Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

NUHA masih lagi leka dengan kerja-kerja dapur. Dia cuba menyibukkan diri untuk mengelak daripada Thaqif yang asyik memandangnya. Apa yang tidak kena pun Nuha tidak tahu. Tetapi kali ini dia malas ambil tahu. Hatinya masih tergores dengan kata-kata Thaqif.

"Nuha, tolong tengok-tengokkan kari tu, ya? Kak long nak pergi ambil Ilham dekat sekolah." Suara Marlia mengejutkan Nuha. Dia berpaling ke belakang dan mengangguk.

Sebaik saja Marlia menghilang di sebalik pintu utama, Nuha terus melekakan diri dengan kerja-kerjanya. Periuk dan kuali yang telah digunakan terus dicuci kemudian dia mengemas singki yang telah digunakan.

"Nuha macam tak nampak aje saya dekat sini. Ke saya ni dah bertukar jadi halimunan?" Thaqif bersuara setelah agak lama dia menunggu Nuha menegurnya.

Thaqif berdiri dan berjalan menghampiri Nuha yang sedang mencuci piring di singki. Dia menyandarkan tubuhnya di kabinet sambil berpeluk tubuh memandang wajah Nuha yang selamba.

Nuha berpura-pura tidak mendengar kata-kata Thaqif. Entah kenapa hari ini dia terasa jauh dengan Thaqif padahal lelaki itu ada di depan mata. Walaupun dia teringin sekali merasa belaian mesra seorang suami tetapi dia tahu apa yang dirasakan itu hanya tinggal rasa. Thaqif berada di depan mata tapi dia tidak mampu untuk menggapainya.

Thaqif menarik nafas panjang. Dia memegang bahu Nuha dan menarik tubuh gadis itu supaya berhadapan dengannya. Dagu Nuha dipaut lembut.

"Kenapa dengan Nuha ni? Nuha marahkan saya?" soal Thaqif, lembut. Dia menundukkan sedikit wajahnya supaya dapat merenung ke dalam mata Nuha yang bundar. Mata itu tidak bersinar seperti kebiasaannya.

Nuha hanya menggelengkan kepala. Dia menolak lembut tangan Thaqif yang memaut lembut dagunya. Dia kembali menghadap singki untuk meneruskan kerjanya yang terbengkalai.

"Nuha, kita datang sini bukan nak melawat kak long aje tapi untuk bercuti juga. Kalau Nuha tayang muka tak ada perasaan tu depan saya, saya anggapkan yang Nuha tak suka datang sini. Kalau macam tu, jom kita balik Malaysia." Keras suara Thaqif kedengaran. Dia menarik tangan Nuha menuju ke ruang tamu.

Nuha tidak sempat mengelak. Dia meronta-ronta minta dilepaskan.

"Awak, lepaskan tangan saya. Sakitlah!" bentak Nuha sambil cuba merungkaikan cengkaman tangan Thaqif di lengannya.

Thaqif melepaskan tangan Nuha. Dia merenung wajah Nuha dengan tajam.

"Apa yang awak tak puas hati dengan saya? Cuba awak cakap, jangan nak diamkan diri macam ni aje. Saya tak suka!" Thaqif mula meninggikan suara.

Thaqif benci apabila Nuha seolah-olah tidak mengendahkan kehadirannya. Dia benci apabila Nuha seolah-olah tidak peduli padanya sedangkan dia ada di depan mata gadis itu. Hatinya terasa sangat sakit dengan sikap berdiam diri yang Nuha tunjukkan.

"Saya penat..." jawab Nuha, pendek.

"Penat? Saya pun penat tapi tak adalah macam awak. Awak ingat saya patung ke dalam rumah ni?" marah Thaqif lagi. Dia merenung wajah Nuha yang sudah berubah keruh. Berombak dadanya menahan rasa marah.

Nuha cuba menahan air mata yang ingin menitis. Dia menggigit bibir. Kemarahan Thaqif dirasakan tidak berasas. Takkan aku tak bercakap dengan dia pun, dia nak marah. Dia yang tak pernah nak endahkan aku, ada aku marah? Tak ada, kan? bentak hati kecil Nuha. Kecewa.

Nuha tidak membalas kata-kata Thaqif. Dia bimbang jika dia melawan, pergaduhan pula yang akan terjadi. Lebih baik dia mendiamkan diri kerana diam itu senjata yang paling baik.

"Kenapa awak diam?" soal Thaqif masih dalam mood marahnya. Dia berpeluk tubuh.

Nuha memberanikan diri untuk mengangkat muka. Sebaik saja terpandangkan wajah Thaqif yang cemberut, dia menundukkan wajahnya.

"Sebab tak ada apa-apa nak cakap, tu yang saya diam," balas Nuha, takut-takut.

Sepanjang dia mengenali Thaqif, lelaki itu memang seorang yang tenang tapi apabila kemarahannya memuncak, lebih baik dia mengambil langkah yang selamat dengan mendiamkan diri.

Thaqif melepaskan keluhan yang berat. Lama dia merenung wajah Nuha yang sedang menunduk sebelum bibirnya mengukir senyuman kecil.

Apa kena dengan kau ni, Qif? Kesalahan dia buat bukannya besar sangat. Kau nak marah dia tak tentu pasal tu kenapa? Kesian Nuha, bisik hati kecilnya.

"Nuha, datang dekat saya sekejap," panggil Thaqif lembut.

Hah? Nuha mendongak. Dia kebingungan melihat senyuman di bibir Thaqif. Tadi bukan main garang lagi sekarang bukan main lebar dia senyum. Apa dah jadi dengan suami aku ni? soal Nuha dalam hati.

"Nak buat apa?" soal Nuha masih lagi teragak-agak.

"Nuha nak datang dekat saya ataupun nak saya pergi dekat Nuha?" soal Thaqif lagi.

Dahi Nuha mula berkerut. Dah kenapa dengan dia ni? Sakit ke?

Akhirnya Nuha melangkah setapak menghampiri Thaqif yang masih berdiri sambil berpeluk tubuh.

"Jauh sangat tu. Dekat sikit lagi," panggil Thaqif dengan lembut. Dia tersenyum penuh makna.

Nuha tayang muka pelik. Jauh apa kebendanya? Tak sampai setapak pun jarak mereka. Tapi Nuha malas mahu melawan, dia melangkah lagi sehingga kedudukannya begitu rapat dengan Thaqif. Dia mendongak memandang wajah Thaqif yang tersenyum nipis. Anak mata lelaki itu kelihatan bersinar.

"Awak nak apa?" Nuha memberanikan diri untuk bertanya.

"Saya tak nak apa-apa pun," balas Thaqif, selamba.

"Habis tu yang awak panggil saya, kenapa?" soal Nuha sedikit geram. Dia mengancing gigi.

"Sebab saya nak..." Thaqif menghentikan kata-katanya.

"Nak apa?" pintas Nuha, pantas.

Thaqif tersenyum-senyum. Sepantas kilat, dia menarik Nuha ke dalam pelukan. Erat dia memeluk tubuh Nuha yang genit. Entah apa yang merasuk dirinya tetapi dia terasa ingin memeluk isterinya itu.

Nuha tergamam. Kali pertama Thaqif bersikap seperti itu. Walaupun sedikit terkejut tetapi Nuha akui dia bahagia. Dia membalas pelukan Thaqif dengan erat.

"Jangan buat macam tu lagi boleh?" soal Thaqif seolah-olah berbisik.

Nuha mendongak. Dahinya berlapis.

"Buat apa?" soal Nuha lurus. Terkebil-kebil dia merenung mata Thaqif yang terselindung di sebalik cermin mata.

Thaqif hanya tersenyum sambil mencuit hidung Nuha. Dia menggelengkan kepala sambil menolak kepala Nuha supaya bersandar di dadanya. Dia menarik nafas panjang. Senang dengan keadaan itu.

"Ehem-ehem..." Bunyi suara deheman membuatkan Nuha dan Thaqif terkejut. Pelukan dileraikan.

Mereka berpaling ke arah pintu utama. Kelihatan Marlia dan dua orang budak lelaki berada di muka pintu. Nuha dan Thaqif tersipu malu. Merah padam muka kedua-duanya.

"Kak long mengganggu ke?" soal Marlia sambil tersengih.

Wajah Nuha sudah berbahang merah. Akhirnya, dia mengambil langkah selamat dengan melarikan diri ke dapur tanpa menjawab soalan Marlia.

"Kak long, Qif rasa mengantuklah. Qif masuk tidur dululah." Thaqif mencari alasan lalu dia beredar ingin menuju ke bilik.

"Qif!" panggilan Marlia menghentikan langkah Thaqif. Dia berpaling.

"Ya, kak long?"

"Bilik Qif dengan Nuha belah sana. Itu bilik Ilham," ujar Marlia bersama tawa besar.

Thaqif tersentak. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Malu yang tidak terkira. Tadi bukan main lagi dia cakap dia sukar untuk menerima Nuha sebagai pengganti Waheeda tapi sekarang apa dah jadi? Malunya dia di depan Marlia hanya Allah yang tahu.

"Yalah, kak long. Qif salah," ujar Thaqif menundukkan wajah. Dia berlalu dengan wajah setebal Kamus Dewan.

Marlia hanya tersenyum melihat reaksi mereka berdua. Hai, belum apa-apa dah kalut?

SENYUMAN mekar di bibir Nuha saat melihat Thaqif sedang menghamparkan comforter di atas lantai bersebelahan dengan katil. Nuha menongkat dagu memandang wajah Thaqif yang bersih. Masih teringat lagi kejadian petang tadi. Bukan main tebal lagi mukanya apabila berhadapan dengan kak long yang asyik menyindir dia dan Thaqif.

"Awak..." panggil Nuha, lembut.

Thaqif berpaling. Dia menjongketkan kening memandang Nuha.

"Nuha nak apa?" soal Thaqif sambil merebahkan badannya di atas lantai beralaskan comforter.

"Kenapa awak tidur dekat bawah? Katil ni kan besar. Marilah tidur sebelah saya," ajak Nuha, selamba. Dia tersenyum manis kepada Thaqif yang mula gelabah.

Thaqif berpura-pura tidak mendengar panggilan daripada Nuha. Dia mencapai buku di atas meja lalu dibuka dan sengaja dia menutup mukanya dengan buku tersebut. Cukuplah silapnya petang tadi kerana memeluk Nuha, sampai sekarang malunya masih bersisa apabila terpandangkan muka kak long dan Nuha.

"Awak ni jual mahallah. Bukan saya nak apa-apakan awak pun," sambung Nuha lagi sambil mencuit bahu Thaqif yang sedang leka dengan buku sejarah India yang dipegang di tangan.

Thaqif mengetap bibir. Rengekan dan suara manja Nuha mengganggu tumpuannya untuk membaca. Dia menurunkan buku dan memandang wajah Nuha yang kelihatan ceria dengan penuh tanda tanya.

"Nuha nak apa? Saya nak baca buku ni..." balas Thaqif.

"Awak janganlah tidur dekat bawah tu. Naiklah atas katil ni. Tak sanggup pula saya tengok awak tidur dekat bawah tu. Nanti mesti sejuk," ucap Nuha sambil merenung ke dalam anak mata Thaqif.

Jantung Thaqif berdebar. Renungan mata Nuha mendebarkan sukmanya. Dia cuba bersikap selamba dengan mengalih pandangan pada buku.

"Saya dah selesa tidur dekat bawah. Nuha tak perlu risau pasal saya, Nuha tidur ajelah. Esok kita nak pergi ke Agra," ujar Thaqif sambil membelek helaian demi helaian buku tersebut tetapi tiada satu pun yang melekat dalam fikirannya.

"Kita nak buat apa pergi Agra, awak?" soal Nuha lagi. Kali ini kedengaran manja di telinga Thaqif.

"Nuha kata nak sangat tengok Taj Mahal, jadi esok kita pergi sanalah," ujar Thaqif pula.

Nuha terangguk-angguk. Matanya sudah terbayang istana Taj Mahal yang tersergam indah lambang cinta seorang suami kepada isterinya. Alangkah bagusnya kalau Thaqif sanggup membinanya mahligai seindah itu untuk mereka diami seumur hidup mereka. Namun, Nuha tahu itu hanya khayalan. Dia tersenyum dan mengetuk kepalanya sendiri. Berhenti berharap, Nuha!

"Cantik tak Taj Mahal tu, awak?" soal Nuha cuba memancing Thaqif untuk berbual.

"Macam yang awak tengok kat dalam TV la," balas Thaqif, acuh tak acuh.

Seboleh mungkin dia tidak mahu bertentang mata dengan Nuha. Melihat senyuman Nuha yang manis itu sudah cukup membuatkan dia tidak keruan. Thaqif menumpukan sepenuh perhatian pada buku yang dipegangnya.

"Memang cantik. Dalam buku tu cerita apa lagi pasal Taj Mahal?" soal Nuha lagi. Dia berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

"Nuha tidur boleh tak? Esok bila sampai dekat Taj Mahal, Nuha tanya orang dekat sana," balas Thaqif, malas.

Nuha mengulum senyum. Dia tahu Thaqif cuba mengelak daripada bercakap dengannya. Tetapi Nuha tidak akan berputus asa. Dia hampir menghamburkan tawa apabila melihat buku yang dipegang oleh Thaqif terbalik tetapi dia tetap bersikap selamba. Dia tahu Thaqif sudah tidak keruan sekarang, tengok daripada riak wajahnya Nuha sudah dapat agak.

"Saya tak boleh tidurlah, awak. Apa kata awak ceritakan pasal Taj Mahal pada saya sikit, untung-untung saya boleh tidur," balas Nuha sambil mengengsot sedikit badannya ke birai katil.

Thaqif mengetap bibir geram. Sakit kepalanya melayan kerenah Nuha malam ini. Entah apalah yang budak ni nak. Aku nak tidur pun payah, desis hati kecil Thaqif.

"Nuha nak tahu pasal apa?" soal Thaqif akhirnya. Dia mengalah namun buku yang dipegang tidak diturunkan. Dia lebih suka bercakap di sebalik buku yang agak besar itu.

"Apa-apa saja pasal Taj Mahal. Pasal keseniannya, pasal sejarahnya. Saya pun nak tahu juga serba sedikit sebelum kita pergi sana esok," balas Nuha, lembut.

Thaqif menarik nafas panjang.

"Saya pun bukanlah tahu banyak sangat tapi yang saya tahu, Taj Mahal ini adalah salah satu tujuh keajaiban dunia dan menjadi Tapak Warisan Dunia yang telah diisytiharkan oleh UNESCO pada tahun 1983. Saya rasa Nuha tentu tahu kan tentang kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz. Shah Jahan sanggup membina istana yang dikenali sebagai Taj Mahal untuk Mumtaz. Actually, Taj Mahal tu makam yang dibina untuk Mumtaz oleh Shah Jahan," cerita Thaqif.

Nuha terangguk-angguk. Kisah cinta yang sejati. Bagaimana seorang suami sanggup melakukan apa saja untuk isterinya sehinggakan sanggup membina makam yang secantik itu untuk abadikan jasad isterinya yang telah dijemput Ilahi. Jika diteliti, ternyata kisah Shah Jahan sama seperti Thaqif. Terlalu setia dan cinta kepada isteri yang sudah meninggal dunia. Bertuah betul Waheeda kerana berjaya mendapatkan cinta Thaqif yang amat mahal harganya.

"Oh, macam mana Mumtaz tu meninggal?" soal Nuha lagi.

"Dia meninggal selepas melahirkan anak mereka yang keempat belas," balas Thaqif. Kemudian dia mendiamkan diri.

Nuha juga turut mendiamkan diri. Mumtaz meninggal sewaktu melahirkan anak dan suaminya membina sebuah makam yang begitu indah sempena memperingati kematiannya. Sama seperti Thaqif, tapi Thaqif memberikan seluruh cintanya untuk Waheeda sebagai lambang cinta mereka sehinggakan tiada satu pun yang tertinggal untuk Nuha ketika ini. Dia berharap sangat agar dapat membuka pintu hati Thaqif untuk menerima cintanya tapi Nuha sedar sampai bila pun dia tidak akan dapat meraih cinta milik Thaqif kerana hati itu telah lama mati untuk merasai cinta yang baru.

"Oh, semua cerita tu ada dalam buku yang awak pegang tu ke?" soal Nuha lagi.

Thaqif mengangguk laju tanpa memandang wajah Nuha.

"Tapi saya peliklah..." ucap Nuha, tiba-tiba.

Thaqif mengalihkan sedikit buku dan memandang wajah Nuha yang sedang menongkat dagu merenung wajahnya. Dia menjongketkan keningnya pada Nuha.

"Apa yang Nuha pelik?"

"Peliklah. Boleh awak baca buku macam tu?"

Dahi Thaqif berkerut. Kurang faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Nuha.

"Macam apa maksud Nuha?" soal Thaqif, bingung.

Nuha tersenyum-senyum. Dia cuba menahan tawa yang ingin meletus.

"Orang lain pun baca buku juga tapi tak adalah baca buku terbalik macam awak!" balas Nuha dengan ketawa yang akhirnya meletus dari bibirnya yang comel.

Erk? Thaqif melihat buku yang dipegang. Serta-merta darah merah menyerbu ke mukanya kerana memang sah buku yang dipegangnya terbalik! Aduh, malunya! jerit hati kecil Thaqif.

Lalu, cepat-cepat Thaqif menutup buku dan meletakkannya di atas meja. Dia terus merebahkan kepalanya di atas bantal. Rasa berbahang saja wajahnya saat ini apabila masih kedengaran suara tawa Nuha yang sedang ketawa.

Ceh! Buat malu aku aje. Hilang macho aku macam ni. Aku pun satu, macam mana boleh tak perasan buku tu terbalik. Ini semua budak tu punya pasal. Kalau dia tak banyak soal, aku taklah jadi tak betul macam ni. Isy, malu, malu! bebel hati Thaqif.

Dia menanggalkan cermin mata lalu diletakkan di atas meja. Dia mengiring membelakangi Nuha. Rasa tak sanggup untuk memandang wajah gadis itu. Perlahan-lahan Thaqif memejamkan mata berharap dengan cara itu lenanya akan bertandang tetapi tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang menghimpit di belakangnya. Dengan pantas, Thaqif menoleh.

Kelihatan Nuha tersengih kepadanya. Thaqif merengus.

"Nuha buat apa dekat bawah ni?" soal Thaqif dengan giginya dikancingkan. Dia cuba menahan rasa geram.

"Nak tidurlah..." balas Nuha, selamba.

"Tidurlah atas katil tu..."

"Tak nak, nak tidur sebelah awak," balas Nuha bersahaja.

Thaqif terasa ingin menjerit. Nuha langsung tidak memberinya ruang untuk menenangkan diri yang kegelisahan saat ini.

"Suka hati Nuhalah. Saya nak tidur dan jangan ganggu saya!" balas Thaqif, geram.

Akhirnya, Thaqif menyelimuti keseluruhan badannya dengan selimut. Dia mengiring membelakangkan Nuha yang sedang ketawa kecil. Hahaha... Sukanya tengok muka dia merah, desis hati Nuha kemudian merebahkan diri di sebelah Thaqif.

"Selamat malam," ucap Nuha sebelum menghadiahkan ciuman kecil di pipi suaminya.

Thaqif terpanar. Serentak dia berpaling menghadap Nuha yang sedang tersenyum manis. Lama dia menatap wajah itu semakin bergelora jiwa lelakinya.

Nuha mengangkat kening.

"Kenapa pandang saya macam tu?" soal Nuha, berani. Dia menelan air liur apabila menyedari renungan Thaqif yang agak berlainan seperti kebiasaan.

"Betul Nuha nak tidur sebelah saya?" soal Thaqif dengan wajah yang serius.

Nuha menganggukkan kepala. Keadaan mereka yang begitu dekat sedikit sebanyak mendebarkan hati Nuha.

"Nuha tak takut kalau saya apa-apakan Nuha?" soal Thaqif lagi. Dia menatap terus ke dalam anak mata Nuha yang bundar. Keberanian Nuha begitu menguji imannya yang tidaklah sekuat mana. Bau haruman yang terbit dari setiap helaian rambut Nuha menambahkan lagi resah dalam jiwanya.

"Buat apa saya nak takut? Awak suami saya. Kalau saya takut, takkan saya kahwin dengan awak," jawab Nuha selamba. Dia tersengih.

Sungguh, Thaqif rasa tercabar. Lantas, dia merangkul pinggang Nuha dengan kejap. Tubuh itu ditarik supaya merapatinya.

Nuha tersentak namun dia tidak membantah. Terkebil-kebil matanya membalas renungan Thaqif yang tajam hingga menusuk jantungnya.

"Awak... Awak... Okey tak ni?" soal Nuha tergagap-gagap.

"Nuha takut ke?" Soalan dibalas soalan oleh Thaqif. Suaranya kedengaran separuh berbisik.

Nuha dapat rasakan tubuhnya menggigil. Dia gementar. Adakah Thaqif sudah sedia menerimanya sebagai isteri? detik hati Nuha. Lantas dia memejamkan mata apabila menyedari wajah Thaqif semakin mendekat.

Thaqif tersenyum nipis. Wajah Nuha yang begitu hampir ditatap tanpa jemu. Perlahan-lahan, jari-jemarinya menyentuh wajah itu. Dari rambut Nuha yang panjang mengurai seterusnya singgah di pipi Nuha yang gebu. Dielusnya dengan lembut sebelum jari-jemarinya menyentuh bibir Nuha yang merah basah. Thaqif meneguk liur. Nuha benar-benar mampu menggoda jiwanya. Thaqif turut memejamkan mata dan cuba mendekati isterinya itu.

Serentak, bayang wajah Waheeda muncul di ruang fikiran. Seperti putaran filem, kenangan manis antara dia dan Waheeda menari-nari dalam mindanya. Thaqif seakan-akan terlihat Waheeda yang berada dalam pelukannya sekarang ini dan bukannya Nuha.

"Wahi, abang rindukan Wahi..." bisik Thaqif, perlahan.

Mendengar ungkapan itu, spontan kelopak mata Nuha yang terpejam tadi terus terbuka luas. Dia menahan wajah Thaqif dari terus mendekati.

"Saya Nuha. Bukan Wahi..." balas Nuha dengan suara yang sayu. Dia cuba menahan sebak di dalam dada.

Thaqif tersentak. Pantas, dia bingkas dan menjarakkan diri dari Nuha. Wajahnya diraup berkali-kali cuba menghilangkan gusar dalam hati. Bagaimana dia ingin menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami jika bayang kenangan lalu tidak pernah hilang dari ingatannya?

"Saya mintak maaf, Nuha. Saya tak mampu..." ucap Thaqif kemudian dia bingkas bangun dan meninggalkan Nuha termangu sendirian.

Nuha hanya mampu menyeka air mata yang sudah menitis di pipi. Pedih dalam hati hanya Allah yang tahu tapi ini pilihannya. Inilah takdirnya. Dia pasrah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: