulut ni sikit."

"Aku bukannya tipu yang aku tak suka makan benda manis. Lain kali kau bawalah kuih karipap ke, ayam masak merah ke, nasi beriani ke. Kuih-muih macam ni aku tak layan. Kalau tak percaya, kau tanya mak aku tu ha," tukas Akid sebelum bingkas dari ruang itu.

"Betul ke, mak cik? Memang Abang Akid tak suka ke makan benda manis?" Polos Tasya menyoal Puan Aniza pula.

"Betul. Lain kali Sya tak payahlah datang bawa apa-apa dah ya? Buat susah-susah saja."

"Mana ada susah, mak cik. Apa salahnya kita saling berkongsi rezeki, kan?"

"Memanglah tak salah tapi mak cik tahu kamu tu datang nak berkongsi sebab Si Akid tu aje. Mak cik ni bukannya tak suka tapi mak cik tak mahulah mak kamu tu cakap yang bukan-bukan nanti. Habis semua makanan yang dia masak kamu bawa ke mari," sambung Puan Aniza lagi. Lembut nada wanita yang sudah dimamah usia itu.

"Ala, mak cik janganlah fikir macam tu. Mak Sya tu takkanlah nak marah pula. Bukannya orang lain pun. Bakal besan dia juga. Tak gitu?"

Puan Aniza yang agak tersentak segera tertelan kata-kata. Anak dara zaman sekarang ni memang berani betul! Jujur meluahkan hasrat hati tanpa sebarang lapik. Jauh beza dengan zaman dia dulu-dulu. Tapi tak apalah. Bukannya salah pun kalau perigi mencari timba.

Jari-jemari yang sedang lincah menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya itu segera mati. Biji mata segera dihalakan ke arah setiausaha CEO Syarikat Bina Harta Sdn. Bhd. yang sudah terpacak di hadapan mejanya itu.

"Ada apa?" Ringkas Imanina menyoal.

"Bos panggil Cik Nina masuk bilik dia sekarang," balas Syima lembut.

"Awak tolong cakap dekat bos kesayangan awak tu yang saya ni tengah banyak kerja sekarang. Saya tak ada masa nak teman dia pergi lunch. Kalau saya banyak curi tulang, nanti company dia juga yang bankrap. Ada faham?"

Imanina membulatkan sedikit biji mata ke arah setiausaha bosnya itu. Serabut betul isi kepalanya bila memikirkan perihal bos yang tak faham bahasa Melayu itu. Dah orang tak suka tu, pergilah cari perempuan lain. Banyak lagi kan perempuan dalam dunia ni?!

"Tapi, cik... Bos bukan nak ajak Cik Nina pergi lunch. Dia ada projek baru nak suruh Cik Nina handle."

Air muka Imanina serta-merta berubah cuaca. "Projek baru? Hmmm, malaslah saya nak percaya dengan bos awak tu. Ada saja benda dia nak kenakan saya nanti. Saya dah boleh baca dah fikiran lelaki perasan handsome macam tu."

Syima sudah tergelak kecil bila mendengar ayat yang baru keluar dari bibir peguam di syarikat tempat dia mencari rezeki itu. "Cik Nina ni tak baik tau cakap bos macam tu."

"Ala, dah memang bos kita tu perasan handsome. Pagi-pagi lagi dia jalan masuk ofis dah macam lagak hero-hero drama kat televisyen tu. Menyampah betul saya tengok dia. Rasa nak letak kulit pisang atas lantai dengan harapan dia jatuh tergolek waktu berlagak handsome sangat tu!"

Lantas kedua-dua wanita di dalam ruang itu menghambur tawa besar. Bukan selalu dapat mengata bos macam ni. Masa-masa terluang sebegini haruslah diisi dengan aktiviti 'berfaedah'. Tak gitu?

"Okeylah. Bos kata kalau Cik Nina tak nak masuk bilik dia sekarang juga, dia akan serahkan projek baru tu untuk Cik Nadya handle. Nanti Cik Nina jangan nak menangis air mata darah pula, ya?"

Tawa yang masih berbaki tadi serta-merta mati. Bebola mata terus tepat ke wajah Syima.

"Nak bagi Nadya handle?!"

"Yup!"

"No way! Eh, bos tu nak bankrap betul-betul ke apa?! Nadya nak handle projek baru tu? Perempuan tu hingusan lagilah. Dia cuma tahu handle muka dia saja. Awak pun tahu kan berapa inci mekap kat muka dia tu?" protes Imanina tidak puas hati.

"Saya tahu tapi itu bukan masalahnya sekarang, Cik Nina. Kalau Cik Nina tak jumpa dengan bos sekarang, anggap sajalah projek tu bukan rezeki Cik Nina," sambung Syima lagi.

Pap! Tak semena-mena Imanina menampar kecil mejanya. Terperanjat setiausaha syarikat itu dibuatnya.

"Okey, bagi tahu bos saya masuk bilik dia sekarang juga!"

Cis, dia main kotor! Sengajalah tu nak panaskan hati aku dengan nama Nadya.

"Hmmm... Saya ingatkan projek kat area sini. Tak apalah, bos bagilah kat Nadya suruh handle projek ni. Saya tarik diri."

Dengan begitu selamba Imanina meletakkan fail projek baru yang dikatakan Syima tadi di atas meja bosnya itu. Megat Qariz masih tidak jemu memandang setiap inci wajah cantik gadis di hadapan biji matanya itu.

"Kenapa awak tak suka saya?"

Soalan yang jauh menyimpang dari topik asal tak semena-mena terbit. Imanina pandang sejenak wajah Megat Qariz kala itu. Dah kenapa lelaki ni mengajukan soalan sedemikian kat aku? Aku kena jawab jujur ke tak, eh?

"Hesy! Mana ada saya tak suka bos. Bos kan bos saya. Saya mana boleh tak suka bos."

Jawapan penyelamat diri diberi.

"Kenapa awak tak cintakan saya sebagaimana saya cintakan awak, Puteri Imanina?"

Sekali lagi soalan yang diaju membuatkan Imanina pura-pura meleret sengih. "Hal hati dan perasaan ni tak boleh dipaksa, bos. Dah hati saya kata tak ada perasaan cinta kat bos, nak buat macam mana? Bos faham, kan?"

Betul-betul berterus terang. Tak ada tipu-tipu punya. Lagipun, sudah beratus kali dia tidak menunjukkan sebarang minat terhadap majikannya itu. Tak faham bahasa betullah lelaki seorang ini!

"Okey, fine! Awak cakap awak tak ada hati dan perasaan kat saya, kan? So, saya nak awak yang handle projek ni." Riak Megat Qariz serta-merta bertukar serius. Ton suara pun sudah berganda dua paras.

"Wait! Kalau ya pun nak marah saya, janganlah seksa saya macam ni, bos. Banyak lagi projek kat sini yang saya kena deal. Bos bagilah Nadya handle projek baru ni. Dia bukannya banyak kerja sangat pun."

Gadis itu cuba merayu. Kurang asam betullah Si Megat ni! Boleh pula dia campur aduk hal peribadi dan hal kerja. Nasib baiklah kau tu bos. Kalau tidak, aku gusti dah kau sekarang ni.

"No! Saya bagi masa kat awak sebulan saja. Pujuk owner tanah ni untuk jual semua tanah dia pada kita. Kita akan proceed dengan plan bangunan dan permission dari pihak berkuasa tempatan sebulan lepas tu. Faham?"

"Se... Sebulan, bos?!"

"Yup, sebulan saja! By hook or by crook, awak kena dapatkan persetujuan untuk jual beli tanah dengan landlord tu."

"Kalau landlord tu tak nak jual juga, bos?"

"Kalau dia tak nak, you are fired!"

You are fired! Bergema ayat keramat itu berulang kali di halwa telinga Imanina. Apa saja lagi yang dia mampu katakan buat masa sekarang? Masa depannya sekarang sudah terletak di tangan tuan tanah tersebut. Semoga tuan tanah itu adalah seorang manusia yang berhati lembut dan mudah dipujuk. Jauhilah segala sifat jahat seperti bos aku ni kepada tuan tanah yang bakal dipujuk nanti. Aminnn.

Megat Qariz menguntum senyum lebar memandang belakang Imanina yang sudah pun bingkas dari biliknya itu. Puas hati dia dapat mengenakan perempuan yang degil dan kepala batu itu.

"Padan muka! Dia ingat senang nak pujuk orang tua tu untuk jual tanah pusaka dia? Ini adalah sebagai balasan kepada kau kerana menolak cinta aku dengan kejam, Nina! Tak cukup handsome dan kaya lagi ke aku ni? Apalah yang susah sangat dia nak terima cinta tulus aku ni, ha?"

Hening malam itu seperti biasa hanya ditemani oleh cahaya dari api pelita yang dipasang di sekeliling gelanggang latihan silat. Akid yang merupakan ketua kepada kumpulan Silat Selendang Merah di kampung itu mula membuka langkah untuk memulakan rutin latihan mereka setiap malam Jumaat dan Ahad. Anak-anak buahnya yang lain hanya menurut setiap langkah yang digerakkan oleh ketua mereka.

Namun, tanpa diduga pergerakan Akid terhenti bila melihat Adam yang mematikan langkahnya secara tiba-tiba. Maka, yang lainnya juga turut ikut sama mematungkan diri memandang hairan ke arah sepupu mereka. Empat orang dari ahli kumpulan silat itu berkongsi satu darah dari datuk mereka.

Akid Aryan, Hafidh Adam, Muhammad Naufal dan Haziq Firdaus adalah sepupu yang dididik sejak kecil lagi oleh Tok Aziz untuk bergiat aktif dalam seni mempertahankan diri tradisional itu. Bukan mudah untuk mengajar empat orang budak lelaki yang paling nakal dan buas di dalam kampung itu dan akhirnya, Tok Aziz mampu pagut rasa bangga kerana memiliki keempat-empat cucu lelakinya yang sudah pun dianggap pendekar dan wira untuk menyambung legasi silat supaya tidak pupus ditelan dek zaman.

"Kau apasal, Adam? Tiba-tiba saja diam ni." Haziq mendekati pemuda itu.

Masing-masing sudah bersedia untuk menadah telinga. Begitu juga dengan Akid. Sedikit tersentak dibuatnya bila bebola mata Adam tepat ke wajah Akid. Lantas pemuda itu juga menghampiri sepupunya yang masih tidak berbicara sepatah lagi.

"Kau ada apa-apa masalah ke, Adam? Kalau ada masalah, bagi tahulah kita orang. Mungkin ada yang kita orang boleh bantu."

"Betul. Kau jangan tiba-tiba buat perangai macam ni, Adam. Seram aku!" Naufal tumpang menyampuk.

Tiba-tiba anak mata Adam menghala tepat ke arah Alif yang juga merupakan ahli kumpulan silat itu. Alif mula berubah air muka. Rasa kurang enak hatinya bila direnung sedemikian.

"Lif! Betul ke kau cuba nak bunuh Akid waktu majlis perkahwinan Sara hari tu?"

Soalan yang benar-benar menyentakkan semua ahli yang berada di gelanggang kala itu. Serentak kesemua bebola mata hinggap di wajah Alif. Riak muka yang semakin berubah hebat itu sedaya upaya dikawal rapi.

"Apa benda kau merepek ni, Adam? Takkanlah Alif nak bunuh aku pula? Kau pun takkanlah tak kenal Alif ni siapa? Jangan cakap kau pun percaya cakap perempuan pelik tu hari tu?" tukas Akid tak semena-mena.

Aku ingatkan dah tamat dah kisah Alif nak bunuh aku yang perempuan pelik tu nak meroyan tiba-tiba hari tu. Rupa-rupanya ada pula orang yang nak sambung lagi kisah ni. Tak logik betul! Motif apa Alif nak bunuh aku? Tak ada apa-apa faedah pun yang dia dapat kalau bunuh aku. Bukannya harta aku akan dapat kat dia pun kalau aku mati.

"Aku kenal Alif ni, Kid. Cuma lepas kes kat rumah Sara hari tu, aku jadi pelik. Dah dua tiga hari ni aku asyik terfikir benda yang sama aje." Mendalam nada Adam membalas kata.

Alif masih membisu dari tadi. Dia hanya mampu mendengar bicara dari sepupu sepapat itu tanpa berkata apa-apa. Tapak kaki sudah terasa sedikit demi sedikit tidak berpijak di atas tanah lagi.

"Apa benda yang peliknya? Aku tak ada rasa apa-apa yang pelik pun," balas Akid lagi.

"Sabar dulu, Kid. Cuba kau bagi tahu apa yang peliknya? Apa benda yang kau fikir sampai dua tiga hari tu? Kita orang pun nak tahu ni." Giliran Haziq pula bersuara.

"Kenapa kau tak pertahankan yang bukan niat kau nak bunuh Akid hari tu, Lif? Kenapa kau diam saja bila kena tuduh? Dituduh cubaan membunuh kut. Bukan benda kecil. Itu yang bila difikirkan balik, aku pelik. Macam mana kau boleh senyap aje tak bela diri kau sendiri bila ada orang cakap kau cuba membunuh hari tu?" Bertubi-tubi Adam menembak soalan.

Alif masih kekal tegak di tempatnya dari tadi. Kali ni, air muka sudah beransur pulih. Akid serta yang lain segera menghalakan biji mata ke arah Alif pula. Ya, bila diingatkan semula memang Alif hanya mendiamkan diri pada hari kejadian. Sedikitpun dia tidak kesah untuk memberi sebarang penjelasan tentang langkah silatnya yang telah dituduh seakan-akan ingin membunuh Akid.

"Aku minta maaflah, Kid. Aku ingatkan bila kau orang berdua dah redakan keadaan perempuan tu, aku tak perlulah nak masuk campur. So, aku diam sajalah. Nak cakap apa lagi, kan? Semua orang tahu bila kita beraksi menggunakan senjata memanglah nampak bahaya. Mungkin perempuan tu yang over reaction." Alif berlagak tenang. Satu per satu dia bersuara.

"Hmmm, tak apalah. Benda yang lepas tu biarlah lepas. Alhamdulillah, tak ada apa-apa pun yang berlaku kat aku, kan? Salah faham aje semua ni."

"Tapi kenapa aku tak rasa yang semua ni cuma salah faham ya, Lif? Aku rasa macam kau ada sorokkan sesuatu." Adam tidak putus asa menebak.

Perlahan-lahan Alif menapak mendekati lelaki yang digelar Adam itu. Terasa suasana bertukar panas dan tegang bila anak mata masing-masing saling berlawan pandang. Ahli-ahli kumpulan yang lain pula sudah menelan liur yang tersekat. Semoga tidak ada sebarang perbalahan yang tercetus kala itu.

"Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku ni, Adam? Satu benda aje aku nak pesan. Adalah lebih baik kalau kau jaga tepi kain kau sendiri."

Suara garau yang separa berbisik itu membuatkan air muka Adam berubah seratus peratus. Tidak tercapai sungguh dek akalnya. Apa yang dikatakan perempuan pelik itu di majlis kahwin Sara tempoh hari berkemungkinan besar adalah benar!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro