Bab 3
"TERIMA kasih, doktor," ucap Damia sopan selepas sesi menemu bual tamat. Dia menghantar Zahirah hingga ke pintu utama.
"Setakat ni masih belum ada apa-apa berita pasal pembunuh tu, detektif?" tanya Zahirah walaupun dia sedar soalan itu agak bodoh. Kalaulah pihak polis sudah tahu identiti si bedebah itu, semestinya mereka sudah memberkas dia! Takkanlah polis saja-saja biarkan dia berkeliaran bebas di dalam dunia ini!
Damia hanya mampu membalas dengan senyuman tipis sebelum dia pamit diri. Di luar sedar, Zahirah lepaskan keluhan.
"Berat sangat mengeluh."
Satu suara menyapa dari belakang Zahirah. Spontan Zahirah berpaling dan matanya serta-merta membulat. Dia pandang Muzaffar dari bawah ke atas dengan mulut melopong. Muzaffar muncul dari belakangnya maka mudah saja Zahirah membuat kesimpulan Muzaffar sememangnya ada di IPD Seri Alam ini.
"Apa kau buat kat sini? Sejak bila kau ada kat sini?" polos Zahirah bertanya.
"Kau sebut nama aku tadi, kan?" Sengaja Muzaffar membalas dengan soalan juga. Dia sambung melangkah, meninggalkan Zahirah terpinga-pinga seorang diri di belakang.
Memanglah Zahirah ada sebut nama Muzaffar. Sewaktu Damia bertanyakan apa yang dia lakukan sepanjang hari ini, jujur saja Zahirah memberitahu segala-galanya. Tentang dia yang lewat bangun tidur kerana off day.
Kebosanan menerpa lalu dia berkunjung ke aras atas, ke apartmen Muzaffar. Lelaki itu tiada tetapi alang-alang Muzaffar sudah memberi kunci pendua kepadanya, Zahirah masuk saja ke dalam. Dia mulai larut dalam dunia pembacaan sebelum Muzaffar pulang dan selepas itu, tiba-tiba mereka menerima panggilan daripada Jessica, House Officer (HO) di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI.
Ah, barulah Zahirah faham sekarang! Terkedek-kedek dia mengejar Muzaffar. Berdiri saja di sisi Muzaffar, Zahirah tayang sengih.
"Polis panggil kau untuk sahkan apa yang aku dah ceritakan tadi?" soal Zahirah meski dia dapat mengagak jawapan yang bakal diterima.
"Sorry. Daripada insiden arwah Sabrina dua bulan lepas lagi, kau macam terheret sama dalam masalah aku."
Zahirah mengucap maaf kepada Muzaffar, satu perbuatan yang agak tipikal di antara mereka berdua. Kalau Zahirah tak minta maaf, dia akan berterima kasih pula. Dua frasa itu sajalah yang diulangi Zahirah saban kali.
Muzaffar diam. Frasa arwah Sabrina itu mengingatkannya kepada mangsa tikaman pada 14 Januari. Itu juga adalah hari di mana dia dan Zahirah bersua muka buat pertama kalinya. Mereka sama-sama ke hospital, kemudian ke balai polis. Pulang saja, masing-masing terkejut apabila menyedari mereka tinggal di apartmen yang sama. Dalam satu bangunan!
"Mesti polis panggil kau sebab nak sahkan alibi aku. Aku beritahu aku ada kat rumah kau jadi kau pula dipanggil untuk sahkan. Entah-entah dia orang cek rakaman CCTV apartmen kita. Yalah, nak tengok betul ke tak apa yang kita beritahu. Manalah tahu kut-kut dia orang fikir aku dan kau berpakat pula untuk lindung satu sama lain." Pandai-pandai Zahirah meneka apa yang dilakukan oleh pihak polis.
Tak ada jawapan daripada Muzaffar melainkan sengihan. Zahirah sambung mengomel.
"Aku geram dengan ASP Aydin. Detektif Damia memang baik, dia tak ada pun syak akulah suspek untuk semua kes ni. Tapi ASP Aydin... Daripada perjumpaan pertama lagi, dia sengaja provokasi aku untuk aku mengaku akulah sebenarnya dalang semua pembunuhan ni. Kau ingat lagi tak ASP Aydin cakap apa?"
Zahirah bertanya kepada Muzaffar. Waktu itu mereka sudah berdiri di sebelah kereta Muzaffar. Lelaki itu mengambil tempat pemandu manakala Zahirah di tempat penumpang. Hadirnya ke sini tadi bersama Damia dan Aydin. Untuk pulang pula, Zahirah tak perlu susah-susah meminta izin atau minta Muzaffar hantarkan dia pulang. Zahirah tahu sangat memang itulah yang akan dilakukan Muzaffar.
Tutup saja pintu, Muzaffar mula menghidupkan enjin. Kemudian tangan bergerak, mencucuk sesuatu ke dalam dashcam.
"Sekarang kau mungkin jadi saksi. Tapi bila kita orang dapat bukti, mungkin aje kau akan berubah status jadi suspek." Muzaffar menggunakan suara garaunya, mengajuk Aydin.
Ayat-ayat itu memanaskan hati Zahirah. 14 Januari bukan saja tarikh pertemuan pertama dia dengan Muzaffar. Tarikh itu juga adalah tarikh dia bertemu Aydin buat kali pertama! Kalau Muzaffar banyak membantu dan meredakan kegelisahan hati, Aydin pula hanya menyesakkan dada. Bayangkanlah awal-awal jumpa saja, Aydin lemparkan kata-kata itu kepadanya.
"Hah, kau pun ingat ayat dia! Setiap kali aku teringatkan ASP Aydin, hati aku jadi panas! Memanglah dia polis. Instinct agak kuat dan otak pula asyik bekerja keras untuk siasat dan cari tahu siapa sebenarnya suspek. Tapi masalahnya, aku rasa instinct dia tak boleh dipercayai. Macam mana dia boleh terfikir, aku ada kaitan dengan semua pembunuhan ni? Merepek!"
Meluap-luap amarah Zahirah. Di depan Muzaffar sajalah dia berani mengomel panjang dan penuh beremosi seperti ini. Sedangkan setiap kali bertemu dengan Aydin, tak semena-mena Zahirah jadi orang bisu. Anak mata pula seboleh-bolehnya ditala pada Damia semata. Tak perlu susah-susah pandang Aydin. Zahirah tahu sangat Aydin sentiasa merenungnya. Aydin tak perlu tembak dia menggunakan pistol sebenar. Hanya dengan renungan tajam Aydin, Zahirah rasakan dahinya sudah bolos!
"Eh, Zaf. Tadi aku nampak kau cucuk memory card ke dalam dashcam. Kenapa? Kau ada keluarkan ke tadi?"
Nama Aydin sudah Zahirah tendang jauh-jauh. Sekarang dia panasaran tentang kad memori dashcam pula. Anggukan Muzaffar mengundang tanda tanya Zahirah. Baru mulut nak bertanya 'kenapa?', tiba-tiba nama Aydin kembali menerjah fikiran.
"Jangan cakap dia orang minta? Dia orang syak kau pula?" Laju Zahirah bertanya dengan mata membulat.
"Itu prosedur dia orang. Polis kena cek semuanya, thoroughly. Kita pula kena bagi kerjasama untuk yakinkan dia orang yang kita tak bersalah dan tak ada benda untuk disembunyikan. Siapa tahu, ada sesuatu yang kita tak perasan tapi ASP Aydin boleh nampak."
Langsung, Zahirah mencebik. Pertama, kerana dia rasakan Muzaffar menyebelahi Aydin. Kedua, kerana dia rasa jelak tiba-tiba. Muzaffar sepertinya cuba mengatakan ASP Aydin sangat cekap, sangat peka hinggakan dia boleh sedar apa yang tidak disedari orang lain. Zahirah kunci mulut. Malas nak kata apa-apa lagi. Dia pandang ke luar tingkap dan sekelip mata, hati berasa sebu.
"Zaf..."
Zahirah memanggil Muzaffar tanpa menoleh ke arahnya. Mata Zahirah mulai berkaca.
"Kau rasa apa dah jadi pada dia? Kau rasa apa pula yang akan jadi pada dia lepas ni?"
"TUAN."
Aydin tidak menyahut panggilan Damia tetapi tangan yang tadinya bersilang di depan dada sudah jatuh ke sisi. Aydin selitkan tangan ke dalam poket seluar khaki.
"Yaakob tengah ekori Doktor Zahirah dan Muzaffar. Macam biasa," beritahu Damia. Masih tiada jawapan daripada Aydin. Tanpa kata Aydin labuhkan duduk di atas kerusi. Jemari mengetuk meja berkali-kali.
"Lianna?"
"Sekarang dah ditempatkan di ICU. Saya dah uruskan apa yang perlu, tuan," beritahu Damia, mengundang anggukan Aydin tanda berpuas hati.
"Ini dah kes ketiga, Damia. Kita tak boleh biarkan orang tu bunuh Lianna pula. Kita tak boleh biarkan apa yang jadi pada Sabrina dan Rahimi, terjadi lagi pada Lianna."
Dengan berat hati, Damia terpaksa mengangguk. Aydin kembali menyepi. Tuhan saja yang tahu apa yang memenuhi benak fikiran Aydin saat ini.
"Tuan..." Damia memanggil Aydin.
"Tanyalah."
Tak perlu Damia katakan apa-apa, Aydin dapat membaca fikiran detektif wanita itu.
"Tuan masih syak Doktor Zahirah?"
Aydin melepaskan keluhan. Meski dia dapat mengagak soalan itu akan diaju Damia, tetap juga dia berasa lelah untuk menjawab.
"Pada saya, dia bersalah selagi tak dibuktikan sebaliknya."
"Tuan dah lupa presumption of innocence? Seseorang tak bersalah selagi dia belum dibuktikan bersalah." Cepat-cepat Damia menukas.
"14 Januari, kebetulan Doktor Zahirah ada di situ dan saksikan babak percubaan membunuh Sabrina. Pada 18 Februari pula, Doktor Zahirah cuma..."
Tergantung kata-kata Damia bilamana Aydin mencelah dengan nada sarkastik.
"Doktor Zahirah cuma dicari Rahimi secara kebetulan? Padahal Rahimi dalam kesakitan yang teramat tapi mulut dia cuma sebut nama Doktor Ana Zahirah. Sama juga macam hari ni? Pada tarikh 16 Mac, kebetulan Lianna yang baru lepas ditikam-tikam, datang ke JKT HSI dan sebut nama Doktor Zahirah aje?" Perkataan 'kebetulan' ditekan Aydin.
"Jangan salah fakta, tuan. Lianna dihantar ke JKT. Ada seseorang yang hantar dia ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI, sama seperti Rahimi."
Ada rasa kurang senang dalam hati Damia. Rasa-rasanya Aydin tidaklah begitu lembab untuk terkeliru di antara perkataan 'datang' dan 'dihantar'.
Aydin merengus. Dia dan Damia memang tidak sebulu. Sedangkan Aydin akan beria-ia meletakkan Zahirah sebagai suspek utama, Damia pula akan bersungguh-sungguh menangkis semua telahan Aydin. Damia benar-benar yakin Zahirah tidak bersalah dan hanyalah saksi di dalam ketiga-tiga kes ini.
"Untuk ketiga-tiga kes, Doktor Zahirah sentiasa ada alibi yang kukuh. Lagipun tak ada petunjuk yang boleh menjurus dia sebagai suspek. Tak ada langsung sebarang petunjuk yang membuktikan Doktor Zahirah pernah berjumpa Rahimi atau Lianna, walaupun sekali. Kalau tak pernah berjumpa, untuk apa Doktor Zahirah berniat bunuh mereka? Dari mana datangnya kebencian kalau tak ada titik pertemuan? Cuba tuan berterus terang dengan saya. Melainkan kebetulan dia jadi saksi kes cubaan membunuh Sabrina, dan dia dicari Rahimi dan Lianna, apa lagi bukti atau petunjuk yang meyakinkan tuan bahawa Doktor Zahirah bersalah? Jangan bagi alasan instinct tuan yang kata begitu. Kita berdua tahu, tuan. Dalam kerja kita, kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada instinct. Gerak hati memang penting tapi tak bermaksud ia betul seratus peratus."
Walau dalam ketegasan, Damia berusaha memastikan pemilihan diksinya sesuai. Tak naklah digelar biadab oleh Aydin. Perselisihan pendapat tidak membolehkan dia bersikap besar kepala di depan ketuanya sendiri.
Aydin dan Damia bersabung mata. Damia menunggu apa yang akan keluar dari mulut Aydin dengan kesabaran meski dalam hati, dia serasa mahu menggesa Aydin agar cepat-cepat buka mulut.
"Macam mana kalau Zahirah rancang semua ni untuk dia dapat naik pangkat dengan lebih cepat?"
"Tuan fikir dia sengaja jadikan kes-kes ni sebagai batu loncatan untuk dia naik pangkat jadi doktor pakar atau konsultan? Macam tu?"
"Mungkin. Itu cuma salah satu kemungkinan yang saya fikirkan."
"Apa lagi yang tuan fikirkan?"
Ada desakan pada nada Damia.
"Awak pernah dengar pasal Doktor Harold Shipman?"
Polos Damia menggeleng.
"Dia pun doktor juga. Nampak suci dan caring pada pesakit dia tapi sebenarnya dia seorang narsisisme dan kaki buli. Dia overdose pesakit dengan diamorphine yang seterusnya jadi punca kematian dia orang. Lelaki yang pegang gelaran doktor, nampak suci daripada luar, sebenarnya ialah lelaki yang dah bunuh lebih 200 orang."
Aydin menyebut nama salah seorang penjenayah besar di England yang mula membunuh sejak 1970-an.
Damia meneguk liur di luar sedar. Perkataan 'kematian' dan 'bunuh' bukanlah asing padanya tetapi mendengarkan jumlah mangsa, semangat Damia goyah sedikit. Selama dia berkhidmat, belum pernah lagi dia memberkas mana-mana penjenayah yang pernah membunuh dengan jumlah sebanyak itu.
Gila! Orang itu benar-benar gila!
"Sebab itulah saya susah nak percayakan Doktor Zahirah. Saya kurang yakin dengan semua alibi yang dia sediakan. Kita tak tahu betapa liciknya seseorang, tak kiralah macam mana penampilan luaran dan apa kerjaya dia."
Damia menggigit bibirnya. Kata-kata Aydin itu agak meyakinkan. Mungkin dalaman Zahirah tidak sama dengan apa yang dia tonjolkan di luar. Mungkin juga Zahirah sama seperti Doktor Harold Shipman itu yang telah menggunakan paras rupa, perwatakan palsu, kerjaya, latar belakang dan akal licik untuk mengaburi mata mereka semua.
"Tapi, tuan..."
Suara berjulat rendah itu buatkan Aydin menengadah semula.
"Saya tetap yakin Doktor Zahirah tak bersalah. Tuan pun tahu apa sejarah hidup dia, kan? Untuk seseorang yang pernah disakiti seperti Doktor Zahirah, dia takkan tegar sakitkan orang lain sebab dia sendiri tahu macam mana rasanya disakiti."
Langsung, Aydin terkedu. Jika tadi dia boleh keluarkan perkataan demi perkataan dengan lancarnya, kini lidah bagaikan dirantai. Pada saat Damia berlalu pergi, Aydin masih lagi terpacak bagai manikin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro