Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

THAQIF merenung wanita yang berada dalam gambar. Sekali- sekala dia mengusap gambar

perkahwinannya. Tanpa sedar, ada titisan air mata yang jatuh menitik di atas gambar itu. Thaqif tersedar lantas menyeka manik jernih itu.

"Abang rindukan Wahi. Sampai sekarang abang tak mampu untuk lupakan Wahi walaupun Wahi dah tak ada di samping abang. Susah untuk abang terima hakikat yang Wahi tak ada depan mata abang. Wahi, kenapa tinggalkan abang secepat ini? Kenapa tak bawa abang sekali, sayang? Kenapa tinggalkan abang?" rintih Thaqif sambil memeluk bingkai gambar itu.

Dalam gambar itu, Wahi tersenyum ceria ketika mereka telah selamat diijabkabulkan dua tahun yang lepas. Masih jelas tergambar hari gembira mereka itu di mana lafaz janji termeterai antara mereka berdua.

"Wahi janji akan cintakan abang sampai hujung nyawa Wahi. Wahi harap abang pun macam tu, jangan pernah abang cuba-cuba untuk cintakan orang lain. Kalau abang cintakan orang lain bermakna abang memang tak pernah cintakan Wahi. Ingat tu!"

Masih terngiang-ngiang kata-kata janji Waheeda yang dilafazkan pada malam perkahwinan mereka. Ketika itu Thaqif hanya mampu ketawa kerana tiada sesiapa dalam hatinya kecuali Waheeda. Perkenalan sewaktu menuntut di UPSI membawa mereka ke jinjang pelamin. Tetapi dia tidak menyangka cinta yang disulam hanya untuk seketika.

"Isteri encik dah tak ada. Allah lebih sayangkan dia..."

Kata-kata keramat daripada doktor yang merawat Waheeda menghancurkan rasa gembira Thaqif saat menyambut kelahiran anak sulung mereka. Dia terdiam tanpa kata. Seluruh alam dirasakan kosong walaupun esak tangis si kembar kedengaran kuat di telinga. Akhirnya, Thaqif jatuh terduduk di sisi katil Waheeda yang terbaring kaku. Dia dapat merasakan separuh nyawanya melayang.

"Abang janji, sayang... Hanya cinta sayang yang pertama dan yang terakhir buat abang. Takkan ada mana- mana perempuan yang akan dapat mengubah cinta ini malah perasaan cinta dah terkubur bersama dengan jasad sayang. Abang doakan sayang aman di sana," ucap Thaqif lagi sambil mencium gambar yang kaku itu. Kemudian dia memeluk gambar itu dengan erat.

"Sudahlah tu, Qif. Jangan diratap orang yang dah pergi. Tak elok," tegur satu suara menyentakkan lamunan Thaqif.

Dengan pantas Thaqif menyeka air matanya yang bercucuran. Wajah Puan Maryam yang berada di sebelah dipandang dengan senyuman hambar.

"Entahlah, ibu... Tiba- tiba rasa rindu kepada arwah bila tengok muka Dania," luah Thaqif sambil pandangannya dihalakan ke kaca televisyen.

Puan Maryam mengeluh. Dia sendiri pening memikirkan masalah yang melanda anaknya yang satu ini. Sudah lama dia tidak mendengar suara tawa anak lelakinya itu malah, dia juga merindui senyuman manis Thaqif yang hilang sejak kematian Waheeda.

"Ibu faham perasaan Qif. Sebab ibu pun pernah kehilangan orang yang paling ibu sayang, tapi ibu terima semua ini sebab ibu tahu, Allah takkan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Allah ambil Wahi sebab Allah sayangkan dia dan pasti Allah akan gantikan Wahi dengan yang lebih baik," ucap Puan Maryam sambil menggenggam tangan Thaqif.

"Tapi Qif tak nak tempat Wahi digantikan dengan orang lain. Tak ada sesiapa pun yang dapat gantikan Wahi dalam rumah ni ataupun dalam hati Qif, bu. Dia yang pertama dan Qif akan pastikan dia yang terakhir berada dalam hati dan hidup Qif," potong Thaqif. Suaranya kedengaran tegas.

"Jangan terlalu awal membuat keputusan, Qif. Cuba Qif pandang sekeliling. Jangan pentingkan diri sendiri. Anak Qif perlukan kasih sayang seorang ibu."

"Qif boleh jaga kembar tu tanpa ada perempuan lain yang gantikan tempat mama mereka, ibu. Qif boleh jaga mereka sorang," bantah Thaqif.

Puan Maryam mengeluh. Dia menggelengkan kepala dengan sikap keras kepala anaknya itu.

"Qif lelaki, Qif takkan boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Macam mana pula dengan kerja Qif dekat sekolah? Cuba bayangkan kalau umur ibu tak panjang, siapa yang nak uruskan dan jaga Dani dan Dania? Qif pernah tak fikirkan semua tu? Ibu tahu Qif sayangkan sangat Wahi, ibu pun sama. Tapi, fikirkan tentang anak-anak Qif. Mereka perlukan belaian dan didikan seorang ibu bukan saja seorang ayah. Ibu tak minta Qif lupakan Wahi, tapi ibu cuma mahukan yang terbaik untuk cucu dan anak ibu," ujar Puan Maryam meluahkan perasaan yang lama terbuku dalam hatinya.

Thaqif mendiamkan diri. Kata-kata Puan Maryam berlegar-legar dalam fikiran.

"Macam mana Qif nak terima perempuan lain jadi isteri Qif sedangkan cinta Qif cuma untuk Wahi. Qif tak nak seksa anak dara orang, ibu," balas Thaqif setelah agak lama mendiamkan diri.

Puan Maryam tersenyum. Sedikit sebanyak kata- kata Thaqif menunjukkan tanda positif.

"Anggaplah semua yang Qif lakukan ini semata- mata kerana tanggungjawab. Tanggungjawab kepada anak- anak Qif. Cinta boleh datang kemudian tapi kalau Qif berkeras tak nak bercinta, biarlah apa yang berlaku kekal sebagai tanggungjawab," ucap Puan Maryam dengan senyuman yang cuba meyakinkan anaknya.

Thaqif mengeluh berat. Tanggungjawab? Mampukah aku memikul tanggungjawab sebagai seorang suami sekali lagi?

"Tapi Qif tak ada calon..."

"Takkan tak ada cikgu-cikgu yang bujang dekat sekolah?" soal Puan Maryam.

Thaqif hanya mengangkat bahu. Semenjak berkahwin dengan Waheeda, dia tidak pernah pandang perempuan lain pun, malah hanya Waheeda yang mampu membuka hatinya untuk mengenal cinta yang selama ini tidak dipedulikan oleh Thaqif.

"Tak apalah kalau macam tu. Kalau Qif dah buka hati untuk menerima jodoh lain, pasti Allah tunjukkan jalan," ucap Puan Maryam.

Puan Maryam tersenyum memandang wajah Thaqif yang tenang. Hanya seorang yang sesuai untuk jadi ibu kepada cucu aku, bisik hati Puan Maryam.

"FATIN, jom temankan aku pergi pejabat sekejap? Aku nak hantar buku rekod kedatangan ni," ajak Nuha sambil menarik tangan sahabat baiknya itu.

Dengan rasa malas, Fatin bangun dan membuntuti langkah Nuha yang sudah memanjangkan langkah. Sudah menjadi tugas penolong ketua kelas untuk menghantar buku rekod kedatangan sebelum sesi persekolahan tamat. Dan itu adalah tugas Nuha namun, yang jadi mangsa adalah Fatin. Asyik jadi peneman setia saja. Kalau dia malas, Nuha akan menarik muka 14. Itu yang Fatin tidak sanggup tu.

"Lambatlah kau ni, Atin. Cepat sikit, kejap lagi loceng nak bunyi," bebel Nuha sambil mempercepatkan langkahnya.

"Yalah-yalah. Sabarlah sikit, kau tu yang jalan laju, salahkan aku pula," balas Fatin geram.

Nuha meneruskan langkah sehingga sampai ke muka pintu pejabat namun, langkahnya tiba-tiba terhenti apabila matanya tertancap kepada figura seorang lelaki yang segak memakai kemeja berwarna hijau gelap. Manakala di hidung mancungnya terdapat cermin mata yang menutupi anak mata coklat perang miliknya. Nuha terpegun apabila lelaki itu melemparkan senyuman manis kepada kerani yang bertugas petang itu. Walaupun pipi itu tidak dihiasi dengan lesung pipit tapi senyuman itu cukup menawan. Memang menawan dan lebih parah, senyuman itu telah menawan hatinya!

Nuha menyentuh dadanya yang berdebar secara tiba-tiba. Matanya masih tidak berganjak dari memandang ke arah lelaki itu. Siapa dia? Nuha tersedar apabila bahunya dicuit seseorang. Dia berpaling.

"Kau tengok apa tu?" soal Fatin, pelik. Dia mengerutkan dahi.

"Tu..." Nuha memuncungkan mulutnya ke arah lelaki yang baru dilihatnya tadi. Kali ini lelaki itu kelihatan sedang ketawa mesra sambil mengusik Kak Zaiton, kerani sekolahnya. Sungguh, Nuha tertawan melihat wajah itu ketawa, mata lelaki itu akan mengecil apabila bibir itu meletuskan tawa. Nuha tersenyum sendirian. Aku dah jatuh cinta pandang pertama ke?

Fatin mengalihkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Nuha. Matanya yang berkelip, tiba-tiba berhenti berkedip. Mulutnya sedikit terlopong. Air liur ditelan. Kelat.

"Subhanallah!" Hanya itu yang terkeluar dari mulut Fatin.

Sebaik saja mendengar ungkapan itu, Nuha berpaling. Dahinya berkerut. Takkan Fatin pun terpikat?

"Cikgu baru ke, Nuha? Aku tak pernah tengok pun," tanya Fatin namun pandangannya masih terlekat pada laman wajah lelaki yang baru dilihatnya itu. 

"Mungkin kut, kita tengoklah esok macam mana, mesti ada pengumuman," balas Nuha yang berpura-pura tidak berminat dengan kehadiran lelaki itu. Padahal dalam hati hanya Allah yang tahu betapa dia ingin tahu siapakah gerangan lelaki berkaca mata itu?

"Kalau betullah dia cikgu baru dan ajar kelas kita, aku rasa memang aku takkan ponteng sekolah sampai bila- bila," ucap Fatin selamba.

Nuha ketawa lepas kemudian melangkah masuk ke dalam ruang ofis dan meletakkan buku rekod tersebut ke dalam bakul yang disediakan. Sempat lagi dia mencuri dengar perbualan lelaki itu dengan Kak Zaiton.

"Okeylah, kak... Saya ni baru lagi dekat sekolah. Banyak benda yang saya kena belajar. Esok saya ada kelas dengan form five pula, entah macam mana pula lagaknya," ujar lelaki itu ramah tanpa menyedari kehadiran Nuha yang sudah tersenyum sendirian. Dia menjeling tanda nama yang dipakai oleh lelaki itu.

Thaqif... bisik hati Nuha kemudian tersenyum. Namun, senyumannya mati apabila cikgu muda itu memandang ke arahnya dengan senyuman. Saat itu, Nuha rasakan dunianya bagaikan terhenti berputar. Debaran di dalam dada semakin laju membuatkan Nuha hanya mampu tersenyum tipis sebelum cepat-cepat berlalu. Dia bimbang tidak mampu menahan rasa yang bermain dalam kalbu.

Nuha melepaskan nafas yang panjang. Sesak nafasnya apabila melihat senyuman Thaqif yang memikat. Dia kembali mengatur langkah yang terawang-awang. Nuha menghampiri Fatin yang setia menunggu di hadapan pintu pejabat.

"Dah settle? Lamanya kau dekat dalam..." ucap Fatin dengan nada curiga.

Nuha tersengih. Dia membetulkan tudungnya yang ditiup angin.

"Aku dah dapat nama cikgu baru yang da bomb tu," ujar Nuha sambil menarik lengan baju Fatin supaya mengikuti langkahnya menuju ke kelas.

"Siapa nama dia?" soal Fatin tidak sabar-sabar. Dia benar-benar teruja.

"Adalah..." balas Nuha sambil tersenyum simpul. Fatin merengus. Spoil mood betullah Si Nuha ni.

Baru nak feeling lebih dengan cikgu baru yang segak tu.

"Cepatlah beritahu sebelum aku mogok lapar dengan kau," ugut Fatin membuatkan Nuha ketawa lepas namun cepat-cepat dia menekup mulutnya. Nuha, sopan sikit!

"Ikut suka kaulah nak mogok lapar ke nak berpiket sekalipun. Ada aku kesah?!" tempelak Nuha bersama tawa yang panjang.

Fatin menarik muka. Mulutnya sudah memuncung hampir sedepa. Geli hati pula Nuha melihatnya. Tawa yang bersisa, terus bersambung.

"Yalah-yalah, aku beritahu. Nama cikgu tu Thaqif. Puas hati?" soal Nuha sambil membulatkan matanya yang sedia bulat.

Fatin melebarkan senyuman. Oh, Thaqif. Sedap betul namanya. Takkan pendek itu saja? Tapi macam familiar aje nama Thaqif tu. Thaqif, Thaqif... Eh, takkanlah! detik hati Fatin kemudian dia berpaling memandang Nuha dengan muka penuh tanda tanya.

"Yang kau pandang muka aku macam muka aku tumbuh cendawan ni, kenapa?" soal Nuha, pelik.

"Cikgu Thaqif tu ajar subjek apa?" soal Fatin tiba- tiba.

"Mana aku tahu. Aku bukan pengetua. Kau ni pun. Aku ternampak nama dia pun secara tak sengaja," jelas Nuha.

"Lebih baik kau cek jadual yang Cikgu Rosmizah bagi semalam. Jadual baru tu," balas Fatin, tiba-tiba.

Dahi Nuha berkerut. Ketika itu mereka sudah sampai di muka pintu kelas mereka. Selepas mengetuk pintu, kedua-dua sahabat itu melangkah ke tempat duduk. Tinggal lagi 10 minit sebelum loceng waktu terakhir berbunyi. Kebetulan ketika itu waktu mata pelajaran Ekonomi Asas, guru yang mengajar subjek itu sudah berpindah, jadi mereka terpaksalah menunggu kedatangan guru yang baru.

"Apa kena-mengena cikgu tu dengan jadual kita?" Nuha menyambung pertanyaan yang terbantut.

"Cek ajelah dulu," arah Fatin.

Dengan lagak malas, Nuha mencapai fail kulit keras yang selalu dibawanya lalu mengeluarkan sekeping kertas A4 yang tercatat jadual waktu yang perlu dipatuhinya. Dia membaca satu per satu sebelum matanya tertancap pada sebaris nama guru yang mengajar subjek Ekonomi Asas. Terjegil matanya memandang sepotong nama yang membuatkan hatinya berdetak.

"Cikgu Thaqif?"






Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: