Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Latifah...

"RAMAI betul orang hari ni. Tak menang tangan nak melayan," omel Sue setelah pelanggan terakhir keluar dari kedai.

Aku mengeyakan kata-katanya seraya mengangkat raga berisi roti-roti baru yang perlu diletakkan di atas rak yang disediakan. Sue kembali fokus apabila ada beberapa orang tiba di luar kedai untuk membayar minyak.

"Mana Bad?" Aku menyoal sambil mencekak pinggang.

Bahagian forecourt sunyi sepi tanpa kenderaan. Biasanya pemandangan begini hanya dapat dilihat dalam masa 5 minit saja. Kejap lagi mula dipenuhi dengan kereta dan motosikal.

"Toilet," ujar Sue dengan matanya masih melekat di skrin.

"Ada kenduri kut dekat mana-mana. Akak perasan yang datang tadi hampir semuanya smart dan berbaju kurung," kata aku ketika melihat 3 buah kereta mulai masuk pekarangan stesen.

Aku meneruskan kerja-kerja memeriksa bahagian roti. Yang mana sudah hampir tarikh luput, harus diketepikan. Kalau pelanggan terbeli dan jatuh sakit pula, memang siaplah kami kena nanti.

"Semua yang I beli ni total 24 ringgit. I kasi you 50, sepatutnya you bayar I balik 26 ringgit. Ni baru 16 ringgit. You nak tipu I ke?!"

Jerkahan seseorang dari arah kaunter menyebabkan aku cepat-cepat bangun. Wajah Sue pucat lesi. Dari belakang aku dapat lihat susuk tubuh seorang perempuan bertudung dan berbaju kurung.

"Maaf cik, maaf..."

"Apa cik-cik? Datin Rosie! Mana you punya manager? I boleh report kasi you kena buang kerja!"

Amboi-amboi... Mulut customer seorang ni boleh tahan, ya? Aku menarik nafas panjang lalu menghampiri kaunter sambil cuba mengukir senyuman manis.

"Saya supervisor di sini. Minta maaf ya, anak buah saya buat kesilapan. Ini baki sebenar Datin. Sekali lagi saya minta maaf," ujar aku dengan nada sesopan mungkin.

Perempuan itu mendengus kasar seraya menarik baki duit yang aku hulurkan. Di luar ya, aku senyum. Tapi dalam hati, mungkin Datin Rosie ini sudah menjadi lunyai aku kerjakan.

"Ma, kenapa ma lambat?"

Aku memandang seseorang di belakangnya. Wajah seorang gadis muda berambut panjang warna hitam berkilat menyambut pandangan. Aku berdoa dalam hati moga cerita ini tidak berpanjangan.

"Lambat sebab inilah. Lembab! Salah kira ke atau memang tak reti kira?! Dasar tak ada pendidikan!"

Aku mengerling jemari Sue yang sudah mula digenggam. Kemudian aku memandang Datin Rosie semula sebelum sebuah senyuman palsu dihadiahkan sekali lagi.

"Datin, saya bagi pihak stesen minta maaf setulus hati. Kami hanya manusia biasa yang membuat kesilapan tidak disengajakan." Aku berkata lembut sambil memegang genggaman Sue, cuba untuk menenangkan perasaannya.

"Jomlah, ma! Papa dah bising tu, nanti lambat pula kita sampai sana." Gadis itu menarik lengan ibunya.

Datin Rosie memandang aku dengan tajam sebelum menoleh ke arah anak gadisnya. Dia melangkah untuk pergi, sempat dia berpaling ke belakang seketika dan bersuara kuat.

"Sebab tu mama suruh belajar tinggi-tinggi. Jangan end up kerja dekat stesen minyak aje. Memalukan, setakat duit banyak tu tak boleh kira!"

Ewah! Aku pula menahan penumbuk sendiri yang ingin saja dilayangkan kepada perempuan bertudung litup itu. Aurat sudah sempurna dijaga tapi mulutnya, memang minta ditampar.

Bunyi esakan kecil kedengaran. Aku memandang Sue dengan wajah simpati. Bukan aku tidak tahu, Sue merupakan studen master dalam bidang kejuruteraan.

Hanya sebab sekarang ni dia sedang cuti semester, maka dia kerja sambilan di sini untuk sementara waktu. Hesy, patut aku belasah aje Datin yang tak ada adab tadi!

"Teruk betul. Dia ingat dia Datin, boleh buat perangai macam tu?" Aku membebel sambil mengusap belakang Sue yang sedang mengelap pipinya.

"Eh, kenapa ni?" Rahim yang baru muncul untuk syif petang menyoal tatkala melalui kaunter.

"Tu hah... Customer tadi buat hal."

Rahim menggelengkan kepala setelah mendengar cerita. "Sue, yang penting awak ikhlas bekerja. Yang bagi pahala tu, Tuhan kita, Allah. Bukan Datin ke, bukan orang lain. Awak sabar, ya?"

Sue mengangguk deras berkali-kali sebelum menekan papan kekunci. Tugasannya sudah habis dan dia perlu menyerahkan kaunter pembayaran kepada Rahim.

"Sue, jom kita lepak depan gerai tu makan bomboloni, nak?" Aku mengajaknya yang nampak begitu sedih.

Gadis itu senyum sedikit. "Okey, kak."

JAMIL tersenyum lebar bila melihat Latifah dan Sue saling berpegangan tangan di seberang jalan. Mungkin syif mereka sudah habis, fikirnya.

Dia menyusun kuih karipap yang sudah tinggal beberapa biji itu di dalam bekas lain. Ghaus pula sedang sibuk memotong cucur udang yang dipesan pelanggan.

"Hai adik manis," tegur Ghaus sewaktu Sue tiba di hadapannya.

Sue buat tidak tahu dan hanya mengukir senyuman kepada Jamil yang memandang. Latifah pula fokus ke arah kuih-muih dan manisan di hadapannya.

"Hah, akak punya favourite Nutella dah habis. Ada pelanggan borong tadi," ujar Ghaus dengan laju.

Latifah mencebik. "Kau ingat akak datang sini nak cari bomboloni Nutella aje ke?"

Ghaus ketawa. "Mestilah. Akak dengan bomboloni tu kan sehati, sejiwa dan serupa!"

Berdesing telinga Latifah mendengarnya. "Serupa?"

"Bomboloni gebu dan bulat. Sama macam akak, kan?" Gurauan Ghaus menjadi lebih kasar.

Sengaja dia mahu menarik perhatian Sue sebenarnya. Biar gadis itu juga jadi marah dan memandang ke arahnya. Namun, Ghaus tidak perasan wajah Jamil yang sedang mencuka di sebelah.

"Kau jangan nak kurang ajar, Ghaus!"

Jamil terkejut bila suara Latifah meninggi. Dia baru mahu berkata sesuatu kepada Ghaus yang disifatkannya sangat melampau dalam bergurau.

"Alah akak ni, saya gurau aje. Itupun nak marah," ujar Ghaus seraya ketawa.

"Gurau yang menyakitkan hati, tahu tak? Kau tu pun hitam legam, tak sedar diri!" pekik Latifah.

Terbuntang biji mata Sue apabila mendengar kemarahan Latifah. Jarang benar dia nampak Latifah naik darah walaupun dia mengakui Latifah agak garang bila bekerja.

Berubah terus wajah Ghaus. Jamil menahan mulutnya daripada berkata-kata. Dia menjeling sekeliling dan menarik nafas lega kerana tiada sesiapa di situ melainkan mereka berempat.

"Jomlah Sue, kita pergi tempat lain. Panas kat sini!" Latifah menarik tangan Sue tanpa menunggu lama.

"Eh, Kak Tipah!" Jamil menjerit memanggil Latifah yang sudahpun berlalu dari situ.

"Apa?!" Latifah berpaling ke arahnya.

"Akak duduk, biar saya ambil oder, okey?"

Latifah mendongak memandang wajah Jamil yang mengukir senyuman. Jantungnya berdegup kencang kerana menahan kemarahannya.

Sudahlah belum reda isu perangai Datin Rosie tadi di stesen, ditambah dengan gurauan melampau Ghaus, Latifah jadi tidak keruan dan terus menghamburkan perasaannya.

Sue memegang lengan Latifah. "Akak, kita duduk sini ajelah. Akak pun cakap dah lama tak makan cucur udang dengan kuah kacang, kan? Gerai sana mana ada cucur udang."

Latifah memandang pula Sue sebelum menarik nafas panjang. "Emmm, jomlah."

"Abang, kami nak cucur udang dua, bomboloni coklat satu dan kuih koci tiga."

Laju Sue berkata sementara Latifah membawa diri ke arah meja kosong di hujung gerai. Dia duduk membelakangkan mereka dan menopang lengannya di atas meja.

"Air?"

"Sue nak teh o panas. Kak Tipah..." Sue memandang Latifah sejenak.

Jamil turut memandang. "Kak Tipah, abang buat Milo ais. Favourite dia tu."

Wajah Sue berubah seketika sebelum mengangguk lalu tersenyum kecil. Dia nampak wajah Jamil yang memandang lembut ke arah Latifah sehingga menimbulkan kemusykilan dalam hatinya.

"Akak, sabar ya? Ghaus tu memang mulut laser, kan?" Sue duduk berhadapan dengan Latifah.

Wajah gadis yang tua 9 tahun daripadanya itu nampak sedih. Jauh di sudut hati Latifah, dia sedar kekurangan dirinya itu. Bentuk badannya sering kali menyebabkan dia hilang keyakinan diri.

"Biar aku hantar." Suara Jamil kedengaran tajam di pendengaran Ghaus.

"Eleh, gurau sikit pun tak boleh. Merajuklah tu." Ghaus mencebik.

Jamil mendengus. "Kasar sangat mulut kau tu."

"Apa? Kau pun nak bela kakak kesayangan kau tu?" Ghaus sengaja menguatkan suara.

"Eh, kenapa dengan kau ni hah? Kalau ada benda kau tak puas hati, cakap dengan aku. Bukan mengata Tipah!"

Ghaus ketawa sinis. "Tipah? Oh... Dah hilang 'kak' nampaknya. Kau ni memang jatuh cinta pada kakak bomboloni tu."

Jamil mengetap bibir. Dia menahan sabar sebelum mengangkat dua piring cucur udang dan kuih-muih yang dipesan mereka. Pelik betul dia dengan perangai Ghaus yang suka mencari pasal dengan Latifah. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro