Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

PUAN Maryam tersenyum melihat Nuha yang kepenatan menghantar makanan dan minuman untuk guru-guru. Gadis itu memang lincah dalam melakukan kerja. Jarang sekali melakukan kesilapan ketika bekerja. Itu yang membuatkan Puan Maryam semakin sayang kepada Nuha.

"Nuha, rehatlah dulu. Makan-makan ke. Pinggan tu Nuha basuh nanti," tegur Puan Maryam sambil menepuk bahu Nuha dengan lembut.

Nuha berpaling dan tersenyum. Dia menyeka peluh yang membasahi dahi dengan tapak tangan. Nafas dihela dengan perlahan-lahan.

"Tak apalah, mak cik. Lagipun pinggan-pinggan ni banyak sangat. Kalau tak cuci sekarang, bertimbun pula nanti," balas Nuha.

"Nuha dah makan ke belum?" soal Puan Maryam lembut. Kesian pula dia melihat bakal menantunya ini. Kuat betul bekerja.

Nuha menggelengkan kepala dan tersengih.

Bulat mata Puan Maryam memandang wajah Nuha yang bersih. Belum makan lagi? Sekarang dan pukul berapa? Puan Maryam memandang jam yang tergantung di dinding. Sudah hampir pukul 11 pagi. Tak lapar ke budak ni? soal hati Puan Maryam.

"Kejap lagilah mak cik, lepas Nuha buat kerja. Lagipun Nuha tak lapar lagi ni..." balas Nuha cuba meyakinkan Puan Maryam.

"Apa yang kecoh-kecoh ni, ibu? Nuha?" sampuk satu suara mengejutkan Nuha dan Puan Maryam. Mereka berpaling.

Puan Maryam tersenyum memandang Thaqif yang segak berbaju Melayu melangkah masuk ke ruang kantin. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke wajah Nuha yang sudah menundukkan kepala.

"Ini hah, Nuha ni Qif. Dari pagi sampai dah nak masuk tengah hari, tak makan-makan lagi. Ibu ni risau kalau dia sakit pula nanti," adu Puan Maryam sambil mengerling pada Nuha yang kelihatan serba salah.

Thaqif memandang wajah Nuha yang sedang tunduk. Buku yang dipegang, diletakkan di atas meja yang berdekatan.

"Kenapa tak makan lagi ni, Nuha?" soal Thaqif lembut. Puan Maryam tersenyum melihat pasangan itu. Dia berlalu meninggalkan Thaqif dan Nuha.

"Saya nak siapkan kerja dulu, nanti saya makanlah. Cikgu tak makan ke?" soal Nuha pula. Dia cuba untuk menatap wajah Thaqif tapi apabila lelaki itu memandangnya, sepantas kilat wajahnya akan menunduk. Jantungnya memang tak boleh nak dikawal lagi. Asyik berdebar-debar saja. Padahal mereka sudah bergelar tunangan namun Nuha masih belum dapat bertentangan mata dengan lelaki itu. Kuat betul aura Thaqif ni, bisik hati Nuha.

"Saya memang nak makan. Hmmm... Awak tolong buatkan air untuk saya, boleh?" pinta Thaqif teragak-agak.

Nuha hanya mengangguk. Dalam hatinya sudah kembang semangkuk kerana Thaqif sudi merasa air buatan tangannya.

"Kopi O dengan air suam, kan?" tanya Nuha inginkan kepastian.

Thaqif yang baru ingin melangkah menghentikan langkahnya dan berpaling pada Nuha yang masih menanti jawapan daripadanya. Macam mana budak ini boleh tahu? soal hatinya. Namun, Thaqif hanya mengangguk dan berlalu meninggalkan Nuha yang sudah mengulum senyum.

"Senyum apa tu, Nuha? Buah hati nak air tu, bila nak buatnya?" sergah Mak Cik Zakiah disambut tawa oleh Puan Maryam membuatkan Nuha menghentikan senyumannya dengan serta-merta.

Lima minit kemudian, Nuha melangkah masuk ke ruang makan guru untuk menghidangkan air buat Thaqif. Dia melemparkan senyuman saat melihat Thaqif yang sedang berbual dengan tiga orang cikgu lain. Mereka turut memandang kepadanya. Tetapi tiada senyuman pun yang terukir di bibir lelaki itu.

Dengan berhati-hati, Nuha meletakkan secawan kopi O dan segelas air suam di hadapan Thaqif. Sedikit menggigil tangannya apabila kelihatan Cikgu Izuan memerhatikan segala tindak-tanduknya.

"Menggigil nampaknya, Nuha. Takkan nervous kut. Cikgu-cikgu kat sini tak makan orang tau," usik Cikgu Izuan dengan tawa kecil.

Nuha hanya menundukkan wajah. Dia tersipu malu apabila Cikgu Rashid dan Cikgu Amran ketawa kecil. Ketika itu cuma Thaqif saja yang hanya mendiamkan diri.

"Umur awak berapa, Nuha?" soal Cikgu Izuan lagi saat Nuha baru saja ingin mengorak langkah.

"Hah?" Nuha berpaling. Dia memandang wajah Cikgu Izuan yang masih menanti jawapan daripadanya.

"Saya tanya, umur awak berapa?" Cikgu Izuan mengulang kembali soalannya dan membuatkan Nuha menjadi serba salah untuk menjawab. Dia menggarukan kepalanya yang beralas tudung. Buat seketika dia mengerling wajah Thaqif yang kelihatan bersahaja.

"Umur saya lapan belas, cikgu," balas Nuha, jujur.

"Baru lepas SPM la ni? Muda lagi. Dah ada boyfriend?" tanya Cikgu Izuan dengan sengihan yang menampakkan giginya.

"Amboi, Cikgu Izuan berkenan dengan Nuha ke?" sampuk Cikgu Aklima yang turut berada di kantin.

Keadaan ruang makan guru yang tidak terlalu sibuk itu membuatkan Cikgu Izuan berani untuk bertanya. Selama ini dia cuba untuk merisik daripada Thaqif tapi malangnya lelaki itu hanya mendiamkan diri apabila ditanya tentang Nuha. Padahal Nuha itu pekerja ibunya.

"Itu yang bertanya tu, Cikgu Aklima," balas Cikgu Izuan selamba.

Cikgu Rashid dan Cikgu Amran hanya ketawa manakala Thaqif hanya memasang telinga. Dia malas ikut campur urusan Cikgu Izuan. Lantak kaulah, Iz. Nuha tu tetap jadi milik orang lain juga nanti. Milik siapa? Milik aku, bisik hati Thaqif.

Wajah Nuha sudah mula berona merah apabila perihal dirinya diperkatakan. Dia memandang Thaqif tetapi lelaki itu masih ralit dengan nasi di atas pinggannya.

"Saya dah ada bakal suami, cikgu," balas Nuha perlahan.

Cikgu Izuan terkedu. Cikgu Rashid dan Cikgu Amran turut terdiam cuma Thaqif saja yang kelihatan tenang sambil menghirup kopi O buatan Nuha. Hmmm... Boleh tahan, bisik hatinya.

"Oh, bakal suami? Awak kan muda lagi, takkan nak kahwin dah kut? Tak nak sambung belajar ke?" soal Cikgu Izuan dengan riak yang hampa.

"Perkahwinan pun satu pembelajaran juga, cikgu. Mengajar kita untuk melengkapkan separuh agama kita," balas Nuha selamba.

Cikgu Aklima tergelak mendengar jawapan Nuha. Bukan kerana jawapan Nuha yang kelakar tetapi wajah Cikgu Izuan yang kelihatan terkulat-kulat membuatkannya ketawa. Nah kau. Dah kena sebiji!

Thaqif hanya tersenyum mendengar jawapan daripada Nuha. Satu jawapan yang matang berbanding dengan usia gadis itu. Itulah kau, Iz. Tak tengok kiri kanan dulu nak tanya. Ini hah, bakal suami dia ada aje depan mata kau! Hati Thaqif berkata-kata namun dia lebih memilih untuk mendiamkan diri. Setakat ini tiada sesiapa pun yang tahu dia sudah bertunang dengan Nuha, kerana bagi Thaqif, pertunangan itu elok dirahsiakan dan tak perlulah dihebah-hebahkan sangat seperti pernikahan. Apabila tiba masanya nanti, dia akan umumkan perkara yang sebenar.

"Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dululah," ujar Nuha tidak lama kemudian.

Apabila mendapat anggukan daripada Thaqif, Nuha mengundurkan diri. Cikgu Izuan masih lagi termenung panjang. Kata-kata Nuha terngiang-ngiang di telinganya.

"Aku rasa dia muda sangatlah kalau nak kahwin. Belajarlah dulu baru boleh fikir pasal kahwin, ini tak matang pun lagi," ucap Cikgu Izuan seolah-olah tidak berpuas hati.

"Cikgu Izuan, kematangan itu bukan pada umur tapi pada fikiran, sebab itulah segala tindakan kita bergantung kepada sejauh mana kita berfikir. Pasal kahwin muda pula, tak salah pun kalau dia dah bersedia. Belajar bila-bila masa pun boleh, tapi bab-bab kahwin ni bersangkut paut dengan jodoh, bila Allah berkata jadi maka jadilah. Tidak ada seorang pun boleh tolak apa yang telah ditetapkan," sampuk Cikgu Aklima dari belakang.

Cikgu Izuan terdiam. Kata-kata Cikgu Aklima ada benarnya. Lagipun, isteri Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah R.A juga berkahwin pada usia muda, jadi tak salahlah kalau berkahwin pada usia muda selagi tanggungjawab suami atau isteri itu dipikul dengan sebaiknya.

"Betul juga, kan? Tapi siapalah yang jadi suami Nuha tu? Beruntung betul. Dahlah sopan santun. Cakap pun lembut aje, tapi kalau dah buat kerja aku tengok macam lipas kudung," puji Cikgu Izuan lagi.

Thaqif yang mendengar hanya terbatuk kecil. Beruntung ke? Memang Nuha seorang yang sopan santun, lembut dan paling penting memang seorang yang pemalu. Tetapi bila dengan orang lain gadis itu tidaklah pemalu sangat. Apabila gadis itu dengan anak-anaknya, aura seorang ibu itu memang terserlah. Mungkin betullah kata-kata Cikgu Aklima, kematangan itu bukan boleh diukur dengan umur, tapi dengan tindakan dan keputusan yang dibuat. Nuha memutuskan untuk berkahwin dalam usia muda demi menjaga anak kembarnya itu, adakah itu keputusan ataupun pengorbanan? Thaqif sendiri buntu.

"Siapa pun bakal suami Nuha yang penting bukan kau!" tempelak Cikgu Rashid membuatkan Thaqif dan Cikgu Amran ketawa besar. Cikgu Aklima pun turut tergelak.

Cikgu Izuan menarik muka masam.

"Tak baik tau cakap macam tu. Nampaknya aku kena cari perempuan lainlah. Cikgu Aklima ada adik tak?"

MATA Thaqif melilau ke sekitar kawasan kantin mencari kelibat Nuha yang tidak kelihatan, lalu langkahnya diayun ke arah Puan Maryam yang sedang mengupas bawang. Dia menarik kerusi di hadapan Puan Maryam.

"Dani dan Dania tak bangun lagi ke, ibu? Sejak pagi sampai sekarang, Qif tak dengar pun suara budak kembar tu?" soal Thaqif. Dia menanggalkan cermin matanya dan diletakkan di atas meja.

"Qif bukannya ada dekat kantin pun, mestilah Qif tak dengar suara dia orang. Si kembar tu penat bermain agaknya. Dah tidur balik dah. Nuha yang tolong jagakan. Dani tu la, tak nak berenggang dengan Nuha, risau ibu tengok. Macam mana agaknya dia nak berjauhan dengan Nuha sebelum kau orang berdua bernikah?" balas Puan Maryam.

Thaqif menarik nafas panjang apabila Puan Maryam mengingatkannya tentang pernikahan. Redakah aku dengan semua ini? soal hatinya sendiri.

"Qif nak tengok si kembar tu boleh tak, ibu?" soal Thaqif, lembut.

Puan Maryam mendongak. Dia tersenyum manis.

"Boleh tu boleh tapi Nuha ada dekat dalam bilik tu. Ketuk dulu kalau nak masuk, jangan main redah aje. Dia tu masih haram lagi untuk Qif," ujar Puan Maryam.

Thaqif tersengih. Kalau Puan Maryam tak menasihatkan pun dia tidak akan main redah saja. Dia masih tahu batas-batas pergaulan cuma dia perlu jumpa dengan Nuha sekarang. Dia ingin berbincang satu perkara dengan gadis itu.

"Qif tahulah, ibu. Ibu jangan risau, lagipun Qif anggap Nuha tu macam adik Qif aje," ucap Thaqif sebelum kata-katanya terhenti.

"Apa Qif cakap? Qif anggap Nuha macam adik?" soal Puan Maryam sedikit terkejut. Dia meletakkan pisau di atas meja, wajah anak lelakinya ditenung sedalamnya.

Thaqif mengetap bibir. Dia tersasul tapi sayangnya kata-kata itu tidak boleh diundurkan kembali. Dia hanya mampu tersengih kepada Puan Maryam yang melotot merenung wajahnya. Dengan pantas, Thaqif bangun selepas memakai kembali cermin matanya. Soalan Puan Maryam dibiarkan tidak berjawapan.

"Qif, ibu tak habis cakap lagi ni. Ada ke patut Qif anggap Nuha macam tu? Dia tu bakal isteri awak bukannya bakal adik angkat. Isy, tak fahamlah dengan kamu ni Qif," bebel Puan Maryam sambil memotong bawang. Sentap juga hatinya apabila mendengar kata-kata Thaqif tadi. Takkanlah bakal isteri nak dianggap macam adik? Tak patut betul. Akhirnya Puan Maryam hanya mendengus.

Thaqif menghela nafas panjang sebaik saja dapat melarikan diri dari ibunya. Dia memandang daun pintu yang berwarna kelabu tertutup rapat. Dia buat apa dekat dalam erk? soal hati Thaqif. Lalu Thaqif mengangkat tangan untuk mengetuk pintu, namun belum sempat pintu diketuk, pintu itu sudah ditarik dari arah dalam.

Terjengul wajah Nuha di hadapan mata Thaqif. Mata mereka bertentangan buat seketika menyebabkan bibir Thaqif kelu untuk berbicara. Dia hanya merenung anak mata hitam pekat itu tanpa sepatah kata. Isy, apa dah jadi dengan aku ni? bisik hatinya.

"Errr... Cikgu Thaqif buat apa dekat sini? Nak jumpa Dani dengan Dania, ya?" akhirnya Nuha bersuara selepas Thaqif hanya mendiamkan diri.

Thaqif mengalihkan pandangan sebelum berdeham. Dia hanya menganggukkan kepala.

"Rindu pula nak tengok kembar tu. Tidur ke?" soal Thaqif cuba bersikap selamba apabila berdua-duaan dengan Nuha.

"Belum. Tu tengah main. Kalau cikgu nak main dengan dia orang, masuklah. Biar saya keluar dulu," balas Nuha tersenyum.

"Eh, jangan keluar lagi. Temankan saya sekejap, ada benda saya nak cakap dan bincang dengan awak," ujar Thaqif.

Dia menanggalkan kasut dan melangkah masuk ke dalam bilik yang sederhana besar. Memang bilik itu dikhaskan oleh Puan Maryam untuk menjaga cucu-cucunya. Malah bilik itu juga telah dihias cantik bagi menampakkan serinya.

Nuha menurut saja apa yang dikatakan oleh Thaqif. Dia hanya melihat Thaqif yang memeluk dan mencium Dania yang sedang bermain dengan anak patung Barbie manakala Dani sibuk bermain dengan patung Iron Man. Ketika Thaqif mengucup pipi Dani, sejuk hati Nuha memandang.

"Anak papa ni nakal tak hari ni?" soal Thaqif kepada anak-anaknya.

Dani dan Dania hanya tersenyum pada Thaqif dan merengek seolah-olah ingin menceritakan sesuatu kepada papanya dengan bahasa yang sukar untuk Thaqif dan Nuha fahami. Namun, melihat anak- anaknya yang lincah bermain sudah cukup menyenangkan hati Thaqif. Dia mengambil Dania lalu diletakkan di atas riba.

"Terima kasih sebab awak sudi jaga anak-anak saya..." ucap Thaqif, memulakan bicara.

Nuha hanya tersenyum dan mengangguk. Dia lakukan semua itu dengan rela hati tanpa ada paksaan daripada sesiapa pun untuk menjaga Dani dan Dania.

"Saya dah anggap Dani dan Dania sebahagian daripada hidup saya. Bila tengok si kembar ni, hati saya jadi tenang dan lapang, jadi cikgu tak perlulah berterima kasih sebab saya memang gembira dapat jaga dia orang," balas Nuha lembut.

Thaqif tersenyum. Senang dengan budi bahasa Nuha yang cukup santun.

"Tapi saya nak awak tahu satu perkara, kita akan bernikah tak lama lagi dan saya rasa biarlah saya berterus terang dengan awak saja. Saya tak nak pernikahan kita nanti berlandaskan kebohongan. Saya tak nak berpura-pura menikahi awak kerana saya sayangkan awak. Tapi, pada hakikatnya hati saya tidak dapat untuk menerima mana-mana perempuan lagi dalam hidup saya," ucap Thaqif, tenang.

Nuha terpempan. Lama dia menatap wajah Thaqif. Dia inginkan penjelasan atas apa yang lelaki itu ucapkan.

"Maksud cikgu?"

"Bagi saya hidup itu sekali, mati itu sekali. Jadi biarlah cinta itu juga hanya sekali dalam hidup saya. Saya tak mampu nak berikan hati saya kepada awak sebab hati dan cinta saya semua saya serahkan kepada Waheeda, arwah isteri saya. Jadi tiada satu pun yang tertinggal dalam hati saya ini untuk diberikan kepada mana-mana perempuan lain. Apa yang saya lakukan ini adalah untuk Dani dan Dania serta melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang ayah."

Nuha menelan air liur yang terasa kelat. Begitu pedih ayat itu menikam hatinya namun ditelan sekuat hati. Dia sudah maklum tentang perkara itu jadi rasanya tiada masalah untuk dia terima apa saja keputusan Thaqif.

"Saya faham, cikgu. Memang sukar untuk melupakan cinta pertama apatah lagi orang itu orang yang amat kita cintai. Tak apa, saya faham kalau cikgu tak dapat mencintai saya pun. Saya terima sebab saya lakukan semua ini untuk mak cik, Dani dan Dania," balas Nuha cuba mengawal nada suaranya yang seakan-akan bergetar menahan sebak yang mula menyerang.

Thaqif berpaling memandang Nuha yang duduk di muka pintu. Wajah gadis itu kelihatan sugul. Anak mata itu juga memancarkan sinar kekecewaan. Kenapa agaknya?

"Awak pernah bercinta, Nuha?" soal Thaqif ingin tahu. Dia membelai rambut Dani yang turut duduk di atas ribaannya.

Nuha senyum dalam kepayahan. Dia menundukkan wajah. Cikgulah orang yang saya cintai itu tapi sayangnya, cikgu tak tahu. Kalau cikgu tahu pun, ia takkan dapat merubah apa-apa, bisik hati Nuha sayu.

"Saya mana pernah bercinta, cikgu. Tapi saya mencintai seseorang dalam diam. Bagi saya dialah sumber inspirasi saya, penguat semangat saya dan takdir saya. Mencintai dia cukup membuatkan saya bahagia walaupun dia tidak pernah tahu malah tiada siapa pun yang tahu. Biarlah hati saya dan Allah saja yang tahu siapa dia," ucap Nuha penuh maksud yang tersirat. Dia mengerling ke arah Thaqif yang hanya diam. Wajah itu kelihatan tenang tanpa riak.

"Di mana dia sekarang?" soal Thaqif lagi.

"Dia hanya ada dalam hati saya," balas Nuha.

Thaqif menghela nafas. Dadanya terasa lapang apabila Nuha berfikiran terbuka untuk berkongsi kisah dengannya. Namun, jauh di sudut hatinya dia ingin sangat tahu siapa lelaki yang bertuah yang berada dalam hati Nuha itu.

"Nuha, saya harap awak dapat terima pernikahan ni dengan rela dan bukan ada paksaan daripada sesiapa pun," ucap Thaqif, tiba-tiba.

Nuha hanya melemparkan senyuman manis. Aku tak pernah terpaksa untuk mengahwini lelaki yang aku cintai walaupun aku tahu cinta aku bertepuk sebelah tangan, desis hati Nuha.

"Tiada siapa pun yang paksa saya untuk terima pernikahan ni. Saya yang rela. Jadi cikgu jangan risau, ya?" balas Nuha bagi meyakinkan Thaqif yang kelihatan sedikit gusar.

"Baguslah," ujar Thaqif, pendek.

"Errr... Cikgu, saya tahu saya dah terlambat untuk jadi yang pertama dalam hidup cikgu, tapi izinkan saya jadi yang kedua dan terakhir dalam hidup cikgu, boleh?" pinta Nuha penuh berharap.

Thaqif terkedu dengan kata-kata Nuha. Jadi yang kedua? Akhirnya, Thaqif hanya diam seribu bahasa. Permintaan Nuha hanya dibiarkan sepi kerana sememangnya dia tiada jawapan untuk permintaan itu.

Sedangkan Nuha hanya mampu merenung wajah Thaqif yang diam membisu. Wajah itu yang dipuja dalam diam. Namun, mampukah dia untuk terus menatap wajah itu selama-lamanya?

NUHA hanya mampu menundukkan kepala saat berhadapan dengan guru disiplin saat ini. Lelaki di hadapannya ini bukan setakat guru disiplin malahan cikgu yang mengajar subjek Ekonomi Asas untuk kelasnya.

"Cuba cakap dengan saya, siapa yang meniru sewaktu ujian Ekonomi Asas?" soal Thaqif dengan nada yang serius.

Nuha menikus. Linda dan Jasmine turut mendiamkan diri. Air liurnya ditelan berkali-kali.

"Kenapa tak nak jawab? Macam mana ketiga-tiga kertas ni boleh sama jawapan? Ajaib betul." Thaqif bersuara apabila ketiga-tiga pelajarnya masih mendiamkan diri.

"Nuha, Linda, Jasmine, tolong jawab soalan saya atau saya potong markah awak. Untuk ujian ni awak semua akan dapat kosong!" tegas Thaqif.

"Cikgu, jangan!" Nuha mula bersuara. Dia mengangkat kepala. Tergambar keresahan pada wajah Nuha saat ini.

"Ada apa yang awak nak cakap pada saya, Nuha?" soal Thaqif sambil anak matanya tepat memandang anak mata Nuha.

Nuha menundukkan kepala. Bukannya dia takut berhadapan dengan Thaqif tetapi hatinya tidak betah untuk bertentangan mata dengan Thaqif saat ini. Rasa jantungnya sudah bergendang. Tajam anak mata itu terus menikam ke jantungnya.

"Saya yang bersalah sebab bagi dia orang tiru jawapan saya..." ucap Nuha perlahan.

Linda dan Jasmine memandang sesama sendiri. Mereka menyangka mereka akan terlepas setelah Nuha mengaku salah tambahan lagi apabila melihat Thaqif sudah tersenyum nipis.

"Kenapa awak bagi?" soal Thaqif pula. Dia bangun dari tempat duduknya dan duduk di sisi meja sambil menatap wajah Nuha.

"Errr..." Nuha kehilangan kata-kata. Dia tidak berani mengatakan yang dia dipaksa oleh Linda dan Jasmine. Buruk padahnya nanti.

"Baiklah, kalau awak tak nak ceritakan kepada saya, saya tak paksa, tapi awak jangan menyesal kalau markah awak saya potong," ugut Thaqif lagi.

Nuha hanya mampu menundukkan kepala. Dia sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Tetapi saat ini dia sudah pasrah walaupun tidak pernah sekali pun dia gagal dalam subjek Ekonomi Asas.

Thaqif menghela nafas panjang. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Nuha. Dia perlu siasat kerana belum pernah Nuha bersikap seperti ini. Nuha adalah pelajarnya yang cemerlang malah setiap kali ujian bulanan, pasti Nuha akan mendapat markah tertinggi.

Kini, tumpuan Thaqif beralih kepada wajah Linda dan Jasmine. Dia memandang kedua-dua anak muridnya yang bertudung singkat ini.

"Kenapa kamu berdua tiru jawapan Nuha?" soal Thaqif sambil memeluk tubuh.

Linda dan Jasmine menolak bahu sesama sendiri.

"Dah Nuha bagi kami tiru. Katanya nak tolong kawan," bohong Linda.

Nuha berpaling. Bohong! jerit hatinya. Padahal dia paksa aku supaya bagi jawapan dekat dia. Boleh dia kata aku bagi tiru, memang kaki auta betul Linda ni, detik hati Nuha.

"Oh, kalau Nuha bagi awak makan sampah atas dasar kawan, awak makan juga ke?" tempelak Thaqif, selamba.

Linda dan Jasmine terkulat-kulat.

"Awak berdua boleh masuk kelas dulu. Hal ni tak habis lagi, tapi buat masa sekarang, saya nak jumpa dengan Nuha dulu. Apa pun keputusan yang saya buat sama ada nak potong markah awak berdua atau tidak, itu bergantung kepada Nuha. Faham?" soal Thaqif.

Linda dan Jasmine hanya menganggukkan kepala. Sebelum beredar, sempat lagi mereka berdua mencerlung tajam ke arah Nuha. Memberi amaran secara senyap. Nuha hanya mampu memandang ke tempat lain.

Kini hanya tinggal Nuha dan Thaqif. Nuha tunduk menekur ke lantai kerana takut untuk bertembung pandang dengan Thaqif.

"Sekarang Linda dan Jasmine dah tak ada, saya nak awak ceritakan kepada saya apa sebenarnya yang berlaku. Betul ke awak yang rela hati bagi Linda dan Jasmine tu tiru jawapan awak?" soal Thaqif berdiplomasi. Suaranya mendatar.

Nuha mendiamkan diri. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Dia buntu apa yang harus dilakukan saat ini.

"Nuha, saya tahu awak takutkan Linda dan Jasmine tu, tapi saya nak tanya awak, buat apa awak takutkan dia orang tu? Awak takut kena buli? Kenapa awak tak laporkan pasal sikap mereka tu kepada cikgu-cikgu kat sekolah ni? Buli tu bukan benda yang elok, Nuha. Saya tak nak budak baik macam awak jadi mangsa buli. Saya sayangkan pelajar saya yang macam awak ni," pujuk Thaqif.

Sayang? Pantas, kepalanya diangkat dan Nuha menentang pandangan Thaqif dengan berani. Debarannya tetap tidak mahu menghilang. Tolonglah wahai hati, dia dah jadi milik orang lain. Berhentilah berdenyut setiap kali kau memandang wajahnya, pujuk hatinya sendiri.

"Saya tak berani, cikgu. Linda dan Jasmine tu memang gengster. Saya takut kalau dia pukul saya," adu Nuha perlahan.

Cikgu Thaqif tersenyum nipis. Mengaku pun awak, Nuha, detik hatinya.

"Awak tak perlu takut, saya kan ada. Saya takkan biarkan awak dibuli. Awak pelajar saya yang paling cemerlang. Saya tak nak kes ni bagi kesan pada prestasi awak. SPM pun dah nak dekat. Awak kena ingat tu. Cita-cita awak yang lebih penting. Sekarang, awak ditangkap sebab meniru dalam ujian, awak rasa apa yang patut saya buat pada awak?" soal Thaqif.

Nuha mendiamkan diri. Tidak sanggup mendengar hukuman yang diberikan oleh Thaqif.

"Saya tak kesah apa pun hukuman cikgu nak bagi sebab saya tahu ini salah saya," jawab Nuha.

Thaqif terpanar seketika. Baru pertama kali ada pelajar yang tidak kesah kalau diberi hukuman. Nuha memang seorang yang bertanggungjawab walaupun kesalahan itu bukan kesalahannya seratus peratus tetapi dia tetap ingin bertanggungjawab.

"Baiklah. Kalau macam tu, kali ini saya lepaskan awak," ucap Thaqif.

Mata Nuha membulat. Dia memandang Thaqif dengan muka tidak percaya.

"Cikgu lepaskan saya? Betul ke? Tapi kenapa?" Bertubi-tubi soalan terbit dari mulut Nuha.

Thaqif ketawa kecil. Dia tersenyum manis.

Giliran Nuha pula yang tergamam melihat senyuman Thaqif yang menawan. Rasa seluruh hatinya sudah cair melebur melihat senyuman itu.

"Saya akan maafkan awak untuk kesalahan pertama awak ni. Lagipun selama ni rekod awak baik, saya tahu awak dipaksa oleh Linda dan Jasmine, kan? Jadi, sebab itu saya takkan potong markah awak untuk kali ini, tapi jika perkara ini berulang lagi, saya dah tak boleh nak tolong awak. Ingat, awak mesti kuat. Jangan biarkan orang lain pijak kepala awak. Awak cemerlang dalam pelajaran. Jadi, saya nak awak cemerlang dalam mengatur kehidupan awak sendiri. Jadi seorang yang tegas supaya orang lain tak mampu nak perkotak-katikkan awak," nasihat Thaqif lagi.

Nuha mendengar dengan penuh khusyuk. Tidak sedikit pun dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Wajah yang berada di hadapannya kini sudah cukup indah. Setiap butir bicara yang terbit dari mulut Thaqif seumpama nyanyian yang merdu. Sungguh mempesonakan.

"Awak faham tak ni, Nuha?" soal Thaqif apabila melihat Nuha hanya merenung kosong wajahnya. Dia memetik jari di hadapan wajah Nuha.

Nuha tersentak kemudian tersengih. Dia menggaru-garu kepalanya yang beralas tudung.

"Faham, cikgu. Linda dan Jasmine macam mana? Markah mereka cikgu potong ke tak?" soal Nuha ingin tahu.

Cikgu Thaqif terdiam sebentar. Dia berpeluk tubuh.

"Saya dah banyak kali terima laporan tentang Linda dan Jasmine tu, nanti saya akan siasat dan ambil tindakan. Kalau mereka berdua masih mengganggu awak, saya harap awak boleh laporkan kepada saya secepat mungkin," ujar Thaqif dengan riak yang cukup tenang.

Nuha menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya kata-kata Thaqif membuatkan hatinya terasa lega. Terasa terbang segala ketakutan yang selama ini membelenggu hatinya.

"Terima kasih, cikgu," ucap Nuha dengan lembut. Dia tersenyum senang.

Cikgu Thaqif membalas senyuman Nuha dengan ikhlas. Dia menganggukkan kepala.

"Sama-sama kasih," balasnya selamba.

Nuha tersentak. Jantungnya berdenyut lagi. Sama-sama kasih? Haih, apa yang aku fikirkan ni? Thaqif tak bermaksud apa-apa, pujuk hati Nuha. Dia cuba mengukir senyuman sekali lagi tetapi bibirnya bagaikan lumpuh apabila anak matanya bertentangan dengan anak mata Thaqif.

Akhirnya, Nuha berpaling. Dia menyentuh dadanya. Debaran masih terasa. Kenapa rasa ini perlu wujud sedangkan dia milik orang lain?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: