Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

REYHAN mengatur langkah ke arah rumah batu yang terletak berhampiran kandang kuda. Dia baru sahaja selesai memberi makan kuda kesayangannya. Dari kejauhan dia nampak Kak Yam sedang menyapu sampah di halaman. Kak Yam yang sudah perasan akan kedatangannya terus melambai tangan.

"Kak yam dah kemas bilik untuk anak kawan abah tu?" tanya Reyhan sebaik saja dia duduk di atas kerusi batu. Kak Yam sudah selesai menyapu dan turut duduk berhadapan dengannya.

"Sudah. Kak Yam pun dah pesan pada Sarah supaya jaga apa aje keperluan tetamu kita tu nanti. Kak Yam dah cakap juga yang Deniz tu bukan saja pekerja di sini tapi dia tetamu keluarga kita," jawab Maryam. Rumah batu itu merupakan rumah yang disediakan untuk tetamu tinggal.

Namun begitu, mereka jarang menerima tetamu. Kalau ada sekalipun Reyhan akan sediakan bilik tidur di rumah banglo miliknya untuk tetamu itu. Akhirnya, kerana tidak mahu rumah itu tidak berpenghuni, Reyhan jadikan tempat tinggal untuk pekerjanya yang memerlukan. Buat masa ini hanya Sarah, kerani di ladang ternakan Reyhan yang tinggal di situ.

"Baguslah, Kak Yam... Saya tak nak nanti dia mengadu dengan ayah dia yang kita tak jaga keperluan dia kat sini." Reyhan menanggalkan topi lalu diletakkan di atas meja batu.

"Kau nak minum? Kak Yam ambilkan air ya?"

"Tak payahlah, kak. Tak haus pun." Reyhan membelek telefon pintar yang tak pernah henti menerima pesanan ringkas. Dahinya sedikit berkerut apabila menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp tetapi daripada nombor telefon yang tiada dalam simpanan.

"Kak Yam nak tanya sesuatu pada, Rey."

"Tanya apa, Kak Yam?" Reyhan pandang wajah Kak Yam sekilas. Kemudian matanya kembali terarah pada skrin telefon pintar. Setelah membaca mesej itu baru dia tahu mesej itu daipada Deniz yang meminta dia menghantar peta lokasi rumah itu. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk membuat hantaran lokasi tersebut. Sebelum menutup skrin dia sempat menyimpan nombor telefon gadis itu.

"Tak pernah abah kamu terima mana-mana anak kawan baik dia bekerja di sini. Rey sendiri memang tak suka ambil pekerja guna kabel kan? Tapi kenapa dengan gadis bernama Deniz ni macam ada yang istimewa pulak?" soal Kak Yam. Dah macam mak cik bawang pun ada.

Reyhan tersenyum penuh makna. Dia sebenarnya tidak mahu bercerita tentang perbualan antara dia dengan abah tetapi kalau dia tidak menjawab soalan sepupunya itu dia tetap akan didesak. Dia faham sangat perangai Kak Yam. Pantang kalau soalannya tidak berjawab. Jangan berani buat Kak Yam tertanya-tanya, nanti rajuknya satu keluarga terpaksa menanggungnya.

"Ini antara kita berdua aje tau, Kak Yam. Sebenarnya, abah dengan kawan baik dia tu nak jodohkan Iskandar dengan Deniz tu. Abah merancang hal ni dengan kawan dia tu masa mereka bertemu di Madinah."

"Oh... Masa abah kamu buat umrah beberapa bulan lepas?"

"Ya, Kak Yam. Kawan lama yang baru berjumpa balik. Bila abah dapat tahu yang minat anak kawan dia tu dalam bidang kulinari, abah yakin Iskandar akan tertarik pada Deniz."

"Biar betul? Rey rasa Iskandar tu boleh terima ke benda macam ni? Kak Yam tak rasa dia setuju kalau jodohnya orang yang carikan. Tengok ajelah kau, Reyhan... semua calon yang abah kau carikan berakhir dengan putus tunang." Membulat mata Kak Yam mendengar cerita Reyhan itu. Tak pernah bosan bapa saudaranya itu mencari jodoh untuk anak-anaknya.

"Sebab tu hal ni antara kita berdua aje. Abah pun memang minta hal ni tak sampai ke pengetahuan Iskandar. Kita tengok aje macam mana nanti. Kalau ada keserasian, abah akan teruskan niat dia nak jodohkan dia orang tapi kalau sebaliknya abah tak kesah. Deniz tu pun takkan tahu tujuan sebenar dia dihantar ayahnya ke sini."

"Oh... Kalau macam tu Kak Yam akan pastikan Iskandar tak tahu pasal ni." Kak Yam buat isyarat zip mulut.

"Tapi kan lagi baik kalau pak ngah jodohkan budak tu dengan kau aje, Rey. Adalah isteri yang pandai memasak menjaga makan minum..." Kak Yam tergelak di hujung kata.

"Isy... apalah Kak Yam ni. Saya ni tak pernah terfikir pun pasal jodoh. Seriklah dah tiga kali tak jadi. Biarlah saya cari sendiri yang terakhir dan selamanya." Reyhan rasa tak senang duduk apabila Kak Yam sudah mula mengaitkan dirinya.

"Umur Rey tu dah nak masuk 30 tahun pun. Kawan-kawan yang sebaya dengan kau dah beranak-pinak..."

"Tak apalah dulu, Kak Yam. Saya belum ada yang berkenan di hati." Reyhan memberi alasan. Dia bukan tak fikir pasal itu semua cuma calon yang dicari abah semua tak kena dengan jiwanya. Akhirnya, abah sendiri mengalah dan sekarang Iskandar pula jadi galang gantinya.

"Tak kenal maka tak cinta..." Bukan main Maryam berbahasa pujangga.

"Cinta apa pulak, kak? Gelilah cakap pasal cinta." Reyhan buat muka geli-geleman.

"Eleh..." Maryam mencebik.

"Saya nak pergi tengok Jaguh kat kandang. Pergi dulu Kak Yam." Reyhan cuba mengelak daripada terus terjebak membincangkan soal jodoh dengan Maryam. Lagipun dia malas nak fikir soal hati dan perasaan. Nanti dululah!

"Bukan kau baru balik dari kandang ke?"

"Saya lupa bagi minum air." Reyhan mencapai topi. Dia memejam mata sambil menggigit bibir. Kantoilah pula!

"Nak larilah tu. Asal Kak Yam sebut aje pasal kahwin mulalah nak angkat kaki."

Rehyan buat tak tahu saja dengan omelan Kak Yam. Terus mengatur langkah kembali ke kandang kuda. Hari sudah merangkak senja. Dia sepatutnya balik sahaja ke rumah tapi sudah terlajak kata tadi, terpaksa jugalah dia berpura-pura pergi ke kandang.

"DAH siap kemas?"

"Sudah..." jawab Aisyah acuh tak acuh.

Deniz menghela nafas lalu merenung raut wajah Aisyah yang muram. Dia tak suka apabila Aisyah kata setuju tapi raut wajah nampak sangat terpaksa.

"Kau cakap kau okey nak tolong aku tapi tayang muka monyok macam tu. Ni yang aku mula nak rasa bersalah kat kau." Suara Deniz sedikit meninggi.

Aisyah memandang tepat ke dalam anak mata Deniz. "Aku takutlah. Deniz, kau hantarlah aku ke kampung tu." Hakikatnya dia berasa tidak selesa pergi ke kampung yang terletak di daerah Jerantut itu seorang diri. Bukan dia tak mahu berdikari cuma dia tak tahu bagaimana hendak menghadapi suasana asing, apatah lagi dengan orang-orang yang dia tak kenal.

"Mana boleh? Nanti kalau orang kat sana curiga, habislah. Aku tak boleh tunjuk muka sebab kau akan ambil identiti aku." Deniz menggeleng. Dia tahu perasaan Aisyah yang takut dan tak selesa tapi dia tak boleh ikut sama. "Lagipun aku tak tau kampung tu kat mana."

"Alah... apa susah? Mintak aje location."

Deniz mencapai telefon pintar milik Aisyah.

"Kau nak buat apa dengan handphone aku tu?"

Deniz tak menjawab. Dia tekun menaip sesuatu menggunakan telefon pintar itu. Aisyah terintai-intai ingin tahu tapi selamba Deniz menolak mukanya.

"Kau WhatsApp siapa?"

"Anak kawan babahlah. Aku mintak dia send location kampung tu."

"Hah? Apasal guna handphone aku?"

"Habis tu? Nak guna nombor aku? Sekarang ni mamat tu perlu tahu yang kau Deniz bukan Aisyah. Kau mintak location sebab nak drive ke sana. Tang mana yang kau tak faham lagi, Aisyah sayang..."

"Kalau orang tu call macam mana?" Wajah Aisyah cuak. Fikiran sudah berserabut dengan macam-macam kemungkinan.

"Jawab ajelah... bukan kau tak reti cakap Melayu?"

"Tapi aku tak pandai menipu. Kalau kantoi macam mana?"

Deniz mengecilkan mata. Geram pulak dia dengan perangai berbelah bahagi Aisyah. Langsung tak ada keyakinan diri. Susah betul dapat kawan berjiwa suci ni!

"Aisy... kalau kau tak berani nak menipu kau iyakan aje. Kau cakap hmmm... haah... geleng ke... angguk ke... tak payah cakap lebih-lebih," ajar Deniz. Dia memang pakar dalam bidang itu. Setakat nak berdrama queen, senang kacang!

"Kau cakap senanglah..."

"Hadoiii... kita ni dah berbalik ke perbincangan awal ke, Aisy? Kau kan dah setuju?" Deniz sudah mula urut dahi.

Aisyah gigit bibir, kemudian bersuara. "Okeylah... aku buat..."

"Buat betul jangan berubah hati lagi."

Aisyah senyum paksa. Bukan tak mahu tolong tetapi perasaan takut masih menebal. Dia akan pergi ke satu tempat yang dia tak biasa. Dia tak kenal sesiapa dan niatnya pun menyamar sebagai orang lain. Dia cuma berharap masa berlalu dengan cepat dan dia boleh teruskan hidup seperti yang dia rancang. Demi kawan dia terpaksa relakan penyamaran dan penipuan itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro