Bab 13
REYHAN memarkirkan Triton yang dipandu di halaman rumah. Sebaik dia keluar dari kenderaan itu dia lihat nun jauh di kawasan padang dua buah ATV miliknya sedang digunakan. Jika diperhatikan seperti ada satu perlumbaan pula. Agak lama diperhatikannya, barulah Reyhan sedar kenderaan motosikal beroda empat itu sedang dipandu oleh adiknya Iskandar dan Deniz.
Ada tawa Iskandar menyapa pendengarannya. Kedua-duanya kelihatan begitu gembira dan leka sampaikan tak sedar akan kepulangannya itu. Di dalam hati mula ada rasa tak senang kerana ini pertama kali dia melihat adiknya begitu dekat dengan seorang perempuan. Jika perempuan lain, dia tak kisah sangat tapi ini Deniz...
"Abang Reyhan dah balik?"
Sapaan Sarah hanya dijawab dengan anggukan dan senyuman. Entah dari mana Sarah datang, tiba-tiba muncul di situ. Reyhan tak peduli dengan sapaan Sarah, sebaliknya matanya masih memerhatikan Iskandar dan Deniz.
"Abang nak Sarah bawakan beg abang ke rumah? Sarah tak ada kerja nak buat ni. Tadi baru aje lepas tolong Pak Ya beri makan kuda abang di kandang." Sarah cuba menarik perhatian Reyhan. Padahal dia baru saja lepas berbual kosong dengan Pak Ya di kandang kuda. Sedikit pun dia tak membantu orang tua itu memberi makan Jaguh. Apabila mendengar bunyi enjin kereta, ketika itulah dia sedar majikannya itu sudah pulang.
"Tak payahlah. Saya boleh angkat sendiri," jawab Reyhan acuh tak acuh saja sambil tangannya mengeluarkan beg pakaian dari belakang kereta.
Sarah rasa hampa dengan jawapan Reyhan. Dia perasan sedari tadi mata Reyhan asyik memerhati Iskandar dan Deniz yang masih belum sedar akan kepulangan lelaki itu.
"Deniz tu seronok sangat sejak pagi tadi lagi. Lepas memanah, drive ATV tu pulak sampaikan lupa nak bagi makan Jaguh," adu Sarah. Inilah masanya dia nak memburukkan gadis yang perasan bagus itu. Sudah enam tahun dia bekerja dengan Reyhan dan tidak pernah sekali pun lelaki itu hilang kepercayaan kepadanya. Prestasi kerjanya bagus dan dia sangat amanah dalam kerja.
"Selalu sangat berkepit dengan Iskandar tu. Kalau waktu kat kafe tu fahamlah juga tengah kerja kan? Tapi lepas waktu kerja pun selalu berbual kat wakaf tu berdua-duaan. Macam ada apa-apa saja dia orang berdua tu, Abang Rey," tokok Sarah lagi. Dia cuba menahan senyuman melihat wajah Reyhan yang mula gelisah.
"Biarlah, bersangka baik Sarah... wakaf tu tempat umum bukan tempat sunyi. Entah-entah dia orang berbincang pasal kafe. Lagipun, hari ni kan cuti? Memang Deniz patut buat aktiviti yang dia suka. Dia pekerja Iskandar... bukan pekerja saya. Tak perlu awak nak lapor apa-apa pun. Saya pun tak tanya kan?" Suara Reyhan begitu tegas dengan wajahnya yang serius.
Sentap pula hati Sarah mendengar sindiran Reyhan sampai terdiam.
"Terima kasih Sarah beri kuda saya makan." Reyhan angkat beg pakaian dan sebuah beg galas berisi fail. Dia mahu terus masuk ke rumah. Jauh di sudut hati dia rasa cemburu melihat kemesraan Iskandar dan Deniz. Sepanjang dia berkursus, dia asyik teringatkan Deniz dan rasa tak sabar nak cepat balik ke kampung.
Namun bila dia sampai, lain pula yang dilihatnya. Mungkin hanya dia saja yang mula ada perasaan kepada Deniz sedangkan gadis itu anggap dia sebagai seorang kenalan atau abang saja. Tengok Deniz begitu selesa dengan Iskandar, dia teringat akan niat ayahnya untuk menjodohkan Deniz dengan Iskandar. Hati mula rasa kesal. Kenapa bukan dia di tempat Iskandar?
"Rey!"
Reyhan dengar namanya dilaung. Iskandar sudah menunggang ATV menuju ke arahnya, diikuti Deniz di belakang lalu berhenti di hadapannya.
"Seronok rembat ATV aku?" Reyhan cuba mengukir senyuman manis supaya tidak nampak reaksi tidak senangnya. Matanya bertentangan dengan mata Deniz tetapi dialihkan pandangannya pada Iskandar semula.
"Alah... nanti aku tuanglah minyak. Deniz ni teringin sangat nak drive benda ni," jawab Iskandar. Dia masih duduk di atas ATV manakala Deniz sudah turun dari ATV yang ditunggangnya tadi.
"Kot ya pun suruhlah dia pakai helmet. Kalau terjatuh kat tengah padang tu macam mana?" Reyhan mengerling sekilas Deniz.
"Abang Rey... Saya yang tak nak pakai. Bos dah suruh pakai tadi. Lagipun atas rumput kan? Kalau jatuh pun tak sakit mana," ujar Aisyah.
Reyhan senyum tawar. Dah pandai membela Iskandar pulak...
"Dengar tu. Dia yang salah bukan aku." Iskandar mematikan enjin ATV.
Reyhan menggeleng. Aisyah ketawa kecil mendegarkan gurauan Iskandar. Makin bertambah-tambah pula cemburu di dalam hatinya.
"Abang Rey... banyaknya bawa barang. Meh, saya tolong bawa."
Reyhan baru nak menghalang. Deniz sudah mengambil beg pakaian dari tangannya. Beg beroda itu terus ditarik menuju ke rumah. Sarah pula terus berlalu menuju ke rumah sewanya. Meluat dia tengok Deniz yang dilayan bagai puteri raja itu. Sempat dia menjeling Deniz yang tersenyum kepadanya. Bodoh ke apa minah ni? Terang-terang aku tak suka dia lagi nak senyum kat aku? Entah ikhlas ke tidak... nak tunjuk kononnya baiklah tu! Meluat!
"Abah ada balik..." beritahu Iskandar setelah tinggal dia berdua dengan Reyhan. Abangnya itu tak nampak ceria seperti kebiasaannya pulang dari berkursus. Ada saja pengalaman dan ilmu yang nak diceritakan dan dikongsi.
"Aku tahu... Abah ada call aku semalam," jawab Reyhan. Nadanya tidak teruja dan seperti tidak berminat untuk meneruskan perbualan.
"Macam mana kursus? Okey?"
"Bagus... banyak ilmu baru. Kau? Seronok aku tak ada?"
"Eh, mana ada seronok? Kau tak ada aku bosan teruklah." Iskandar ketawa besar.
Reyhan senyum sinis. Tak nampak macam bosan pun?
"Abang, beg abang saya dah letak kat ruang tamu," beritahu Aisyah yang muncul semula di situ.
Reyhan lihat ceria sungguh gadis itu. Seronok sangat agaknya dapat menghabiskan masa dengan Iskandar sepanjang ketiadaannya.
"Terima kasih. Is, aku masuk dulu. Letak balik ATV aku kat garaj." Reyhan menepuk bahu Iskandar dan mengatur langkah ke dalam rumahnya. Hilang rasa teruja nak jumpa Deniz. Sekarang dia hanya mahu mandi dan berehat saja di biliknya.
Aisyah terkebil-kebil melihat Reyhan. Kenapa Reyhan nampak dingin dan tak mesra seperti sebelum ni? Agaknya dia penat kot. Nanti dia dah hilang penat mesti dia ramah dan banyak cakap macam hari tu. It's okay, Aisyah... dia dah balik dan kau ada banyak masa nak kenal dia lagi dekat.
"Oit... berangan tak habis! Tersengih macam angau dah kenapa? Pergi simpan ATV kat garaj," sergah Iskandar.
Aisyah lupa bos dia yang angin pasang surut itu masih di situ.
"Baik bos"
REYHAN menutup pagar rumah. Hari sudah larut malam. Selepas solat berjemaah di masjid dan makan malam bersama keluarga di rumah Kak Yam, masing-masing pulang ke rumah. Malam itu, dia bertugas mengunci pagar hadapan dan memeriksa bahagian hadapan kawasan rumah seluas sepuluh ekar itu.
Iskandar pula memeriksa kawasan belakang yang bersempadan dengan ladang ternakan. Di sempadan itu, ada tiga orang pekerja ladang yang bertugas menjaga ladang. Lewat malam begitu, sebagai majikan mereka akan menghantar minuman panas dan sedikit kudapan sebagai cara untuk menghilangkan kantuk kerana berjaga hingga dinihari.
Selepas mengunci pagar, Reyhan duduk di pondok wakaf. Dia menunggu Iskandar di situ. Mungkin adiknya itu akan lewat sedikit balik ke rumah kerana berbual dengan pekerja ladang. Suasana di rumah Andika sudah gelap begitu juga rumah Kak Yam.
Apabila dia memandang ke arah rumah batu yang menjadi tempat tinggal Deniz, dia dapati ada cahaya lampu di sebelah kanan rumah. Dia tahu itu bilik Deniz. Entah apa yang dibuat gadis itu sampaikan masih belum tidur. Mungkin sedang berbual dia alam maya bersama seseorang? Tiba-tiba dia terbayangkan seseorang itu adalah Iskandar.
"Kamu buat apa seorang diri dekat wakaf ni, Reyhan? Mengira bintang?"
"Eh, Abah. Tak tidur lagi abah?" Reyhan ketawa dengan usikan abahnya itu. Tak ada kerja sangat sampai nak mengira bintang?
"Tak mengantuk lagi. Abah cari kamu nak ajak berbual. Senyap aje bila abah ketuk pintu bilik kamu tadi. Ingatkan kamu dah tidur." Emran duduk di sebelah anak sulungnya itu.
Sejak kecil anak itu dibesarkan oleh arwah ayahnya. Begitu juga Andika yang merupakan anak sulung kepada abangnya dan Maryam, anak adik perempuannya. Walaupun dia tidak membesarkan Reyhan tetapi hubungan mereka anak beranak tetap akrab.
"Tadi Rey kunci pagar, abah. Lepas tu Rey tunggu Is kat sini. Dia pergi hantar makanan kat sempadan sana."
"Ni, abah tengok kamu senyap aje masa makan malam tadi. Orang lain bukan main riuh bercerita tapi kamu jadi pendengar aje. Ada masalah ke? Cerita kat abah." Emran perasan kelainan sikap anaknya itu. Tidak seperti kebiasaan Reyhan yang banyak perkara nak dikongsikan apabila pulang dari berkursus.
"Mana ada abah? Penat aje." Reyhan cuba menyembunyikan rasa sedih di hatinya.
"Ya ke? Atau kamu ada masalah cinta?"
"Abah ni... Nak bercinta apanya? Kerja banyak kat ladang."
"Itulah masalahnya. Umur kamu dah nak masuk 30 tahun lagi berapa bulan. Kamu sendiri tahu yang semua cucu-cucu Orang Kaya Deraman mesti kahwin sebelum umur 30 tahun kalau nak dapat harta warisan masing-masing. Kalau kamu masih belum ada calon, susahlah Reyhan.
Kamu dah bertungkus lumus usahakan tanah ladang dan projek ternakan lembu tu. Sayanglah kalau kamu tak dapat warisi semua tu dan hak kamu terpaksa dipecahkan kepada Iskandar dan sepupu-sepupu kamu yang lain." Risau Emran memikirkan masa depan anaknya itu. Dia tak mahu apa yang diusahakan Reyhan tidak berbaloi untuk dirinya.
"Rey tahu tu, abah. Bukan Rey tak nak kahwin atau tak usaha cari calon tapi abah pun tahu, calon-calon yang sebelum ni. Rey tak ada perasaan kat dia orang tu abah. Takkanlah Rey nak kahwin disebabkan harta tu? Rey tak nak jadi macam..." Reyhan berhenti berbicara apabila tersedar dia hampir menyebut perkara yang paling dibenci abahnya.
"Tak payah kamu sebut Reyhan. Abah faham. Cuma masanya sudah dekat. Abah risau masa depan kamu saja. Nak abah carikan?" Emran angkat kening menanti reaksi Reyhan.
"Cukuplah yang dulu tu, abah." Reyhan geleng. Tak perlu cari lagi, abah. Orangnya dah ada cuma...
"Abah tengok Iskandar dengan Deniz tu makin rapat dan mesra. Kamu rasa, kalau abah beritahu hasrat abah pada Iskandar, dia setuju tak?"
Berdesup darah naik ke kepala mendengar kata-kata abahnya. "Errr.. Jangan lagi, abah..." Reyhan cepat-cepat menghalang niat abah.
"Kenapa pula? Abah suka Deniz jadi menantu abah. Budaknya baik, sopan... jujur pulak tu. Sama macam ayah dia." Emran mengerut dahi.
"Abah... ini kan soal hati dan perasaan Deniz. Kita tak boleh suka hati tentukan. Entah-entah dia anggap Is tu kawan aje." Reyhan telan liur. Kalau betul jadi Deniz dijodohkan dengan Iskandar, berputih matalah dia...
"Eh... eh... kamu ni macam tak suka pula Deniz tu jadi adik ipar kamu." Emran rasa macam ada yang tak kena. Sebelum ini berbeza reaksi Reyhan. Apa saja dia cakap pasal nak bermenantukan Deniz, cepat saja Reyhan setuju. Ini ada pula bantahnya!
"Bu... bukan macam tu, abah. Reyhan pun suka dia, abah..."
Jawapan itu buat dahi Emran berkerut.
"Maksud Rey... suka macam abah suka dia buat menantulah kan... tapi kita mesti tanya Deniz dulu. Anak orang tu, abah... mana boleh suka-suka kita buat keputusan?"
"Kan Pak Cik Aziz kau pun setuju?"
"Itu kalau anak dia pun suka."
"Hish, macam-macamlah kamu ni, Reyhan. Sudahlah abah pening fikirkan masa depan kamu, ini Iskandar pun susah juga nak carikan jodoh." Emran mengeluh mengenangkan perangai anak-anak bujangnya.
Reyhan tersengih saja. Sebenarnya dia nak berterus terang dengan abah tentang perasaannya kepada Deniz tapi tak terluah pula hasrat hatinya. Dia takut abahnya pandang serong. Sementalah pula dia memang perlu berkahwin dengan seseorang untuk mewarisi harta tinggalan arwah datuk kepadanya.
Kalau sebab harta, dari dulu dia sudah kahwin. Bukan susah memandangkan dia memang ada rupa dan harta. Anak gadis mana yang tak mahu bersuamikan lelaki yang ada segalanya tetapi bukan isteri untuk warisan yang dia cari. Dia mahukan seseorang yang dia cinta dan percaya.. yang jujur dan ikhlas mencintainya... yang tidak berdusta atau berpura-pura mencintainya. Pendek kata yang sempurna di matanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro