Bab 15
USAI mandi, Nuha melangkah ke almari untuk memilih pakaian. Namun tiba-tiba langkahnya terhenti apabila mengingatkan beg pakaiannya yang masih berada di luar. Alah, lupalah pula nak bawa masuk beg. Baju ada dekat dalam tu. Nak pergi ambil ke tidak? Kalau aku keluar dengan berkemban macam ni, mahu pengsan Thaqif nanti, bisik hati Nuha.
Dia berdiri sambil mengetuk-ngetuk dagu. Kemudian matanya tertancap pada almari empat pintu yang berada di hadapannya. Perlahan-lahan dia membuka pintu tersebut. Bulat mata Nuha melihat pakaian-pakaian perempuan yang masih tergantung di dalam almari tersebut.
"Mesti baju Kak Wahi," desis Nuha. Dia menyentuh baju kurung dan beberapa helai jubah yang bergantungan. Dalam hatinya sedikit tergores apabila Thaqif masih lagi menyimpan pakaian Waheeda di dalam almari meskipun tuan empunya diri sudah meninggal dunia.
Mungkin dia terlupa nak simpan kut. Nuha cuba menyedapkan hatinya.
Kemudian, dia menyelongkar baju-baju harian yang dipakai oleh Waheeda untuk dipakai buat sementara waktu. Lalu dia mencapai sehelai kain batik dan sehelai baju T lengan pendek berwarna putih. Nuha tertarik melihat baju T yang terlukis karikatur wajah Waheeda yang sedang tersenyum. Mesti baju Kak Wahi masa sekolah dulu. Teka hatinya lagi.
Lantas, Nuha menyarungkan baju tersebut di badan. Dia melihat penampilannya dalam cermin. Rambutnya yang masih basah dibiarkan melepasi bahu. Losen dicapai kemudian disapukan ke leher dan lengannya. Sekilas, mata Nuha mengerling pada Dani dan Dania yang sedang tidur. Bibirnya mengukir senyuman manis melihat keletah Dani dan Dania yang comel.
Dia menghampiri katil. Satu ciuman hinggap di dahi Dani dan Dania.
"Anak, bila nak bangun ni? Mama rindulah nak main-main dengan anak-anak mama yang comel ni," bisik Nuha sambil mengelus lembut ubun-ubun Dani. Pipi Dania pula dielus lembut.
"Sayang tidurlah. Mama nak pergi jenguk papa sekejap," ucap Nuha kemudian dia mencium dahi kedua-kedua anak yang polos itu. Tenang saja dia melihat wajah Dani dan Dania yang sedang nyenyak tidur. Entah apalah yang dimimpikan itu.
Nuha mengorak langkah menuju ke ruang tamu. Dia ingin lihat perkara yang dilakukan oleh Thaqif. Bibirnya mengukir senyuman sebaik saja melihat Thaqif yang sedang menyapu sampah di ruang tamu. Nuha bangga dengan lelaki seperti Thaqif yang tidak kekok mengemas rumah dan memasak.
Perlahan-lahan Nuha menghampiri Thaqif.
"Awak, saya dah siap mandi. Awak pergilah mandi pulak. Biar saya yang sambung kemas semua ni," ujar Nuha.
Thaqif berpaling apabila mendengar suara Nuha dari belakang. Dia terkaku melihat Nuha yang berdiri di hadapannya kini. Dia memandang penampilan Nuha dari atas sehingga ke bawah. Dia terkaku bukan kerana melihat wajah itu yang comel sebaliknya baju yang tersarung di tubuh genit itu menyentakkan emosinya. Serta-merta wajah Waheeda terlayar ke dalam fikiran.
"Siapa yang benarkan Nuha pakai baju tu?" soal Thaqif. Suaranya kedengaran tegang.
Dahi Nuha berkerut-kerut. Dia memandang baju T yang tersarung di tubuhnya. Salahkah pakai baju ni? soal hati Nuha.
"Tak ada siapa yang benarkan. Saya pakai aje sebab beg saya ada dekat luar. Lupa nak bawa sekali tadi. Kenapa awak macam tak suka aje saya pakai baju ni?" soal Nuha sambil memegang bajunya.
Thaqif mendengus. Baju itu amat bermakna kepada dirinya. Walaupun itu hanya baju biasa tetapi baju T itu adalah hadiah yang diberikan kepada Waheeda suatu ketika dahulu dan sekarang Nuha dengan selamba memakai baju tersebut sehingga membuatkan dia teringat kembali kenangan dia bersama Waheeda.
"Awak pergi tukar baju tu sekarang. Saya tak benarkan awak pakai baju isteri saya," ujar Thaqif dengan suara yang tegang. Bahasanya turut bertukar.
Nuha tersentak. Apa lagi salah aku kali ini?
"Tapi baju ni baju biasa aje," ujar Nuha, perlahan.
"Biasa bagi awak tapi tidak bagi saya!" Suara Thaqif meninggi. Melotot matanya memandang wajah Nuha yang sedang terkulat-kulat.
Bahu Nuha terenjut-enjut mendengar tengkingan Thaqif. Serentak air matanya mengalir laju. Tanpa berkata apa-apa, dia berlari masuk ke dalam bilik. Hatinya terluka kembali.
Thaqif meraup wajahnya dengan telapak tangan. Segera dia beristighfar, menyesali apa yang telah dikatakan kepada Nuha. Ya Allah, sekali lagi aku sakiti hati dia, desis hati Thaqif.
NUHA menutup pintu dengan kuat. Dia meluru ke atas katil dan menghamburkan tangisan yang tidak tertahan. Dia memeluk tubuh Dani yang sedang nyenyak tidur. Wajah polos itu dipandang lama.
"Papa jahat, Dani. Papa marahkan mama. Apa salah mama?" rengek Nuha sambil teresak-esak. Dia menyeka air matanya yang tumpah.
"Mama dah penat dengan semua ni, Dani. Mama dah penat," rintih Nuha lagi.
Sungguh pilu hatinya apabila teringatkan kata-kata Thaqif sebentar tadi. Teganya lelaki itu memarahinya untuk perkara yang remeh seperti itu. Kalau tak suka aku pakai baju ni, cakap elok-elok tak boleh? Ingat aku tak ada perasaan ke? bentak hati Nuha.
"Sekarang, Qif tahu yang Nuha sayangkan dia dan takkan tinggalkan dia. Jadi, ego dia akan lebih tinggi untuk mengelak daripada jatuh cinta kepada Nuha. Jadi kak long rasa lepas ni Nuha layan Qif sama macam Qif layan Nuha. Kita tengok macam mana reaksi Qif." Kata-kata Marlia terngiang-ngiang di telinga Nuha.
Nampaknya aku kena ikut apa yang kak long cakap. Aku dah penat mengejar cinta orang yang tak pernah cintakan aku. Ya, aku perlu tekad. Aku tak nak jadi perempuan yang lemah lagi. Cukuplah pengorbanan yang aku lakukan selama ini tapi apa yang aku buat tak pernah dihargai, keluh hati Nuha.
"Mama benci papa!" ucap Nuha lagi sambil menekupkan wajahnya ke bantal. Terenjut-enjut bahunya mengikut rentak tangis.
"Sampai bila mama nak benci papa?" Satu suara menyapa membuatkan Nuha tersentak. Dia terasa ada tapak tangan menyentuh bahunya.
Lantas, Nuha berpaling ke belakang. Kelihatan Thaqif duduk di birai katil sambil tersenyum kepadanya. Nuha menjeling. Dia menjarakkan diri.
Thaqif tersenyum melihat reaksi Nuha. Dia mendekatkan diri. Namun, sepantas kilat Nuha mengengsot ke belakang sehinggalah tubuhnya tersekat di kepala katil.
"Nuha marahkan saya?" soal Thaqif, lembut. Dia cuba untuk mencapai tangan Nuha, tetapi dengan sepantas kilat, Nuha menarik tangannya dan disembunyikan di belakang.
Thaqif menghela nafas panjang. Nampaknya Nuha sudah mula menunjukkan tanda protes tetapi dia sedar itu semua salahnya kerana meninggikan suara kepada gadis itu.
"Saya mintak maaf, Nuha. Saya dah berkasar dengan awak tadi. Saya tak bermaksud nak berkasar, cuma saya..."
"Tak payah awak pedulikan saya lagi..." potong Nuha tanpa sempat Thaqif menghabiskan kata-katanya.
"Hah? Apa maksud Nuha?" soal Thaqif, pelik.
"Itu yang awak nak, kan? Jangan jatuh cinta kepada awak. Jangan pernah buat awak jatuh cinta. Itu yang awak mahukan daripada saya, kan?" tanya Nuha. Wajahnya tidak menggambarkan sebarang riak.
Thaqif sedikit tersentak. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala. Dia masih ingat kata-kata itulah yang dilemparkan kepada Nuha sewaktu malam perkahwinan mereka cuma Thaqif masih belum dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Nuha. Gadis itu hanya menayangkan wajah serius.
"Baiklah, lepas ni saya takkan terhegeh-hegeh dekat awak lagi. Saya akan tunaikan apa yang awak mahu. Awak nak sangat hidup dalam kenangan arwah isteri awak, kan? Jadi awak teruskanlah. Biarlah hubungan kita ni jadi seperti yang awak nak. Awak nak saya jadi ibu kepada anak-anak awak dan bukan isteri awak, baik saya akan ikut cakap awak. Itu keputusan saya yang awak mahukan. Jadi selepas ini awak jangan nak merungut tentang saya." Nuha membuat keputusan. Tangannya disilangkan ke dada. Wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
Bukan niat dia untuk berkurang ajar dengan suami sendiri, tetapi itu yang Thaqif mahukan. Dia hanya menurut. Dia sudah penat menagih kasih pada yang tak sudi. Lebih baik dia mengalah dan jalani kehidupannya seperti biasa.
Thaqif terpempan dengan ketegasan Nuha. Dia kehilangan kata-kata. Hanya matanya saja yang dibiarkan menjamah setiap inci wajah Nuha yang kelihatan tegang. Dia sedikit terpanar dengan apa yang gadis itu ucapkan. Selama ini Nuha seorang gadis yang lembut dalam berbicara malah Nuha selalu menjaga pertuturan apabila berbual dengannya tapi malam ini, apa sudah jadi?
"Nuha, kalau disebabkan saya tinggikan suara dekat awak tadi yang buatkan awak tak puas hati pada saya, saya mintak maaf," ujar Thaqif cuba memujuk.
Nuha tersenyum. Kelihatan sinis pada pandangan Thaqif. Hatinya mula resah dengan perubahan Nuha yang begitu mendadak.
"Awak suami saya. Opsss, pembetulan. Awak abang saya jadi saya dah maafkan awak," ujar Nuha selamba tanpa perasaan. Hatinya beku saat ini.
Sekali lagi Thaqif terpanar mendengar kata-kata Nuha yang agak berbisa. Hatinya tersentap keras.
"Nuha..." panggil Thaqif, lembut. Tiba-tiba dia rasa resah dengan kata-kata Nuha yang agak dingin. Hatinya gelisah tidak menentu.
"Saya mintak maaf sebab pakai baju ni tanpa izin awak. Nanti saya cuci dan simpan di tempat yang saya ambil tadi. Awak jangan risau, saya pakai tak lama pun, jadi tak ada apa yang kurang pun tentang baju ni," potong Nuha sambil matanya dilarikan daripada menatap wajah Thaqif. Dia beralih kepada Dani yang mula merengek.
Sungguh pada saat ini Thaqif kehilangan kata-kata. Kedinginan yang Nuha tunjukkan saat ini membuatkan hatinya resah dalam diam. Sudah tiada senyuman manis yang gadis itu selalu ukirkan untuknya. Wajahnya pun tidak dipandang. Thaqif berkecil hati tapi dia tidak dapat melakukan apa-apa kerana kata-katanya tadi yang telah merubah Nuha menjadi seperti itu. Apa lagi yang perlu aku katakan?
Akhirnya, tanpa sebarang kata Thaqif bangun untuk keluar dari bilik tersebut. Tetapi suara Nuha menahan dan membuatkan Thaqif menghentikan langkah.
"Saya nak tidur dekat mana? Kalau awak tidur dengan anak-anak, saya tidur dekat luar ajelah," ucap Nuha bersahaja.
Thaqif berpaling. Mulut saja yang bercakap tapi mata gadis itu masih tertancap pada wajah si kembar. Tangan gadis itu lincah membelai lembut rambut Dani dan Dania.
"Malam ni Nuha tidur ajelah dengan anak-anak. Nanti kita bergilir jaga Dani dan Dania. Kalau dia orang merengek nak susu malam-malam, Nuha boleh kejutkan saya. Saya ada dekat bilik sebelah," ujar Thaqif. Dia tersenyum.
Nuha hanya mengangkat bahu. Kalau itu yang telah diputuskan, dia hanya menurut.
"Okey," balas Nuha tanpa sedikit pun memandang wajah Thaqif.
Wajah Thaqif berkerut. Okey aje? Aku bukan main panjang berjela cakap, dia balas okey aje? Memang tak okey! desis hatinya.
Thaqif tidak mahu memaksa, mungkin Nuha penat sehinggakan mempengaruhi emosi gadis itu. Mungkin esok, gadis itu akan bersikap seperti biasa. Thaqif berharap dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro