Bab 13
NUHA tersedar daripada lamunan apabila jari-jemarinya disulam erat oleh tapak tangan milik Thaqif. Dia mendongak memandang wajah Thaqif yang kelihatan tenang. Hatinya semakin mekar untuk suaminya itu. Rasa cinta itu tidak boleh dipadamkan walaupun dia berharap dapat menghakis rasa yang hadir buat Thaqif.
"Kenapa senyap aje ni? Kita dah sampai depan Taj Mahal, Nuha tak suka ke?" soal Thaqif lembut. Dia berpaling pada Nuha yang berada di sisinya. Dia tersenyum manis.
Nuha tersedar kemudian membalas senyuman Thaqif dengan mesra. Alangkah indahnya jika saat ini terus kekal sehingga ke akhir hayatnya. Dia cukup bahagia dengan layanan Thaqif sepanjang mereka berada di India. Terasa diri disayangi oleh lelaki itu padahal hakikatnya tidak.
"Cepatnya kita sampai. Jomlah kita masuk. Saya dah tak sabar nak tengok keindahan Taj Mahal ni," ajak Nuha, teruja.
Thaqif hanya tersenyum nipis. Kemudian dia memimpin tangan Nuha membuntuti langkah Marlia dan Ilyas yang sudah berjalan jauh ke hadapan. Nuha mendengus apabila terpaksa bersesak-sesak untuk memasuki pintu masuk ke Taj Mahal. Tak sangka begitu ramai pengunjung yang datang melawat Taj Mahal hari ini. Nuha terpaksa mengelak daripada bersentuhan bahu dengan seorang lelaki bangsa asing yang memotong barisan.
Tiba-tiba Nuha terasa tubuhnya ditarik dan sepantas kilat dia sudah berada di hadapan Thaqif. Lelaki itu berjalan rapat di belakangnya bagi menghalang tubuhnya daripada disentuh oleh orang lain.
"Nuha jangan jalan laju sangat tau. Kita tak kenal orang dekat sini, bahaya," bisik Thaqif rapat ke telinga Nuha.
Thaqif pula tidak kesah terpaksa bersesak-sesak dengan orang ramai yang bertolak-tolak untuk memasuki pintu utama. Walaupun terasa belakangnya sakit ditolak oleh orang ramai, tetapi dia bersikap selamba di hadapan Nuha. Dia tidak mahu gadis itu yang menjadi mangsa ketidaksabaran orang lain.
Setelah mereka selamat memasuki pintu masuk. Mata mereka disajikan dengan tugu Taj Mahal yang indah terbentang di depan mata. Masing-masing terkelu untuk berbicara apabila melihat istana Taj Mahal yang bersinar dipancar oleh suria pagi. Ditambah pula dengan kolam buatan segi empat tepat yang berada di hadapan Taj Mahal itu begitu cantik dan mengujakan mata yang memandang.
"Subhanallah!" Hanya itu yang terbit daripada bibir Nuha yang begitu kagum dengan bangunan yang tersergam di hadapan mata.
Thaqif hanya tersenyum melihat reaksi Nuha. Memang itulah reaksinya kali pertama saat dia menjejakkan kaki ke Taj Mahal. Nuha begitu teruja melihat bangunan yang dibina seperti masjid berwarna putih berkilauan berada di hadapan mata. Waktu itu dia melakar hari-hari bahagianya bersama dengan Waheeda. Bezanya, Waheeda tidak berapa suka ke India kerana wanita itu lebih suka melihat tinggalan sejarah di Timur Tengah. Tetapi Nuha berlainan dengan arwah isterinya, gadis itu kelihatan tidak berkelip melihat keindahan monument of love itu.
"Nuha suka ke?" soal Thaqif sambil merenung wajah Nuha yang begitu ralit memandang Taj Mahal.
Nuha berpaling dan mengangguk laju. Bukan setakat suka malah dia sangat teruja apabila dapat melihat salah satu tujuh keajaiban dunia dengan mata kepalanya sendiri.
"Saya suka sangat. Subhanallah memang cantik Taj Mahal ni. Saya memang kagum dengan seni binanya, awak," balas Nuha masih lagi dalam mood teruja.
"Kalau awak nak tahu, istana Taj Mahal ni dibina dengan menggunakan lebih daripada empat puluh jenis batu termasuk emas, intan, berlian, jed, nilam dan sebagainya. Nak bina Taj Mahal ni pun menelan masa yang lama. Kalau tak silap saya, dua puluh dua tahun makan masa untuk siapkan makam yang secantik dan seindah ni," terang Thaqif penuh semangat. Dia membetulkan sedikit cermin matanya yang hampir terlorot. Pandangannya sekali lagi dihalakan kembali pada Taj Mahal.
Nuha mendengar dengan tekun. Kepalanya dianggukkan.
"Awak, jom ambil gambar," ajak Nuha, tiba-tiba.
Thaqif berpaling. Dahinya berkerut dengan ajakan Nuha. Namun, senyuman Nuha sudah cukup untuk menyatakan bahawa dia memang maksudkan kata-katanya tadi.
"Buat apa awak bawa DSLR awak tu kalau setakat nak gantung dekat leher aje?" usik Nuha dengan ketawa kecil.
Thaqif turut tergelak. Dia mengangkat kamera yang berada di tangannya. Dengan sekali klik, dia sudah menangkap gambar Nuha yang belum bersedia untuk bergambar.
"Awak, saya tak sedia lagilah!" jerit Nuha dengan manja. Dia menghentak kaki.
Thaqif hanya ketawa. Suka pula dia melihat wajah Nuha yang cemberut. Dengan selamba dia menghampiri Nuha dan mencubit kedua-dua belah pipi Nuha sehingga gadis itu terjerit kecil.
"Sakitlah!" bentak Nuha lagi. Geram tetapi jauh dalam hatinya dia cukup bahagia bak bunga-bunga cinta berguguran di sekelilingnya.
Thaqif mengesat air mata yang meleleh di pipi akibat ketawanya tadi. Dia terasa cukup puas kerana dapat ketawa setelah lama tidak bergelak ketawa begitu. Terasa hatinya cukup lapang.
"Awak, jomlah ambil gambar dengan saya," ajak Nuha lagi. Dia sudah bersedia duduk di atas bangku di tepi kolam buatan betul-betul di hadapan Taj Mahal.
"Kalau Nuha nak ambil gambar dengan saya, siapa yang nak ambil gambar kita?" soal Thaqif kembali.
Nuha terdiam. Betul juga. Kemudian dia terlihat kelibat Marlia dan Ilyas yang sedang berjalan berpimpin tangan menuju ke arah mereka.
"Tu, kak long dengan abang long ada. Bolehlah kita minta tolong dengan dia orang," ujar Nuha sambil menunjuk jarinya ke arah Marlia dan Ilyas. Dia melambaikan tangan memanggil mereka berdua.
Thaqif hanya membiarkan Nuha memanggil Marlia dan Ilyas. Hari ini merupakan hari terakhir mereka berada di bumi India jadi biarlah Nuha menikmati hari ni sepuas-puasnya.
"Hah, ada apa panggil kak long dengan abang long ni? Kami nak honeymoon pun tak boleh," gurau Marlia dengan senyuman. Ilyas di sisi hanya mampu menguntum senyuman manis.
"Eleh kak long ni. Sepatutnya siapa yang datang honeymoon ni? Qif ke kak long?" soal Thaqif turut bergurau.
Marlia mencebik.
"Yalah-yalah... Kau orang yang honeymoon, kak long tumpang sekakilah. Kenapa panggil kak long? Dah nak balik ke? Masuk ke dalam pun belum lagi takkan nak balik kut?" Banyak pula soalan daripada Marlia.
"Tak adalah nak balik lagi, kak long. Nuha nak mintak tolong kak long tangkap gambar Nuha dengan Abang Qif, boleh?" Nuha bersuara.
"Oh, nak ambil gambar? Boleh-boleh. Silalah Thaqif Aswad ke sisi isteri anda tu," ujar Marlia bernada gurauan.
Thaqif tersipu-sipu malu. Walaupun teragak-agak, akhirnya dia duduk juga di sisi Nuha dengan jarak yang agak jauh.
Marlia mengeluh. Dia memberi isyarat mata pada suaminya agar mendekati Thaqif.
"Ehem-ehem... Dah kahwin pun takkanlah duduk jauh lagi, Qif?" sindir Ilyas lalu dengan selamba mengangkat tangan Thaqif lalu diletakkan di atas bahu Nuha.
Wajah Thaqif mula berona merah. Nuha pula hanya bersikap selamba malah dia memberanikan diri meletakkan kepalanya di atas bahu Thaqif. Dia tersenyum di hadapan kamera sedangkan Thaqif berperang dengan perasaan sendiri. Sedaya upaya dia cuba tersenyum manis tetapi bau haruman yang terbit daripada rambut Nuha yang ditutupi oleh tudung mengganggu konsentrasinya.
"Maine tumse pyaar karte ho," bisik Nuha rapat di telinga Thaqif.
Thaqif terkejut. Terkebil-kebil dia memandang wajah Nuha. Nuha yang menyangka Thaqif tidak memahami apa yang dituturkan hanya mengenyitkan mata. Huh, ingat senang aku nak hafal perkataan tu dalam bahasa Hindi. Nasib baik tak terbelit lidah aku nak menyebutnya. Mesti dia tak faham. Hahaha... Nuha tergelak dalam hati. Bahasa itu pun dipelajari dengan Marlia semalam semata-mata untuk diucapkan kepada Thaqif.
Thaqif cuba mengawal ketawanya. Dia menggigit bibir. Oh, dia ingat aku tak fahamlah tu. Alahai Nuha... Berapa kali aku nak cakap? Jangan pernah jatuh cinta kepada aku. Nanti kau akan terluka, kenapalah kau tak faham? Thaqif bermonolog.
"Nuha cakap apa ni? Saya tak fahamlah," Thaqif tayang muka bodoh.
"Baguslah awak tak faham, saya pun tak nak awak faham," balas Nuha, selamba. Dia bangun menghampiri Marlia yang masih galak merakam gambar di kawasan sekitar. Lain orang suruh, lain yang kak long buat. Kak long, kak long, keluh hati Nuha.
Hanya pandangan yang Thaqif mampu berikan kepada Nuha yang kelihatan rancak bersembang dengan Marlia. Thaqif mengukir senyuman tanpa sedar. Dia memang seorang gadis yang ceria dan periang. Kadangkala sikapnya sangat polos dan lurus namun dia seorang gadis yang penyayang dan manja. Tetapi hati aku masih belum dapat menerima dia sepenuhnya. Hati aku tak mampu menyayangi lebih daripada seorang adik. Cinta dalam hati aku ni masih belum dapat diubah. Ya Allah, kejamkah aku pada isteri aku sendiri? soal Thaqif dalam hati. Wajahnya berubah sayu.
"Awak, jomlah kita masuk dalam!" jerit Nuha sambil menggamit Thaqif supaya datang kepada mereka.
Thaqif tersedar dan mula mengorak langkah. Mereka berempat menuju ke dalam Taj Mahal. Ketika berada di dalam istana itu, perasaan Nuha tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. Dia begitu kagum dan terpesona dengan seni bina Taj Mahal yang masih lagi cantik dan kukuh walaupun sudah berkurun lama dibina. Marmar putih yang menghiasi setiap dinding istana itu kelihatan bersinar dan berkilauan apabila terkena panahan cahaya matahari.
Ternyata istana yang dibina sejak tahun 1632 ini mampu memukau setiap mata yang memandang dengan rekaannya yang unik. Tidak hairanlah jika Taj Mahal ini diberi nama monument of love kerana istana ini dibina atas dasar cinta seorang suami kepada seorang isteri yang meninggal ketika melahirkan anak mereka. Walaupun cintanya agak sadis tapi itulah bukti cinta sejati seorang suami kepada isterinya walau terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk membina istana yang secantik ini.
"Bertuah betul Mumtaz dapat suami macam Shah Jahan kan awak? Sanggup bina istana untuk isterinya walaupun isterinya sudah meninggal dunia." Nuha memulakan bicara.
Thaqif hanya tersenyum. Dia menarik tangan Nuha ke satu sudut untuk membaca sejarah awal penubuhan Taj Mahal yang tersedia di dalam istana itu.
"Kerana cinta manusia sanggup lakukan apa saja, Nuha," balas Thaqif, bersahaja.
Nuha mengangguk. Ya, kerana cinta manusia sanggup berkorban apa saja untuk orang yang dicintainya itu sama seperti dia. Dia sanggup korbankan masa mudanya hanya untuk Thaqif dan si kembar. Walaupun pelbagai kata umpatan yang diterima, Nuha tidak peduli. Hati dan perasaannya tiada siapa yang tahu dan ambil tahu.
Tumpuan Nuha terganggu apabila matanya terpandang sekumpulan pelajar sekolah memasuki ruang istana bersama dengan pemandu pelancong yang sedang asyik menerangkan sejarah Taj Mahal dalam bahasa Hindi yang tidak dapat difahami oleh Nuha.
"Nuha tengok apa tu?" soal Thaqif sambil matanya turut memandang ke arah pelajar sekolah tersebut.
"Tu hah, apa yang tourist guide tu cakap? Saya tak fahamlah. Mesti dia bercerita pasal sejarah Taj Mahal ni, kan?" ucap Nuha sambil menumpukan sepenuh perhatian pada setiap patah kata yang keluar dari mulut pemandu pelancong tersebut.
Thaqif tersenyum. Dengan selamba, tangannya melingkari bahu Nuha.
"Orang tu cakap, pembinaan Taj Mahal ini dilakukan pada tahun 1632 dan siap pada tahun 1648 dan memakan masa selama dua puluh dua tahun untuk menyiapkan istana yang segah ini. Shah Jahan yang pada ketika itu memerintah Dinasti Mughal telah kehilangan isterinya iaitu Mumtaz Mahal yang telah meninggal dunia ketika melahirkan anak mereka yang keempat belas, telah mengarahkan Ustaz Ahmad untuk membina makam untuk isterinya. Tetapi, pembinaan makam ini telah ditentang oleh anak Shah Jahan iaitu Aurangzeb dan Shah Jahan dikurung di dalam Agra Fort oleh anaknya itu. Tetapi Taj Mahal tetap juga dibina sehinggalah ke hari ini. Dalam istana ini juga terdapat khat yang terukir ayat-ayat al-Quran sebagai lambang kegemilangan Islam ketika pemerintahan Shah Jahan. Kalau Nuha tengok, istana ini berwarna putih kerana istana ini dibina dengan menggunakan marmar putih. Yalah kan, putih itu kan suci sama seperti kasih Shah Jahan pada Mumtaz," jelas Thaqif mengulang kembali apa yang dicakapkan oleh pemandu pelancong tersebut.
Nuha terangguk-angguk tanda faham apa yang diterangkan oleh Thaqif. Tetapi tiba-tiba dahi Nuha berkerut, dia memandang pemandu pelancong tersebut sebelum matanya beralih pada wajah Thaqif yang kelihatan selamba. Macam mana Thaqif boleh ulang ayat pemandu pelancong sedangkan lelaki itu tidak faham bahasa Hindi? Takkanlah...
"Awak faham apa yang orang tu cakap?" soal Nuha tergagap-gagap. Matanya tuntas merenung anak mata milik Thaqif.
Thaqif tersenyum dan mengenyitkan mata dengan senyuman yang melebar.
"Saya faham bahasa Hindi tapi saya tak boleh cakap dalam bahasa tu macam yang Nuha cakap pada saya tadi," usik Thaqif dengan tawa kecil.
Melopong Nuha mendengar kata-kata Thaqif. Dia faham rupa-rupanya. Malunya! jerit hati Nuha.
"Awak main-mainkan saya, ya? Mati-mati saya ingat awak tak faham. Awak jahat!" Nuha terjerit kecil sambil memukul lembut dada Thaqif. Geram betul dengan suami aku ni, hidup-hidup dia kenakan aku. Benci!
Thaqif tergelak. Suka betul dapat kenakan Nuha. Wajah gadis yang berona merah itu mencuit hatinya. Perlahan-lahan dia menggenggam pergelangan tangan Nuha bagi mengelak gadis itu daripada terus memukul dadanya. Bukannya sakit tapi dia rimas kerana tangan itu asyik bergerak-gerak.
Thaqif merenung wajah Nuha yang comel. Matanya tepat merenung ke dalam anak mata hitam pekat itu. Dia tersenyum apabila Nuha menarik muka masam. Perlahan-lahan dia mengelus lembut pipi Nuha yang lembut.
"Awak marah ke saya cakap macam tu?" soal Nuha, inginkan kepastian. Dia tersenyum manis pada Thaqif yang masih ralit merenung wajahnya. Nuha terasa cukup bahagia.
"Kalau saya marahkan Nuha pun, Nuha takkan berhenti cakap benda yang sama, kan?" soal Thaqif lembut.
Nuha mengangguk laju.
"Awak suami saya jadi saya wajib sayangkan awak dan memang saya sayangkan awak walaupun awak tak sayangkan saya. Tetapi saya tetap akan berharap awak jadi Shah Jahan untuk saya," balas Nuha, perlahan.
Thaqif tersenyum hambar. Dia menjatuhkan tangan daripada terus mengelus pipi isterinya. Kata-kata Nuha sedikit sebanyak menyentuh hatinya dan menggoncangkan emosinya, tetapi Thaqif cuba untuk tidak mengendahkan kata-kata Nuha kerana dia bimbang, kata-kata itu akan merobek kesetiaan yang cuba dia tanamkan untuk Waheeda. Dia belum bersedia untuk mencintai mana-mana perempuan lagi selain arwah isterinya.
"Jomlah kita balik, Nuha. Hari macam nak hujan aje," ucap Thaqif tanpa membalas kata-kata Nuha.
Nuha mengeluh hampa. Mungkin Thaqif masih belum bersedia untuk menerima dirinya sepenuhnya tetapi Nuha tidak akan mengalah. Dia akan tetap menunggu lelaki itu. Akhirnya, Nuha mengukir senyuman manis dan mengikuti langkah Thaqif dan berjalan bergandingan dengan lelaki itu. Dia memaut lengan Thaqif dengan mesra.
"AWAK rasa Taj Mahal ini memang benda yang ajaib ke sampaikan tersenarai antara salah satu tujuh keajaiban dunia?" soal Nuha tiba-tiba sewaktu mereka berjalan keluar daripada Taj Mahal.
Thaqif berpaling ke sisi. Dia mengerutkan dahi dengan pertanyaan Nuha yang dianggap pelik.
"Memang dah terbukti Taj Mahal adalah salah satu tujuh keajaiban dunia yang masih tinggal sehingga sekarang. Nuha bayangkanlah istana ni dibina pada kurun keenam belas, tapi sampai sekarang masih utuh dengan seni binanya yang kekal tanpa sedikit pun terjejas. Kenapa Nuha tanya macam tu pula?" soal Thaqif kembali.
Nuha tersenyum. Matanya terarah ke hadapan.
"Memang Taj Mahal dikatakan salah satu keajaiban dunia yang wujud sehingga sekarang, tetapi bagi saya keajaiban sebenar adalah manusia itu sendiri. Dalam diri kita ini ada benda yang sangat ajaib sehingga tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata," balas Nuha bersahaja. Dia tersenyum nipis melihat kerutan di dahi suaminya.
"Apa maksud Nuha? Saya tak faham. Contohnya?"
"Hati kita..."
"Hati?" Thaqif bertambah pelik.
"Yalah, kita ada perasaan suka, sayang, cinta, benci dan macam-macam lagi perasaan. Semua perasaan itu membentuk perilaku kita malah yang menzahirkan perasaan adalah daripada hati tetapi bila dibedah, hati kita tetap kaku macam itu juga sebagai salah satu organ dalaman kita. Bila kita sedih, hati kita yang terasa sakit, tapi kenapa tidak jantung ke, limpa ke tulang ke yang sakit? Kenapa perlu hati?" soal Nuha.
Thaqif terdiam. Benar. Apa yang dikatakan oleh Nuha semuanya benar. Kalau kita merasakan kesakitan dan kesedihan, pasti hati dahulu yang terluka. Tetapi luka itu tidak akan terlihat meskipun hati dikeluarkan. Subhanallah begitu hebat penciptaan manusia, desis hati Thaqif.
"Begitu juga dengan air mata..." sambung Nuha lagi.
Thaqif tersentak daripada lamunan. Dia mendengar kata-kata Nuha dengan tekun.
"Air mata?" Thaqif menayang muka pelik.
"Cuba awak teliti betul-betul. Dalam tubuh kita ni mengalir darah merah yang pekat tetapi bila kita menangis air jernih yang keluar daripada mata kita. Bukankah itu sesuatu yang ajaib dan hebat?" balas Nuha membuatkan Thaqif berfikir.
"Betul tu, Nuha saya tak sangka yang Nuha boleh meneliti sehingga sedalam ini. Hal yang kita ambil remeh sebenarnya adalah sesuatu yang sangat hebat. Penciptaan manusia itu sendiri adalah sehebat-hebat penciptaan kerana Allah telah menjanjikan bahawa manusia itu sebaik-baik kejadian yang diciptakan-Nya," balas Thaqif sambil tersenyum. Ternyata Nuha seorang gadis yang pandai.
"Allah Maha Besar yang menciptakan kita, ilmu Dia memang tidak terjangkau dek akal kita yang cetek ni," ucap Nuha.
Sedang asyik mereka bersembang, tiba-tiba hujan turun membasahi bumi India.
"Alamak, hujanlah pula. Jom kita cari tempat berteduh dulu," ajak Thaqif.
Dia menanggalkan jaket yang dipakainya lalu menutupi kepalanya dan Nuha bagi mengelakkan daripada terkena air hujan yang mula turun. Pinggang Nuha dirangkul supaya rapat dengan tubuhnya. Semua itu dilakukan semata-mata untuk melindungi gadis itu.
Mereka berdua berlari-lari anak ke bawah pokok yang agak rendang untuk berteduh. Nasib baik hujan turun tidaklah terlampau lebat, hanya renyai-renyai saja dan membolehkan mereka berteduh di bawah pokok yang agak jauh dari pintu keluar.
"Nuha okey ke?" soal Thaqif sambil memegang kedua-dua belah bahu Nuha.
Nuha mengangguk laju. Dia melangkah setapak ke hadapan merapati Thaqif.
"Saya sejuklah," ucap Nuha perlahan. Bibirnya terketar-ketar. Bayu yang menghembus kuat membuatkan dirinya kedinginan.
Tanpa menunggu lama, Thaqif menyelimuti tubuh Nuha menggunakan jaket yang dipakainya tadi. Dia menggosok-gosok kepala Nuha yang beralas tudung dengan lembut. Dia merenung wajah gadis itu yang menunduk. Kelihatan tubuh gadis itu sedikit menggigil. Sejuk sangat ke?
Lantas Thaqif menarik Nuha supaya mendekatinya. Dia memeluk erat tubuh isterinya itu bagi menghilangkan rasa dingin yang dirasai oleh Nuha. Thaqif mengelus lembut belakang isterinya. Hangat tubuh Nuha meresahkan jiwanya namun Thaqif cuba menguatkan semangat. Dia cuba mengusir rasa aneh yang mula menyerang hatinya saat ini.
Namun, dia hanya lelaki biasa, saat Nuha membalas pelukannya Thaqif menelan air liur yang terasa berpasir. Jantungnya bergetar, imannya bergoncang lagi. Dia memejamkan mata mencari kekuatan.
"Terima kasih, awak," bisik Nuha perlahan.
Thaqif tidak mendengar bisikan itu sebaliknya dia menolak sedikit tubuh Nuha dan meleraikan pelukan. Dia merenung wajah Nuha yang sedang menunduk. Wajah gadis itu begitu dekat dengan wajahnya sehingga terasa nafas gadis itu menyapa wajahnya. Thaqif menarik nafas panjang. Matanya merenung setiap anggota wajah milik Nuha dengan penuh minat. Daripada mata, hidung, pipi dan pandangannya tuntas pada bibir Nuha yang comel. Lama matanya merenung bibir Nuha yang merah merekah.
Nuha yang terasa dirinya diperhatikan, mendongak. Jantungnya berdetak kencang apabila pandangannya bersatu dengan anak mata Thaqif yang tajam merenungnya. Nuha terpukau. Tidak sedikit pun dia mengalihkan pandangan. Hatinya bagaikan berbunga-bunga bahagia.
Thaqif pula yang rasa resah gelisah. Dia rasa gementar. Perasaannya sudah tidak keruan. Namun, dia tidak dapat menghentikan perasaan indah itu. Perlahan-lahan, dia memaut dagu Nuha dengan lembut. Wajahnya didekatkan lagi dengan wajah Nuha. Dekat dan terus mendekat.
"Jangan pernah abang cuba-cuba untuk cintakan orang lain. Kalau abang cintakan orang lain bermakna abang memang tak pernah cintakan Wahi. Ingat tu!"
Kata-kata amaran daripada Waheeda tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga Thaqif. Serta-merta dia tersedar. Dia menolak tubuh Nuha supaya menjauhinya. Dadanya naik turun melawan gelora yang menghempas lautan hatinya. Thaqif meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan.
Dia berpaling dan membelakangi Nuha. Maafkan abang, Wahi. Abang tak sedar. Abang tak cintakan dia, Wahi. Abang cintakan Wahi. Hati Thaqif berkata-kata.
"Awak..." panggil Nuha, lembut. Dia pelik dengan sikap Thaqif yang tiba-tiba berubah. Apa yang tidak kena dengan suaminya itu?
Thaqif menggelengkan kepala. Dia tidak mahu mendengar apa-apa pun daripada Nuha saat ini. Hatinya tidak tenang apabila terkenangkan apa yang telah hampir dia lakukan kepada Nuha tadi. Dia hampir memusnahkan janjinya kepada Waheeda dan dia tidak mahu perkara itu berlaku.
"Saya minta maaf, Nuha. Perkara seperti itu tak patut terjadi. Saya menyesal dengan sikap terburu-buru saya. Saya minta maaf," ucap Thaqif.
Bagaikan terdengar bunyi guruh yang berdentum. Hati Nuha remuk mendengar kata-kata maaf yang diucapkan oleh Thaqif. Menyesal? Kenapa perlu wujudnya penyesalan sedangkan hubungan mereka sememangnya sah daripada segala segi? Kenapa sukar sangat untuk Thaqif memahami hati dan perasaannya sebagai seorang perempuan?
Namun, Nuha hanya mempamerkan senyuman nipis walaupun hatinya berdarah. Dia menghampiri Thaqif dan menyentuh bahu lelaki itu dengan lembut. Dia tahu Thaqif sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia tidak mahu menambahkan lagi kekusutan yang melanda fikiran suaminya itu. Biarlah dia menjadi isteri yang mampu menyenangkan fikiran seorang suami walaupun sedikit sebanyak dia berkecil hati. Termasuk hari ini, dua kali dia ditolak mentah-mentah oleh suaminya sendiri.
"Saya faham. Saya takkan paksa awak untuk lakukan sesuatu yang awak tak rela. Jomlah kita balik. Hujan pun dah reda," ajak Nuha, lembut. Dia menyembunyikan rasa kecewa yang bermukim dalam hati dengan senyuman yang dibuat-buat. Dia menarik tangan Thaqif untuk mengikuti langkahnya.
Thaqif hanya menurut. Maafkan saya, Nuha. Saya tak mampu. Hati saya tak mampu untuk melupakan kenangan dulu. Maafkan saya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro