Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"KAU buat apa?"

Pekikan di hujung talian membingitkan telinga Aisyah. Aku dah agak mesti dia jerit punya! Mahu tak mahu dia terpaksa ceritakan kejadian malang yang menimpa dirinya kepada Deniz.

"Aisy... takkan baru sampai kau dah buat hal?"

"Aku tak sengaja... janganlah marah"

"Ada nampak aku happy?"

"Tak nampak... bukan video call pun..." Aisyah tersengih macam kerang busuk. Sempat lagi nak melawak.

"Inilah yang aku tak sedap hati nak berangkat ke Izmir. Kau belum apa-apa dah buat hal..."

"Aku dah minta maaflah kat mamat tu. Tak ada apa yang nak dirisaukan. Lepas mata dia hilang pedih nanti, semuanya okey." Aisyah cuba meyakinkan Deniz. Padahal dia pun rasa tak yakin.

"Okey... Kalau kau dah cakap macam tu. Habis tu kau tak kena halau dari tempat tu?"

"Tak adalah... Eh, Encik Reyhan tu kan... baik tau. Dahlah handsome, baik pulak tu. Dia sikit pun tak marah kat aku." Tersipu-sipu pula Aisyah ketika bercerita tentang Reyhan. Dia memejamkan mata sambil membayangkan wajah lelaki bertopi koboi yang boleh dikatakan tall, dark and handsome.

"Aisy, kau dengar tak aku tanya ni? Aisy? Hallo!"

"Hah? Errr... Aku tak berapa dengarlah. Kau tanya apa?"

"Hoi! Berangan ke apa? Dah dua kali aku ulang!"

"Kau tanya apa?"

"Aku tanya... kau dah kenal semua orang kat sana ke?"

"Tak semua... ada beberapa orang aje tapi dia orang semua baik. Kak Yam tu peramah orangnya."

"Assalamualaikum... Eh, maaflah Kak Yam ingatkan Deniz tengah berkemas." Tiba-tiba Kak Yam muncul di muka pintu bilik itu. Wanita itu kelihatan bersalah kerana kemunculannya seperti mengganggu perbualan telefon Deniz.

"Kak Yam... tak apa. Saya dah nak selesai pun." Aisyah menahan Maryam yang mahu keluar. Dia segera menamatkan perbualannya dengan Deniz.

"Call ayah ya?"

"Eh, taklah. Kakak saya, Deniz." Selamba Aisyah menjawab sambil tersenyum. Senyumannya mati sebaik saja melihat kerutan di dahi Kak Yam. "Errr... maksud saya... adik-beradik tiri saya. Aisyah! Deniz tu saya..." Menyedari kesilapannya, dia ketawa buat-buat. Matilah nak... tersasul pulak!

"Oh..." Maryam angguk tanda faham. Dia nampak gadis di depannya itu seperti kelam kelibut. Memang perangai budak ni selalu menggelabah ke apa?

"Nampak macam kamu belum berkemas lagi. Mari Kak Yam tolong ya?"

"Eh, tak apalah, kak. Saya boleh buat sendiri. Lagipun bukan banyak sangat baju yang saya bawa. Apa kata kita berbual aje? Nanti semua ni saya boleh uruskan sendiri." Aisyah menolak dengan penuh sopan. Dia menarik tangan Maryam lalu mereka berdua duduk di atas katil. "Berapa orang yang tinggal dalam rumah ni, kak?"

"Termasuk Deniz, dua orang ajelah. Seorang lagi Sarah tapi dia kat ofis lagi waktu ni."

"Oh... terima kasih Kak Yam bawa saya ke rumah tadi. Saya panik sangat tadi. Mujur ada akak tenangkan saya."

"Sama-sama. Kak Yam faham. Kamu baru saja sampai ke sini... salah faham tu biasalah."

"Banyak rumah kat kawasan ni. Rumah siapa lagi, kak?"

"Deniz perasan di kawasan ni ada lima buah rumah kan? Ini rumah pekerja. Banglo besar dua buah lagi milik Reyhan dan Andika. Rumah ni semua hadiah daripada arwah atuk yang besarkan kami. Orang kampung kenal sangat dengan arwah atuk... Orang Kaya Deraman."

"Oh..." Berasa kagum juga Aisyah mendengarnya. Tentu keluarga itu terkenal di kawasan sekitar.

"Ada lagi sepupu-sepupu Kak Yam yang lain. Nanti diorang semua balik kerja Kak Yam kenalkan dengan Deniz ya?"

"Okey... Errr... Kak Yam tinggal dengan suami ke?"

"Tak... Kak Yam tinggal berdua dengan adik akak, tapi sekarang ni dia masih belajar. Kadang bila cuti dia baliklah. Dulu ada suami sekarang dah bercerai. Dia pun dah kahwin lain."

Ada nada sayu kedengaran di hujung suara wanita itu. Aisyah tak tahu nak kata apa.

"Hari pun dah petang ni. Kak Yam balik dululah nak memasak. Nanti malam jangan lupa ke rumah Kak Yam kita makan sama-sama. Kalau Sarah ada, ajaklah dia sekali.

"Kak Yam nak saya tolong masak ke?"

"Tak apalah. Kamu tu memang dah biasa masak, kan? Untuk first time ni biarlah Kak Yam yang masak. Kamu kan tetamu? Banyak masa lagi untuk kamu dapat peluang memasak kan?" Kak Yam ketawa besar.

Aisyah senyum sungging. Memasak? Aduhai... kat mana kau dah terperangkap ni, Aisyah?

Tidak berapa lama selepas Kak Yam pulang, seorang gadis pula muncul di pintu bilik. Ketika itu Aisyah sedang mengemas pakaian yang dibawanya ke dalam almari.

"Awak Deniz ya?" tanya gadis itu dengan muka tanpa senyuman. Dia memandang Aisyah dari atas sampai bawah. Mulutnya sedikit mencebir.

"Ya, saya. Awak Sarah, kan?" Aisyah menghadiahkan senyuman. Dia tak sedar gadis itu sudah lama di muka pintu biliknya.

"Hmmm... baguslah dah kenal. Aku cuma nak beritahu, barang makanan dalam peti ais tu semua aku punya tau. Kau jangan makan pulak. Kalau ada barang kau nak letak dalam tu, sila labelkan. Senang aku nampak. So, tak adalah aku termakan yang kau punya. Okey... Selamat berkenalan." Gadis itu berlalu pergi sebaik saja menghabiskan ayatnya.

Terkebil-kebil Aisyah memandang kelibat gadis itu sambil memegang hanger. Dia mencekak pinggang. Ewah... bukan main kekwat lagi dia. Macam tu cara sambut housemate baru? Tak ada sikap ramah langsung!

"ADA apa-apa lagi ke nak dihidangkan, Kak Yam?" tanya Aisyah sambil menyinsing lengan T-shirt yang dipakai.

"Tak ada dah. Inilah saja juadah kita malam ni." Kak Yam meletakkan beberapa biji gelas di atas meja.

"Banyaknya Kak Yam masak... macam tak boleh aje nak habiskan semua ni." Mata Aisyah terarah pada hidangan yang banyak di atas meja. Tengok pada juadah itu dia yakin Kak Yam memang pakar dalam masakan. Sayang, isteri hebat memasak macam ni pun kena cerai.

"Kalau kita berdua, memanglah tak boleh tapi kejap lagi Reyhan, Iskandar, Andika dan anaknya datang kan ramai... habis punyalah." Kak Yam gelak kecil. Dia menuju ke dapur.

Aisyah gigit bibir. Aku ingatkan aku dengan dia aje... rupanya satu kaum kerabat dia nak makan sekali?

"Sarah mana? Kamu tak ajak dia sekali ke?" tanya Kak Yam. Tangannya ligat meletak sudu-sudu ke dalam pinggan berlauk.

"Dah, kak... tapi dia cakap dia diet."

"Diet apanya badan dah kerempeng macam tak cukup zat. Ada-ada ajelah Sarah ni." Maryam membebel sambil berlalu ke dapur.

Aisyah termangu-mangu. Manalah dia orang ni? Aku dah lapar gila ni... Dia sempat membaca kiriman WhatsApp Deniz yang menghantar gambar makan mi segera sendirian berserta ikon 'menangis' dan perkataan 'rindu'. Dia ketawa kecil. Ketika itulah terdengar suara memberi salam dan riuh-rendah gelak tawa. Beberapa orang lelaki muncul bersama seorang kanak-kanak perempuan.

"Uish... Siapa awek cantik ni?" Lelaki berambut ala hero Korea bertanya.

"Dah mula dah..." Sinis suara Iskandar yang berada di belakang lelaki itu.

"Kalau kau tak nak kenalkan tak apa... Biar aku tanya sendiri." Lelaki itu terus mendekati Aisyah lalu menghulurkan tangan.

Aisyah mengerutkan dahi. Siapa lelaki ini? Tiba-tiba saja nak beramah mesra.

"Hai... Saya Arjuna. Awak yang cantik ni nama apa ya?" Lelaki itu mempamerkan senyuman menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.

"Oit... haram..." Reyhan menepis perlahan huluran tangan sepupunya itu. Dilihatnya wajah Aisyah sudah merona merah. Mungkin malu dengan perangai ulat bulu Arjuna.

"Kau ni Arjuna... Asal nampak yang dahi licin... Sudahlah, pergi cari Kak Yam. Kat dapur agaknya," arah Reyhan lagi.

Iskandar dan Andika saling berpandangan sambil bertukar senyuman. Agak pelik kerana Reyhan tak pernah begitu. Bukan mereka tak biasa dengan sikap miang Arjuna tapi Reyhan tak pernah peduli pun.

"Alah... Orang nak ngurat sikit pun tak boleh." Arjuna berlalu ke dapur. Masih sempat menghadiahkan senyuman kepada Aisyah.

"Andika... Kenalkan, ini Deniz anak kawan abah aku. Dia akan bekerja di kafe Iskandar nanti," ujar Reyhan.

"Oh... hai, Deniz... saya Andika, awak boleh panggil Abang Andi. Ini anak saya, Sofia. Salam dengan acik tu, Sofia."

Anak kecil itu menyalami tangan Aisyah. Comelnya budak ni... Tapi mana pula ibunya?

"Kalau kau nak tahu lagi. Dia ni juga yang sembur pemedih mata kat aku siang tadi," sampuk Iskandar dengan muka tak puas hati.

"Encik Iskandar... Saya betul betul minta maaf pasal kejadian tu." Aisyah tayang muka bersalah.

"Nasib baik kau anak kawan baik abah tau. Kalau tidak, tak adanya aku nak ambil kau bekerja."

"Is..." Reyhan menegur dengan pandangan memberi amaran supaya dia tidak bersikap keras terhadap gadis itu. Andika tidak mahu campur tangan. Dia mendukung Sofia dan berlalu ke meja makan.

"Apa lagi yang tercegat kat situ? Mari semua kita makan." Maryam muncul bersama Arjuna. Iskandar terus mendekati Maryam. Hanya Reyhan dan Aisyah yang masih berdiri, yang lain sudah duduk di meja makan.

"Jom kita makan?" ajak Reyhan. Wajah gadis di depannya itu murung. Mesti sebab kena marah dengan Iskandar tadi. Geram pulak aku... muka suci macam ni tak kesian ke?

"Siapa masak ni, Kak Yam? Deniz ke?" tanya Iskandar. Bukan main banyak hidangan yang siap dihias cantik dengan daun salad dan tomato. Dah macam masakan pengantin pun ada.

"Kak Yam yang masak. Takkan nak suruh tetamu yang masak... kamu ni pun..."

"Patutnya suruh dia, Kak Yam. Dia kan cef? Bila lagi nak makan masakan orang ada degree kulinari ni, kak. Masa nilah..." Iskandar sengaja menyindir.

"Kau diam boleh tak, Is? Kalau kau membebel sampai bila pun kita tak makan." Reyhan menegur.

Sakit pula hati Iskandar. Dah kenapa dengan Reyhan ni? Asyik nak menangkan Deniz aje!

"Eloklah kita makan. Reyhan baca doa dulu," arah Maryam.

Sebaik doa makan habis dibaca oleh Reyhan, Aisyah mencapai bekas berisi nasi.

"Tolong isikan nasi."

Sebiji pinggan terhulur di hadapannya. Aisyah melihat segaris senyuman di bibir Arjuna. Sempat pula lelaki itu mengenyit mata kepadanya. Sekilas Aisyah mengerling Reyhan sambil tangannya mengambil pinggan yang dihulur Arjuna. Hatinya sedikit berdebar apabila perasan raut wajah mencuka Reyhan. Dah kenapa pulak yang seorang ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro