Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

"DENIZ! Pergi buang sampah, dah penuh plastik sampah tu!" Iskandar menjerit dari dapur.

Aisyah yang sedang mengemop lantai di ruang makan menarik nafas panjang. Sudah beberapa hari dia bekerja di situ. Kerja punyalah banyak sampaikan dia pun tak ingat apa kerja yang dia sudah buat. Setiap awal pagi, dia memulakan kerjanya dengan menyediakan peralatan untuk lelaki itu membuat kek dan roti.

Kemudian mengemop lantai, cuci cermin pintu, buang sampah, bersihkan pejabat Iskandar, temankan Kak Yam pergi beli barang-barang dapur di pasar raya. Kalau ada pelanggan yang buat tempahan, dia perlu ikut Iskandar membuat penghantaran dan banyak lagi sampaikan buang sampah pun dia juga orangnya!

"Oit, dengar ke tak?!"

"Dengar, bos! Saya nak habiskan mop lantai ni dulu," ujar Aisyah. Kak Yam yang sedang menyusun roti di rak makanan hanya tersenyum kepadanya.

"Tak apalah, biar Kak Yam buangkan sampah tu." Maryam menawarkan diri. Kasihan juga dia melihat gadis itu yang sering menjadi orang suruhan Iskandar.

"Tak payah, kak... biar saya buat. Sikit aje lagi ni." Aisyah menolak lembut. Dia membetulkan tudungnya dan mengemaskan ikatan apron yang dipakai. Dia mengemop lantai dengan tekun sambil berfikir tentang keadaan dirinya yang bekerja di kafe itu.

Sewaktu dia di bangku sekolah dia sentiasa berfikir tentang masa depannya. Apa yang dia mahukan dalam kehidupannya. Setiap hari dia belajar bersungguh-sungguh untuk skor dalam peperiksaan SPM.

Dia mendapat keputusan yang cemerlang hingga melayakkan dirinya masuk ke universiti dalam bidang yang diminati. Tapi akhirnya, tengoklah kau di mana sekarang, Aisyah? Bukankah kau sepatutnya menjadi seorang vet? Atau paling tidak pekerja di jabatan veterinar sebagai seorang pegawai, bukannya pencuci lantai atau tandas!

Aisyah menggeleng lemah. Kalau dia terus melayan perasaan dia juga akan terus berfikiran negatif. Dia menyiapkan kerja itu. Sebaik selesai, dia terus mengangkat baldi dan mop lalu menuju ke dapur.

"Apa lembab sangat awak ni buat kerja, Deniz. Makan ke tidak pagi tadi?"

"Belum..." jawab Aisyah pendek. Memang dia masih belum berkesempatan untuk makan sebab Iskandar tak berhenti menyuruhnya melakukan pelbagai kerja. Dia mengerling Iskandar yang sedang membuat toping pada kek cawan.

Lelaki itu berhenti melakukan kerjanya. Dia cekak pinggang. "Kenapa tak makan lagi? Kalau masuk angin, saya juga yang kena marah dengan Reyhan. Sudah! Berhenti buat kerja. Pergi makan."

"Kan tadi bos suruh buang sampah?"

"Lepas buang sampah tulah... bukannya sampai sejam buang sampah." Iskandar merengus.

"Tapi kan kejap lagi Kak Yam nak pergi pasar raya? Saya kena ikut dia.. kan bos yang suruh?"

"Tak payah pergi. Biar saya pergi dengan Kak Yam. Awak jaga kaunter kalau kita orang lambat balik." Iskandar menyambung semula kerjanya.

Aisyah angguk saja. Kalau membantah nanti dia juga kena marah. Dia mengeluarkan plastik sampah dari tong kemudian dia membawa plastik itu ke belakang kafe. Di belakang bangunan itu ada sebuah tong besar sebagai tempat sampah-sampah dikumpulkan. Kesemua pemilik kedai di bangunan itu membuang sampah di situ.

Meow... Meow...

Aisyah terdengar bunyi kucing mengiau. Seekor kucing kurus yang badannya dipenuhi kurap dan bekas luka yang sudah kering sedang menggesel kakinya.

"Eh... Cimon..." Aisyah membongkok lalu mendukung kucing itu. Cimon mengingatkan dia pada Momot yang kini dijaga oleh kenalannya di Kuala Lumpur.

"Cimon datang nak makan ya? Sekejap lagi, okey? Sebelum tu, mari tengok luka kat badan Cimon hari ni dah makin baik ke tidak?" Aisyah berbicara dengan kucing yang dipanggil Cimon itu. Dia terjumpa kucing itu pada hari pertama dia memulakan kerja di situ.

Kucing itu cedera teruk kerana bergaduh dengan kucing liar di kawasan sekitar. Kucing betina itu mengalami luka gigitan selain dijangkiti kurap yang agak banyak. Mujurlah dia ada menyimpan cat first aid kit di dalam kereta. Mulanya dia mahu membawa Cimon ke klinik veterinar tetapi di kawasan itu dia langsung tak jumpa satu klinik haiwan pun.

Setiap hari dia merawat luka di badan Cimon menggunakan iodin dan menyapu krim acrilavine supaya luka itu cepat kering. Selain itu, dia memberi kucing itu makan setiap pagi, petang dan sebelum dia pulang ke rumah. Bukan dia tak mahu bawa Cimon balik ke rumah tapi dia perlu minta izin tuan rumah terlebih dahulu. Sarah belum tentu sukakan haiwan. Dengan manusia pun sombong inikan pulak dengan haiwan.

"Alhamdulillah... luka Cimon dah makin baik. Tunggu sini, jangan pergi mana-mana tau." Aisyah meletakkan Cimon di tepi pintu. Dia segera masuk ke dalam kedai untuk mengambil paket Whiskas yang selalu dibeli untuk Cimon.

"Nak bagi makan kucinglah tu. Ingat, jangan sampai kucing tu masuk dalam kafe ni. Nanti ganggu pelanggan pulak," tegur Iskandar saat matanya melihat Deniz sedang mengeluarkan paket Whiskas dari dalam beg galas yang diletakkan di dalam almari barang.

"Baik, bos..." jawab Aisyah selamba.

Iskandar senyum sinis sambil meneruskan kerjanya. Selama gadis itu bekerja di situ, dia sudah tahu Deniz memang sukakan haiwan. Buktinya, setiap petang semenjak ketiadaan Reyhan, gadis itu rajin menolong Pak Ya memberi makan kuda abangnya.

Bukan itu saja, setiap kali berpeluang atau pada waktu rehatnya, Deniz akan bermain dengan Cimon di belakang bangunan itu. Kucing kurap itu yang dulunya dihalau setiap pemilik kedai di situ dan semakin elok rupanya. Dah kurang berkurap dan bulunya pun semakin lebat.

"Jangan lama sangat kat belakang tu! Banyak kerja lagi kat dalam ni!" teriak Iskandar.

Aisyah tak menyahut. Dia terus memberi Cimon makan. Seronok tengok kucing berbulu putih dan perang itu begitu berselera makan. Dia duduk tersandar pada dinding bangunan. Sambil melihat Cimon makan dia melayan perasaan. Sebenarnya bekerja di kafe itu tidaklah teruk mana. Setakat mendengar bebelan Iskandar dan suara lelaki itu yang mengarah itu dan ini bukanlah sesuatu yang sukar. Kerja cuci tandas atau lantai semuanya ilmu dalam kehidupan seharian.

Dia mula tahu mengemas dan mencuci. Sejak kecil dia tak biasa melakukan kerja dapur. Dia memang tak pandai memasak pun. Semua keperluannya disediakan ibu sehingga besar begitu pun Deniz yang memasak untuknya.

Bila difikirkan balik, niatnya di situ memang salah tapi dia berada di tempat yang betul. Sejak dia menjadi Deniz, dia belajar banyak perkara. Setidaknya dia dah mula tahu tentang peralatan dapur, cara mop lantai, cuci tandas... sekarang baru dia faham kata-kata ibunya dulu, sebijak manapun perempuan, mesti perlu tahu buat kerja dapur juga.

Dia memang lebih bijak daripada Deniz sejak di bangku sekolah. Setiap kali waktu ibu memasak, dia duduk di bilik membaca buku dan menyiapkan kerja sekolah. Selalunya Deniz yang banyak bantu ibu di dapur. Bila ibu membebel, Deniz selalu membelanya. Kata Deniz, tak apalah, ibu... Aisyah kan nak belajar? Biar Deniz yang buat semua kerja.

Aisyah terasa air matanya bergenang. Deniz selalu memanjakannya. Sejak kecil Deniz dah biasa berdikari kerana dia membesar tanpa ibu. Babah mengajar Deniz membuat semua kerja rumah. Deniz agak lemah dalam pelajaran. Selalu kena marah dengan babah. Bila dia ajak Deniz belajar, selalunya Deniz bertahan tak sampai sejam kemudian tertidur.

Kelebihan Deniz, dia gemar memasak. Lepas SPM, keputusannya tidak begitu cemerlang tetapi dengan minatnya itu babah menghantar Deniz belajar di sebuah kolej swasta dalam bidang seni kulinari. Habis belajar, Deniz bekerja di banyak hotel dan restoran sehinggalah Deniz dapat tahu tempat tinggal ibu kandungnya melalui kenalannya berbangsa Tukri dan sekarang, di sini dia berada demi memenuhi impian Deniz yang dah lama mahu berjumpa ibunya.

Beberapa hari yang lalu Deniz sudah mula menghubunginya. Telefon pintarnya pun sudah mula dipenuhi video-video Deniz yang bercuti bersama ibunya yang dia panggil Yesmin Teyze bermaksud Mak Cik Yesmin.

Melihat Deniz gembira, dia turut menumpang rasa gembira itu. Dia sendiri selalu rindukan ibunya yang hanya dapat dihubungi melalui panggilan telefon atau video.

"Tinggal dua minggu saja lagi." Aisyah sedikit mengeluh. Dia rasa resah sebenarnya. Bila Deniz balik nanti, bagaimana pula caranya dia nak pergi dari kampung itu? Bagaimana caranya dia nak berterus terang dengan Iskandar dan Kak Yam? Dengan babah dan ibu? Dan bagaimana nak dijelaskan kepada Reyhan yang dia bukan Deniz?

Dia terbayangkan wajah Reyhan. Sudah beberapa hari tidak bersua muka dengan lelaki itu, dia rasa rindu. Dia tak pernah rindukan mana-mana lelaki pun selama ini. Dia terlalu sibuk dengan pelajaran sehingga lupa untuk berpacaran sehinggalah mengenali Reyhan dia rasa lelaki itu sangat baik dijadikan calon suami tetapi adakah gadis yang menipu identiti sepertinya calon yang baik untuk dijadikan isteri Reyhan?

Aisyah pejam mata. Kau banyak sangat fikir, Aisyah sedangkan Abang Reyhan tak pernah cakap pun dia sukakan kau melainkan gurauan dia yang mungkin sekadar main-main.

"Hai... lama menung! Bagi makan kucing ke berangan?"

Aisyah terkejut bila disergah oleh Iskandar yang sudah terpacak di muka pintu. Cimon pun sudah habis makan dan kelihatan kucing itu sedang berehat di sisinya.

"Saya dah nak pergi pasar raya ni. Jaga kaunter, kafe dah mula buka tu."

"Okey, bos." Aisyah bangun lalu segera masuk semula ke dalam kedai.

"Apasal muka sedih sangat hari ni?" tegur Iskandar.

"Mana ada sedih?" Aisyah malas nak melayan soalan-soalan Iskandar tapi kalau tak jawab nanti dikata biadab pula.

"Eleh... rindu Reyhan, ek?" usik Iskandar dengan senyum sinisnya.

"Taklah..." nafi Aisyah. Dia sudah berada di kaunter. Dia nampak Kak Yam sedang melayan pelanggan yang mahu membeli kek.

"Abang Reyhan kau tu balik nanti, menghadaplah muka Sherif tu puas-puas." Iskandar masih tidak puas hati mengusik gadis itu.

Aisyah mencebik. Padahal di dalam hatinya berlagu girang. Entah kenapa dah lama tak nampak muka koboi itu, hatinya berasa rindu pula. Adakah ini yang dinamakan jatuh cinta?

"Oit! Orang nak bayar tu. Berangan aje dia!"

Aisyah terkejut apabila Iskandar menyergahnya. Merona merah mukanya kerana malu kantoi berangan di kaunter. Tersipu-sipu dia membalas senyuman pelanggan di depannya.

"Sorry..." Aisyah senyum comel. Mukanya masih terasa panas.

SUDAH sejam Aisyah menjaga kafe tapi batang hidung Iskandar dan Kak Yam masih belum nampak.

"Kenapalah lama sangat dia orang ni pergi? Bosan gila aku tinggal sorang kat sini," omel Aisyah sendirian. Hari itu pelanggan tidak begitu ramai. Biasanya memang tak ramai pun, tapi hari itu lebih berkurang pelanggan mereka.

Nak kata roti dan kek di situ tak sedap, dia sendiri dah makan dan sukakan kelembutan dan keenakan kek yang dibuat oleh Iskandar dan Kak Yam. Agaknya pelanggan dah bosan kot roti dan kek yang sama saja. Iskandar ni tak pandai nak pelbagaikan resipi ke?

"Assalamualaikum..." Tiba-tiba seorang lelaki dan wanita masuk ke dalam kafe. Kelihatan seperti suami isteri. Sudah agak berusia. Mungkin pertengahan 50-an, fikir Aisyah.

"Waalaikumussalam... Pak cik nak beli kek ke?"

"Ya, tapi kami nak makan di sini."

"Oh... pak cik dan mak cik nak makan kek yang mana. Boleh saya potongkan." Begitu ramah Aisyah melayan pelanggan. Senyuman tak lekang dari bibirnya. Pasangan itu membuat pilihan kek dan 15 minit kemudian Aisyah sudah menghidangkan makanan itu di meja berserta dua cawan kopi panas.

"Jemput makan, pak cik... mak cik."

Kedua-dua pelanggan itu mengucapkan terima kasih. Baru sahaja Aisyah nak berlalu, lelaki itu menyapa, "Anak ni pekerja baru di sini? Tak pernah nampak pun sebelum ni." Wanita di depannya mengeyakan.

"Errr... ya. Saya baru kerja kat sini. Nama saya Aisy... Errr... Deniz." Aisyah mengecilkan mata. Hampir tersalah memperkenalkan diri. Namun hatinya dipagut rasa bersalah kerana terpaksa menipu namanya.

"Deniz ya?" Lelaki itu angguk dan berpandangan dengan wanita di depannya. "Baker baru?"

"Bukan... Saya kerja biasa aje. Jaga kaunter, ambil pesanan... bersihkan kafe."

Kali ini wajah lelaki itu berkerut. Begitu juga dengan raut wajah wanita itu. Seakan-akan ada yang tidak kena.

"Maaf pak cik... mak cik... ada pelanggan tu. Saya ke kaunter dulu."

"Yalah." Lelaki itu angguk.

Sewaktu melayan pelanggan di kauter, Aisyah perasan pasangan itu acap kali memandangnya kemudian mereka seperti berbual sesuatu. Pendek kata, Aisyah merasakan seperti dia sedang diperhatikan. Perasaan aku saja kot...

30 minit kemudian, pasangan itu selesai makan. Lelaki tua itu membuat bayaran di kaunter. Aisyah tetap mengukir senyuman walaupun dia rasa janggal dengan cara lelaki itu memerhatikannya.

"Seronok kerja kat sini?"

"Seronok, pak cik. Bos saya ni bukan saja pandai buat kek. Dia baik dan prihatin kepada pekerja."

"Baguslah... kami balik dulu."

Kelibat lelaki dan wanita itu hilang daripada pandangan Aisyah. Dia berlalu ke meja makan untuk mengemas tetapi dia mendapati ada sebuah telefon pintar di atas meja itu.

"Ini mesti pak cik tadi punya." Aisyah geleng kepala. Gadjet mahal seperti itu tak sepatutnya tertinggal. Kalau dapat ke tangan orang yang tak bertanggungjawab tentu susah jadinya. Aisyah meluru keluar dari kafe dengan harapan dia belum terlewat untuk mengejar lelaki itu.

Dia memandang sekeliling. Tidak ada sesiapa kelihatan kecuali beberapa kereta yang lalu-lalang. Aisyah memerhati kawasan parkir berhampiran. Dia nampak sebuah kereta jenis Honda HRV sedang bergerak keluar dari petak parkir. Dia segera meluru ke arah kenderaan tersebut dan mengetuk cermin kereta.

Tingkap cermin diturunkan dan wajah lelaki itu muncul. Aisyah menghela nafas lega.

"Pak cik teringgal handphone." Dia tayang telefon pintar itu.

"Ya Allah... terlupalah tadi tu."

"Mahal ni, pak cik... rugi kalau hilang."

"Mahal atau canggih macam mana pun pak cik kamu ni tahu buat panggilan saja." Wanita di sebelah lelaki itu menyampuk.

Lelaki itu ketawa dengan usikan isterinya.

"Tapi ini anak pak cik yang hadiahkan. Terima kasih ya, nak. Beritahu Iskandar, Pak Cik Emran kirim salam. Untung dapat pekerja macam kamu ni, Deniz. Jujur," pesan lelaki itu.

Aisyah sekadar angguk. Dia masih berdiri di petak parkir sambil memerhatikan kenderaan itu menghilang. Perkataan jujur yang diucapkan lelaki itu tadi seperti sindiran halus di telinganya... Jujur ke aku?

Baru saja dia nak menyusun langkah, sebuah pacuan empat roda jenis Hilux masuk ke petak parkir yang kosong itu. Aisyah kenal sangat kereta itu milik Iskandar. Majikannya itu keluar dari kereta dengan wajah serius.

"Kan saya suruh jaga kedai? Awak buat apa pulak kat sini?"

"Errr... tadi memanglah saya jaga kedai, bos."

Aisyah menceritakan apa yang berlaku. Iskandar dan Maryam mendengar sambil mengangkat barang yang dibeli di pasar raya masuk ke kedai.

"Pak cik tu kirim salam kat bos," beritahu Aisyah sebagai mengakhiri ceritanya. Iskandar letak barang di atas meja. Dia berpaling dengan raut wajah hairan.

"Pak cik tu kenal saya ke?"

"Yalah kot... saya rasa dia tu pelanggan setia bos kat sini."

"Awak tahu namanya?"

"Hmmm... Pak Cik Emran."

"Hah?" Iskandar ternganga. Dia pandang wajah Kak Yam. Kemudian pandang semula wajah Deniz yang pelik melihat reaksinya.

"Dia ada tanya apa-apa lagi?"

"Errr... pak cik tu tanya dah lama ke saya kerja kat sini? Baker ke? Seronok ke tak?"

"Habis tu awak jawab apa?"

"Saya cakap baru lagi kerja. Saya kerja jaga kaunter, bersihkan kafe... alah, kerja yang biasa saya buat tulah, bos. Lagi saya cakap saya seronok kerja kat sini sebab bos baik..." Aisyah sengih.

Iskandar kecilkan mata tetapi Kak Yam pula mengekek ketawa. Entah apa yang lucu Aisyah pun tak tahu.

"Betul awak puji saya macam tu?"

"Yalah... takkan saya nak burukkan bos depan pelanggan?"

"Pak cik dan mak cik tu bukan pelanggan. Itu abah dan mak sayalah..."

Aisyah terkedu. Mak dan abah dia? Tiba-tiba dia rasa macam nak pitam!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro