Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

PENERBANGAN ke India yang memakan masa beberapa jam itu akhirnya selamat sampai di bumi Mumbai. Thaqif dan Nuha berjalan seiringan menunggu kakak Thaqif datang menjemput mereka berdua. Nuha memandang keadaan sekeliling yang agak sibuk. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki di bumi India. Ternyata memang mengujakan apabila berada di bumi yang cukup asing baginya.

"Hah, itu pun kak long. Jom!" ajak Thaqif sambil menarik tangan Nuha ke arah seorang wanita yang bertudung yang sedang melambaikan tangan ke arah mereka berdua.

Nuha hanya mengikut jejak langkah Thaqif. Dia tersenyum kepada wanita yang berkaca mata hitam itu.

"Nuha, inilah kak long saya. Kak Marlia. Kak long, ini isteri saya, Nuha Saqeena tapi kak long boleh panggil Nuha aje," balas Thaqif memperkenalkan Nuha kepada Marlia.

Marlia tersenyum ramah. Sejuk hatinya melihat wajah Nuha yang lembut. Lalu dia meraih Nuha ke dalam pelukan. Selama ini dia asyik mendengar cerita daripada Puan Maryam dan baru hari ini dia dapat bertemu muka dengan gadis yang berjaya menggantikan tempat Waheeda dalam hidup Thaqif.

"Terima kasih sebab sudi jadi adik ipar kak long," bisik Marlia di telinga Nuha.

Nuha tersenyum manis. Dia rasa lega kerana kehadirannya diterima oleh keluarga Thaqif tetapi cuma Thaqif seorang saja yang masih belum dapat menerima kehadirannya.

"Abang long mana, kak long? Tak datang ke?" soal Thaqif selepas melihat kedua wanita itu meleraikan pelukan.

"Hmmm... Abang long kamu tu apa lagi kalau tak bekerja. Malam karang jumpalah dekat rumah. Jomlah balik. Eh, mana si kembar?" soal Marlia, pelik.

Thaqif tersengih. "Ibu tak bagi Qif bawa kembar, kak long. Ibu dengan rela hati nak jaga kembar," balas Thaqif.

"Alah, ibu nak bagi kau chance tambah ahli keluarga barulah tu. Untung-untung bila dah honeymoon ni Dani dan Dania tu dapat adik baru. Tak gitu, Nuha?" usik Marlia sambil mengenyitkan matanya ke arah Nuha yang sudah tertunduk malu.

Tapi wajah Thaqif pula yang berona merah. Dia mengerling sekilas pada Nuha yang berada di sisi. Gadis itu tersipu-sipu malu membuatkan Thaqif tersenyum sendirian.

"Kak long ni kalau tak usik Qif tak boleh agaknya. Nuha ni muda lagi, mana boleh tambah keluarga baru nanti susah nak jaga si kembar tu pula. Dahlah Dani tu tak boleh berenggang dengan Nuha. Macam manalah agaknya kalau Dani tu tahu Nuha tak ada sekarang ni?" Thaqif bersuara. Dengan selamba dia memeluk bahu Nuha dan mengelus lembut.

Nuha tersentak. Dia cuba menahan rasa debaran yang mula berlagu.

Marlia hanya tersenyum. Eleh, macamlah aku tak tahu pasal kau, Qif. Nuha muda ke atau kau yang tak nak terima Nuha bagi menggantikan tempat Wahi? Hati Marlia bermonolog. Namun dia hanya melemparkan senyuman hambar.

"Yalah kau tu, Qif. Jomlah kita borak dekat rumah," ajak Marlia.

Thaqif hanya mengangguk. Dia memimpin tangan Nuha dan membuntuti langkah Marlia menuju ke kereta.

Hampir sejam juga perjalanan dari lapangan terbang ke apartmen milik Marlia. Nuha sudah pun terlena di tempat duduk belakang. Cuma Thaqif yang masih segar menikmati pemandangan di sekitar bandar Mumbai yang sesak dengan manusia.

"Apa pendapat Qif tentang Nuha?" soal Marlia tiba-tiba. Dia mengerling pada Thaqif yang sedang termenung panjang.

Thaqif mengalih pandangan kepada Marlia. Lama dia memandang wajah Marlia dan berharap agar kakaknya mengulang kembali soalannya.

"Pendapat apa pula ni, kak long?" soal Thaqif akhirnya.

Marlia tersenyum.

"Yalah, Nuha kan dah jadi isteri Qif yang sah. Apa perasaan Qif pada dia sebenarnya sedangkan selama ni Qif cakap tak akan menyayangi perempuan lain selain Wahi. Kak long tak nak Qif sia-siakan Nuha sebab kak long rasa dia budak yang baik," ujar Marlia sambil matanya fokus ke arah jalan raya.

"Perasaan Qif pada Wahi tidak pernah berubah, kak long. Dia adalah cinta mati Qif walaupun Qif dah berkahwin dengan Nuha. Apa yang Qif lakukan ini hanyalah sebahagian tanggungjawab Qif kepada si kembar. Tidak lebih daripada itu. Cinta, hati, kesetiaan Qif hanyalah untuk Wahi. Dialah cinta pertama dan terakhir Qif, kak long," balas Thaqif dengan perlahan. Cukup untuk Marlia dengar. Dia menundukkan wajah.

Jelas Marlia sedikit terpempan mendengar jawapan yang keluar dari mulut Thaqif. Menyesal pula aku tanya kalau inilah jawapannya, desis hati Marlia.

"Qif jangan terlampau larut dalam kenangan lalu. Bangunlah, Qif. Nuha isteri Qif sekarang, jangan abaikan dia dan jangan seksa batin dia dengan sikap Qif ni," nasihat Marlia.

Marlia tahu adiknya ini seorang yang setia tetapi kesetiaan Thaqif tidak berasas. Waheeda sudah pun tiada di dunia ini lagi. Buat apa dikenang sebaliknya Thaqif harus menghargai apa yang berada di depan matanya saat ini. Nuha, gadis yang sangat lembut pada pandangan Marlia, rugi kalau dipersia-siakan.

"Qif tak peduli apa pun yang kak long cakapkan sebab hanya Qif yang terasa seksanya. Isteri yang Qif sayang tinggalkan Qif buat selama-lamanya pada saat cinta kami sedang berada di kemuncaknya. Qif tak kuat untuk hadapi semua tu kak long bila Wahi tinggalkan Qif dengan si kembar. Qif hilang punca. Cinta hati Qif pergi buat selama-lamanya. Wanita yang selalu berada di sisi Qif telah tinggalkan Qif dan takkan kembali lagi. Macam mana Qif nak terima perempuan lain sedangkan hati Qif tak mampu untuk bercinta lagi," luah Thaqif, sayu. Sebak dadanya apabila teringatkan Waheeda.

Segala kenangan mereka berdua bermain dalam minda Thaqif. Sukar untuk dia lupakan wajah Waheeda yang sudah menetap di segenap ruang hati dan mindanya malah wajah lembut milik Nuha tidak mampu untuk menghakis bayangan wajah Waheeda.

Marlia mengeluh. Saat ini dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Adakah adiknya terlalu setia atau adakah adiknya ini terlalu cinta akan Waheeda sampaikan tidak dapat membezakan realiti dan fantasi? Tetapi Marlia turut bersimpati dengan nasib Thaqif, ditinggalkan oleh orang yang tersayang pada saat cintanya menyala-nyala. Mungkin Thaqif masih lagi trauma dengan kehilangan Waheeda.

"Memang hanya Qif yang merasa seksanya, memang Qif seorang yang merasa deritanya tetapi Qif kena ingat, Allah ambil seorang yang kita sayang bukannya sengaja nak kita derita melainkan dia akan menggantikan kita dengan orang yang lebih baik. Ingat, apa pun yang ada di dunia ini hanyalah pinjaman semata-mata begitu juga dengan Wahi dan cinta yang Qif pertahankan tu. Jangan terlampau mencintai manusia Qif, kerana sifat manusia tu sementara. Cinta juga sementara. Apabila tiba masanya manusia dan cinta itu akan kembali kepada Pencipta-Nya," tambah Marlia lagi.

Bukan niatnya untuk mencampuri urusan Thaqif.Tapi sebagai kakak, dia inginkan yang terbaik buat Thaqif. Dia cukup kenal dengan Thaqif. Adiknya ini kalau sudah sayang, sayangnya tidak akan berubah. Kalau sudah setia, setianya memang tidak mampu diruntuhkan. Tetapi jika sikap ini yang Thaqif pertahankan, bagaimana dengan Nuha? soal hati Marlia.

"Qif tahu, kak long. Cinta Qif pada Wahi tidak melebihi cinta Qif kepada-Nya. Qif reda Wahi tinggalkan Qif, tapi hati Qif sukar untuk terima apabila dia sudah tiada di sisi Qif untuk temani Qif pada saat susah atau pun senang."

"Tapi Qif dah ada Nuha. Dia adalah anugerah yang Allah kirimkan untuk Qif. Seorang wanita yang bergelar isteri itu adalah anugerah buat seorang lelaki. Kalau Qif mensia-siakan Nuha, akak rasa Qif akan menyesal," pintas Marlia.

Thaqif terdiam. Anugerah? Ya, dia memang anugerah tetapi anugerah untuk Dani dan Dania bukan untuk aku. Hati Thaqif menyangkal.

Marlia mengeluh apabila tiada balasan daripada Thaqif. Dia membelokkan kereta apabila sudah sampai di hadapan apartmennya. Keretanya diparkirkan di garaj.

"Dahlah, jom masuk. Kita berbual dalam rumah. Qif kejutkan Nuha, dah terlena budak tu," ujar Marlia sambil membuka pintu kereta. Dia membiarkan Thaqif yang masih terpinga-pinga.

Thaqif menjengukkan kepalanya ke belakang. Dia tersenyum nipis melihat Nuha yang terkulai layu. Lena betul dia tidur, bisik hati Thaqif. Lalu dia keluar dari perut kereta dan membuka pintu belakang.

Thaqif duduk mencangkung sambil menatap wajah Nuha yang tenang dalam tidurnya. Kemudian, perlahan-lahan dia mengelus pipi Nuha yang lembut. Dia tersenyum kecil apabila Nuha tergeliat.

"Bangun, Nuha. Kita dah sampai rumah kak long," kejut Thaqif perlahan.

Namun, Nuha masih lagi enggan membuka mata. Thaqif menarik nafas panjang. Susah juga nak kejutkan budak ni. Liat bukan main lagi. Tetapi tiba-tiba matanya tertangkap pada hujung mata Nuha yang kelihatan basah. Lalu, Thaqif menyentuh hujung mata Nuha dengan jari telunjuknya. Air mata?!

Dahi Thaqif berkerut. Nuha menangis dalam tidur? soal hatinya penuh tanda tanya.

Belum sempat dia mengejutkan Nuha buat kali kedua. Mata Nuha terbuka luas. Segaris senyuman yang cukup hambar dilemparkan ke arah Thaqif. Hatinya masih sakit mendengar perbualan Thaqif dan Marlia. Terasa dirinya langsung tidak berharga pada mata Thaqif. Nuha cuba menahan sebak yang menghimpit dadanya. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan air mata yang bergenang di kelopak mata sebaik saja terpandang wajah Thaqif. Dia berpura-pura menguap.

"Eh, kita dah sampai. Maaflah, saya tertidur. Penat sangat," ujar Nuha sambil tersenyum pahit.

Thaqif menarik nafas lega. Pasti Nuha tidak mendengar apa yang dibualkan dengan Marlia sebentar tadi. Sekurang-kurangnya tidaklah Nuha terasa dengan kata-katanya. Dia akan cuba untuk menjaga hati Nuha. Itu pun jika dia mampu.

"Tak apa, saya faham Nuha penat. Dah jomlah naik atas. Nanti kak long tercari-cari pula," ajak Thaqif lantas berdiri.

Nuha menurut. Dia mencapai beg sandangnya. Lalu mengorak langkah menuju ke apartmen Marlia.

Thaqif cuba meraih tangan Nuha namun dengan pantas Nuha mengelak. Dia berjalan dengan laju mengejar bayang Marlia yang semakin menghilang. Sengaja dia lakukan semua itu untuk menunjukkan protes dalam diam.

Thaqif tersentak. Apa kena dengan budak ni? Tadi elok saja. Benak hatinya berkata-kata namun akhirnya Thaqif hanya mengangkat bahu.

"NUHA pandai masak tak?" soal Marlia sewaktu mereka berdua berada di dapur. Thaqif sudah pun berlalu ke bilik untuk merehatkan diri.

Nuha yang baru saja hendak meneguk air mengangkat pandangannya. Dia tersengih.

"Pandai sikit-sikit aje, kak. Itu pun belajar daripada ibu," balas Nuha, jujur.

Marlia tersenyum. Adatlah tu kalau perempuan semuda Nuha tidak pandai memasak, umur pun baru 18 tahun.

"Kak long dulu pun macam Nuha juga, masa umur lapan belas tahun, kak long memang tak pandai memasak. Tapi bila nak kahwin tu mulalah kak long cari ibu nak belajar. Kelam-kabut betul masa tu," cerita Marlia sambil ketawa. Dia mengeluarkan sayur-sayuran dari dalam peti sejuk.

Nuha turut tergelak. Dia senang dengan sikap ramah yang ditunjukkan oleh kakak iparnya itu. Dia terasa diterima dalam keluarga Thaqif namun dalam hati dia tertanya-tanya, sampai bilakah hubungan dia dan Thaqif akan bertahan dengan sikap Thaqif yang tidak mahu berubah.

Nuha mencapai beberapa ulas bawang lalu dikupas. Wajahnya keruh memikirkan nasib perkahwinan antara dia dan Thaqif.

Marlia perasan wajah Nuha yang sudah berubah keruh. Simpatinya datang bertandang. Walaupun dia jauh dari tanah air namun, itu bukan halangan untuk dia mengikuti perkembangan adik-adiknya di Malaysia. Hampir setiap hari dia akan menghubungi Puan Maryam malah kisah Thaqif dan Nuha juga dia tahu.

Lalu, Marlia melabuhkan punggung di sebelah Nuha. Tangan gadis itu dicapai lalu dielus lembut.

"Kak long tahu apa yang Nuha fikirkan. Nuha fikir pasal Qif, kan?" soal Marlia sambil merenung ke dalam anak mata Nuha yang kelihatan suram tanpa cahaya.

Nuha tersentak. Lambat-lambat dia menganggukkan kepala.

"Nuha sayang Qif?" soal Marlia lagi.

Nuha mengangguk laju. Bukan saja sayang malah dia sudah jatuh cinta kepada lelaki itu tetapi cintanya hanya bertepuk sebelah tangan.

"Kalau sayang, kenapa Nuha tak cakap?" sambung Marlia.

Nuha mengeluh berat.

"Nuha dah cakap kak long tapi itu tak dapat mengubah apa-apa pun. Abang Qif sangat setia dengan arwah Kak Wahi. Biarlah Nuha macam ni. Nuha tak kesah kalau Abang Qif tak sayang, tak cintakan Nuha, janji Nuha dapat berada di sisi dia. Tak mungkin Nuha mendapat tempat di hati Abang Qif, kak long," luah Nuha dengan air mata yang menitis tanpa sedar. Dia mengesat air mata yang menitis.

"Nuha jangan cepat mengalah. Hati kita ni bukan milik kita sepenuhnya tapi milik Allah. Bila-bila masa Dia boleh mengubah hati hamba-Nya kalau kita minta dengan bersungguh-sungguh. Abang Qif bukan tak sayangkan Nuha, tapi dia tak cuba untuk membuka hatinya untuk Nuha. Kalau dia tak boleh buka hati dia untuk Nuha, apa salahnya kalau Nuha yang cuba bukakan pintu hatinya untuk terima Nuha," Marlia memberi kata-kata semangat. Dia tersenyum manis ke arah Nuha.

"Abang Qif pernah pesan dekat Nuha, jangan pernah jatuh cinta dan jangan pernah buat dia jatuh cinta. Sebab nanti Nuha yang akan terluka. Bila dia dah cakap macam tu, Nuha jadi give up. Nuha rasa sia-sia saja kalau Nuha cuba pikat dia. Dia lebih sayangkan Kak Wahi."

"Sayangkan orang yang dah tak ada dekat dunia ni? Itu mengarut namanya, Nuha. Tak salah sayang kepada seseorang tu tapi jangan sampai melampaui batas. Hidup perlu diteruskan bukannya untuk hidup dalam kenangan lama yang akan menghancurkan perasaan orang lain," tegas Marlia memotong percakapan Nuha.

Nuha terdiam. Apa yang dikatakan oleh kakak iparnya itu betul tapi siapalah dia untuk mengubah perasaan Thaqif yang sudah beku untuk menerima cinta daripada sesiapa pun.

"Nuha reda dengan apa yang berlaku, kak long. Berapa lama pun Nuha sanggup tunggu pintu hati Abang Qif tu terbuka untuk Nuha. Biarpun Nuha tahu Nuha akan kecewa. Biarpun Nuha tahu dia hanya anggap Nuha macam adiknya saja. Nuha sanggup tunggu walaupun mengambil masa seumur hidup Nuha," balas Nuha, sayu. Dadanya kembali sebak.

Tersentuh hati Marlia mendengar kata-kata Nuha. Kenapalah Thaqif buta dalam menilai budi gadis seperti Nuha ni? Dia perlu lakukan sesuatu supaya Thaqif sedar kewujudan Nuha sebagai seorang isteri bukan saja seorang ibu kepada anak-anaknya.

"Kak long percaya suatu hari nanti Qif akan sedar keistimewaan Nuha sebab Nuha isteri bukannya adik. Kak long nak beri cadangan ni..." ucap Marlia dengan sengihan melebar di bibirnya.

"Cadangan apa, kak?" soal Nuha, ingin tahu. Dia memfokuskan perhatiannya pada wajah Marlia yang sudah tersenyum simpul.

"Adalah..." ucap Marlia sambil mengerdipkan matanya.

Namun, perbualan mereka diganggu dengan kehadiran Thaqif yang muncul di muka pintu dapur. Marlia dan Nuha menghentikan perbualan mereka.

"Bersembang apa tu? Tak nak ajak Qif ke?" soal Thaqif sambil mengerling ke arah Nuha yang kelihatan sedang menghiris bawang. Gadis itu langsung tidak mengendahkan kedatangannya.

Marlia mendongak lantas memandang wajah Thaqif yang bersih.

"Tak ada apa-apa pun. Tadi Qif cakap nak berehat?" Marlia bertanya.

Thaqif melabuhkan punggung di hadapan Marlia, bersebelahan dengan Nuha.

"Nak tidur, tapi mata pula tak boleh tidur, kak long. Itu yang Qif bangun ni. Boleh juga bersembang dengan kak long," ujar Thaqif sambil tersenyum. Dalam hati dia menanti bicara dari mulut Nuha tetapi gadis itu lebih suka mendiamkan diri. Kenapa agaknya?

"Nak bersembang dengan kak long ke atau Qif rindu dengan Nuha?" tempelak Marlia sambil ketawa lepas.

Thaqif terdiam. Wajahnya berona merah. Sempat lagi dia menjeling pada Nuha yang berada di sebelah. Riak gadis itu masih lagi tenang seolah-olah tidak mendengar apa-apa yang diucapkan oleh Marlia.

"Kak long, Nuha pergi cuci sayur-sayur ni dulu, ya?" ucap Nuha sebelum bingkas bangun menuju ke singki tanpa sedikit pun menoleh kepada Thaqif.

Thaqif sedikit terasa dengan perbuatan Nuha. Dia tak nampak ke aku dekat sini? Ingat aku tunggul ke apa? bentak hati Thaqif dalam diam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: