Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"ALHAMDULILLAH, empunya diri dah setuju. Jadi bila nak dilangsungkan?" soal Puan Aminah setelah keluar dari bilik Nuha untuk menanyakan persetujuan anak perempuannya itu.

Puan Maryam meraup wajah dengan telapak tangan. Senyumannya sampai ke telinga apabila Nuha telah bersetuju untuk menjadi menantu keduanya.

"Alhamdulillah. Kalau macam itu, kita langsungkan lagi dua bulanlah. Tak perlu bertunang lama-lama pun tak apa, lagipun anak saya itu dah lama menduda," ucap Puan Maryam sambil tersengih.

Puan Aminah dan Encik Idris hanya tersenyum. Duda? Apalah nasib kau Nuha kahwin dengan duda? Macam tak ada anak teruna saja, desis hati Puan Aminah.

"Kalau macam itu kami ikut saja lagipun memang tak elok juga bertunang lama-lama ni. Maklumlah darah manis, kalau dah suka sama suka lebih baik percepatkan saja. Kami letakkan hantaran sebanyak sepuluh ribu, boleh ke?" Encik Idris menyampuk.

Puan Maryam terdiam. Dia memandang pada wajah sahabat-sahabatnya yang lain. RM10 ribu? Namun, apabila difikirkan balik nasib cucu-cucunya akhirnya Puan Maryam akur.

"Ya, saya terima sepuluh ribu. Tapi saya tak mahu adakan majlis persandingan, cukuplah majlis akad nikah dan kenduri doa selamat. Maklumlah ini adalah perkahwinan kali kedua anak saya. Jadi, tak perlulah buat secara besar- besaran, boleh?" pinta Puan Maryam mengharap.

Puan Aminah dan Encik Idris berbisik sesama sendiri. Mereka mengangguk dan perkara itu membuatkan Puan Maryam berasa lega. Alhamdulillah, urusan yang baik mesti dipermudahkan oleh Allah, bisik hati kecilnya.

"Kami tak kesah lagipun Nuha memang beria-ia nak berkahwin, jadi takkan kami nak halang pula? Tapi dah jodoh dia dengan duda beranak dua. Apa boleh buat, kan?" Encik Idris bersuara. Kedengaran sinis di telinga Puan Maryam.

Puan Maryam menggagahkan diri untuk tersenyum walaupuan hatinya tergores mendengar sindiran daripada Encik Idris. Dia tahu lelaki di depannya ini hanya ayah tiri kepada Nuha tapi lagaknya mengalahkan ayah kandung.

"Walaupun duda, tapi Si Thaqif ni jejaka idaman Malaya. Ramai yang nak jadi isteri Si Thaqif ni, bang. Cuma Thaqif pilih Nuha juga. Beruntung Nuha dapat suami yang baik macam Thaqif ni," Mak Cik Zakiah bersuara bagi pihak Puan Maryam.

Puan Maryam memandang wajah Mak Cik Zakiah. Sejak bila pula ramai yang nak jadi isteri anak aku? Thaqif ni bukannya peduli pasal perempuan, kalau tidak disebabkan Dani dan Dania yang suka dekat Nuha, belum tentu anak lelakinya itu mahu berkahwin.

Encik Idris terdiam. Dia menjeling isterinya yang sedang tersenyum manis ke arah para tetamu.

"Lupakan pasal status tu, lagipun dah jodoh mereka kita terima ajelah. Hmmm... Puan Aminah, ni cincin pertunangannya," ucap Puan Maryam.

Puan Maryam menghulurkan kotak kecil baldu merah kepada Puan Aminah. Kotak cincin bertukar tangan, Puan Aminah membuka kotak tersebut. Dia tersenyum melihat cincin emas bertatahkan batu permata berwarna putih bersinar di hadapan mata.

"Saya rasa lebih baik Puan Maryam yang sarungkan cincin ni pada Nuha. Dia pun dah lama menunggu di dalam tu," ujar Puan Aminah.

Puan Maryam mengangguk lalu berdiri sambil diikuti oleh Mak Cik Zakiah untuk mengiringi Puan Maryam ke bilik Nuha. Dia tersenyum saat melihat Nuha yang duduk di birai katil memakai baju kurung satin berwarna putih dipadankan dengan tudung sedondon. Wajah itu kelihatan bersih dan tenang serta menyejukkan mata yang memandang.

"Assalamualaikum." Salam dihulurkan sebelum Puan Maryam melangkah masuk ke dalam bilik Nuha.

"Waalaikumussalam." Nuha menjawab sambil mengangkat muka. Dia tersenyum manis melihat Puan Maryam yang mula menapak masuk ke dalam bilik. Dadanya sudah berdebar-debar kerana beberapa minit lagi dia akan bergelar tunangan orang. Tunang kepada lelaki yang dikagumi dalam diam. Ternyata mimpinya menjadi realiti!

Puan Maryam membalas senyuman Nuha. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Matanya tidak berkelip memandang wajah Nuha yang kelihatan sangat cantik.

"Cantik Nuha hari ni. Kalau Qif tengok, mesti dia terpikat," usik Puan Maryam sambil ketawa kecil.

Nuha menundukkan wajah. Dia dapat rasakan saat ini wajahnya sudah berona merah. Malu apabila menjadi perhatian beberapa pasang mata yang turut berada di dalam bilik itu. Dia memandang wajah Puan Maryam yang kelihatan gembira, seakan-akan ingin menitis air matanya melihat anak mata wanita itu yang sudah berkaca-kaca. Menangiskah wanita itu?

"Mulai hari ini, Nuha akan jadi tunang Qif, bakal menantu mak cik. Mak cik harap sangat Nuha jadi menantu mak cik. Anak mak cik perlukan seorang isteri begitu juga cucu mak cik perlukan seorang ibu. Mak cik percaya, Nuha dapat pikul tanggungjawab itu," bisik Puan Maryam. Cukuplah dia dan Nuha saja yang mendengar.

Nuha terkelu. Harapan Puan Maryam terlalu tinggi, dia bimbang harapan itu tidak dapat dipenuhi.

"Insya-Allah, mak cik. Nuha akan cuba untuk pikul tanggungjawab tu walaupun Nuha tak tahu sama ada Nuha ni layak atau tidak untuk gantikan tempat arwah isteri Cikgu Thaqif. Tapi Nuha janji akan cuba menyayangi Cikgu Thaqif mulai sekarang," balas Nuha.

Namun dalam hatinya hanya Allah yang tahu betapa dia menyayangi Thaqif bukan sekarang tetapi sejak pertama kali dia melihat lelaki itu muncul di sekolah. Perasaan yang dirasakan ini terlalu ajaib, dalam sekelip mata dia boleh jatuh cinta kepada seorang lelaki yang sudah berumah tangga!

Puan Maryam tersenyum manis. Dia percaya Nuha boleh diharap, kerana hatinya telah memilih gadis itu untuk menjadi menantu keduanya. Lalu, Puan Maryam mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarungkan cincin itu ke jari manis Nuha. Sebuah ciuman kudus lekat di dahi bakal menantunya itu. Lalu, tubuh Nuha dipeluk erat.

"Terima kasih sebab sudi terima pinangan mak cik," ucap Puan Maryam sebak. Dia berharap Nuha dapat menghalau segala kesedihan yang menghuni hati anak lelakinya itu.

"Sama-sama, mak cik. Terima kasih sebab sudi ambil Nuha jadi menantu yang kedua," balas Nuha bersama senyuman namun air mata kegembiraan mengalir di pipi. Dia membalas pelukan Puan Maryam dengan erat.

"Sudahlah tu. Sekarang waktu gembira, bukannya bersedih. Nanti mak cik pula yang menangis," sampuk Mak Cik Zakiah yang sejak tadi menjadi pemerhati.

Nuha meleraikan pelukan. Dia memandang Mak Cik Zakiah yang berdiri di muka pintu. Satu senyuman manis dilemparkan. Di sebelah Mak Cik Zakiah kelihatan Puan Aminah yang turut memandang dengan pandangan yang sayu. Nuha tersenyum kepada maknya. Senyumannya berbalas. Sungguh dia merasa bahagia saat ini!

KAWASAN Tanah Perkuburan Islam Seri Setali kelihatan tenang tanpa gangguan. Namun, di satu sudut, kelihatan seorang lelaki sedang duduk bersila di tepi pusara yang sepi. Daun-daun kering yang berterbangan di atas timbunan tanah kubur arwah isterinya, dibuang ke tepi. Alunan surah Yasin meniti di bibirnya dihadiahkan khas buat isteri tercinta.

Selesai membaca surah Yasin, Thaqif memegang batu nisan putih yang bertanda nama isteri yang amat disayanginya. Sudah setahun berlalu, namun Thaqif tidak pernah jemu mengunjungi pusara isterinya untuk bercerita tentang kehidupan sehariannya.

"Sayang apa khabar? Dah lama abang tak jenguk sayang, kan? Abang sibuk sikit sejak kebelakangan ni tapi ingatan abang kepada sayang tak pernah padam. Abang harap sayang tenang di sana. Hari ini kan sayang, ibu abang nak pergi melamar Nuha untuk jadikan ibu kepada Dani dan Dania. Abang tahu sayang mesti tak suka, kan? Tapi abang tak nak kecewakan ibu, lagipun Dani dan Dania semakin membesar, jadi dia perlukan seorang ibu. Sayang tak marah, kan? Abang buat semua ini hanya untuk jalankan tanggungjawab abang sebagai seorang ayah. Abang tak nak anak-anak kita rasa kekurangan bila dia dah besar nanti," ujar Thaqif sambil menggosok perlahan batu nisan yang berwarna putih itu.

"Sayang jangan risau, abang masih berpegang pada janji abang yang dulu. Tak ada seorang pun wanita yang mampu menggantikan tempat sayang dalam hati abang. Kalaulah sayang masih ada, abang tentu tak perlu tempuhi semua ini. Abang rindukan sayang, tersangat rindukan sayang," rintih Thaqif lagi.

Tanpa sedar, air matanya menitis membasahi pipi. Rindu yang dirasakan saat ini benar-benar menyeksa jiwa lelakinya. Sukar untuk dia menepis bayangan Waheeda dalam fikirannya. Senyuman, gelak tawa dan sentuhan wanita itu telah sebati dalam dirinya malah, bayang Waheeda sering muncul dalam mimpinya sehingga meragut rasa bahagia yang pernah hadir dalam hidupnya dulu.

"Abang tak kuat untuk hadapi ujian ini seorang diri, Wahi. Abang perlukan Wahi. Abang rindukan Wahi. Kenapa Wahi tak tunggu abang sekali? Kenapa Wahi pergi tinggalkan abang seorang diri? Kenapa? Kenapa?" Thaqif mengongoi di tepi pusara Waheeda. Air mata yang berjuraian tidak dipedulikan. Rasa terseksa yang menikam jiwa membuatkan Thaqif menjadi seorang lelaki yang lemah.

Thaqif mengesat air mata yang merembes laju di lengan bajunya. Sejak Waheeda pergi meninggalkannya setahun yang lalu, air mata adalah peneman paling setia Thaqif. Sudah tiada tawa dan tiada senyuman manis terukir di bibirnya. Semuanya gelap-gelita. Kehadiran Dani dan Dania adalah penguat semangatnya untuk meneruskan hidup.

"Abang janji depan pusara Wahi, cinta abang takkan berubah untuk orang lain. Hanya Wahi cinta pertama dan terakhir abang!" ucap Thaqif dengan penuh perasaan.

Dia menaburkan kelopak bunga mawar di atas pusara Waheeda sebelum menyiramkan air ke atas tanah yang sudah mula ditumbuhi rumput. Thaqif cuba untuk bertahan, dia cuba untuk menerima hakikat bahawa cintanya terhalang oleh kematian.


THAQIF menapak ke kawasan rumah teres setingkat yang kelihatan meriah dengan bunyi gelak tawa orang di dalam rumah. Thaqif terasa segan kerana inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah bakal mentuanya yang baru. Walaupun beberapa kali dia menolak ajakan Puan Maryam, namun kali ini dia terpaksa akur dengan permintaan Puan Maryam supaya dia hadir selepas selesai majlis pertunangan.

Tiba-tiba rasa debar menyerang jantung Thaqif. Bagaimanakah agaknya penerimaan keluarga Nuha terhadapnya? Maklumlah dia duda beranak dua tapi ingin menyunting anak dara yang masih belum cukup matang. Bekas anak murid pula tu. Agak-agak ada tak orang lain buat macam aku buat? Berkahwin dengan bekas anak murid yang sepuluh tahun lebih muda? Hati Thaqif mula ragu-ragu.

"Assalamualaikum," salam dihulurkan dengan suara yang agak bergetar.

"Waalaikumussalam..." Salamnya berjawab.

Seorang wanita yang sebaya ibunya muncul di depan pintu. Wanita itu kelihatan terpegun sewaktu menatap wajah Thaqif yang tersenyum manis. Ini ke bakal mak mentua aku? desis hati Thaqif.

Puan Aminah terpegun seketika melihat raut wajah anak muda yang berdiri di hadapannya. Dengan ketinggian yang sederhana, anak muda itu kelihatan segak dengan baju Melayu berwarna putih yang tersarung di tubuhnya yang tegap. Wajahnya tenang malah senyumannya cukup ikhlas pada pandangan tua Puan Aminah yang membuatkan Puan Aminah turut tersenyum.

"Anak ni cari siapa?" soal Puan Aminah lembut.

"Saya cari ibu saya, Puan Maryam. Dia yang minta saya datang ke sini, mak cik," jelas Thaqif, ramah.

"Oh... Jadi anak ni Thaqif, ya? Jemput masuk, nak. Ibu kamu ada di dalam bilik Nuha," ucap Puan Aminah sambil mempersilakan Thaqif untuk masuk ke dalam rumah.

Thaqif akur. Dia melangkah masuk ke dalam rumah yang sederhana luas itu. Dia tersenyum pada tetamu yang ada.

"Jemputlah duduk, Thaqif. Mak cik ni mak Nuha, ini ayah Nuha, Pak Cik Idris, itu pula kakak-kakak Nuha. Kak Nurin dan Kak Naemah," ujar Puan Aminah memperkenalkan Thaqif pada ahli keluarganya yang lain.

Thaqif hanya tersenyum pada kakak-kakak Nuha sebelum menghampiri Encik Idris untuk bersalaman. Sungguh dia terasa kekok apabila kakak-kakak Nuha memandangnya tanpa berkelip. Dia membetulkan cermin matanya yang hampir melorot jatuh. Kemudian dia duduk di atas sofa bertentangan dengan Encik Idris selepas dipelawa oleh Kak Nurin.

"Umur Thaqif berapa?" soal Kak Naemah. Matanya masih tertacap pada wajah Thaqif yang tenang. Anak kecil yang bermain di atas ribanya tidak diendahkan.

"Umur saya dua puluh lapan tahun kak, dah tua dah," jawab Thaqif, bergurau. Dia cuba beramah mesra dengan keluarga tunangnya ini.

"Eh mana ada tua. Sama baya dengan Kak Naemah. Tapi muka Thaqif nampak macam budak remaja lagi, awet muda ke?" sampuk Kak Nurin, ramah. Mereka ketawa.

Thaqif turut ketawa. Ya ke muka aku macam budak remaja? Rasa macam dah kerepot aje, bisik hati Thaqif.

"Eh... Tak adalah, kak. Qif ni dah ada dua orang anak dah. Kira dah tualah tu," balas Thaqif sambil tersengih. Buat seketika dia memandang Encik Idris yang masih mendiamkan diri. Terbit perasaan risau dalam hati Thaqif dengan penerimaan Encik Idris.

"Lelaki ni tak pernah tua, Qif. Makin tua makin hot," sampuk Encik Idris tiba-tiba.

Thaqif ketawa dengan kenyataan Encik Idris. Dia menarik nafas lega apabila Encik Idris sudah mula bersuara.

Belum sempat dia membalas, kelihatan Puan Maryam dan Puan Aminah berjalan menuju ke ruang tamu. Thaqif bangun dan mendapatkan ibunya. Kelihatan wajah Puan Maryam benar- benar gembira.

"Qif datang juga akhirnya. Ibu ingat Qif dah tak nak datang. Qif dari mana ni siap berbaju Melayu lagi ni?" soal Puan Maryam sambil memandang anak lelakinya daripada atas sehingga ke bawah.

"Qif dari tempat biasa, ibu," jawab Thaqif tanpa berdalih.

Puan Maryam terdiam. Dia tahu tempat yang dimaksudkan oleh Thaqif adalah kubur Waheeda. Dia tahu anak lelakinya ini masih belum dapat melupakan Waheeda sepenuhnya. Akhirnya tanpa membalas kata-kata Thaqif, Puan Maryam melangkah menuju ke arah Puan Aminah. Dia duduk di sisi Puan Aminah.

Thaqif mengangkat bahu melihat reaksi Puan Maryam yang diam membisu. Dia turut membuntuti langkah Puan Maryam dan duduk di sebelah maknya.

"Qif dah kenal semua bakal keluarga Qif yang baru?" soal Puan Maryam, lembut.

"Dah, ibu," balas Thaqif, ringkas.

"Tak sangkakan mak, Nuha dapat bakal suami yang handsome macam ni. Patutlah nak kahwin cepat aje, tak mahu terlepas jejaka idaman Malaya," usik Kak Nurin membuatkan wajah Thaqif mula merah. Dia hanya tersengih.

"Itulah, mak pun tak sangka bakal menantu mak kacak orangnya. Ingatkan bila Nuha cakap duda, mak terbayangkan macam Jalaluddin Hassan, tapi rupa-rupanya hero Korea. Macam sebaya aje dengan Nuha," balas Puan Aminah turut mengusik Thaqif.

Serentak dengan itu, mereka semua ketawa. Puan Maryam turut ketawa. Dia dapat lihat wajah Thaqif yang semakin merah. Anaknya ini cepat malu, pantang diusik pasti wajah itu berona merah.

Thaqif mengesat peluh yang mula memercik di dahi. Naik segan apabila dirinya diperkatakan di tengah-tengah orang ramai. Saat ini tiada satu pun yang dapat membantunya, sudahnya dia hanya tersengih dan mendiamkan diri.

"Qif nak jumpa Nuha ke? Biar mak cik panggilkan," Puan Aminah menyambung.

"Errr... Qif rasa tak payahlah, lagipun esok Qif boleh jumpa dekat tempat kerja. Qif datang pun sebab nak berkenalan dengan keluarga mak cik," balas Thaqif. Dia masih belum bersedia untuk bertemu muka dengan Nuha saat ini. Entah kenapa perasaannya bercampur baur. Sukar untuk dia menerima kenyataan bahawa dia sudah menjadi tunangan kepada gadis yang tidak pernah difikirkan selama ini.

"Esok lain cerita, hari ini lain cerita," sampuk Kak Naemah sambil memberi isyarat kepada Kak Nurin.

Kak Nurin akhirnya bangun dan masuk ke dalam bilik Nuha. Tidak lama kemudian, kelihatan Kak Nurin berjalan seiringan dengan Nuha yang menundukkan kepalanya. Thaqif sudah kehilangan arah. Perasaannya sudah tidak keruan. Dahinya mula berpeluh-peluh melihat figura Nuha yang mula menghampiri. Inikah dia bakal isteri aku? Isy, apa yang aku merepek ni? Bukannya aku tak pernah jumpa Nuha malah sudah setahun aku jadi cikgu dia. Tapi kenapa lain benar Nuha hari ini? desis hati Thaqif.

Nuha mula resah. Kalau ikutkan hati, dia malu untuk berhadapan dengan Thaqif saat ini. Dadanya sudah berdentum-dentum memainkan irama yang tidak tentu arah. Bunyi bising di sekelilingnya langsung tidak menarik perhatian Nuha malah debarannya makin kuat apabila dengan sengaja Kak Nurin menyuruhnya duduk bertentangan dengan Thaqif.

"Apa kata kita makan ramai-ramai? Rasanya sepanjang majlis ni berlangsung, tak ada pun yang makan lagi. Minah, makanan dah siap ke?" soal Encik Idris.

Puan Aminah teringatkan sesuatu lantas bangun selepas memanggil kedua-dua anak perempuannya untuk menolong menghidangkan lauk-pauk. Nuha turut bangun namun dengan pantas ditegah oleh Kak Nurin.

"Nuha duduk ajelah temankan tetamu, biar kita orang yang hidangkan makanan." Kata-kata Kak Nurin membantutkan niat Nuha. Dia kembali duduk di sebelah ayahnya. Dia tidak berani untuk angkat muka, takut bertembung pandang dengan Thaqif yang duduk berhadapan dengannya.

"Qif ada berapa orang adik-beradik?" soal Encik Idris yang cuba beramah mesra.

"Tiga orang, pak cik. Adik Qif ada dekat Kedah sekarang ni, tinggal dengan mak saudara. Kakak pula tinggal dekat India, ikut suami dia kerja dekat sana," terang Thaqif. Puan Maryam hanya menganggukkan kepala.

"Suami kakak Qif kerja apa?" soal Encik Idris, ingin tahu.

"Doktor, pak cik," jawab Thaqif. Sekali-sekala dia menjeling kepada Nuha yang sedang memandang wajah Encik Idris. Terkedu sebentar Thaqif saat melihat wajah Nuha yang kelihatan sungguh berseri-seri. Mata bundar itu juga kelihatan bersinar-sinar. Cukup indah sehingga membuatkan dia enggan mengalihkan pandangan.

"Nanti boleh bawa Nuha pergi honeymoon dekat sana," sampuk Kak Nurin yang muncul entah dari mana.

Thaqif tersentak. Laju saja wajahnya dipalingkan ke tempat lain apabila Nuha mula mengangkat wajah. Kali ini wajah Kak Nurin yang dipandang. Honeymoon? Macam tak nak pula.

"Insya-Allah, hajat hati memang nak suruh mereka ni honeymoon dekat sana, maklumlah kakaknya tu bukannya boleh balik ke Malaysia jadi rasanya bolehlah mereka ke sana lepas kahwin nanti," sampuk Puan Maryam.

Encik Idris dan Kak Nurin berpandangan. Mereka tersenyum sesama sendiri.

Sedangkan Thaqif terkelu mendengar kata-kata Puan Maryam. Ini sudah lari daripada rancangan. Aku tak nak berbulan madu ke mana-mana pun! bentak hati Thaqif. Tapi untuk menjawab kata-kata Puan Maryam dia tidak berani. Hanya pandangan penuh tanda tanya dilemparkan kepada ibunya.

Puan Maryam hanya tersenyum membalas pandangan Thaqif. Memang itulah rancangannya untuk mendekatkan Nuha dengan Thaqif. Mana tahu dengan rancangan berbulan madu ke India ini boleh mengubah prinsip hidup anak lelakinya itu.

"Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya bolehlah buka minda Nuha ni. Dia ni asyik memerap dalam rumah aje kalau time tak bekerja, menghadap novel ajelah kerjanya," sampuk Puan Aminah dari belakang.

Nuha tersentak. Dia memandang Thaqif yang kelihatan tidak selesa. Mungkin lelaki itu tidak bersetuju dengan cadangan Puan Maryam.

"Tak payahlah kita bincang pasal hal tu, apa kata kita makan dulu. Mak cik, cikgu, jemput makan..." Nuha bersuara bagi meredakan suasana.

Dia duduk bersimpuh di sisi Puan Aminah yang sedang menyendukkan nasi ke atas pinggan. Puan Aminah menghulurkan pinggan yang berisi nasi kepada Nuha dan memberi isyarat supaya dia memberikan pinggan tersebut kepada Thaqif. Nuha terpaku sebentar sebelum menyambut pinggan tersebut.

Eh, cepat betul mak aku ni terima Thaqif, hari itu bukan main lagi tak suka bila dengar aku nak kahwin, sekarang apa dah jadi? hatinya berkata-kata.

Namun dengan wajah yang tebal empat lapis, Nuha menghulurkan pinggan yang berisi nasi putih kepada Thaqif. Dia menundukkan pandangan apabila bertentang mata dengan anak mata Thaqif. Sekali lagi dada Nuha berdebar hebat.

Thaqif menyambut huluran daripada Nuha. Dia perasan pipi Nuha sudah berona merah. Dia tahu gadis itu malu. Namun, dia hanya mendiamkan diri. Wajahnya dipalingkan ke arah Puan Maryam dan Puan Aminah yang sedang leka bercerita itu dan ini. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.

Nuha turut terdiam sambil mendengar perbincangan yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak keluarga. Sesekali dia tersenyum namun tiba-tiba dia terasa seperti diperhatikan oleh seseorang lantas dia mendongak.

Duppp! Bagaikan terkena kejutan elektrik, darah Nuha seakan-akan berhenti mengalir saat anak matanya bertembung pandangan dengan Thaqif yang sedang merenungnya. Dia melemparkan senyuman manis dan senyumannya berbalas. Sungguh saat ini Nuha terasa bagaikan berada di awang-awangan. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan. Gementar habis!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: