Bab 7
"KAU ada dekat tempat kejadian malam tu?" soal Mak Cik Jijah dengan wajah terperanjat.
Jamil mengangguk sambil tangannya laju membungkus daging kurma yang diminta wanita berumur itu. 'Cepat betul berita tentang peristiwa malam tadi tersebar ke kampung sebelah,' fikir Jamil.
"Kasihan cucu Haji Leman. Mesti trauma. Eh, takutlah zaman sekarang! Macam manalah boleh kena rogol dekat rumah sendiri?" Mak Cik Jijah termenung sesaat dua sebelum membuka kembali bekas-bekas lauk di hadapan matanya.
"Eh, kau ada dengar cerita baru tak?" soalnya lagi setelah menyuruh Jamil membungkus 2 ekor ikan keli berlada pula.
'Apa lagi Mak Cik Jijah ni?' Jamil mula rasa lemas tetapi ditahankan kerana menghormati sahabat ibunya yang merangkap pembeli setia gerainya selama ini.
Mak Cik Jijah memandang kiri dan kanan sebelum menaikkan sebelah tangan lalu diletakkan di tepi mulutnya. Lagaknya seakan-akan mahu membisikkan sesuatu.
Jamil yang selesa berbaju T-shirt hitam dan jean warna senada mengerutkan dahi lalu mendekatkan dirinya. Nak juga diketahui apa berita sensasi yang dibawa Mak Cik Jijah kali ini.
"Orang kampung cakap... Dia orang syak ini semua kerja orang minyak!"
Terbuntang mata Jamil. "Orang minyak?"
Mak Cik Jijah mengangguk. Wajahnya penuh keyakinan. Jamil terbayang kisah semalam. Memang benar, depan matanya sendiri dia ternampak makhluk itu berlari di atas bumbung, bagaikan mempunyai kekuatan luar biasa tersendiri.
"Kalau betul, orang-orang perempuan kampung sini semua kena jaga-jaga. Kunci pintu, tingkap semua," giat Mak Cik Jijah bercerita sambil menghulurkan duit.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam," ucap Jamil seraya tersenyum ke arah Safwan yang memberikan salam.
"Hah, bagus kamu ada sini, Latifah." Tiba-tiba Mak Cik Jijah bersuara.
Latifah yang baru muncul dari arah belakang Safwan menjongketkan kening. "Kenapa?"
"Ni, mak cik nak kasi warning. Kamu janganlah kerja malam. Bahaya. Kalau kena kerja juga, suruh kawan lelaki teman sampai depan rumah. Dengan keadaan macam ni, tak mustahil orang minyak tu boleh datang balik," bebelnya.
"Orang minyak?" Latifah terjeda.
Mak Cik Jijah mengangguk. "Hati-hati."
Latifah mengangguk. Mindanya berkecamuk. Sewaktu dihantar pulang oleh sahabat-sahabatnya tengah hari tadi, dia mendapat nasihat yang sama.
"Kalau kamu takut nak balik, suruhlah Jamil hantar. Dia kan duduk depan rumah kamu." Mak Cik Jijah tiba-tiba saja berkata.
Jamil dan Latifah berpandangan sesaat dua sebelum masing-masing melarikan anak mata. Safwan yang berasakan dirinya tidak ada kena-mengena dengan isu ini, terus saja mencapai pinggan kosong lalu disenduknya nasi putih yang berasap tipis.
"Nanti mak cik cakap dengan mak kamu berdua."
"Eh, nak cakap apa?" Latifah terburu-buru bertanya.
Mak Cik Jijah pantas menjawab, "Nak suruh Jamil temankan kamulah bila pergi dan balik kerja!"
"Eh, Tipah okeylah. Insya-Allah, Tipah jarang syif malam." Latifah memberikan alasan.
Membiarkan Mak Cik Jijah bersuara tentang soal ini kepada emaknya dan Mak Cik Leha hanya akan memanjangkan cerita, fikir Latifah. Walaupun dia risau, tetapi untuk melibatkan Jamil dalam masalahnya sendiri adalah tidak patut sama sekali.
"Mak cik cakap tadi nak pergi bandar?" sampuk Jamil.
"Ya Allah! Betullah, pak cik tengah tunggu nak makan dekat rumah sebelum ke bandar! Mak cik balik dulu. Ingat ya Tipah? Jamil, tolong jagakan Tipah ni."
Latifah mengetap bibir seraya memandang Jamil yang buat-buat tidak nampak kehadirannya. Safwan pula sudah pun selesai mengambil lauk dan duduk di kerusi.
Entah bila masanya, Jamil menghulurkan sepinggan nasi putih. Gadis itu menatap nasi yang berasap tipis. Sama sukatan seperti yang dia selalu sendukkan selama ini.
"Akak syif petang?" soal Jamil sewaktu Latifah menyenduk sambal udang di pinggannya.
Latifah mengangguk.
"Balik jam berapa?" soal lelaki itu semula.
Jamil memandang Latifah yang tunduk memandang lauk-pauk. Gadis itu sukar dijangka semenjak kemesraan mereka mulai pudar dan terus dingin sehingga sekarang.
"11 malam."
"Saya tunggu akak. Akak balik dengan saya," ujar Jamil.
Latifah lantas memandang Jamil. "Tak pay..."
"Saya tunggu." Jamil berkata dengan nada tegas sambil memandang tepat pada Latifah.
Latifah...
TERKESIMA aku jadinya. Jamil suruh aku tunggu dia? 'Untuk apa? Takkan dia nak dengar cakap Mak Cik Jijah?' bentak aku dalam hati. Terus terbantut niat aku nak menceduk masak lemak labu ke dalam pinggan.
Aku teringatkan sesuatu lalu dengan cepat berkata, "Tak perlu. Akak naik motor. Akak..."
"Kejap lagi saya balik dan ambil Pak Cik Hassan."
"Eh?"
Jamil memandang lagi lalu meletakkan kedua-dua belah tangan di atas meja. Dia menunduk sedikit, menyamai ketinggiannya dengan aku yang sememangnya rendah ini.
"Saya minta Pak Cik Hassan ambil motor. Malam nanti akak balik ikut saya."
Eh, eh... Budak ni, suka hati dia saja! Aku menyenduk masak lemak labu sambil memikirkan alasan lain. Sempat juga aku jeling Safwan. Apa kata aku pergunakan dia pula?
"Tak apa, Abang Safwan ada. Akak boleh minta dia hantar balik. Tak perlulah..."
"Abang balik lambat, ada hal dengan Fawwaz," sampuk Safwan tiba-tiba dari jauh.
Ewah! Baru nak minta jadi penyelamat, dia pula bagi alasan! Aku menjeling Jamil yang mengukir senyuman lalu mengetap bibir. Apa lagi alasan aku nak bagi ni?
"Akak tak nak naik motor, nanti orang kampung nampak, kita pula jadi..."
Jamil menyampuk, "Saya bawa kereta. Akak tak payah risau. Yang penting, akak tunggu dekat stesen jam 11, saya datang."
Terkelu lidah aku untuk membalas. Naik kereta? Naik kereta Kancil yang berbunyi bila aku naik tu? Merah padam wajah aku bila teringatkan peristiwa dulu.
"Emmm... Okey." Aku beralah sebelum menuju ke meja.
Safwan sudah hampir selesai makan. Aku melihat jam tangan. Kami masih ada 45 minit lagi sebelum memulakan syif jam 3 petang nanti.
"Abang ada hal apa dengan Fawwaz?" soal aku sengaja memecah kesunyian.
"Dia kata ada benda nak bincang, abang pun tak tahu apa dia," jawab Safwan seraya menyedut air teh o ais.
Aku meneruskan suapan. Mata aku memandang Jamil yang nampak begitu sibuk seorang diri menguruskan gerai. Tak penat ke siang malam bekerja? Eh, kenapa aku nak ambil berat pula?
Yalah, pagi-pagi menjual nasi lemak. Jam 2.30 petang nanti dia akan pulang ke rumah semula dengan baki jualan tengah hari. Jam 3.30 atau 4 petang dah ada semula dekat gerai dengan kuih-muih yang dihantar orang.
Malam muncul balik sebagai cef. Yang aku musykil, semua menu utamanya Maggi. Jangan harap nak ada nasi goreng. Pelik tapi ramai juga orang singgah beli. Waktu mana dia berehat?
"Kau termenung apa, Tipah?"
"Hah?"
Safwan tersengih. "Dari tadi abang tengok kau macam fikirkan sesuatu. Pasal lamaran Jamil tadi ke?"
"Hesy, abang ni..." Aku terus membuat muka seraya bangun ke singki untuk membasuh tangan.
Aku sempat mengerling Jamil. Berulang-alik dia ke kereta untuk menghantar bekas-bekas makanan yang telah kosong. Rajinnya...
"Jamil, abang nak bayar ni." Safwan mengeluarkan dompet.
"Tak apa, bang. Hari ni saya sedekah," ujar Jamil sambil tersenyum.
Safwan segera menjawab, "Eh, apa pula? Jangan, abang ikhlas datang beli untuk makan ni."
Jamil menggelengkan kepala. "Saya pun ikhlas. Hari ni saya belanja customer yang datang last, tak perlu bayar."
Panjang senyuman Safwan. "Alhamdulillah. Terima kasih, Jamil."
"Akak pun sama, saya belanja."
Terpanar sekejap aku dibuatnya bila Jamil memandang. Kenapa baik sangat ni? Apakah aku baru sedar kebaikan dia yang sudah lama aku kuburkan dalam hati? Aku hanya mengangguk setuju lantaran Safwan sudah memanjangkan langkah ke tepi jalan raya.
Agak lama juga kami menunggu jalan raya reda dengan kenderaan sebelum melintas dengan laju. Biasanya kalau dengan Sue, kami berpegangan tangan. Ini dengan Safwan, memang jangan haraplah hatta nak pegang hujung baju lengan sekalipun.
"Rezeki Tipah," ujar Safwan tiba-tiba sewaktu kami masuk ke dalam kedai.
Aku mengerutkan dahi. "Kenapa pula? Rezeki abanglah..."
"Eh, abang pula... Kalau tak sebab Tipah, tak rasalah abang makan free lunch hari ni." Safwan menggiat.
"Yalah tu," cebik aku sebelum meletakkan beg di atas rak.
Safwan tergelak kecil. "Abang tengok Jamil tu macam suka dekat Tipah."
"Merepeklah..." gumam aku.
"Kenapa? Tipah tak suka dia?"
Aku mengerutkan dahi. Soalan apa tu Abang Safwan oi?!
"Dia muda daripada Tipahlah."
"Berapa tahun?"
"Tiga."
"Eleh, tiga aje pun."
Aku membuntangkan mata. "Pun? Mudalah tu."
"Kenapa? Muda tak boleh dibuat suami?"
Ouch! Macam tamparan pula aku terasa. Bukan tak boleh tapi... Tapi memang aku tak nak lelaki muda yang jadi suami. Kalau berumur, boleh aku bermanja panggil 'abang'. Ini...
"Jodoh bukan kira umur, Tipah. Kalau dapat lelaki tua tapi tak matang pun, tak guna juga. Kalau dapat yang muda, hafal al-Quran... Hah, tak nak juga?"
Terjongket sebelah kening aku apabila mendengar bebelan Abang Safwan yang sudah mahu keluar semula dari pejabat. Sejak bila dia pun turut sama sibuk mengenakan aku dan Jamil ni?
"Ah, yang penting Tipah anggap dia tak lebih macam adik. Abang cakaplah apapun." Aku cuba menamatkan perbualan.
Safwan ketawa kecil. "Abang tahu, dia suka Tipah. Tipah aje jual mahal."
"Abang!" Aku menjerit geram.
Buat pertama kalinya, aku rasa mahu mencekik Abang Safwan!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro