Bab 8
WAJAH Thaqif yang sedang lena di atas lantai yang beralaskan permaidani dipandang lama. Wajah itu kelihatan tenang ketika memejamkan mata namun tiada siapa yang tahu apa yang berada dalam hati lelaki yang dingin itu. Nuha meneliti setiap pelosok wajah Thaqif yang kacak. Tiada satu pun yang cacat pada wajah lelaki ini tetapi Nuha sedar, hati Thaqif yang cacat. Cacat kerana membiarkan diri terus hanyut dibuai dengan kenangan silam yang akan melemaskan dirinya sendiri.
"Saya tahu awak tak cintakan saya malah awak tak pernah sedar kewujudan saya depan mata awak, tapi tak mengapa saya reda asalkan awak terus berada di sisi saya," desis Nuha sambil menongkat dagu memandang wajah Thaqif.
Jam sudah berdetik ke angka enam namun Nuha masih leka merenung wajah Thaqif. Mungkin dengan cara ini saja dia mampu untuk meluahkan perasaannya.
"Mungkin saya yang terlalu awal jatuh cinta kepada awak tapi adakah mencintai awak itu satu kesalahan? Kalau benar salah, saya rela untuk terus rasa bersalah. Awak tahu tak, betapa sakitnya hati saya bila awak cakap yang awak anggap saya macam adik saja sedangkan saya dah bersedia untuk terima awak sebagai suami saya. Kenapa awak buat saya macam ni, Cikgu Thaqif?" luah Nuha dengan rasa sebak yang mula menghurung jiwanya.
"Awak mungkin boleh halang diri awak daripada jatuh cinta kepada saya tapi awak tak boleh halang saya untuk terus menyayangi awak. Saya takkan paksa awak untuk terima saya tapi saya akan terus berusaha untuk mendapat tempat dalam hati awak kerana saya adalah isteri awak," sambung Nuha lagi.
Dia mula bangun dengan tekad dan azam. Dia akan berusaha untuk merebut hati suaminya itu walaupun Nuha tahu dia akan terluka. Nuha menarik nafas panjang dan menghela dengan perlahan. Dia tersenyum manis. Bermula pada saat ini, dia akan cuba bangkit untuk terus mengukir corak hidupnya sendiri dan apa yang pasti, dia tidak akan mengalah untuk merebut hati Thaqif.
Lalu, dengan perlahan-lahan, Nuha turun dari katil dan duduk melutut di sisi Thaqif yang masih lena. Nyenyak betul dia tidur. Mungkin penat sangat kut, bisik hati Nuha.
"Cikgu, cikgu... Bangunlah. Dah subuh," kejut Nuha sambil menyentuh lengan Thaqif yang sedang mengiring. Namun, lelaki itu masih belum sedarkan diri. Hanya terdengar desah nafas lelaki itu saja, membuatkan Nuha terasa tenang.
Lalu, Nuha mendekatkan lagi badannya ke arah Thaqif. Dia merapatkan sedikit wajahnya ke wajah Thaqif.
"Cikgu, bangun dah lambat ni. Nanti subuh habis," bisik Nuha di telinga Thaqif.
Thaqif yang terasa ada sesuatu berbisik di telinganya cepat-cepat membuka mata. Dia terkejut melihat wajah Nuha yang berada beberapa inci saja dengan wajahnya. Dengan pantas dia bingkas bangun dan mengengsot sedikit badannya ke belakang.
Nuha tergelak kecil melihat reaksi wajah Thaqif yang sedikit terkejut. Dia duduk bersimpuh sambil menatap wajah suaminya yang masih lagi terpinga-pinga.
"Saya bukan nak apa-apakan cikgu, saya cuma nak kejutkan cikgu. Subuh dah masuk ni. Saya pergi mandi dulu, ya? Nanti kita solat sama-sama, boleh?" tanya Nuha dengan senyuman yang mekar di bibir.
Thaqif masih lagi mendiamkan diri. Lidahnya seakan-akan kelu untuk membalas kata-kata Nuha. Akhirnya, dia menganggukkan kepala. Kelihatan Nuha sudah bingkas bangun dan berlalu ke dalam bilik air. Thaqif melepaskan nafasnya. Kenapa tiba-tiba aku jadi kelu nak bercakap dengan dia, ya?
Tidak lama kemudian, Nuha keluar dari bilik air. Cepat-cepat Thaqif melangkah masuk ke dalam bilik air. Wajah Nuha langsung tidak dipandang. Entah, tiba-tiba saja dia terasa gementar apabila berhadapan dengan gadis yang sudah sah menjadi isterinya semalam.
Nuha hanya tersenyum melihat tingkah laku Thaqif yang kelihatan sedikit canggung. Dia tidak dapat meneka apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu. Cuma apa yang dia pasti, dia cukup gembira kerana berada di sisi lelaki itu walaupun lelaki itu tidak mahu mencintainya.
"Ehem-ehem," bunyi dehaman membuatkan Nuha tersentak. Dia mengangkat kepala. Serentak pandangannya bersatu dengan anak mata Thaqif yang turut memandang ke arahnya. Nuha tersenyum manis.
"Kata nak solat sama, sempat lagi ya termenung?" tegur Thaqif kemudian mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Tak sanggup rasanya untuk terus-terusan menatap wajah Nuha yang bersih, jantungnya sudah berlari kencang.
"Maaf, abang... Opsss, sorry. Saya tak perasan cikgu dah siap mandi," balas Nuha kerana tersedar yang dia sudah tersasul memanggil lelaki itu abang.
Thaqif tidak membalas sebaliknya dia mengambil sejadah lalu dibentangkan menghadap ke arah kiblat. Sejadah untuk Nuha turut dihamparkan di belakangnya.
Nuha menarik nafas lega apabila Thaqif seolah-olah tidak mempedulikan panggilannya tadi. Sekurang-kurangnya lelaki itu tidak memarahinya seperti semalam. Akhirnya, Nuha mengambil tempat di belakang Thaqif untuk bersolat.
Setelah selesai bersolat, Nuha menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Thaqif. Walaupun kelihatan teragak-agak, Thaqif tetap menyambut huluran tangan Nuha. Tersentuh hatinya saat Nuha mengucup lembut tangannya. Spontan, satu ciuman lekat di dahi isterinya.
Nuha terpanar. Serentak perasaan terharu menyelinap ke segenap hatinya menyebabkan air matanya bergenang. Dia mendongak untuk memandang wajah Thaqif yang kelihatan sudah berona merah. Nuha tersenyum manis.
"Terima kasih sebab cikgu sudi cium dahi saya. Itu sudah cukup untuk saya," ucap Nuha perlahan.
Thaqif menelan air liur. Apa yang dah aku buat tadi? soalnya dalam hati.
Apabila melihat Thaqif yang hanya mendiamkan diri, Nuha bingkas bangun. Namun, belum sempat dia melangkah, tiba-tiba pergelangan tangannya ditarik membuatkan Nuha berpaling ke arah Thaqif yang masih lagi berteleku di atas sejadah. Kemudian, Nuha kembali duduk bertentangan dengan Thaqif. Wajah suaminya dipandang.
"Saya mintak maaf kalau saya berkeras dengan awak semalam. Saya tahu saya tak patut berkasar dengan awak Nuha, tapi saya harap awak faham saya. Saya tak mampu untuk mencintai perempuan lain selain arwah isteri saya. Mungkin bagi awak saya ni gila sebab cintakan orang yang sudah tiada di dunia ini tapi saya tak boleh nak lupakan dia walaupun sesaat. Saya harap awak faham," luah Thaqif.
Nuha tersenyum manis. Dia mencapai tangan Thaqif lalu digenggam erat. Kelihatan Thaqif sedikit terkejut. Namun, dia merelakan tapak tangannya berada di dalam genggaman tangan Nuha yang lembut.
"Saya tahu sukar untuk cikgu lupakan cinta pertama cikgu. Apatah lagi wanita itu wanita yang telah lahirkan zuriat untuk cikgu. Saya takkan paksa cikgu untuk lupakan Kak Wahi lagipun siapalah saya, kan? Saya yang rela terima lamaran cikgu, jadi saya bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku. Mencintai cikgu yang sudah menjadi suami saya itu adalah tanggungjawab saya tapi jika mencintai saya itu satu beban buat cikgu, tak payahlah cikgu paksa perasaan itu. Saya faham," balas Nuha lembut.
Thaqif terkedu mendengar kata-kata Nuha. Memang gadis itu seorang yang matang walaupun usianya baru menjangkau 18 tahun. Nuha memang seorang gadis yang baik tetapi sayangnya dia tidak mampu untuk mengubah perasaannya menjadi lebih serius. Dia tetap tidak boleh mengelak untuk melayani Nuha sama seperti adiknya. Berdosakah dia?
"Terima kasih, Nuha. Tapi pasal nafkah tu, saya harap awak tak marah. Saya masih belum bersedia. Pasal nafkah zahir, saya boleh berikan tapi... Errr... Awak fahamlah, ya?" ujar Thaqif tergagap-gagap. Dia menundukkan pandangan. Malu dirasakan untuk meluahkan apa yang berada dalam fikirannya.
Nuha tergelak kecil melihat wajah Thaqif yang sudah berona merah. Patutnya aku yang malu, ini terbalik pula. Apa-apa saja Cikgu Thaqif ni, bisik hati Nuha.
"Saya faham, cikgu. Cikgu jangan risau, saya takkan paksa. Cuma saya rasa bangga dengan cikgu..."
"Bangga sebab apa pula ni?" potong Thaqif dengan dahi berkerut. Dia kurang mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nuha.
"Bangga sebab cikgulah satu-satunya kucing yang tolak ikan yang ada di depan mata," balas Nuha sambil tergelak. Dia menekup mulut.
Thaqif yang mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nuha turut tergelak. Lama dia menatap wajah Nuha yang masih lagi ketawa. Comel, bisik hatinya.
"Pandai Nuha kenakan saya, ya? Tak apa kali ni saya kalah, tengoklah lain kali, saya akan pastikan Nuha kalah dengan saya," jawab Thaqif selepas tawanya reda.
"Saya dah lama kalah dengan cikgu," ucap Nuha perlahan sambil anak matanya menikam bola mata Thaqif yang berwarna coklat perang.
Thaqif cepat-cepat mengalihkan pandangan. Gementar. Itulah dirasakan saat ini.
"Errr... Satu lagi saya nak tanya, kenapa Nuha suka panggil saya cikgu? Saya rasa macam dalam kelas pula sekarang ni," Thaqif mengalih topik.
Nuha terdiam seketika. Telekung yang dipakai ditanggalkan dan dilipat dengan kemas sebelum kembali menatap wajah Thaqif yang masih menunggu jawapan daripadanya.
"Saya pernah dengar motivasi daripada seorang ustaz, dia cakap isteri-isteri nabi kita panggil Nabi Muhammad S.A.W. dengan panggilan Rasulullah sempena nama jawatan Rasulullah sebagai rasul Allah. Jadi tak salahlah rasanya kalau saya panggil nama cikgu dengan gelaran cikgu, sebab itu kan jawatan cikgu. Kenapa cikgu tak suka ke?" soal Nuha kembali.
"Bukan tak suka tapi saya rasa macam pelik aje. Nuha panggil saya macam biasa dahlah. Tak payahlah panggil cikgu. Saya takut ibu marah Nuha nanti," balas Thaqif, lembut.
Nuha tersenyum dan mengangguk. Dia suka bila Thaqif berbicara seperti ini. Tiada lagi bahasa yang kasar seperti semalam. Terasa ingin dipeluknya tubuh lelaki itu namun dia menahan rasa hati. Pasti Thaqif tidak suka.
"Kalau cikgu dah cakap macam tu, saya ikut aje,"
"Tengok tu, cikgu lagi. Nuha nak saya jadi cikgu Nuha balik ke?" pintas Thaqif sambil menarik muka masam.
Nuha tersengih. Dia menepuk mulutnya kerana tersasul.
"Maaf, tersasul. Tak sengaja," balas Nuha.
Thaqif tersenyum manis. Suka dia melihat wajah Nuha yang kelihatan segar. Namun mata itu kelihatan sedikit bengkak. Kenapa agaknya? Tapi dia malas hendak bertanya akhirnya pandangannya jatuh ke arah tangannya yang masih berada di dalam genggaman tangan Nuha.
"Nuha, saya nak tanya sikit boleh tak?" soal Thaqif.
"Boleh, banyak pun saya sanggup jawab."
"Sampai bila ya Nuha nak pegang tangan saya? Dah kebas tangan saya ni," ucap Thaqif dengan senyuman nakal.
Hah? Nuha tercengang, lalu pandangannya jatuh pada tangannya yang sedang menggenggam erat jari-jemari Thaqif. Alamak, malunya! jerit hati Nuha lalu dengan sepantas kilat dia melepaskan tangan Thaqif. Serta-merta dia berdiri dan menyidai telekung serta sejadahnya di penyidai. Bunyi tawa Thaqif menambahkan lagi malunya.
"Kalau nak pegang tangan saya lama-lama, Nuha tunggulah sampai saya bersedia untuk sambut tangan Nuha tu," bisik Thaqif rapat di belakangnya.
Nuha tersentak dan berpaling. Terkebil-kebil dia membalas pandangan Thaqif yang tersenyum penuh makna. Apa maksud lelaki ini? soal hatinya. Dia ingin bertanya namun suaranya tidak terkeluar. Akhirnya dia hanya mampu melihat Thaqif hilang di sebalik pintu.
"BILA nak balik rumah ibu?" soal Puan Aminah sewaktu mereka sedang bersarapan.
Nuha yang duduk di sebelah Thaqif mengangkat muka memandang Puan Aminah yang sedang mengunyah nasi lemak.
"Kami ingat nak balik hari ni, mak. Nak tolong ibu prepare barang-barang untuk kenduri doa selamat selepas zohor nanti. Mak ikutlah kami balik sekali." Thaqif bersuara.
Puan Aminah memandang suaminya yang diam membisu.
"Boleh juga tu. Lagipun kami semua ni belum bertandang lagi ke rumah kamu tu. Nanti senanglah kami nak melawat Nuha," sampuk Encik Idris sambil menghirup teh O buatan Puan Aminah.
Thaqif tersenyum. Dia mengerling Nuha yang sedang leka mengunyah nasi lemak. Nampak penuh tertib.
"Qif, tak puas lagi ya tengok muka Nuha semalam?" soalan Kak Nurin membuatkan Thaqif tersentak. Dia mendongak memandang Kak Nurin yang sudah tersenyum nakal.
Thaqif tersengih pada Nuha yang memandangnya. Kacau daun betullah Kak Nurin ni. Saja nak buat aku malu depan Nuha. Alahai.
"Tak adalah, kak. Bukan macam tu." Thaqif mula tergagap-gagap. Dia menggosok hidungnya yang terasa gatal.
"Habis tu macam mana?" Tambah Kak Nurin lagi. Dia tergelak melihat wajah Thaqif yang sudah berona merah. Tak sangka adik iparnya ini seorang yang pemalu. Pantang diusik, muka itu pasti akan merah. Elok sangatlah dengan Si Nuha.
"Tak lama lagi, mak dapat cucu barulah nampaknya," usikan Kak Nurin terus bersambung membuatkan Nuha dan Thaqif tak senang duduk.
"Mak terima aje. Tapi takkanlah nak mengandung, kamu cakap nak belajar, Nuha. Kalau mengandung, macam mana nak pergi kelas, nak tumpu pada pelajaran lagi," balas Puan Aminah sambil matanya menikam tepat pada wajah anaknya itu.
Nuha mula rasa tidak selesa dengan kata-kata Puan Aminah. Dia menggarukan kepala yang tidak gatal.
"Errr... Nuha belum sedia nak ada anak buat masa terdekat ni mak. Mak jangan risau, ya? Kalau ada rezeki Nuha terima, kalau tak ada Nuha tak nak tergopoh-gopoh," balas Nuha selembut mungkin. Dia mengerling pada Thaqif yang kelihatan tenang.
"Anak Thaqif kan ada. Kamu jaga elok-elok. Nanti kalau mengandung macam mana nak kerja. Ingat apa yang ayah cakap sebelum kamu kahwin?" Encik Idris bersuara.
Thaqif mengerutkan kening. Dia berpaling pada Nuha yang kelihatan serba salah. Wajah isterinya itu tegang.
"Ayah, Qif rasa Nuha tak perlu kerja. Qif dah jadi suami dia jadi Qif akan tanggung dia. Kalau dia nak sambung belajar pun, Qif benarkan. Qif boleh tanggung," Thaqif menyampuk.
Nuha tersenyum hambar. Dalam hati dia terharu dengan kata-kata Thaqif namun Thaqif masih belum kenal ayah tirinya macam mana. Kalau A yang dicakap maknanya A jawapannya. Tiada siapa yang boleh bantah.
"Sekarang Nuha dah kahwin jadi buat apa sambung belajar lagi. Kalau sambung belajar dan akhirnya duduk dekat ceruk dapur juga buat apa? Nuha, ayah nak kau kerja," tegas Encik Idris membantah kata-kata Thaqif.
Thaqif terdiam. Dia malas mahu melawan, takut hati Encik Idris akan terluka. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri walaupun dia tidak bersetuju dengan kata-kata Encik Idris kerana sekarang ini Nuha adalah tanggungjawabnya, jadi dia yang berhak dalam mengatur apa yang terbaik untuk isterinya itu.
Pantas, tangan Thaqif menjalar di bawah meja mencari tangan Nuha. Dia menggenggam tangan Nuha yang kedinginan. Mungkin dengan cara itu dia boleh memberikan sedikit kekuatan kepada gadis itu.
Nuha tersentak apabila terasa tangan kirinya dipegang. Dia memandang wajah Thaqif namun lelaki itu kelihatan tenang. Akhirnya, Nuha tersenyum sendirian.
"Insya-Allah, ayah. Kalau Abang Qif izinkan, Nuha kerjalah," balas Nuha, lembut.
Thaqif hanya tersenyum nipis. Barulah dia tahu Nuha memiliki sekeping hati yang lembut. Gadis itu amat menjaga hati dan perasaan orang lain sehinggakan hati sendiri yang terluka tidak dipedulikan.
"Jadi ke Qif dan Nuha pergi bulan madu dekat India?" soal Kak Naemah menghentikan lamunan Thaqif.
"Qif tak pasti lagi, kak. Kena tanya dengan ibu. Kalau ikutkan Qif nak jalan-jalan dalam Malaysia aje," balas Thaqif.
"Alah, apa salahnya pergi negara orang pula? Mesti bestkan dapat tengok Taj Mahal yang cantik tu." Kak Naemah mula berangan-angan. Matanya terpancar sinar kekaguman.
Thaqif tergelak kecil.
"Memanglah cantik, kak. Taj Mahal kan diperbuat daripada marmar putih yang berkilau. Sesiapa yang tengok pasti terpegun, kak," balas Thaqif.
"Awak pernah pergi India ke?" bisik Nuha.
Thaqif berpaling dan tersenyum. Dia menganggukkan kepala. Walaupun baru sekali dia menjejakkan kaki di bumi India tetapi kenangan di monumen yang diberi nama Taj Mahal itu takkan dilupakan.
"Akak teringin nak pergi sana tapi yalah, bukannya murah nak pergi ke sana, kan?" balas Kak Naemah sedikit kecewa.
"Kak, ajaklah Abang Pian pergi honeymoon kali kedua," ujar Thaqif sambil tergelak kecil.
"Huh, mati hidup balik pun Abang Pian kamu tu takkan pergi. Nak pergi Teluk Cempedak pun banyak cekadak inikan pula nak pergi India," bebel Kak Naemah sambil menarik mulut muncung.
Thaqif dan Nuha tergelak. Nasib baik Abang Pian tak ada, kalau tidak pasti Kak Naemah tidak berani bersuara. Abang Pian tu boleh tahan garangnya juga. Maklumlah askar.
"Awak betul ke kita nak pergi India?" soal Nuha lagi sambil berbisik.
"Saya tak tahulah, Nuha. Kena tanya ibu. Nuha tak suka ke kalau pergi India?" soal Thaqif pula sambil berbisik.
"Suka. Untung-untung boleh jumpa Shah Rukh Khan dan Salman Khan," balas Nuha tersengih.
Thaqif hanya ketawa mendengar angan-angan isterinya itu.
THAQIF dan Nuha sampai di rumah Puan Maryam tepat pada pukul 10 pagi. Kelihatan beberapa orang jiran sudah berkumpul di rumah Puan Maryam untuk menolong apa yang patut. Sebaik saja turun dari kereta, Thaqif menarik tangan Nuha untuk masuk ke dalam rumahnya.
"Assalamualaikum, ibu," sapa Thaqif sewaktu melihat kelibat ibunya yang sedang membersihkan ruang tamu bersama adiknya Taufiq Asrar.
"Waalaikumussalam... Eh, awalnya kamu berdua sampai?" balas Puan Maryam dengan senyuman. Dia merapati Nuha dan Thaqif. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan anak menantunya yang kelihatan berseri-seri.
"Kami ingat nak tolong ibu apa yang patut untuk kenduri nanti. Rasa macam tak best aje kalau kami duduk goyang kaki dekat rumah, sedangkan ibu tengah sibuk dekat sini," balas Thaqif selepas mengucup tangan ibunya sebelum diikuti oleh Nuha.
"Alah, kamu berdua kan pengantin baru, rehatlah dulu," balas Puan Maryam.
"Eh, tak apalah ibu. Dani dan Dania mana, ibu? Rindulah dekat kembar tu," Nuha menyampuk. Dia memandang sekeliling mencari kelibat kedua-dua anak tirinya itu.
"Ada kat atas, Nuha. Tengah tidur. Semalam asyik menangis aje, mungkin rindukan kamu berdua agaknya," balas Puan Maryam.
"Kalau macam tu, Nuha naik atas dululah. Nak jenguk kembar. Nanti Nuha turun balik, tolong apa yang patut," ujar Nuha dengan senyuman.
"Elok juga tu, Kak Nuha. Akak boleh tolong Fiq kemas ruang tamu ni. Tak syoklah kemas sorang-sorang," Taufiq menyampuk.
Thaqif berpaling ke arah adiknya yang sudah tersenyum pada Nuha.
"Eh, boleh aje. Nanti Nuha turun, ya Fiq? Sekejap, Nuha nak pergi peluk cium Dani dan Dania dulu," ucap Nuha dengan senyuman manis.
Taufiq mengangguk dan berlalu meninggalkan Thaqif dan ibunya. Thaqif menarik nafas dalam melihat kemesraan Nuha dan Taufiq. Tak sampai sehari mereka berkenalan, dah boleh mesra macam tu.
"Kenapa dengan kamu ni, Qif? Pergilah tukar baju dulu. Kata nak tolong ibu tadi," suara Puan Maryam menyentakkan lamunan Thaqif. Dia tersengih dan menganggukkan kepala.
Manakala di dalam bilik si kembar, Nuha tersenyum melihat Dani dan Dania yang sedang nyenyak tidur. Wajah yang tenang itu membuatkan hati Nuha terasa lapang lalu dia menghadiahkan ciuman di dahi Dania dan Dani.
"Anak mama, apa khabar? Sihat? Semalam menangis, ya?" bisik Nuha, perlahan. Dia mengelus pipi Dani yang tembam.
Inilah Putra Danial Darwish dan Putri Dania Danisya. Walaupun mereka berdua bukanlah darah dagingnya tetapi kasihnya telah tertumpah kepada si kecil yang masih belum mengerti apa-apa. Dia sanggup mengorbankan masa mudanya semata-mata untuk menjaga Dani dan Dania. Dia lakukan ini bukan semata-mata kerana cinta pada Thaqif tapi atas nilai kemanusiaan. Dia tidak mahu si kecil ini terasa kehilangan kasih sayang seorang ibu apabila mereka membesar nanti. Tetapi mampukah dia bertahan untuk terus hidup bersama dengan Thaqif sedangkan lelaki itu masih hidup dalam kenangan lama?
"Assalamualaikum..." sapa satu suara mengejutkan Nuha. Dia mengangkat muka.
Kelihatan Thaqif melangkah masuk ke dalam bilik. Nuha kembali tegak. Dia duduk di birai katil sambil menepuk-nepuk tubuh Dania yang kelihatan terganggu dengan suara Thaqif.
"Waalaikumussalam... Awak nak main dengan kembar ke? Tapi dia orang tengah tidur. Saya keluar dululah, ya?" ucap Nuha lalu berura-ura untuk bangun.
Sepantas kilat, Thaqif menarik pergelangan tangan Nuha membuatkan Nuha kembali terduduk. Dia mengerutkan wajah tapi pegangan tangan Thaqif tidak dirungkaikan.
"Mulai hari ini, anak saya dah jadi anak Nuha. Jadi saya harap Nuha dapat berikan dia orang kasih sayang yang selayaknya. Saya tak mahu mereka rasa kekurangan kasih sayang seorang ibu. Nuha pun tahu itulah salah satu sebabnya kenapa saya setuju untuk menikah dengan Nuha. Saya sayangkan mereka lebih daripada nyawa saya sendiri. Saya harap Nuha tak mengecewakan saya," ujar Thaqif sambil matanya menatap wajah putera dan puterinya yang sedang nyenyak tidur.
Perlahan-lahan Nuha menarik tangannya daripada pegangan tangan Thaqif. Dia menundukkan wajah.
Kalaulah awak tahu saya sayangkan awak bukan atas sebab Dani dan Dania semata-mata, agak-agaknya awak sudi tak terima saya jadi cinta yang kedua dalam hidup awak? Soalan itu hanya bermain dalam hati Nuha tanpa diluahkan.
"Saya tak mampu untuk berjanji kerana saya takut saya akan mungkiri janji tu. Tapi selagi saya mampu, saya akan berikan Dani dan Dania kasih sayang yang selayaknya seorang ibu berikan. Itu pun kalau awak sudi untuk terus berada di sisi untuk menyokong saya," balas Nuha, perlahan.
Thaqif berpaling. Dia duduk berhadapan dengan Nuha. Wajah Nuha yang masih menunduk dipandang lama. Dia tersenyum kecil. Lalu, dengan perlahan-lahan dia mengangkat dagu gadis itu. Mata mereka bertentangan.
"Kalau Nuha ada untuk saya, maknanya saya akan ada untuk Nuha," ucap Thaqif dengan senyuman. Nuha tersenyum manis.
"Tapi sebagai seorang abang yang sentiasa ada untuk adiknya. Tak lebih daripada itu," sambung Thaqif.
Mati terus senyuman manis Nuha. Hanya yang terukir di bibirnya hanyalah senyuman hambar. Dia menghela nafas panjang. Perlahan-lahan dia menolak tangan Thaqif yang masih lagi memegang dagunya. Kenapa susah sangat untuk lelaki itu faham apa yang bermain dalam hati dan fikirannya? Perlukah dia mengungkapkannya sendiri barulah lelaki itu jelas akan perasaannya yang sebenar?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro