Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

"TAK boleh!"

"Bolehlah..."

"Tak nak!"

"Naklah..."

"Kau gila nak suruh aku buat macam tu? Aku kata tak boleh... Tak bolehlah. Titik!"

Aisyah mengerling raut wajah kakak tirinya yang sudah mula muram. Kau jangan terpengaruh dengan muka kesian dia, Aisyah. Dia sedaya upaya melawan rasa simpati yang mula bertunas. Kalau bersetuju maknanya dia meletakkan diri dia dalam keadaan bersalah sepanjang hidup.

"Kau memang... Kalau aku minta tolong, semua tak boleh! Kalau masa kau ada masalah, akulah yang jadi penyelamat kau." Suara Deniz bergema di segenap ruang bilik tidur. Nasib baik tinggal mereka berdua saja di dalam rumah itu. Kalau babah dan ibu ada, awal-awal lagi rancangan gila Deniz dah kantoi!

"Oh... mengungkitlah ni?" Aisyah cekak pinggang. Wajah Deniz yang tadi muram mula bertukar sinis. Siap tayang senyum senget sebagai isyarat menyindir. Anak mata berwarna biru laut itu menjelingnya sebagai tanda tidak puas hati. Korek biji mata tu baru tau!

Memang dia akui, setiap kali dia ada masalah, Deniz akan sedaya upaya selesaikan. Masalahnya sekarang, bukan dia tak mahu tolong tapi setiap kali Deniz ada masalah. Bukan sekecil masalah tapi selalunya masalah besar. Ditambah pula dengan perangai dia yang tak berapa pandai nak menipu belum tentu apa yag dirancang oleh Deniz berjaya.

"Kau mintak aku buat perkara yang susah. Lainlah kalau kau mintak aku belanja burger ke... cuci baju kau ke... ini kau suruh aku menipu babah! Memang taklah!" Dia menggeleng kepala. Wajahnya berkerut memikirkan permintaan Deniz.

"Sucilah sangat hati tu?" Deniz mencebik. Memang Aisyah berjiwa suci. Anak yang baik dan taat tapi ini kes darurat. Kalau tak penting, dia tak minta Aisyah ikut permintaannya. Dia tahu menipu bukan dosa kecil apatah lagi menipu ibu bapa sendiri tapi dia terpaksa!

"Ini bukan sebab hati aku suci ke tidak... Ini soal kepercayaan. Aku tak pernah selindung apa-apa daripada babah. Tak kira apa alasannya, Dee. Matlamat tak menghalalkan cara tau."

Kecewa betul dia dengan penolakan Aisyah. Usia mereka sebaya. Sewaktu dia berusia 10 tahun ayah dan ibunya bercerai. Ibunya kembali ke negara asalnya, Turki. Sejak itu dia tak pernah berjumpa ibu mahupun mendapat khabar berita.

Dia tak ada adik-beradik lain. Dia selalu rasa sunyi kerana ayahnya selalu sibuk bekerja. Lima tahun kemudian, ayahnya bernikah dengan ibu tunggal beranak satu. Mulanya dia tak suka akan ibu tirinya dek terpengaruh dengan buku-buku cerita dongeng dan drama di kaca televisyen yang selalu menggambarkan ibu tiri seorang yang jahat.

Adik tiri pula pastilah perangai menjengkelkan dan suka merebut hak orang lain. Ditambah pula berita di kaca televisyen yang banyak melaporkan jenayah anak tiri diseksa oleh ibu tiri. Disebabkan itu, mindanya berfikir semua ibu tiri di dunia jahat dan kejam!

Ternyata dia silap kerana ibu tirinya seorang yang sangat baik dan Aisyah Nadine bukan saja menjadi adik tetapi juga sahabatnya yang selalu mengambil berat tentang dirinya. Dia tak memerlukan kawan lain sejak ada Aisyah dalam hidupnya. Apatah lagi usia mereka sebaya. Dia lebih tua hanya beberapa bulan daripada Aisyah.

"Sorrylah, Dee... Aku bukan tak nak tolong. Aku takut aku tak boleh buat." Aisyah gigit bibir bawah. Dia mula rasa bersalah. Deniz hanya diam. Kakaknya itu seperti memikirkan sesuatu. Aisyah telan liur. Alahai... dia merajuklah pulak.

Deniz mendekati meja solek. Seketika dia merenung imejnya pada cermin. Matanya mula berkaca. Deniz menunduk sambil menahan tangis. Namun, tetap ada air mata jatuh ke atas jemarinya. Perlahan-lahan jemarinya menyeka air mata itu.

"Deniz..." panggil Aisyah.

Dia dan Aisyah saling berpandangan. Bertambah lagi rasa bersalah di hati Aisyah. Dia melawan pandangan Deniz yang kini jelas anak matanya berwarna biru seperti laut. Sebab itu dia dinamakan Deniz yang bermaksud laut di dalam bahasa Turki. Masya-Allah, gadis berdarah campuran Melayu dan Turki ini cantik bagaikan bidadari yang turun ke bumi.

"Deniz... kau sedih sangat ke sebab aku tak nak tolong?" tanya Aisyah apabila Deniz masih berdiam. Dia lihat Deniz menyapu lagi kelopak matanya dengan tangan.

"Dah lama aku tunggu berita annem..." jawab Deniz dengan suara perlahan. Dia duduk di birai katil. Aisyah menggosok belakang Deniz yang duduk di sebelahnya.

Aisyah menghela nafas berat. Anne bermaksud ibu dalam bahasa Turki, manakala annem pula membawa maksud ibuku. Dia faham perasaan Deniz yang rindu akan ibunya. Bukan setahun dua rindu itu dipendam tapi belasan tahun lamanya.

"Aku faham... tapi kau pun tahu yang babah dah arahkan kau bekerja dengan anak kawan dia. Macam mana kau boleh minta aku gantikan tempat kau? Kalau babah tahu, tentu dia akan marah. Lagipun, kau suruh aku ganti tempat kau sebab kau nak ke Turki jumpa ibu kau, pada hal kau tahu babah tak suka kau cari dia." Aisyah tak dapat gambarkan kemarahan bapa tirinya jika rancangan itu diteruskan.

"Babah dan ibu kan ada di Madinah sekarang ni? Kalau kita tak beritahu perkara sebenar, babah tak akan tahu"

Senang saja Deniz bercakap. Seolah-olah bukan satu kesalahan jika mereka menipu babah. Ibu dan bapa tirinya sudah dua bulan berada di Madinah kerana terlibat dengan projek pembinaan hotel di sana. Kedua-dua orang tua mereka bekerja sebagai arkitek dengan sebuah syarikat gergasi yang mendapat projek usahasama antara Malaysia dan Arab Saudi.

Tempoh mereka bekerja di sana memakan masa yang lama. Mujurlah dia dan Deniz sudah habis belajar dan tahu menjaga diri. Lagipun ada juga saudara-mara dan jiran yang selalu bertanya tentang kesihatan dia dan Deniz.

Sebaik tamat pengajian dalam bidang kulinari, Deniz semakin teruja menjejaki ibunya di Turki. Apabila bapa tirinya mendapat tahu hal itu, dia mengarahkan Deniz bekerja dengan anak kepada sahabat lamanya. Tujuan babah berbuat demikian, jika Deniz sibuk bekerja, anak gadisnya itu tidak akan berkesempatan mencari ibunya di Turki. Babah memang marah kalau Deniz sebut tentang annem. Pernah babah mengamuk apabila Deniz menyatakan hasrat menjejaki ibunya itu. Selama beberapa hari babah dan Deniz tidak bercakap sehinggalah Deniz sendiri memohon maaf dan berjanji tidak akan bercakap tentang ibu kandungnya lagi. Kasihan Deniz...

"Aisy... aku dah dapat alamat tempat tinggal annem. Kawan aku, Hazal akan sediakan tempat tinggal semasa aku kat sana. Aku janji, aku ambil masa paling lama sebulan. Lepas aku berjaya jumpa annem, aku akan segera balik dan kita akan ceritakan hal sebenar pada babah. Aku tak kisah kalau kena marah, asalkan dapat jumpa ibu kandung aku Aisy." Deniz memegang tangan Aisyah.

Dia memang sangat terdesak untuk berjumpa ibu kandungnya. Ini sahaja peluang yang dia ada. Ketika babah tidak ada bersamanya. Dia sudah nekad untuk ke sana. Lepas jumpa annem, babah nak mengamuk, nak kurung dia atau apa pun dia rela!

"Kenapa tak berterus terang dengan babah aje?" Aisyah memberi cadangan. Tak sanggup dia menipu lelaki yang sudah bertanggungjawab membesarkan dia seperti anak kandung sendiri.

Walaupun ayah kandung tidak pernah mengabaikannya tetapi dia lebih rapat dengan ayah tirinya itu berbanding ayah kandungnya yang sudah mempunyai keluarga lain. Lagipun papanya juga sibuk dengan kerjanya sebagai doktor tentera.

"Macam kau tak tahu perangai babah, sebut nama annem pun tak boleh inikan pula nak jumpa." Deniz membentak. Dia bangun dan mundar-mandir di hadapan Aisyah. Kalaulah berterus terang kepada babah semudah yang diharapkan, tidaklah dia berniat untuk merancang tindakannya itu secara rahsia.

"Kau nak aku menyamar sebagai diri kau dan pergi bekerja dengan anak kawan babah tu? Deniz, muka aku ni muka Melayu, tang mana yang nampak kacuk Eropah, sayang oi? Mata aku pulak warna coklat bukan biru macam kau." Aisyah menampar-nampar perlahan mukanya. Tak cukup reaksi itu, dia membulatkan pula matanya yang bundar dan berwarna coklat. Ketawa juga Deniz melihat gelagat Aisyah itu.

"Dia orang tu bukan tahu pun muka dan warna mata aku. Lagipun, itu anak kawan lama babah yang dah bertahun-tahun dia tak jumpa. Tak kantoi punyalah..." Deniz menanam keyakinan.

Aisyah turun dari katil dan berjalan mundar-mandir seperti Deniz. Perbincangan mereka pada malam itu begitu serius dan perlukan kata putus. Setuju atau tidak?

"Kau yakin dia orang tak pernah jumpa kau walaupun masa kecil? Macam mana kalau babah pernah hantar gambar kau melalui aplikasi WhatsApp ke?" tanya Aisyah.

Deniz tak tunggu lama untuk mengeyakan pertanyaan itu. "Ya... Kau ingat aku suka pergi kawasan kampung? Jauh dari bandar besar? Yang penting kau kena jadi aku sebab aku yakin babah akan call kawan dia untuk tahu perkembangan aku. Pasal gambar tu semua kau tak payah risau. Babah tu old schoollah. Dia mana pandai guna aplikasi tu semua. Babah tu tengok handphone dia pun bila perlu aje."

"Okey, andaikan aku pergi sana dan menyamar sebagai kau... kalau kantoi macam mana? Mungkin babah akan minta kawan dia atau anak kawan dia tu ambil gambar kau tengah bekerja. Tup-tup muka aku yang babah tengok." Aisyah memandang tepat ke anak mata Deniz.

Deniz geleng kepala. Banyak memikir sangatlah dia ni. Benda macam tu pun nak risau ke? Ini yang susah bila bercakap dengan doktor. Asyik nak fikir logik aje!

"Eh... babah tu bukan jenis macam tulah. Paling over pun dia akan call kau bertanyakan hal aku. Dia tahu yang aku tak suka dia posesif sampai macam tu. Cukup dia tahu aku ada kat sana. Okeylah dia."

"Kau cakap macam senang aje plan kau ni. Aku yang kena hadap dengan banyak masalah sebab menyamar identiti orang lain. Silap cara boleh kena penjara tau!" Aisyah mengeluh.

"Drama sangatlah! Kau bukan curi identiti aku pun. Pinjam sekejap aje kan? Ini namanya kes darurat. Lagipun, tak mendatangkan kerugian pada pihak satu lagi. Kau bekerja aje macam biasa." Deniz masih meyakinkan Aisyah. Seboleh-bolehnya dia mahu Aisyah mengikut rancangan asalnya.

"Macam biasa? Hoi, cik adik... kau ingat aku ni boleh jadi baker macam kau? Aku ni bukan pakar memasak, apatah lagi nak menguli... meroti... kau lainlah, serba-serbi tahu apa jenis masakan." Geram juga Aisyah dibuatnya. Deniz masih berdegil.

"Yalah... kau pakar juga apa potong-potong ni? Belah-belah... jahit bagai..." Kali ini Deniz tersengih lalu menghamburkan tawanya.

Aisyah tergeleng-geleng sambil tayang muka tak puas hati. "Aku ni graduan lulusan veterinar, sayang oi! Tang mana yang aku biasa dengan memasak? Tiap kali aku lapar, kau yang tolong masak. Lainlah kalau si momot. Kucing kita tu yang sakit bolehlah aku rawatkan. Aku tak naklah ikut plan gila kau tu." Aisyah sudah bosan.

"Alah... bolehlah, Aisy... please! Lutfen çanim... hayatim... askim..." Deniz terus merayu.

"Kau tak payah nak berbahasa Turki sangat. Aku tengah risau ni."

"Kalau kau setuju, aku akan kenang jasa kau ni seumur hidup." Deniz sudah pun memeluk lengan Aisyah dengan begitu erat bagai tak mahu dilepaskan.

"Habis tu, tawaran kerja dari Jabatan Veterinar yang aku dapat tu, macam mana?" Aisyah teringatkan surat tawaran yang baru diterima pagi tadi. Sebenarnya dia bercadang untuk sambung belajar lagi tetapi ibu pula tidak benarkan. Ibu lebih suka kalau dia bekerja terlebih dahulu. Sebelum ini pun dia pernah bekerja sambilan sebagai pembantu kepada profesor di fakultinya selama setahun.

"Tolak ajelah dulu... jadi baker gaji mahal jugak apa."

"Ini bukan soal duitlah... duit boleh dicari tapi kepercayaan kalau dah kita khianat, maruah diri kita pun orang pandang sebelah mata tau!"

Aisyah menggeleng. Pening memikirkan masalah Deniz. Kalau tak setuju nanti merajuk seumur hidup pulak dengan aku. Rela dalam terpaksalah jawabnya!

"MATI lagi?"

"Dah tiga ekor dalam bulan ni, Abang Rey. Nak panggil orang veterinar lagi ke?"

"Hari tu dia orang cakap dedak yang kita beri makan pada lembu-lembu tu bukan punca cirit-birit, tapi ni dah tiga ekor yang mati. Mulut pun berbuih. Nak kata kena racun, kenapa tak semua yang mati?"

Reyhan urut dahi. Pening kepala memikirkan ternakan lembu yang mati saban hari. Sudahlah dia menggunakan kaedah ternakan bioteknologi yang menelan kos agak mahal, sekarang lembunya banyak pula yang mati. Pegawai veterinar yang datang juga seakan-akan bekerja sambil lewa saja. Setakat ambil masa setengah jam membuat pemeriksaan tanpa mengambil apa-apa sampel.

"Tak apalah, Abang Mat. Tanam aje bangkai lembu tu. Nanti saya call doktor veterinar pula minta buat pemeriksaan. Agaknya masalah berpunca daripada benda lain. Atau mungkin wabak baru disebabkan musim panas. Manalah tahu kalau ada lagi suntikan anti bakteria yang belum kita ambil untuk ternakan kita ni."

"Yalah... Abang Mat uruskan."

Reyhan meraba poket seluar apabila telefon pintarnya berbunyi. Dia mengangkat tangan kepada Rahmat dan Ibrahim sebagai isyarat terpaksa menghentikan perbualan mereka seketika. Dia membaca mesej yang dihantar oleh adiknya, Iskandar.

Kau cakap nak datang cafe.

Dah lama aku tunggu.

Kata ada hal nak bincang.

Reyhan pejam mata sambil menggeleng. Aduh... macam mana aku boleh lupa! Dia terlalu sibuk menguruskan ladang kelulut dan ternakan lembu sampai terlupa janjinya dengan Iskandar.

"Kenapa, Rey?" tanya Rahmat yang nampak Reyhan agak resah.

"Tak ada apa, Abang Mat... terlupa yang saya sepatutnya ke kafe jumpa Is. Ada hal keluarga."

"Oh... kalau macam tu kau pergilah jumpa dia. Hal bangkai lembu tu kita orang boleh uruskan."

"Okeylah, Abang Mat. Baim, Abang Rey balik dulu."

"Okey, bang. Tunggang kuda tu elok-elok. Jatuh kang tak bangun-bangun."

Reyhan ketawa kecil dengan usikan Ibrahim. Dia naik ke atas kuda yang dibelanya sejak kuda itu masih kecil lagi. Kuda yang dihadiahkan oleh arwah tuk ayah kepadanya ketika menyambut hari lahir ke-17. Sekarang kuda itu sudah dewasa. Kuda gred A jenis Arabian Horse itu dipanggil 'Jaguh'.

"Jom kita balik, Jaguh." Reyhan menepuk-nepuk belakang kuda yang sudah ditunggang itu. Kuda itu berlari laju melewati kawasan ladang ternakan lembu yang dia usahakan. Dia mengambil jalan pintas melalui padang ragut untuk sampai ke rumah yang tidak jauh dari kawasan ladang itu.

Jaguh melompat tinggi merentasi halangan pagar setinggi 1.5 meter. Reyhan membetulkan topi koboi yang dipakainya. Menunggang kuda adalah hobinya. Di kawasan mukim perkampungan itu, penduduk sudah biasa melihat dia menunggang kuda berulang-alik dari ladang ke ladang milik keluarganya. Sejak dia remaja, orang kampung menggelarkannya 'budak koboi'. Dia tak ambil peduli sangat. Asalkan minatnya tak mengganggu orang lain, dia buat saja apa yang dia suka.

Jaguh terus berlari hingga masuk ke kawasan tanah lot yang berpagar tinggi. Sampai di halaman rumah, Reyhan menarik tali pacu menyebabkan kuda itu berhenti berlari dan meringkik sambil kepalanya terhangguk-hangguk.

Reyhan segera turun dari kuda itu. Seorang lelaki separuh umur menghampirinya. Lelaki itu merupakan pekerja yang sudah lama bekerja di situ sejak arwah datuknya masih hidup.

"Pak Ya, tolong bawa Jaguh ke kandang. Lepas tu, beri Jaguh makan. Saya nak ke kafe Iskandar sekejap."

"Yalah." Pak Ya akur. Dia mengukir senyuman kepada anak muda tinggi lampai itu. Sekadar memerhati lagak Reyhan yang persis koboi dalam filem yang pernah dilihatnya. Begitu kemas memakai kemeja hitam dan berseluar jean. Kasut but kulit berderap setiap kali langkah kakinya bertemu permukaan jalan tar.

Reyhan membuka pintu kereta pacuan empat roda jenis Triton. Dia membolos masuk sambil menanggal topi koboi lalu dicampakkan ke atas kerusi di sebelahnya. Dia menghidupkan enjin kereta sambil matanya memandang ke kawasan tanah lot itu.

Kawasan itu memiliki lima buah rumah. Tiga daripadanya adalah banglo dan dua buah lagi rumah batu. Pacuan empat roda bergerak meninggalkan kawasan tanah lot menuju ke bandar yang jaraknya hanya 5 kilometer.

Sepuluh minit kemudian, Reyhan sampai di destinasi. Dia keluar dari perut Triton dan segera masuk ke sebuah kafe yang juga menjual kek dan roti. Dia melangkah masuk sambil menyinsing lengan kemeja hitam hingga ke siku.

"Huh... sampai pun, Tuan Sherif. Topi mana topi?" Iskandar menegur sambil mengusik. Siapa tak kenal dengan abangnya itu? Anak-anak gadis di kawasan itu majoriti menggilai Reyhan. Handsome, dark and tall katanya... itu belum lagi dikira jumlah followersnya di Instagram.

"Poyolah kau..." Reyhan menumbuk perlahan lengan adiknya yang langsung tidak berotot. Iskandar lebih rendah daripadanya. Berkulit cerah dan sedikit berisi badannya. Manalah tak nampak chubby badan Iskandar kalau setiap hari makan apa yang ada di kafe itu. "Ada hal penting apa sampai tak boleh bincang kat rumah? Kot ya pun... tanyalah aku nak minum apa dulu. Macam ni cara kau layan pelanggan ke? VVIP pulak tu."

"Tak payah risau. Kak Yam tengah buatkan kopi kegemaran kau. Pekat melekat."

Reyhan ketawa. Dia mencari-cari kelibat sepupu mereka, Maryam. Abah mempunyai tiga orang adik-beradik dan daripada ikatan kekeluargaan itu mereka mempunyai empat orang sepupu. Malah, ada di antara sepupu mereka tinggal di kawasan lot tanah yang sama. Itu prinsip arwah datuk. Cucu-cucu sulung Orang Kaya Deraman tidak akan tinggal berpecah.

"Rey... bagitaulah, apa yang penting sangat? Abah ada pesan apa masa kau jumpa dia semalam?" desak Iskandar lagi. Reyhan sengaja membiarkan adiknya itu tertanya-tanya.

"Memanglah penting... Sebab hal ni ada kaitan dengan kafe kau ni," jawab Reyhan. Dia teringat pertemuannya dengan abah di kampung sebelah ibu di Batu Pahat, tempat abah dan ibu tinggal selepas menyerahkan semua urusan ladang kepadanya.

"Apasal pulak?" Iskandar kerut dahi. Dia tuan punya kafe. Kalau ada masalah, tentulah dia orang pertama yang tahu dulu. Pelik ni... koboi ni mana pernah ambil tahu pasal kafe aku!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro