Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"BANGUN semua!" ucap Ghani selaku ketua kelas tingkatan Lima Progresif. Semua pelajar di dalam kelas tersebut bangun setelah melihat seorang guru lelaki yang segak berbaju kemeja berjalan dengan penuh karisma melangkah masuk ke dalam kelas. Senyuman manis terukir di bibirnya yang merah.

Nuha yang sedang berdiri sedikit terpegun melihat cikgu lelaki tersebut. Cikgu yang sama terserempak dengannya semalam. Subhanallah, tenangnya wajah dia, bisik hati Nuha. Dia terpesona dengan ciptaan Allah yang berada di hadapan matanya.

"Assalamualaikum, cikgu!" Ghani memberi salam sambil diikuti oleh rakan sekelas yang lain.

Cikgu lelaki itu tersenyum manis dan menjawab salam dengan lembut. Selepas dia membenarkan pelajar duduk, cikgu lelaki tersebut berdeham sebelum menyambung kata-kata.

"Mesti kamu semua tertanya-tanya siapa saya, kan? Baiklah saya kenalkan diri saya dulu. Nama saya Thaqif Aswad, cikgu Ekonomi Asas kamu yang baru menggantikan Cikgu Mazlina. Saya harap kamu semua dapat memberikan kerjasama kepada saya," ucap Thaqif penuh dedikasi sebagai seorang guru.

"Baik, cikgu!" jawab pelajar-pelajar Lima Progresif serentak. Thaqif tersenyum lagi sambil membetulkan cermin matanya yang terlorot jatuh.

"Alahai... Comelnya dia, Nuha. Aku nak buat pengakuan dekat kau, mulai hari ni lelaki idaman aku mestilah bercermin mata," bisik Fatin rapat ke telinga Nuha. Nuha menjeling. Entah apa-apalah member aku ni. Tapi betul, aku pun rasanya dah jatuh cinta. Jatuh cinta kepada Cikgu Thaqif!

"Good! Kalau macam tu, bolehlah saya kenal kamu satu per satu, kan? Memandangkan kelas ni cuma ada dua puluh orang, jadi tak susah untuk saya ingat nama kamu semua. Baiklah kita mulakan dengan sebelah kanan, tolong kenalkan diri," pinta Thaqif pada Mona yang duduk di hadapan di sebelah tingkap.

Nuha hanya merenung wajah Thaqif yang tenang. Apabila lelaki itu tersenyum, Nuha turut tersenyum. Anak mata Thaqif yang berwarna coklat perang itu dipandang. Comel, desis hatinya sebelum matanya beralih kepada hidung Thaqif yang mancung. Perfect!

"Awak pula, siapa nama?" suara Thaqif menghentikan lamunan Nuha. Dia mendongak memandang wajah Thaqif. Serta-merta air liur ditelan. Panahan anak mata itu menusuk terus ke jantung dan menggoncang hatinya sehingga menjemput debaran yang tidak henti-henti.

"Nuha, cikgu tanya tu jawablah. Diam pula kau ni," bebel Fatin sambil menyiku lengan Nuha yang kelihatan sedang terpinga-pinga.

"Hah? Oh, okey..." Dengan pantas Nuha berdiri. Dia menarik nafas panjang namun apabila memandang wajah Thaqif yang sedang tersenyum, hati Nuha bagaikan cair. I'm melting!

"Nama saya, Nuha Saqeena tapi cikgu boleh panggil saya Nuha aje," ucap Nuha dalam satu nafas. Sudah tidak dapat ditahan rasa yang membalut hati. Rasa nak terkucil pun ada saat ini.

"Nuha Saqeena? Hmmm... Sedap nama tu," puji Thaqif, ikhlas.

Nuha hanya tersenyum kemudian duduk. Dia mengangkat kening pada Fatin yang sudah mencebik. Sukalah tu, cikgu handsome puji nama dia sedap. Nama aku pun sedap apa, Fatin Aqilah, bisik hati Fatin.

"Okey, sekarang kita buka QA session. Ada apa-apa soalan yang kamu nak tanya cikgu?" tambah Thaqif lagi. Sengaja dia memberi peluang kepada pelajarnya untuk bertanya, mungkin dengan cara ini dia boleh mengeratkan lagi jurang antara guru dan pelajar.

"Cikgu dah kahwin?" Satu suara menyoal dari belakang membuatkan Thaqif tersenyum lebar.

Nuha dan Fatin menanti penuh debaran jawapan yang bakal diberikan oleh Thaqif. Jawablah tak. Tak. Tak. Tak... Hati mereka berkata.

"Dah, saya dah kahwin. Insya-Allah bulan depan cikgu akan menimang cahaya mata yang pertama," jawab Thaqif bersahaja.

Bagaikan petir yang membelah bumi, jawapan Thaqif meremukkan hati Nuha. Jawapan itu cukup mengecewakannya. Matanya tiba-tiba menitiskan air mata. Nuha tersentak. Kenapa pula dengan aku ni? bisik hatinya tidak keruan. Dia sendiri tidak mampu mengawal apa yang dilakukannya. Kenapa aku sedih sangat ni? Hatinya bertanya lagi. Dia menundukkan wajah.

"Nampaknya kita kena lupakan hasrat nak mengurat cikgu ni. Dia dah berpunya, Nuha," bisik Fatin di telinga Nuha.

Nuha hanya mendengar kata-kata Fatin dengan hati yang sebal. Dia sendiri tidak tahu kenapa harus sedih? Kenapa harus kecewa apabila mendapat tahu lelaki itu sudah berkahwin. Biarlah, dia bukan sesiapa pun dengan lelaki itu cuma perasaannya lain apabila berhadapan dengan lelaki itu. Adakah dia sudah menjadi mangsa cinta pandang pertama? Wujudkah cinta pandang pertama itu?

NUHA tersentak apabila namanya dipanggil oleh Puan Maryam. Kenangan silam lenyap dari ingatan. Kini dia kembali ke alam realiti. Dia mengorak langkah menuju ke arah Puan Maryam yang sedang berbincang sesuatu yang serius dengan Thaqif. Wajah lelaki yang dipuja dalam diam itu kelihatan tegang.

Dia menghampiri kedua-dua insan itu. Pandangan Mak Cik Zakiah yang pelik tidak dipedulikan. Dia tahu pasti ada sesuatu yang penting sehinggakan Thaqif memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk Nuha tafsirkan.

"Ya, mak cik? Mak cik panggil Nuha ke?" soal Nuha sambil berdiri di sisi Puan Maryam.

"Yup, mak cik ada sesuatu nak cakap tapi mak cik rasa biarlah Qif yang beritahu kepada Nuha sendiri," ucap Puan Maryam sambil memandang Thaqif yang sedang mengerutkan dahi.

"Nak cakap apa, mak cik?" soal Nuha lagi. Dia duduk di sebelah Puan Maryam. Wajah Puan Maryam dan Thaqif dipandang silih berganti. Kenapa aku rasa macam ada yang tak kena aje? bisik hati kecil Nuha.

"Qif, kamu cakaplah. Ibu nak ke dalam," ujar Puan Maryam sebelum berlalu meninggalkan Thaqif dan Nuha yang dilanda tanda tanya.

Thaqif hanya memandang kelibat ibunya yang menghilang di sebalik pintu. Pandangannya beralih ke arah laman wajah Nuha yang kelihatan tenang. Dia yakin pasti Nuha tertanya-tanya apa yang hendak dibincangkan. Tapi dia lakukan semua ini hanya untuk ibu dan anak-anaknya. Dia reda apa saja penerimaan Nuha nanti.

"Kenapa ni, cikgu? Tak pernah saya tengok mak cik serius macam tu. Ada yang tak kena ke?" Nuha memberanikan diri untuk bertanya. Suasana yang lengang ketika ini membuatkan dia berani untuk bersuara mencari kebenaran.

"Memang ada yang tak kena pun, Nuha. Bukan mak cik yang tak kena, tapi saya," balas Thaqif, serius.

"Kenapa ni, cikgu? Saya tak faham," balas Nuha. Keningnya bertaut.

"Saya nak awak dengar semua penjelasan saya dulu. Selepas tu barulah awak boleh buat keputusan, okey?" Thaqif memulakan bicara. Agak kekok untuk dia berbincang dengan gadis semuda Nuha. Tapi kata-kata Puan Maryam tidak boleh dibangkang. Belum cuba, belum tahu, bisik hatinya.

"Okey," balas Nuha, pendek. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Thaqif yang kelihatan resah. Dahi lelaki itu berpeluh-peluh. Gementar agaknya.

"Saya rasa awak tahu tentang cerita hidup saya, kan? Mesti ibu saya ada ceritakan dekat awak tentang masalah yang saya hadapi sekarang. Actually, itu bukanlah masalah pada saya, cuma dugaan yang perlu saya hadapi untuk menempuh hidup ini. Dalam hidup saya, saya pegang prinsip bercinta sekali berkahwin pun biarlah sekali. Malah, saya tak pernah fikirkan perempuan lain selepas isteri saya meninggal sewaktu melahirkan Dani dan Dania. Tetapi keadaan saya hari ini memaksa saya untuk memikirkan perempuan lain yang perlu saya jadikan sebahagian daripada hidup saya," ucap Thaqif panjang lebar. Dia merenung tepat ke dalam mata Nuha yang masih menanti kata-kata daripadanya.

"Bukan saya tak mampu untuk menjaga Dani dan Dania, cuma saya perlukan sokongan daripada seorang wanita yang boleh jadi ibu kepada Dani dan Dania. Saya ayah mereka, tapi saya tak boleh nak berikan kasih sayang sebagaimana seorang ibu berikan kepada seorang anak. Saya harap awak faham apa yang saya cuba sampaikan ini, Nuha," sambung Thaqif lagi.

Nuha terkelu. Namun, hatinya sudah berdetak tidak menentu. Adakah kata-kata itu bermaksud...

"Sudi tak awak jadi ibu kepada anak-anak saya, Nuha Saqeena?" soal Thaqif, spontan tanpa selindung-selindung.

Nuha tersentak. Laju saja pandangannya bertaut dengan anak mata Thaqif yang setia memandang wajahnya. Mulut Nuha bagaikan digam. Wajahnya sudah berbahang. Dengan pantas dia menundukkan kepala. Malunya!

"Tapi kenapa mesti saya?" soal Nuha akhirnya dengan wajah ditundukkan. Suaranya kedengaran tenggelam timbul akibat menahan rasa debar yang berlagu hebat.

"Saya nampak anak-anak saya sayangkan awak dan awak sayangkan anak-anak saya, betul tak?" soal Thaqif, menduga.

Laju saja Nuha mengangguk. Memang dia sayangkan si kembar itu. Malah dia sudah menganggap Dani dan Dania macam adiknya tapi tak sangkalah pula ayah si kembar mahu menjadikannya ibu kepada mereka berdua. Bersediakah Nuha untuk semua ini?

"Saya sayangkan anak-anak cikgu malah saya dah anggap Dani dan Dania macam adik saya sendiri tapi saya tak sangka yang cikgu..." Kata-kata Nuha mati di situ. Dia memberanikan diri untuk memandang wajah Thaqif yang masih kelihatan tenang. Macam mana dia boleh setenang itu sedangkan hati aku memang tak mampu untuk bertenang saat ini? desis hati Nuha sebelum dia kembali menundukkan pandangannya.

"Saya melamar awak ini bukan kerana terpaksa ataupun dipaksa tetapi saya perlukan pertolongan awak untuk mendidik dan mengasuh anak-anak saya. Kalau awak tak boleh nak anggap dia macam anak-anak awak pun saya tak kesah. Awak anggaplah Dani dan Dania tu macam adik awak. Pernikahan ini adalah alasan untuk membolehkan awak tinggal bersama dengan kami. Memang tak logik kan awak dan saya tinggal dalam satu rumah tanpa sebarang ikatan?" balas Thaqif, penuh diplomasi.

Thaqif merenung wajah Nuha yang sedang tunduk. Dari pertama kali dia melihat Nuha, dia tahu gadis itu seorang pemalu. Gadis itu pasti menundukkan wajahnya apabila berhadapan dengan Thaqif, itu yang Thaqif perasan. Kenapa ya agaknya?

"Ya, saya tahu. Tapi perasaan cikgu pula macam mana?" soal Nuha kembali.

"Asalkan awak terima, itu cukup melegakan hati saya. Lagipun, ibu saya dah berkenan dengan awak," balas Thaqif melindungi perasaannya yang sebenar.

Nuha menggigit bibir. Dia agak segan untuk bicara soal peribadi begini namun apa yang boleh dikatakan? Lelaki yang dipuja dalam diam sudah melamarnya, perlukah dia menolak?

"Hmmm... Kalau macam tu, cikgu jumpalah dengan mak dan ayah saya. Semua keputusan saya serahkan kepada mereka," ucap Nuha, perlahan.

Namun kata-kata itu didengari oleh Thaqif. Dia tersenyum nipis.

"Baiklah, nanti saya bincang dengan ibu. Awak pergilah buat kerja awak," balas Thaqif.

Nuha mengangguk dan berdiri tanpa memandang wajah Thaqif. Sungguh dia malu, apatah lagi saat terpandangkan Puan Maryam yang sedang tersenyum lebar. Betul ke apa yang aku putuskan ini?

"KAU dah fikir masak-masak ke nak kahwin?" soal Puan Aminah ketika mereka tiga beranak sedang menjamu selera.

Suapan Nuha terhenti. Dia memandang wajah Puan Aminah yang serius sebelum pandangannya beralih pula kepada wajah ayah tirinya yang diam seribu bahasa.

"Dah fikir, mak. Nuha serahkan keputusan di tangan mak. Kalau mak terima pinangan Mak Cik Maryam, Nuha terima aje," jawab Nuha perlahan.

"Kau tu muda lagi. Keputusan SPM pun tak ambil lagi, yang gatal sangat nak kahwin ni, kenapa?" tanya Puan Aminah agak kasar. Dia merenung anak daranya itu dengan pandangan tajam.

Nuha terdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Apa yang berlaku hanya dia yang rasa betapa beratnya untuk menolak lamaran Thaqif apabila teringatkan Dani dan Dania. Puan Maryam juga turut menaruh harapan yang tinggi kepadanya.

"Mak cik harap sangat Nuha jadi menantu mak cik dan jadi ibu kepada cucu-cucu mak cik ni. Mak cik tahu Nuha masih muda, tapi mak cik yakin Qif takkan membebankan Nuha. Dia cuma perlukan seseorang untuk temani dia menjaga si kembar ni. Tapi kalau Nuha tak setuju dengan lamaran ni, mak cik tak paksa," kata-kata Puan Maryam petang tadi terngiang-ngiang kembali di telinga Nuha membuatkan seleranya terbantut.

"Biar ajelah dia kahwin dah nak kahwin sangat. Senang juga hidup awak nanti dapat bermenantukan cikgu sekolah. Mak dia tauke kantin pula tu. Apa awak nak kesahkan sangat? Tak payah sambung belajar pun tak apa. Belajar tinggi-tinggi tapi ke dapur juga akhirnya." Encik Idris bersuara lantas menyentakkan lamunan Nuha.

Nuha mengetap bibir. Dia tidak suka mendengar apa yang dikatakan oleh ayah tirinya itu. Dia ingin berkahwin dengan Thaqif bukan kerana harta tapi kerana hatinya memang suka kepada lelaki itu.

"Ayah, Nuha bukan nak kahwin dengan Cikgu Thaqif sebabkan duit. Nuha ikhlas," jawab Nuha, perlahan.

Encik Idris merenung tajam wajah anak tirinya itu. Dia mencebikkan bibir.

"Ikhlas konon. Kau ingat kau boleh hidup dengan ikhlas aje?" balas Encik Idris.

"Kau boleh kahwin tapi duit kau kena bagi macam biasa. Kau dah dapat anak orang kaya takkan duit pun kau tak boleh bagi?" sambung Encik Idris lagi.

Nuha tersentak. Ya Allah, kenapa duit juga yang diungkit oleh ayah tirinya ini? Lalu, Nuha memandang wajah maknya yang kelihatan bersahaja.

"Kalau itu yang ayah kau cakap, mak ikut aje. Lepas kahwin jangan tak hantar duit pula. Banyak benda lagi nak kena bayar," balas Puan Aminah lalu mengangkat pinggan menuju ke dapur.

Nuha mengeluh. Kenapa keluarganya tidak seperti keluarga orang lain? Tidak pernah dia rasa secebis kasih sayang yang diberikan oleh Puan Aminah dan Encik Idris. Mungkin aku harus pergi barulah mereka sedar kasih sayang yang aku harapkan selama ini, bisik hati Nuha, pilu.

AIR mata yang menuruni lekuk pipi diseka dengan jari-jemarinya. Hati Nuha benar-benar terganggu dengan kata-kata Puan Aminah dan Encik Idris. Entah mengapa dia merasakan dirinya dipinggirkan oleh Puan Aminah dan Encik Idris.

Bunyi pintu dikuak dari luar membuatkan Nuha lekas-lekas menyapu sisa air matanya. Dia bingkas duduk di birai katil.

"Boleh akak masuk?" soal Kak Nurin sambil menjengukkan kepalanya di muka pintu.

Nuha hanya menganggukkan kepala.

Kak Nurin melangkah masuk dan menghampiri Nuha yang sedang membelakanginya. Dia menyentuh lembut bahu adik tirinya itu. Dia faham perasaan Nuha yang kecewa ketika ini, tetapi apa yang boleh dia lakukan?

"Nuha menangis?" soal Kak Nurin, lembut. Dia cuba mengintai wajah Nuha tetapi Nuha sedikit pun tidak berganjak. Dia lebih rela memandang dinding daripada memandang wajah Kak Nurin.

"Akak faham perasaan Nuha, tapi Nuha tak boleh terus bersedih macam ni. Kalau Nuha percaya keputusan Nuha ni betul, Nuha kena buktikan kepada mak dan ayah. Ayah dan mak cuma nak yang terbaik untuk Nuha. Dia tak nak masa depan Nuha sia-sia macam tu aje," nasihat Kak Nurin.

Nuha menyapu air matanya yang masih mengalir di pipi.

"Nuha tahu Nuha masih muda tapi Nuha takkan lupakan tanggungjawab Nuha sebagai anak. Nuha cuma nak tolong Mak Cik Maryam dan Cikgu Thaqif aje. Nuha kasihankan budak-budak tu. Kalau mak dan ayah takut Nuha tak berjaya lepas Nuha kahwin, itu tak betul. Nuha akan tetap sambung belajar walaupun Nuha dah kahwin. Cikgu Thaqif pun setuju kalau Nuha sambung belajar. Cikgu Thaqif tu baik, kak. Akak cubalah yakinkan mak dan ayah," rayu Nuha lagi.

Nuha berpaling ke arah Kak Nurin. Tangan kakaknya itu dipegang kemas.

Kak Nurin tersenyum manis. Dia membalas genggaman Nuha. Walaupun dia tidak tinggal satu sebumbung dengan Nuha tetapi dia cukup kenal dengan adik bongsunya ini. Status sebagai adik-beradik tiri bukan penghalang untuk Kak Nurin menyayangi Nuha seperti adiknya sendiri.

"Akak akan cuba, tapi Nuha pun kena sama-samalah yakinkan mak dengan ayah. Nuha tahu kan perkahwinan ni bukan perkara yang main-main. Tambahan pula Nuha tu muda lagi. Baru lepas habis SPM. Nuha dah fikir masak-masak ke?" soal Kak Nurin lagi.

Nuha menundukkan wajah. Sejak dia menerima lamaran daripada Thaqif, Nuha langsung tidak memikirkan perkara lain selain lelaki itu. Fikiran dan hatinya hanya dipenuhi dengan nama Thaqif. Sukar untuk dia memikirkan perkara lain.

"Nuha dah fikir masak-masak, kak. Lagipun Nuha kasihankan Mak Cik Maryam, dia betul-betul harapkan Nuha jadi menantunya. Dani dan Dania tu dah panggil Nuha mama, tak sampai hati pula Nuha nak hampakan mereka," balas Nuha.

"Habis tu perasaan Nuha pula macam mana? Nuha sanggup pikul tanggungjawab sebagai seorang ibu pada usia semuda ni?" tambah Kak Nurin lagi.

Nuha menghela nafas panjang. Pandangan Kak Nurin dibalas.

"Nuha sukakan Cikgu Thaqif, kak. Walau apa pun yang terjadi, Nuha tetap akan cuba untuk pikul tanggungjawab tu. Nuha tahu, jadi isteri dan ibu bukan perkara yang mudah tapi Nuha percaya Allah akan sentiasa membantu niat baik setiap hamba-hamba-Nya. Nuha tak mengharapkan apa-apa pun daripada perkahwinan ni cuma Nuha harapkan Nuha dapat kebahagiaan yang Nuha cari," balas Nuha.

"Dan Nuha rasa Cikgu Thaqif itu mampu berikan Nuha kebahagiaan? Dia pernah berkahwin, Nuha rasa senang ke dia nak lupakan arwah isterinya tu?"

Soalan Kak Nurin membuatkan Nuha tersentak. Dia mengetap bibir. Dia tahu jalan untuk dia mendapatkan kebahagiaan itu pasti sukar tetapi jika dia tidak berusaha dan mencuba, kebahagiaan itu tidak akan datang bergolek.

"Nuha yakin dengan takdir Allah, kak. Nuha juga yakin dengan jodoh yang Allah tetapkan untuk Nuha. Cikgu Thaqif pasti akan dapat berikan Nuha kebahagiaan. Cukuplah cinta yang ada pada Nuha ini untuk Nuha hidup bersama dengan Cikgu Thaqif," balas Nuha.

Kak Nurin menarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan. Semangat yang ditunjukkan oleh Nuha amat luar biasa. Mungkin itu adalah kekuatan cinta adiknya untuk lelaki bernama Thaqif. Dia tidak mampu berkata apa-apa lagi kalau itu yang dimahukan oleh Nuha. Tugasnya sebagai seorang kakak adalah untuk menyokong niat adiknya itu. Bukankah perkahwinan itu satu perkara yang mulia?

"Kalau macam tu, akak tak dapat nak buat apa-apalah. Nuha dah buat keputusan, akak akan terus menyokong adik akak ni dari belakang. Akak doakan Nuha jumpa kebahagiaan yang Nuha cari selama ni," ujar Kak Nurin dengan senyuman.

Dia mengelus lembut rambut Nuha sebelum tubuh itu ditarik ke dalam pelukan.

Nuha turut tersenyum manis. Lega hatinya dengan penerimaan Kak Nurin. Sekurang-kurangnya masih ada yang menyokong keputusannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: