Bab 10
Latifah...
HAMPIR dua minggu kejadian mengerikan itu berlaku. Cucu Haji Leman sudah lama pulang ke rumah keluarganya di KL. Kata bapak, cucunya jadi murung dan sering kali meracau.
Suasana kampung kembali tenang. Cerita tentang peristiwa tersebut berlalu begitu saja. Namun, aku tetap ambil pendekatan untuk sentiasa berhati-hati.
Tapi ada lagi yang lebih mengerikan. Jamil... Masih menghantar aku pulang setiap kali aku syif malam walaupun banyak kali aku mengelak. Aku mengeluh kecil sebelum membaringkan diri di atas katil lalu mencapai telefon bimbit.
Elisa: Minggu depan kami pergi sana lagi, Tipah!
Latifah: Apa hal rajin sangat nak datang sini?
Elisa: Rindu kau!
Latifah: Merepeklah.
Elisa: Hahahaha...
Aku tersenyum melihat mesej Elisa. Aku membetulkan kedudukan sebelum memejamkan mata. Baru saja mahu terlelap, bunyi sesuatu di atas bumbung menyebabkan aku membuka mata dengan luas. Apa tu?
Sunyi.
Oh, mungkin kucing. Aku menyedapkan hati. Kemudian aku mendengar lagi. Kali ni agak kuat dan betul-betul kedengaran dari atas bumbung bilik. Berderau terus darah aku sehingga membuatkan aku bingkas bangun.
Kejadian dua minggu lepas menambahkan ketakutan dalam hati. Aku membatu di atas katil sambil melihat ke arah pintu bilik dan tingkap silih berganti. Perlahan, aku menarik gunting yang memang tersedia di tepi katil.
Gegaran di tingkap menyebabkan jantung aku bertambah laju. Ya Allah! Orang minyak nak kacau aku ke?! Aku mengetap bibir sambil meraba-raba mencari telefon yang terdampar.
Gegaran terhenti. Cahaya luar yang menerobos masuk melalui lubang papan bergerak-gerak. Ah, patut aku jerit ke? Atau panggil bapak? Fikiran aku bercelaru.
Kalau tiba-tiba benda tu masuk melalui pintu bilik, aku nak buat apa?! Sesaat kemudian, bunyi di atas bumbung kedengaran semula. Aku jadi takut sehingga jemari aku menekan skrin dengan sendirinya.
"Helo? Kak Tipah? Kak Tipah?!"
Mata aku membulat. Jamil?! Ya Allah! Aku tertekan nombor dia? Dalam ketakutan, aku menjawab panggilannya. Suara Jamil kedengaran cemas.
"Aa... Akak..."
"Akak okey tak?!"
Gegaran di tingkap berbunyi kembali. Aku berbisik perlahan dalam nada kerisauan kepada Jamil.
"Ada benda cuba nak masuk tingkap rumah. Jamil, tolong... Tolong tengokkan!"
Talian terus terputus. Aku diam membatu sehingga aku terdengar kekecohan di luar rumah. Lampu ruang tengah rumah tiba-tiba bernyala, membuatkan darah aku berderau entah kali keberapa.
"Tipah! Tipah!"
Astaghfirullah al Azim! Aku mengurut dada apabila terdengar suara Jamil di luar bilik. Eh? Jamil?! Baru saja aku mahu memulas tombol pintu, baru aku perasan aku masih free hair!
Cepat-cepat aku capai tuala dan membuka pintu. Bapak dan Jamil menderu masuk ke bilik. Sebatang kayu sederhana panjang terletak di tangan kanan Jamil.
"Tipah okey? Jamil kata, orang minyak tu nak masuk ke tingkap bilik Tipah!"
"Ya Allah!" Aku menutup mulut.
Maka, benarlah sangkaan aku! Ya Allah! Lindungilah kami, Ya Allah! Aku terduduk di birai katil sambil termangu. Ada hikmahnya aku terdial nombor Jamil. Macam manalah aku boleh lupa pesanan dia seperti selalu?
"Tipah tidur dengan mak malam ni." Mak menarik aku tiba-tiba.
Aku membetulkan tuala yang tersangkut di kepala lalu mengikuti mak. Bapak dan Jamil sudah turun ke serambi. Baru aku perasan ada beberapa orang lagi di bawah rumah.
"Tipah takut..." Berair mata aku memandang mak.
Mak memeluk bahu aku perlahan. "Jangan takut. Allah ada, kita minta doa daripada-Nya."
Aku mengangguk dan termenung. Seketika kemudian sayup-sayup aku terdengar bunyi jeritan entah dari arah mana. Ya Allah! Apa pula tu?!
"Kat sana! Sebelah rumah tok penghulu!" pekik seseorang.
"Ya Allah!"
Aku berlari deras ke serambi. Nampak beberapa orang lelaki sedang berlari menuju ke arah rumah Tok Penghulu yang terletak di hujung kampung.
"Pak cik tunggu rumah." Suara Jamil kedengaran memberi arahan kepada bapak.
Bapak mengangguk lalu terus menaiki rumah dan mengunci pintu. Habis segala tingkap diperiksanya satu per satu. Macam mimpi ngeri aku rasakan. Hanya kerana orang minyak, kehidupan satu kampung jadi porak-peranda!
"Kenapa bising-bising ni? Aku nak tidur pun tak senang!" Opah Senah muncul dengan rambut putihnya yang menggerbang dan kusut-masai.
Mujurlah lampu rumah semua menyala. Kalau tidak, pasti aku sudah pengsan melihatnya. Bapak terus cerita apabila Opah Senah duduk di ruang tamu.
"Hah, baik kamu kahwin aje, Tipah! Orang minyak ni cari anak dara saja!" Opah Senah mendengus kecil.
Aku mengetap bibir. Hesy, baik kau tidur ajelah, orang tua! Ingin saja aku menjawab sebelum terdengar beberapa suara lagi di bawah rumah.
"Pak Hassan! Pak Hassan!"
Bapak berlari ke pintu. "Hah, kenapa, Faiz?"
Aku meluru ke pintu walaupun ditahan oleh emak. Wajah Faiz basah dengan keringat. Dia mengelap dahi dengan hujung lengannya. Aku cuba mencari Jamil tapi tidak kelihatan di mana-mana.
"Alhamdulillah, Kak Tipah jangan tidur seorang malam ni, ya? Nampak gayanya orang minyak tu mengganas malam ni. Bukan sebuah rumah dia pecah masuk, tapi dua!"
"Rumah siapa, Faiz?!" soal bapak dengan nada terburu-buru.
"Rumah saya..."
"Ya Allah! Fatimah macam mana?!" Aku terjerit kecil ketika bertanyakan tentang adik perempuannya.
Faiz menggeleng kepala seraya melepaskan lelah di tangga. "Alhamdulillah dia tak sempat sebab Fatimah masih belum tidur. Jadi, dia menjerit terus kami sedar. Tapi... Rumah Pak Razak kena pecah. Anak dia yang jadi mangsa."
"Jahanam!" Bapak menjerkah.
Aku terduduk di birai pintu. Dapat aku rasakan tubuh aku menggeletar ketakutan. Berapa ramai lagi bakal jadi mangsa? Aku menelan air liur seraya meraup wajah.
"Tok Penghulu kata esok nak buat mesyuarat kampung." Faiz berkata sebelum bangun semula.
Bapak mengangguk. Setelah Faiz berlalu, bapak lantas mengunci pintu. Seketika kemudian, dia masuk ke ruang tengah rumah dan membawa tilam kekabu.
"Kita tidur sini. Kalau ada apa-apa, senang," ujar bapak dengan nada lemah.
Kami hanya mengangguk. Aku memandang Opah Senah yang sudah lama tertidur di atas sofa dengan mulutnya ternganga luas. Hati aku terus berdoa moga kampung kami dilindungi dan tiada lagi yang menjadi mangsa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro