Bab 4
"DOCTOR! His GCS drops! Desat to eighty percents and the ABG is not looking good!"
Kedengaran jeritan dari salah satu kubikel 'Trauma' yang menempatkan seorang pesakit separa abad, yang telah ditikam perompak.
"Intubation!"
Spontan Zahirah mengarah. Salah seorang jururawat sudah bergegas menurunkan bahagian kepala katil. Zahirah segera mengambil tempat di situ. Pantas tangan Devi, Penolong Pegawai Perubatan (PPP) menarik troli resus yang menempatkan peralatan medik lalu Jessica sambar laryngoscope.
Ubatan diberi dan langkah-langkah yang perlu untuk menyediakan pesakit sebelum proses intubasi telah dilakukan. Zahirah gerakkan kepala pesakit untuk mendapatkan posisi yang sesuai lalu bahagian mulut dibuka. Barulah Jessica berikan laryngoscope kepada Zahirah.
"Perhatikan. Belajar. Ingat."
Sempat Zahirah menitip pesanan kepada pegawai siswazah itu sambil blade dimasukkan ke dalam mulut pesakit. Diletakkan di tempat sewajarnya sebelum tangan kanan menadah, meminta sesuatu daripada Jessica.
"Vocal cord visualized. ETT."
Jessica sedikit gelabah tapi dirasionalkan diri. Nampak saja endotracheal tube (ETT), dia capai lalu diserahkan kepada Zahirah. Selama ini dia hanya pernah menonton video prosedur intubasi di dalam kuliah jadi bila ia berlaku di depan mata dan memerlukan komitmennya, mestilah Jessica tergemap!
Tika itu, ETT sudah masuk ke dalam trakea pesakit.
"Remove the stylet," arah Zahirah lalu Jessica akur.
"Bag."
Sekali lagi Zahirah keluarkan arahan. Jessica mencapai bag valve mask lalu disambungkan dengan ETT dan dia mula mengepam. Zahirah gunakan stetoskop untuk memastikan aliran udara yang disalurkan melalui ETT. Langsung, Zahirah senyum. Dia dapat mendengar dengan jelas aliran udara pada kedua-dua belah paru-paru. Bimbang juga dia kalau-kalau tube tersasar masuk ke paru-paru kanan sahaja atau ke dalam perut.
"SPO2 picks up to 98 percents, doc!"
Devi memaklumkan dengan rasa syukur yang teramat.
Lega! Zahirah pandang Devi semula.
"Good job, doctor," puji Devi.
Automatik semua yang ada di situ menarik nafas lega. Bahu Zahirah terus jatuh. Dalam keterpaksaan senyuman dilemparkan kepada semua yang telah membantu. Masing-masing mula bergerak, melakukan apa yang perlu untuk si pesakit. Sewaktu Zahirah berjalan melepasi Jessica, tangan menepuk bahunya.
Sempat Zahirah kerling rakan sekerjanya, Doktor Saiful. Nampaknya Saiful pun tak menang tangan. Lambat-lambat Zahirah berjalan menuju ke bilik on call. Destinasinya, tandas di dalam itu. Usai membilas muka, Zahirah pandang refleksi dirinya di cermin. Dan-dan Zahirah mengeluh berat.
"Kenapalah kau jonah sangat hari ni?" tanya Zahirah kepada diri sendiri.
Jonah. Perkataan itu sepertinya merekat dan terus menempel pada Zahirah. Satu istilah yang agak popular dalam kalangan kakitangan perubatan. Bahasa mudahnya, bawa malang. Masakan tidak?
Semalam ialah off day Zahirah. Hari ini masuk saja kerja, bertalu-talu pesakit masuk ke JKT. Ada yang mengalami kesukaran untuk bernafas. Ada kanak-kanak diserang sawan. Ada pula pesakit yang alergi dengan antibiotik yang diberi. Tak cukup dengan itu, mangsa-mangsa kemalangan jalan raya atau mereka gelar sebagai MVA (Motor Vehicle Accident) turut dihantar ke hospital ini. Tadi pun Zahirah baru selesai merawat pesakit yang ditikam perompak sebelum dihantar ke bilik pembedahan.
Kelam-kabut zon merah dibuatnya. Di HSI, loceng akan dibunyikan sebanyak tiga kali untuk menandakan ada pesakit bakal masuk ke zon itu sementara untuk zon kuning, loceng akan dibunyikan sekali sahaja. Bererti setakat ini, sudah berkali-kali Zahirah dengar bunyi loceng bergema.
"Bos okey?"
Jessica bertanya sebaik saja Zahirah kembali ke zon merah. Zahirah angguk dulu sebelum dia bertanya sesuatu. Baru beberapa minit dia menghilang ke tandas, pulang-pulang saja zon merah sudah menerima satu lagi pesakit! Ya Allah!
"Kenapa tu?"
Satu kubikel berlabel 'Non-Trauma', yang sepatutnya untuk kes-kes seperti sakit jantung, tekanan darah rendah atau masalah pernafasan, menarik perhatian Zahirah. Daripada pengamatannya, pesakit yang luka dan berdarah di bahagian muka, berbirat tangannya sementara tangan kiri pula asyik melekap pada abdomen itu, sewajarnya ditempatkan di kubikel 'Trauma'.
Zahirah memandang sekeliling. Barulah dia sedar semua kubikel berlabel 'Trauma' sudah berpenghuni. Kubikel 'Pediatrik' juga penuh. Segera Zahirah merumuskan, disebabkan itulah pesakit wanita tersebut ditempatkan di kubikel 'Non-Trauma'. Itu perkara biasa bagi Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI.
Walaupun setiap satu kubikel sudah ditetapkan khusus untuk apa, tidak semestinya ia dapat dipatuhi selalu. Semuanya bergantung kepada kekosongan dan kelapangan.
"Saya dengar tadi dia orang syak domestic violence. Anak mak cik tu yang hantarkan dia ke sini. Bos nak balik dah?"
Selepas memberitahu, Jessica bertanya.
"Lepas passover nanti, saya naik atas dulu. Oh ya, terima kasih Jessica sebab tolong beritahu saya pasal Lianna," beritahu Zahirah sebelum dia mengucapkan terima kasih kepada Jessica. Tahu-tahu saja Jessica yang Zahirah memang perlu tahu tentang kejadian itu.
Tak perlu bertanya, Jessica sudah dapat mengagak maksud frasa 'naik atas'. Mesti Zahirah merujuk pada ICU di aras lima, di mana Lianna ditempatkan.
"Take care, bos."
Pesanan Jessica itu sekadar dibalas Zahirah dengan anggukan.
"TAK ada, tuan."
Dengar saja itu daripada Damia, Aydin pandang Ethan pula. Gelengan detektif lelaki itu mengundang dengusan kuat Aydin. Tangan mengepal penumbuk, menahan amarah. Nafas ditarik dan dilepaskan untuk mengawal emosi.
"Cari kawasan sekeliling. Tanya orang-orang yang ada berdekatan sini. Kalau ada kedai yang ada CCTV, periksa rakaman!" arah Aydin kepada Ethan dan Damia sebelum dia talakan perhatian pada skrin komputer kafe siber.
Terpampang figura seorang lelaki yang memakai baju berhud hitam dan topi hitam yang telah ditarik hingga menutup sebahagian mukanya. Insan itu bagaikan tahu kedudukan CCTV di dalam kafe ini, maka seluruh mukanya berjaya disorok daripada terakam. Aydin renung figura itu dalam-dalam. Nafasnya kembali kedengaran kasar.
"Siapa kau, V?" tanya Aydin perlahan kepada figura yang tertangkap dalam rakaman. Sebentar tadi dia menerima satu e-mel daripada V, yang hanya mengandungi dua patah perkataan.
Hari ni.
Tak tunggu lama, Aydin terus cuba jejaki dari mana e-mel itu dihantar. Bergegas dia, Damia dan Ethan pergi ke kafe siber ini dengan harapan mereka dapat menangkap V. Tetapi malangnya, mereka terlambat. Cuba mencari V di antara pelanggan-pelanggan kafe siber namun V sudah meloloskan diri. Melihat pada rakaman CCTV, lelaki yang disyaki sebagai V telah tinggalkan kafe siber hanya beberapa minit sebelum mereka tiba.
Tak keruan Aydin dibuatnya. Apa yang menakutkan Aydin bukanlah identiti sebenar V sebaliknya Aydin bimbang akan maksud tersirat di sebalik ayat 'hari ni'.
Apakah ini deja vu semata? Atau adakah sejarah sebulan lalu akan berulang lagi?
Tak boleh! Ya Allah, tolong aku. Tolong kami, Ya Allah! Aydin laungkan doa dalam hati.
Pantas Aydin hubungi seseorang. Kaki pula menapak sebesar-besarnya.
"Perhatikan Doktor Zahirah. Jangan terlepas pandang walau sesaat. Halang dia dari dekat dengan Lianna. Kalau boleh, jangan bagi sesiapa pun dekat dengan Lianna. V e-mel saya lagi. Awak tahu apa maksudnya, kan?"
"Baik, tuan!"
Semerta Aydin tamatkan panggilan. Diikutkan rasa panasaran, dia mahu sertai Damia dan Ethan mencari V namun rasa takut menguasai segala-galanya lalu Aydin keluar dari kafe siber itu. Destinasinya hanya satu.
Hospital Sultan Ismail.
"NAK ke ICU?"
Sapaan seseorang buatkan Zahirah menoleh dengan mulut separa ternganga.
"Zaf!"
"Aku dari tingkat lapan. Ingatkan nak balik tapi aku nampak kau daripada atas. Aku gunalah lif sana, senyap-senyap ke sini."
Muzaffar menjelaskan tanpa perlu Zahirah bertanya apa-apa. Di depan lif, Muzaffar mendongak untuk melihat nombor di skrin.
Zahirah mencemik. Sebut saja tingkat lapan, dia sudah sedia maklum apa yang dilakukan Muzaffar di situ. Selang dua minggu Muzaffar akan muncul di wad pediatrik dengan memakai kostum animasi untuk menghiburkan kanak-kanak. Sebelum mengenali Muzaffar, Zahirah ada terdengar tentang seorang lelaki yang suka berbuat sedemikian secara percuma, tanpa meminta sebarang upah. Kata orang, lelaki itu benar-benar ikhlas. Tak sangkalah pula lelaki pemurah itu ialah Muzaffar, lelaki yang sama yang kebetulan berjiran dengannya dan muncul di dalam hidupnya saat dia memerlukan.
"Kau jadi apa pula tadi?" tanya Zahirah. Seingatnya, Muzaffar pernah memakai kostum BoBoiBoy, Rilakkuma, Doraemon dan banyak lagi.
"Hello Kitty," sahut Muzaffar bersahaja. Sekali lagi Zahirah melopong. Tak dapat dia bayangkan bagaimana rupa Muzaffar!
Kala pintu lif terbuka, mereka sama-sama memboloskan diri ke dalam. Muzaffar lihat Zahirah tekan butang nombor lima sebelum dia pandang jam tangan sendiri.
"Lima petang. Lambat kau habis kerja?"
Muzaffar bertanya hairan. Setahunya syif Zahirah tamat pada pukul tiga petang. Kalau nak masukkan sesi passover sekali pun, kebiasaannya tak pernah cecah dua jam.
"Hari ni aku jonah, bertalu-talu patient masuk. Lepas passover, aku pergi makan sekejap. Itu pun aku tak kunyah sangat. Aku telan aje. Serabutlah bila ada yang jeling-jeling," adu Zahirah. Bukan satu perkara baharu bila dirinya menjadi perhatian. Kes Rahimi dan Lianna menjadikan dia terkenal secara tiba-tiba dalam kalangan kakitangan HSI.
"Buku apa tu?"
Zahirah menukar hala perbualan apabila melihatkan sebuah buku di tangan Muzaffar. Ada tompok-tompok merah darah pada kulit buku hitam itu. Ada juga ilustrasi seorang lelaki misteri. Sebaik buku bertukar tangan, Zahirah baca kapsyen buku tersebut.
"A chilling insight into one of the world's most infamous killer." Mata Zahirah beralih pada tajuk utama pula.
"Jack the Ripper?"
"Aku baru beli. Kau bacalah dulu," kata Muzaffar.
Pintu lif terbuka lagi. Sama-sama mereka menapak keluar dan berjalan beriringan menuju ke ICU. Fokus Zahirah masih tertancap pada buku diberi Muzaffar. Dia membelek-belek buku itu dengan rasa ingin tahu melonjak tinggi.
Ada suara-suara kedengaran, berjaya menarik perhatian Zahirah. Segera dia melangkah mendekati namun langkahnya beransur perlahan kala hati berlagu resah. Muka Zahirah jadi tak berwarna sebaik dia terpandangkan...
"Awak buat apa kat sini, Jessica?"
Payah untuk Zahirah ajukan soalan tersebut. Difikirkan secara logik, Jessica memang tiada kaitan dengan Lianna. Kondisi Lianna di ICU bukan lagi di bawah tanggungjawab Jessica dan Zahirah. Tetapi Zahirah tetap berkunjung ke ICU untuk melawatnya kerana Zahirah sedar, ada kaitan di antara mereka berdua.
Namun Jessica... Zahirah pandang sekujur tubuh kaku namun hanya untuk sesaat, sebelum dia pandang Jessica semula.
"Apa yang awak dah buat?" soal Zahirah bersama suara parau.
Sungguh Zahirah tak mengerti. Atas dasar apa Jessica ke sini? Katakanlah Jessica ingin ambil tahu keadaan Lianna, kenapa pula elok-elok saja nyawa Lianna melayang selepas itu?
Jessica yang tadinya hanya pamer muka tak berperasaan, menengadah memandang Zahirah. Lambat-lambat dia mengukir senyum. Senyuman yang menakutkan. Khusus untuk Zahirah.
Di belakang, Aydin yang baru tiba, tercungap-cungap. Dia berhenti berlari sebaik terpandangkan kesemua insan itu. Dicari kelibat seseorang dan jumpa saja, pandangan mereka terkunci pada satu sama laim.
"Racun."
Yaakob menggerakkan mulut dari kejauhan. Sewaktu dia menerima panggilan dari Aydin, semuanya telah berlaku. Jessica sudahpun berubah karakter dari seorang doktor kepada seorang pembunuh.
Berubah terus air muka Aydin. Mata dan hidung sama-sama berair. Terus dia teringat pada e-mel dikirim V. Mesej 'hari ni' daripada V hanya membawa satu maksud. Mangsa akan meninggal dunia pada hari ini dan punca kematian ialah racun.
Aydin raup wajah. Dia telah gagal. Sekali lagi. Satu nyawa telah melayang kerana dia tidak efektif. Sekali lagi.
Tak ada suara yang memanggilnya tetapi Aydin seakan-akan mendengar satu jeritan. Lalu Aydin palingkan muka, terus tertumpu pada seorang wanita. Dia menangis tetapi esakannya tidak kedengaran manakala air matanya tak kelihatan bilamana muka ditekup dengan tangan. Dia... Enggan membiarkan semua yang ada di situ melihat sisi lemahnya.
Lagi, Aydin meraup wajah. Dia tak betah membiarkan matanya terus menyaksikan adegan tersebut. Terasa getaran di dalam poket seluar lalu Aydin tarik keluar telefon pintarnya. Panggilan dijawab apabila melihatkan nama Damia di skrin.
"Tuan! Saya berjaya tangkap orang yang hantar e-mel tu. Saya dapat tangkap V!"
Semerta mata Aydin membesar. Semangat yang tadinya jatuh, kini mencanak naik secara drastik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro