Bab 10
KENDURI doa selamat berjalan dengan lancar. Thaqif menghela nafas lega, akhirnya semuanya selesai. Dia tersenyum manis kepada tetamu yang hadir. Dari jauh dia memandang Nuha yang sedang mengulit Dani yang tidur di dalam dakapannya. Tanpa sedar, bibir Thaqif tersenyum manis melihat Nuha yang kelihatan tenang memeluk tubuh Dani.
Namun, pandangan Thaqif terganggu apabila bahunya ditepuk lembut oleh seseorang. Thaqif berpaling dan tersenyum kepada Haji Lokman yang tersenyum hambar.
"Tahniah, itu saja yang ayah boleh ucapkan. Kamu dah buat keputusan, ayah tak boleh nak halang. Cuma ayah harap kamu tak pisahkan ayah dan cucu-cucu ayah," ucap Haji Lokman dengan senyuman hambar.
Thaqif turut tersenyum. Dia memegang tangan bekas ayah mentuanya itu.
"Walaupun saya dah kahwin, tapi saya takkan pisahkan ayah dengan si kembar. Dia tetap cucu-cucu ayah, anak-anak daripada isteri saya. Ayah boleh jenguk Dani dan Dania bila-bila masa ayah suka," balas Thaqif, lembut.
Haji Lokman terdiam. Jauh di sudut hatinya dia masih kecewa dengan pernikahan Thaqif dan Nuha. Dia tidak menyangka, menantu kesayangannya ini menemui pengganti Waheeda secepat ini. Masih tergambar pada matanya bagaimana Thaqif kelihatan terseksa sewaktu Waheeda meninggal dunia setahun yang lalu. Dia fikirkan Thaqif begitu menyayangi Waheeda tetapi ternyata lelaki itu memilih untuk berkahwin dengan gadis yang jauh lebih muda.
Sebenarnya Haji Lokman sudah membuat rancangan untuk menyatukan Thaqif dan kembar Waheeda, Wazirah, tetapi ternyata angan-angannya tidak menjadi kenyataan. Adakah dia ikhlas menerima hakikat bahawa dia akan kehilangan menantu kesayangannya ini?
"Ayah harap macam tu la. Ayah sayangkan Qif dan cucu-cucu ayah," balas Haji Lokman setelah agak lama mendiamkan diri. Dia melemparkan pandangan ke arah Nuha yang duduk di atas sofa. Kelihatan isterinya, Hajah Latifah menghampiri Nuha yang sedang duduk bersendirian bersama Dani yang tidur di pangkuan.
"Seronok jadi ibu segera?" soal Hajah Latifah sebelum melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan Nuha.
Nuha mendongak. Dia tersenyum kepada Hajah Latifah yang sedang mempamerkan riak kurang senang. Soalannya juga kedengaran sinis di telinga Nuha.
"Dani ni tak banyak sangat ragamnya. Jadi taklah susah jadi ibu si kembar ni," ujar Nuha dengan lembut.
Hajah Latifah tersenyum sinis. Wajah Nuha yang lembut tidak mampu untuk memadamkan rasa tidak puas hati yang bermain dalam jiwanya.
"Remaja macam kamu ni seelok-eloknya fikir untuk sambung belajar bukannya pasal kahwin. Tengok, orang lain sibuk belajar, kamu pula jaga anak. Tak terkilan ke? Jangan suatu hari nanti menyesal sudah," balas Hajah Latifah seakan-akan menyindir.
Nuha sedikit terkejut dengan kata-kata Hajah Latifah. Riak wanita itu juga kelihatan kurang senang dengan kehadirannya. Aku ada buat salah ke?
"Saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang saya buat, mak cik. Insya-Allah saya akan cuba untuk menjadi ibu yang terbaik untuk cucu-cucu mak cik. Saya tahu mak cik sayang si kembar ni. Saya pun sama. Saya sayangkan dia orang macam anak saya," balas Nuha dengan senyuman manis.
Dalam hati, Nuha dapat merasakan bahawa bekas ibu mentua Thaqif ini kurang senang dengan pernikahan antara dia dan Thaqif. Mungkin juga wanita sebaya ibunya ini belum dapat menerima kenyataan yang Thaqif sudah berkahwin lain.
"Cakap memang senang tapi untuk laksanakan tanggungjawab itu yang susah. Jangan sampai suatu hari nanti kamu sendiri yang tinggalkan Thaqif. Sebabnya, memang dia berkahwin dengan kamu pada zahirnya, tetapi mak cik yakin dia sangat mencintai anak mak cik dan takkan pernah melupakan arwah isterinya walaupun kamu ada depan mata dia," ucap Hajah Latifah tanpa memikirkan kata-katanya telah menggores hati Nuha.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Dia cuba untuk bersabar dengan kata-kata Hajah Latifah. Memang jelas tergambar rasa menyampah yang terpancar pada mata Hajah Latifah.
"Saya minta maaf kalau kata-kata saya ni kedengaran kasar, tapi saya tahu Abang Qif memang tak dapat nak melupakan arwah isterinya dan saya tak pula memaksa dia untuk melupakan wanita yang telah melahirkan Dani dan Dania. Saya berterima kasih disebabkan Dani dan Dania, saya dapat berada di sisi orang yang saya sayang. Memang Abang Qif tak dapat nak melupakan arwah Kak Wahi, tapi sebagai seorang isteri, saya akan cuba untuk meletakkan diri saya dalam hati Abang Qif," tegas Nuha.
Giliran Hajah Latifah pula yang terpempan. Dia tidak menyangka gadis semuda Nuha sanggup melawan kata-katanya.
"Apa yang mak cik nampak, kamu memang tak sesuai untuk jadi ibu kepada cucu-cucu mak cik. Qif patut fikir panjang sebelum ambil budak mentah macam kamu ni untuk jadikan isteri. Apa yang Qif nampak pun mak cik tak tahu," balas Hajah Latifah lagi.
Nuha menarik nafas dalam. Dia masih lagi bersabar. Dani yang masih tidur di pangkuannya dipeluk erat. Semua yang aku lakukan ini demi Dani dan Dania. Selagi mereka perlukan aku, selagi itu aku akan bersabar, bisik hatinya memberi kata-kata semangat.
"Kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Selebihnya Tuhan yang menentukan. Saya terima untuk menjadi isteri dan seterusnya menjadi ibu kepada anak-anak Abang Qif bukan kerana terpaksa, tetapi kerana saya sayangkan Abang Qif dan si kembar ni. Mungkin mak cik tak suka kehadiran saya dalam hidup Abang Qif, tapi Allah telah takdirkan saya dalam hidup dia. Siapa kita nak menolak apa yang telah ditetapkan?" ucap Nuha penuh perasaan.
Serentak itu dia bangun dengan mengendong Dani. Dia menepuk-nepuk belakang badan Dani yang sedikit menggeliat, mungkin terkejut kerana tidurnya diganggu.
Hajah Latifah terdiam seribu bahasa. Dia ingin mengatakan sesuatu tetapi Nuha terlebih dahulu bersuara.
"Mak cik mungkin rasa saya ni nak mengambil alih tempat anak mak cik dalam hidup Abang Qif, kan? Salahkah kalau saya menggantikan tempat itu. Saya isteri dia sekarang dan saya berhak!" tegas Nuha dan berlalu meninggalkan Hajah Latifah yang termangu-mangu.
Berdesing telinga Hajah Latifah apabila mendengar kata-kata Nuha. Tak padan dengan budak kecik. Asyik menjawab aje kerjanya. Memang nak kena dia ni. Macam ni ke nak didik cucu-cucu aku? bentak hati Hajah Latifah lalu dia bangun dan mendapatkan Thaqif yang sedang bersembang dengan suaminya.
"Qif, kami balik dululah. Makin panas pula duduk di dalam rumah kamu ni," ucap Hajah Latifah tiba-tiba sebaik saja dia berdiri di sisi Haji Lokman. Wajahnya masam mencuka.
Haji Lokman dan Thaqif terkejut. Dia memandang wajah Hajah Latifah dengan penuh tanda tanya.
"Kenapa dengan awak ni, Pah?" soal Haji Lokman pelik.
Mulut Hajah Latifah sudah muncung. Malas nak bercerita dengan sikap kurang ajar Nuha tadi.
"Isteri baru Qif tu la. Kurang ajar sangat dengan mak. Geram pula mak ni. Perempuan macam tu ke yang Qif nak suruh didik cucu-cucu mak? Diri sendiri tak terurus, inikan pula nak uruskan si kembar tu," bebel Hajah Latifah.
Thaqif mengerutkan dahi. Apa maksud Hajah Latifah? Apa yang Nuha dah buat?
"Apa yang mak maksudkan ni? Qif tak faham..." ucap Thaqif cuba meleraikan tanda tanya yang bermain dalam benaknya.
"Mak malas nak cerita panjang. Kamu nasihatkan sikit dia tu jangan nak kurang ajar dengan orang tua. Dia tu baru setahun jagung nak kenal dunia, tak payah nak biadab sangat. Itulah mak suruh kamu tunggu Wawa, kamu tak nak. Ni pilih juga budak kecil yang entah apa-apa tu jadi isteri. Kejap lagi dia ke mana, cucu mak entah ke mana," balas Hajah Latifah lagi dengan muka cemberut.
"Sudahlah tu, Ifah. Qif, ayah dengan mak balik dulu, ya?" ucap Haji Lokman meminta diri.
Thaqif hanya mampu menganggukkan kepala lalu bersalaman dengan Hajah Latifah dan Haji Lokman. Dia memandang ke tingkat atas. Nuha, apa lagi yang awak buat ni? soal hatinya. Dia mengeluh berat.
THAQIF memulas tombol pintu biliknya dengan perlahan. Dia percaya tentu Nuha berada di dalam bilik tersebut. Lalu, Thaqif melangkah masuk selepas melihat kelibat Nuha yang berdiri di tepi tingkap. Gadis itu termenung panjang.
"Kenapa Nuha ada kat sini? Tetamu ramai lagi dekat bawah tu," ujar Thaqif memulakan perbualan. Dia berdiri di hadapan Nuha yang masih hanyut dalam lamunan.
Nuha tersentak. Lalu dia mendongak. Kelihatan Thaqif sedang berdiri berhadapan dengannya lalu sepantas kilat, Nuha mengesat air mata yang merembes di pipinya. Dia tidak mahu Thaqif perasan yang dia sedang menangis namun mata Thaqif lebih cekap.
Thaqif menarik tangan Nuha yang cuba untuk mengesat air mata. Dia merenung wajah gadis itu sedalam-dalamnya. Dia melihat ada sendu yang terbias di sebalik anak mata yang bundar itu.
"Nuha menangis?" soal Thaqif, lembut.
Nuha menggelengkan kepala lalu menundukkan wajahnya. Tangannya dibiarkan di dalam genggaman tangan Thaqif.
"Habis tu, kenapa pipi tu berair? Takkan mata masuk habuk, kut?" soal Thaqif lagi.
Kebisuan Nuha meresahkan Thaqif. Laju saja tangannya mengangkat dagu Nuha. Anak matanya dibiarkan terus untuk menatap ke dalam bola mata Nuha yang hitam pekat. Sayu hatinya apabila melihat air mata yang bergenang di kelopak mata itu.
"Tak nak cerita dekat saya apa yang bermain dalam fikiran Nuha saat ni? Manalah tahu saya boleh tolong ke?" sambung Thaqif lagi dengan nada yang lembut.
"Saya okey. Awak jangan risau. Sorry, saya rehat sekejap. Tadi Dani nak tidur, itu yang saya naik ke bilik ni. Sekarang dia dah tidur, jadi bolehlah saya turun," Nuha membuka mulut. Dia tersenyum tetapi dirasakan cukup hambar.
Dia mula mengorak langkah menuju ke pintu tetapi dengan pantas pergelangan tangannya disambar oleh Thaqif membuatkan langkah Nuha terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum berpaling ke arah Thaqif. Dia cuba untuk tersenyum manis tetapi apa yang dirasakan adalah cukup pahit.
"Nuha menyesal kahwin dengan saya?" soal Thaqif, tiba-tiba.
Nuha sedikit tersentak. Sepantas kilat dia menggelengkan kepala tanda dia tidak pernah menyesal dalam memilih Thaqif sebagai suaminya walaupun haknya telah dinafikan oleh lelaki itu.
"Habis tu kenapa Nuha menangis?" soal Thaqif lagi. Selagi Nuha tidak menceritakan apa yang berlaku, selagi itulah dia rasa tidak tenteram. Thaqif yakin perubahan emosi Nuha pasti ada kaitan dengan Hajah Latifah.
"Betul ke saya ni tak ada tempat langsung dalam hati awak?" soalan Thaqif dibalas dengan soalan. Nuha membalas pandangan Thaqif dengan penuh pengharapan.
Thaqif tersentak. Lain ditanya lain pula yang dibalas oleh Nuha. Dia mengetap bibir. Fikirannya ligat memikirkan jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada Nuha. Dia tahu gadis itu sedang bersedih, dia tidak mahu menambah lagi kesedihan gadis itu jika dia memberikan jawapan yang sebenarnya.
"Nuha jangan fikirkan sangat pasal hal ni. Kita teruskan hidup macam biasa, biar waktu yang menentukan segalanya," balas Thaqif.
Nuha tersenyum nipis. Dia menarik tangannya dari genggaman Thaqif. Satu keluhan dilepaskan. Jawapan Thaqif tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah. Lalu, Nuha mengorak langkah menuju ke katil. Dia melabuhkan punggung di birai katil.
"Saya tahu saya tak layak untuk berada dalam hati awak, apatah lagi untuk menggantikan tempat arwah Kak Wahi. Tapi, saya ikhlas menyayangi awak sepenuh hati saya kerana awak suami saya. Mungkin angan-angan saya terlalu tinggi untuk terus hidup bersama awak sedangkan saya harus sedar suatu hari nanti, saya mungkin akan kehilangan awak," ucap Nuha, sayu. Sebak yang menghurung dada ditahan namun air mata sudah kembali bergenang di kelopak mata.
Sakit. Itulah yang dirasakan dalam hatinya saat ini. Mencintai seseorang yang tidak mencintai kita memang benar-benar menyesakkan dadanya. Nuha tidak boleh memaksa Thaqif untuk mencintainya tapi dia juga tidak dapat memaksa dirinya sendiri untuk melupakan Thaqif walaupun dia sangat berharap yang dia dapat melupakan bayang lelaki itu dari mindanya.
Thaqif bungkam seketika. Kemudian, dia turut melabuhkan punggung di hadapan Nuha. Wajah gadis itu yang muram ditenung lama sebelum keluhan dilepaskan. Kenapa cerita hidupnya semakin rumit saat ini?
"Saya tak boleh paksa hati saya untuk terima orang lain bagi menggantikan Wahi. Saya juga tak boleh memaksa cinta tu datang untuk Nuha. Saya akan cuba untuk jalankan tanggungjawab sebagai seorang suami walaupun tidak sempurna. Maafkan saya kalau kata-kata saya melukakan hati Nuha tapi sebelum kita berkahwin, saya dah terangkan kepada Nuha perkara yang sebenar dan Nuha sendiri yang sanggup untuk jadi isteri saya tanpa sebarang rungutan," balas Thaqif cuba berlembut.
Kata-kata Thaqif menikam jauh ke dalam hati Nuha. Air matanya menitis juga. Adakah aku lupa tujuan sebenar aku berkahwin dengan Thaqif? Adakah aku terlampau memaksa lelaki itu sedangkan dia masih mencintai arwah isterinya? Aku harus sedar cinta itu sememangnya tidak boleh dipaksa kerana cinta itu hadir tanpa dipinta. Hati Nuha berkata-kata.
"Jadi maafkan saya. Saya yang terlanjur mencintai awak dan saya berharap agar perasaan ini akan hilang suatu hari nanti. Maafkan saya," ucap Nuha dengan sedu-sedan yang jelas kedengaran di telinga Thaqif.
Thaqif tersentak. Nuha mencintai aku? Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? soal hatinya.
Perlahan-lahan Thaqif menarik Nuha ke dalam pelukannya. Dia berharap dengan cara itu kesedihan Nuha akan berkurangan. Dia menepuk lembut bahu Nuha dan mengusap kepala Nuha dengan perlahan.
Nuha menyembamkan wajahnya ke dada Thaqif. Erat tangannya memeluk pinggang Thaqif. Kesedihan yang dirasakan begitu meruntun jiwanya. Aku yang bersalah kerana jatuh cinta kepada dia. Tapi mampukah aku untuk memadamkan rasa cinta ini? Ya Allah, berilah aku kekuatan. Aku tak mahu lemah kerana cinta yang nyata bukan milik aku, doa hati Nuha.
"Syhhh... Jangan menangis Nuha. Saya pernah cakap pada Nuha kan jangan pernah jatuh cinta kepada saya dan jangan pernah buat saya jatuh cinta kepada Nuha kerana saya takut Nuha akan terluka. Sekarang tengok apa dah jadi? Nuha dah terluka," ucap Thaqif, lembut memujuk.
Nuha masih lagi menangis. Cinta saya kepada awak bukannya sekarang, sebaliknya cinta itu telah lama menghuni hati saya sejak kali pertama saya lihat awak. Awak tak tahu dan awak takkan pernah tahu apa yang saya rasakan, bisik hati Nuha.
"Ya, saya yang bersalah. Kesalahan saya sebab dah jatuh cinta kepada awak. Maafkan saya," suara Nuha kedengaran tenggelam timbul. Dia mengeratkan lagi pelukannya di tubuh Thaqif yang sasa dan melepaskan segala kesedihannya di dada bidang itu.
Thaqif mengeluh panjang. Nuha cintakan aku sedangkan aku tak mampu untuk memberikan cinta ini kepada sesiapa pun kerana cinta aku satu tiada yang kedua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro