Bab 9
SUHU malam itu agak sejuk. Hujan yang turun hampir sejam yang lalu sudah berhenti. Aisyah yang baru usai solat isyak keluar dari bilik. Malam itu, dia sendirian di rumah. Reyhan ada beritahu yang Sarah pulang ke kampung dan bercuti selama dua hari.
Suasana rumah sunyi sepi. Kalau ada Sarah pun tetap sunyi kerana mereka memang tak berbual sangat pun. Aisyah berniat untuk terus tidur sahaja tetapi beberapa minit yang lalu dia menerima mesej daripada Reyhan yang menyuruh dia bermalam di rumak Kak Yam. Lelaki itu juga berpesan supaya dia datang makan malam di rumah Kak Yam seperti biasa.
Aisyah menyarung tudung dan memakai baju sejuk kerana pijama yang dipakainya berlengan pendek. Dia ke dapur seketika lalu membuka peti ais. Kosong!
"Mana pergi minuman jus yang aku beli hari tu? Belum buka lagi kot..." omelnya. Peti ais itu kosong tiada satu makanan pun. Di dalam rumah tu tinggal dia dengan Sarah saja. Agaknya gadis itu yang makan makanannya sewaktu dia di KL.
"Tak ada rezeki kau, Aisyah." Dia menggeleng sambil menutup pintu peti ais. Dia menutup suis lampu dapur. Dia kembali semula ke biliknya dan mengambil telefon pintar serta kunci rumah. Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Aisyah panik apabila tertera nama BABAH SAYANG.
"Assalamualaikum, babah." Dia memberi salam setelah menekan butang jawab.
"Waalaikumussalam, Aisy. Errr... Aisy ada call Deniz tak? Sepanjang hari ni babah call dia tak dapatlah."
"Errr... tak adalah babah... kenapa babah call dia?" Aisyah terkejut. Babah ni degil betul. Kata tak nak selalu call Deniz!
"Sajalah nak tanya khabar tapi hairan kenapa tak dapat padahal babah call Reyhan tadi dia cakap Deniz ada saja di rumah"
"Babah call Reyhan?" Suara Aisyah sedikit terjerit. Siap membulat matanya.
"Yalah... dah call Deniz tak dapat. Habis tu nak tanya siapa lagi yang dekat dengan tempat tinggal dia."
"Babah... kan Deniz cakap jangan call dia atau call Reyhan dan ayah dia? Babah kan dah janji? Agaknya Deniz tutup handphone dia sebab babah asyik nak mengintip dia aje." Aisyah mundar-mandir di ruang tamu dengan perasan gelisah.
"Babah cuma risaukan dia."
"Okey, nanti Aisy pergi jumpa dia kat kampung tu. Kalau nak tau pasal dia, babah call Aisy aje."
"Okey... elok juga tu. Aisy bila nak mula kerja? Dah terima apa-apa tawaran?"
"Belum, babah.. errr.. nanti kalau dah dapat kerja Aisy bagi tau, okey? Kirim salam kat ibu." Cepat-cepat Aisyah beri salam sebelum mematikan talian. Dia mengurut dada. Kus semangat... Aisy minta maaf, babah... Aisy tak ada niat nak tipu.
Deniz pun masih belum menghubunginya. Dia berharap Deniz sudah sampai di Izmir dan segera mendapatkan nombor talian baru supaya mudah untuk dihubungi.
AISYAH keluar dari rumah selepas mengunci pintu dan hanya membuka lampu di garaj sahaja. Dia memandang ke arah rumah Reyhan yang tidak jauh dari situ. Gelap saja kecuali lampu limpah yang menerangi jalan.
Nun jauh di hujung sana, dia lihat pintu pagar kawasan itu terbuka luas. Dia tahu Reyhan dan Iskandar tiada di rumah. Begitu juga di rumah Andika turut bergelap. Lelaki-lelaki itu semestinya berada di masjid pada waktu ini dan hanya kembali ke rumah selepas menunaikan solat isyak dan kemudian semuanya berkumpul di rumah Kak Yam untuk makan malam bersama.
Aisyah menyeluk saku baju sejuknya. Suhu di luar rumah terlalu sejuk hingga mencengkam ke tulang. Penghujung tahun begitu, hujan semakin kerap turun pada waktu petang menyebabkan suhu malam menjadi sejuk.
Dia berjalan berhati-hati di atas rumput yang basah dan licin menuju ke rumah Kak Yam. Dia memberi salam tetapi tiada yang menyahut. Dia terus saja masuk ke dalam rumah tetapi kelibat Kak Yam tidak kelihatan. Hanya kedengaran suara sayup orang bernyanyi kecil di dapur lalu dia menuju ke situ.
Tersengih dia melihat Mak Cik Sari yang bersungguh-sungguh menyanyi. Bukan main dia.
"Assalamualaikum, mak cik"
Mak Cik Sarimah yang menyedari seseorang menegurnya, terus berhenti menyanyi. "Waalaikumussalam. Eh, Dinaz rupanya... ingatkan bidadari manalah yang sesat kat dapur ni hah."
"Deniz, mak cik... " Aisyah membetulkan sebutan nama itu.
"Dinaz ke Deniz ke... serupa ajelah. Apa susah sangat nak sebut nama kamu ni?" Mak Cik Sarimah garu kepala yang bertudung.
"Mak cik buat apa ni sorang-sorang kat dapur ni? Kak Yam mana?"
"Kak Yam kamu pergi solat kejap. Mak cik pulak baru siapkan sagu gula Melaka ni hah, pencuci mulut untuk Reyhan. Dia suka sangat makan sagu gula Melaka, tapi kali ni mak cik campurkan dengan madu kelulut gantikan gula biasa," jawab wanita itu sambil lincah tangannya menghias mangkuk berkaki berisi sagu gula Melaka dengan sedikit potongan daun pandan.
"Oh... Abang Rey suka makan manisan ni ya? Hmmm... mak cik ada resipinya?" Aisyah sedikit berbisik.
"Eh, nak resipi apanya kamu tu kan tukang masak? Takkan tak tahu nak buat pencuci mulut paling senang macam ni?" Pelik pula Mak Cik Sarimah dengan permintaan anak gadis itu. Patutnya aku ni hah yang mintak resipi daripada dia... dah terbalik pulak!
Aisyah gigit bibir. Sekali lagi dia terlupa yang dia Deniz... bukan Aisyah! Padan muka! Konon nak tahu sangat resipi makanan Abang Reyhan tu kan.. cepat cover diri!
"Errr... saya cef pastri aje, mak cik. Roti, biskut, kek tu semua saya tahulah nak buat tapi makanan tradisi macam ni manalah saya tahu?" Begitu yakin dia menjawab.
"Itulah dia anak muda zaman sekarang. Tekak tu nak makan makanan barat aje sampaikan makanan tradisi Melayu pun tak tahu nak masak..." Tiba-tiba Sarimah begitu emosi.
Aisyah terkebil-kebil mendengar leteran Mak Cik Sarimah. Mak cik, sebenarnya usahkan nak tahu resipi, makan pun belum pernah. Inilah pertama kali! Itu pun kena marah ke?
"Alah... bolehlah, mak cik... sementara mak cik ada kat sini. Esok mak cik dah balik, Saya nak minta dengan siapa?" pujuk Aisyah. Wanita itu seperti tidak peduli. Apalah mak cik ni... sekejap okey, sekejap tak... nak kata di ambang menopaus macam tak patut pulak.
Aisyah menahan tawa. Takut pula kena sergah dengan Mak Cik Sari kalau dia ketawa. Dah gila tiba-tiba ketawa?
"Google kan ada? Kat YouTube berlambak video. Tak pun kamu follow Instagram mak cik. Kat situ ada macam-macam resipi." Mak Cik Sarimah tayang telefon pintar. Dia mengambil gambar hidangan sagu gula Melakanya dan dimuat naik gambar itu ke akaun Instagram.
"Serius? Mak cik ada Insta?" Aisyah tutup mulut yang ternganga. Kenapa aku tak pernah tahu kewujudan mak cik ni selama ni?
"Haruslah... kamu ingat apa? Ini Mak cik Sari tau. Aku ni boleh dikatakan Insta Famous kat Malaysia ni." Mak Cik Sarimah bukan saja tayang muka confident... siap tunjuk jumlah followersnya seramai 100K!
"Oh... Saya baru tahu mak cik... nanti saya follow." Aisyah tak tahan nak ketawa hingga terpaksa gigih menutup mulut. Matanya sudah berair. Hebat orang tua ni. Nenek aku pun tak ada Insta, dia siap ada ramai follower... nangis!
"Hah... beria minta resipi makanan kegemaran Reyhan ni... ada apa-apalah tu."
"Mana ada mak cik? Orang minta sebab makanan ni sedaplah."
"Kamu tak usah menipu akulah, Dinaz oi. Ni dengar mak cik nak nasihat. Orang macam Reyhan tu calon suami yang baik. Kamu tengok, zaman sekarang susah nak jumpa lelaki yang rajin bekerja di ladang. Hobinya menunggang kuda. Makan madu lebah lagi... semua tu sunnah Rasulullah kan? Selalu solat berjemaah di masjid, orangnya kacak bergaya.. hormat orang tua... Apa lagi yang kamu nak?"
"Huish... bukan main mak cik up Abang Reyhan tu ya? Saya pun dah rasa macam terpengaruh juga ni," ujar Aisyah. Baru kenal Mak Cik Sarimah tak sampai sehari mesranya macam kenal berpuluh tahun.
"Eleh... kamu tu dah memang terpaut pada Reyhan koboi tu, kan?" Mak Cik Sarimah menepuk bahu Deniz sambil ketawa lepas.
"Apa mak cik ni... malulah saya kalau dia dengar." Aisyah ketawa malu-malu kucing.
"Seronoknya ketawa kat dapur ni.. apa yang lucu sangat?"
Tiba-tiba perbualan mereka terhenti. Suara garau itu Aisyah kenal sangat milik siapa. Dia berpaling dan pandangannya terus terpaku pada susuk tubuh Reyhan yang berkain pelekat dan berbaju Melayu serta berkopiah putih. Handsomenya alahai... calon suami soleh sangat Abang Reyhan ni!
"KAK YAM, saya dah siap cuci pinggan mangkuk kat dapur." Aisyah muncul di ruang tamu ketika Iskandar, Reyhan dan Maryam berbual di situ selepas makan malam. Andika dan anaknya sudah pulang ke rumah kerana Sofia sudah mengantuk. Mak Cik Sarimah juga sudah masuk tidur.
"Alahai adik akak ni. Kan dah cakap tak payah buat kerja tu semua? Kak Yam boleh buat sendiri."
"Tak apalah... Kak Yam dah masak semua, saya tolonglah mana yang patut," jawab Aisyah yang kelihatan sudah mengantuk.
"Tak apa, Kak Yam... biar dia buat. Lain kali biar dia pula yang masak. Bila lagi kita nak rasa masakan cef, kan?" Iskandar menyampuk. Ada senyuman sinis di bibirnya. Tak sabar dia nak menguji tahap ketahanan mental dan fizikal Deniz di kafenya esok. Nak mula dari bawah sangat kan...
"Isy... kamu ni, Iskandar..." Maryam menegur sikap Iskandar yang suka sangat menggertak gadis itu.
Aisyah sekadar mendengar. Dia terlalu mengantuk dan penat untuk melayan provokasi bosnya itu.
"Terima kasih, Deniz. Marilah kita berehat. Masuk tidur awal, esok dah nak mula kerja." Maryam bangun dari sofa. Dia mahu mengajak Deniz tidur di biliknya memandangkan Sarah tidak ada di rumah. Reyhan sudah maklumkan Deniz akan bermalam di rumahnya.
"Haah... pergi tidur... lambat datang kerja esok, siap!" Iskandar memberi amaran.
Aisyah buat tak tahu saja. Geram juga dia dengan perangai Iskandar.
"Dah, kamu berdua pergi balik. Jangan lupa kunci pintu masa keluar nanti," pesan Maryam.
Reyhan sedari tadi memerhatikan sahaja. Kecil besar aje matanya melihat gelagat Iskandar. Apabila Deniz dan Maryam sudah masuk ke bilik tidur dia menumbuk perlahan bahu Iskandar. "Hoi! Yang kau garang sangat dengan Deniz kenapa?"
"Biarlah... aku bos dia," jawab Iskandar tanpa rasa bersalah. Dia bangun dari sofa. Reyhan mengekori. Mereka keluar dari rumah Maryam selepas mengunci pintu.
"Kau bos dia kat kafe kau aje. Kat sini dia tetamu kita. Kau janganlah cakap dengan dia menengking macam tu..." Reyhan menyinsing lengan baju Melayu lalu mereka berdua melangkah balik ke rumah.
Iskandar mencebik. "Aku perasan sejak Deniz datang sini kau layan bukan main lagi kan... macam tuan puteri. Aku ada dengar kau bawa awek cun melawat ladang kelulut. Awek yang pekerja-pekerja heboh kat dalam WhatsApp group tu Deniz, ek?"
"Kalau betul, kenapa?" Reyhan bertanya pula.
Iskandar senyum jahat. Oh... rupanya dia ada hati dengan minah berwajah suci tu! Patutlah baik semacam...
"Aku nak buli Deniz kau tu bermula hari esok..." jawab Iskandar. Saja nak tengok reaksi abangnya.
"Kau jangan buat hal. Aku pergi kafe esok kalau aku tahu kau buli dia, siap kau." Reyhan tayang jari telunjuk ke muka Iskandar sebagai amaran. Selamba saja tangan itu ditepis.
"Kau dah lupa ke... sepanjang minggu ni kau kena pergi kursus usahawanan kat KL? Mana kau ada masa nak tengok awek kau kena dera kat kafe tu." Iskandar ketawa galak sambil memulas tombol pintu rumah lalu membolos ke dalam.
Reyhan cekak pinggang. Entah apalah yang dirancang Iskandar untuk Deniz, pujaan hatinya itu. Adik aku ni bukan boleh kira... datang perangai Nazi dia, tak kira lelaki ke perempuan semua dia buli! Kenapalah aku kena pergi kursus sepanjang minggu ni. Kalau tak boleh aku setiap hari tengokkan Deniz.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro