Bab 12
"SELAMAT pagi, Kak Sarah!" Aisyah menyapa Sarah yang sedang bersarapan di dapur. Teman serumahnya itu buat tak tahu saja. Sarah terus menghadap makanan di meja makan sambil melihat skrin telefon pintar. Aisyah jongket bahu. Orang kalau dah sengaja tak menyahut maknanya tak suka diganggu. Lebih baik dia buat hal sendiri saja.
Aisyah buka peti ais. Dia nak minum susu segar yang dibelinya semalam tetapi seperti biasa, makanan yang diletakkan di dalam peti ais itu sudah tidak ada lagi. Perlahan-lahan dia menutup pintu peti ais dengan perasaan hampa. Dia pandang Sarah sekali lagi dan mendapati sekotak susu segar ada di atas meja itu.
"Kak, errr... itu susu yang saya beli semalam ke?" tanyanya. Terus saja mencuka wajah Sarah dan renungan tajam tepat membalas pandangannya.
"Ada tulis nama kau ke kat sini? Tak ada, kan? Aku dah cakap hari tu, kalau kau beli barang tulis nama supaya aku tak terminum atau makan hak kau. Ingat kau seorang saja ke yang beli susu segar?" Nyaring suara Sarah menyakitkan telinga Aisyah. Marah benar Sarah kepadanya sedangkan dia sekadar bertanya.
"Saya cuma tanya aje pun. Kalau bukan, tak apalah..." Aisyah terasa hati dengan cara Sarah menjawab pertanyaannya. Memang betul dia tak tulis nama pada makanan yang dibeli tetapi tak bermakna Sarah boleh makan sesuka hati. Setidak-tidaknya tinggalkan sedikit untuknya. Dia keluarkan duit beli barang bukan guna daun!
"Kau kan selalu sarapan kat rumah Kak Yam... pergi ajelah makan kat sana macam tuan puteri. Semua dah disediakan. Dapat layanan istimewa lagi... tak payah susah beli makanan." Sarah menyindir lagi sambil tangannya mencurahkan susu segar ke dalam mug sehingga habis.
Susu itu memang kepunyaan Deniz tetapi dia terlalu lapar di hari minggu itu sedangkan dia sendiri malas nak keluar membeli makanan atau memasak sarapan. Apabila buka peti ais dia lihat ada makanan dan minuman yang boleh mengalas perutnya. Apa lagi, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Terus saja dia ambil tanpa peduli siapa yang punya.
Aisyah mengecilkan mata. Dia merenung Sarah dengan rasa tidak puas hati. Selama dia serumah dengan Sarah tak pernah gadis itu bersikap ramah dan mesra terhadapnya. Dia saja yang berusaha mendekati. Entah salah apa yang dia buat sampaikan Sarah bersikap begitu kepadanya.
"Kak Sarah, kalau ada rasa tak puas hati dengan saya cakaplah apa masalahnya. Jangan sindir saya macam saya ni tak ada perasaan." Aisyah masih berani bersuara. Dia tak peduli kalau Sarah nak mengherdik atau meroyan tapi kenapa mesti dia dilayan begitu?
"Bila masa aku sindir? Aku cakap benda betul apa? Tapi kalau kau terasa sendiri punya hallah." Sarah angkat pinggan dan mug ke singki. Kemudian dia berlalu dari situ.
Aisyah menghela nafas berat. Nampak sangat Sarah cemburu dengan layanan yang dia dapat di situ. Bukan dia yang minta. Dia sendiri serba salah setiap kali kak Yam mengajak makan di rumahnya. Bukan Kak Yam tak pelawa Sarah sekali tapi gadis itu sendiri yang menolak. Salah dia juga ke?
Aisyah keluar dari rumah. Malas dia nak fikir lagi pasal Sarah. Lepas ni tak mahu lagi dia ambil tahu atau bertanya apa-apa. Nak kata dia sombong pun suka hati!
Hari minggu kafe tak dibuka. Seminggu hanya lima hari saja beroperasi. Jumaat dan Ahad kafe milik Iskandar tutup. Dia tak tahu nak buat apa. Reyhan pun masih belum pulang dari berkursus. Mungkin petang nanti lelaki itu sampai.
"Deniz! Marilah ke sini. Kita sarapan sama." Dari rumah sebelah, Kak Yam sudah memanggilnya. Lambat-lambat Aisyah menyusun langkah. Ini kalau Sarah nampak mahunya berbakul dia kena maki dalam hati Sarah.
"Apasal monyok aje pagi-pagi ni?" tanya Maryam begitu lembut. Entah apalah yang menyebabkan wajah cantik molek itu bermuram di awal pagi.
"Tak ada apa... bosan aje tak ada kerja nak buat. Senyap aje rumah depan tu... pak cik dengan mak cik dah balik ke?"
"Eh, taklah... Pak ngah dengan mak ngah pergi tengok ladang. Iskandar tu biasalah hari minggu macam ni dia selalu pergi memanah kat padang sana."
"Bos pandai memanah ke?"
"Dia memang suka aktiviti tu. Selalu masuk bertanding kalau ada kejuaraan terbuka memanah tradisional. Kalau kamu berminat, suruhlah dia ajar." Maryam memberi cadangan. Inilah masanya dia nak rapatkan hubungan Iskandar dengan Deniz.
"Tak apalah... nanti tersilap panah terkena orang pulak." Aisyah ketawa geli hati dengan saranan Kak Yam. Tak mahu dia belajar dengan Iskandar yang garang macam singa.
"Jomlah kita sarapan... Kak Yam ada masak nasi lemak."
"Tak apalah dulu, Kak Yam... saya nak joging dulu. Nanti kenyang dah malas nak berlari pulak."
"Kalau macam tu, Kak Yam simpankan untuk Deniz ya? Nanti boleh sarapan dengan Iskandar. Bos kamu tu pun masih belum sarapan. Sibuk nak memanah dulu katanya."
"Oh... okeylah." Aisyah mengukirkan senyuman.
"Deniz... nanti kalau kamu lapar nak makan buah ke... nak apa-apa minuman datanglah ambil dalam peti ais rumah Kak Yam. Macam-macam makanan ada." Maryam sempat berpesan. Sememangnya, dia tak suka apa yang disampaikan Sarah semalam. Mungkin silap dia yang tak prihatin terhadap keperluan Deniz sebagai tetamu di situ. Dia tidak mahu lagi Sarah mengadu tentang Deniz yang mencuri makanan yang dibeli. Soal makan minum bukan hal ringan. Kalau makan makanan yang tak dihalalkan pemiliknya sudah tentu menjadi darah daging dari sumber yang tidak berkat.
"Kak Yam ni... Saya seganlah Kak Yam baik sangat..." Aisyah rasa malu dan segan. Dia boleh beli keperluan sendiri walaupun dia adakalanya tak sempat nak merasa makanan yang dibelinya. Dia pun halalkan saja makanan yang dimakan Sarah tanpa izin. Hal kecil saja sebenarnya jika difikirkan. Apalah sangat nilai sekotak susu itu kalau nak dibandingkan dengan kasih sayang sesama manusia.
"Tak apa. Kamu akak dah anggap macam adik sendiri. Jangan seganlah. Buat saja macam rumah sendiri."
"Terima kasih, kak." Aisyah memeluk Maryam. Dia rasa sebak kerana terharu dengan layanan Maryam terhadapnya. Rasa kesunyian dan rindu terhadap Deniz terubat dengan kebaikan wanita itu. Cuma dia semakin dimamah rasa bersalah kerana terpaksa menipu identiti sedangkan layanan yang diberi begitu baik dan tulus.
"WAH, hebatnya bos!"
Tepukan Aisyah buat Iskandar rasa bangga. Dia baru saja melepaskan lima anak panah yang tepat menusuk papan bulatan yang berwarna kuning di tengah.
"Pergi ambil anak panah tu!" arah Iskandar sambil tunjuk ke arah papan yang diletakkan di tengah padang dalam jarak 50 meter.
"Saya ke kena ambil?" Aisyah tarik muka. Baru saja dia sampai di kawasan memanah itu, Iskandar sudah mengarahnya.
"Habis tu? Awak dah datang, takkan saya pula kena ambil? Kat sini saya bos, awak tu pekerja," bidas Iskandar. Banyak songeh pulak dia... Aku bos tau!
"Tapi hari ni cuti dan kita bukan di kafe," balas Aisyah. Berkerut-kerut dahinya tanda protes.
"Menjawab... menjawab... pergi ambil cepat! Bukan jauh pun." Iskandar tayang muka garang.
Aisyah terpaksa juga berlari anak ke arah papan yang diletakkan dalam jarah 12 meter itu. Satu per satu anak panah itu dicabut dan diserahkan semula kepada Iskandar.
"Cepatlah! Terhegeh-hegeh..." Sempat pula Iskandar berleter.
Aisyah menyerahkan anak panah dengan muka mencuka. Suka hati dia aje mengata aku ya...
"Pernah memanah?" tanya Iskandar.
Aisyah geleng.
"Nak belajar tak?"
"Tak naklah... tapi kalau bos beri saya tunggang ATV sana tu, saya nak," jawab Aisyah. Dia memang teringin sangat nak tunggang ATV itu. Kalau dapat keizinan seronok juga.
"ATV tu Reyhan punya... Mana boleh suka hati awak drive?"
"Alah... Nanti saya mintak izinlah dengan dia. Abang Rey kan belum balik?"
"Tak bolehlah. Nanti awak jatuh, luka... Saya juga yang kena marah."
"Jatuh apanya? Itu kan ada empat tayar? Bukan motosikal pun nak jatuh ke terbalik."
"Ah... nanti habis minyak... sekarang harga minyak asyik naik aje tiap minggu. Lainlah kalau benda tu bergerak pakai air. Lagipun, ATV tu guna untuk jenguk ladang saja."
"Bolehlah, bos... Semalam saya dah puji bos depan pak cik... bagilah peluang saya nak berseronok. Dah lama saya teringin nak bawa ATV tu." Aisyah merayu lagi. Kalau minta daripada Reyhan tentu dia dah dapat sebab lelaki itu lebih mesra dengannya.
"Okey... sekali pusing kawasan padang ni saja tau..." Akhirnya, Iskandar mengalah dengan pujuk rayu gadis itu.
"Serius boleh ke, bos?"
"Dah tu? Muka saya sekarang ni nampak macam joker ke?"
"Okey... okey... terima kasih, bos." Aisyah sedikit terlompat. Tak sangka pula dia Iskandar bagi keizinan. Nampaknya, Iskandar tak adalah jengkel sangat orangnya.
"Huh! Kasih ditolak." Iskandar mencebir sambil berlalu. Aisyah berlari anak mengekori Iskandar yang berjalan pantas. Walaupun majikannya itu garang tapi kalau pandai ambil hati, boleh tahan baik orangnya. Tapi masih tak sebaik Reyhan yang lebih berlemah lembut dan kata-katanya yang manis dan tahu mengambil hati perempuannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro