Bab 1
"AKU mengandung, Wawa." Kedengaran suara lembut itu menyapa di telinga Wawa.
"Serius, Wahi? Alhamdulillah. Seronoknya aku akan dapat anak saudara. Tapi aku tak dapat nak rasakan kegembiraan dengan kau sekarang. Aku busy sangat dekat sini," ujar Wawa sambil tangannya kemas memegang telefon bimbit. Sebelah tangannya lagi menyelak buku rujukan yang terbentang di hadapan mata.
Wahi tersenyum hambar. Dia begitu mengharapkan kehadiran kembarnya ini. Rasa rindu semakin mencengkam kalbu. Perlahan-lahan, perutnya yang ditutupi dengan baju, digosok lembut.
"Masa aku kahwin kau tak balik, masa aku nak bersalin nanti mesti kau pun tak dapat balik. Agaknya kalau aku tak ada, kau balik tak?" soal Wahi, tiba-tiba.
Wawa terkaku. Pen yang dipegang terlepas dari genggaman tangan. Jantungnya berdenyut pantas mendengar soalan daripada Wahi.
"Wahi, apa yang kau mengarut ni? Kau tahu kan aku memang payah nak balik. Bukan aku tak nak balik, aku pun rindukan kau tahu tak? Tapi aku banyak assignment nak kena buat. Kau kembar aku, patutnya kau faham," ujar Wawa. Suaranya berubah sayu apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Wawa.
Wahi ketawa kecil. Kembarnya ini cukup sensitif orangnya. Pantang diusik, cepat saja emosinya terganggu.
"Aku bergurau ajelah. Aku tahu kau sibuk, tapi boleh tak aku nak mintak sesuatu daripada kau?" Soalan Wahi membuatkan Wawa terdiam.
"Kau nak apa?" soalnya kembali. Dia menggaru- garu kepalanya yang tidak gatal apabila terpaksa menyalin segala nota-nota untuk dijadikan rujukan sebelum peperiksaan menjelang.
"Kalau terjadi apa-apa kepada aku nanti, boleh tak kau tolong jagakan anak aku?" soal Wahi.
Wawa terdiam. Hatinya resah mendengar soalan yang diutarakan oleh Wahi. Sekarang, tumpuannya hanya kepada Wahi. Dahinya berkerut seribu.
"Maksud kau apa, Wahi? Aku tak faham. Kau sihat aje, kan? Abang Qif layan kau dengan baik, kan?" Bertalu-talu soalan terbit dari bibir Wawa.
Kedengaran Wahi ketawa kecil di hujung talian.
"Alhamdulillah, Abang Qif seorang suami yang baik. Kalau jadi apa-apa kepada aku, aku nak kau janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif, boleh?" soal Wahi lagi.
"Apa kau merepek ni, Wahi?" soal Wawa makin pelik.
"Janji dengan aku, Wawa. Janji yang kau akan jaga anak aku dengan Abang Qif," gesa Wahi lagi. Kedengaran suara itu seperti menahan sebak.
"Aku... Aku..."
"Aku hanya percayakan kau sebab kau kembar aku. Sebahagian diri aku ada dalam diri kau. Aku yakin kau boleh jaga anak aku. Boleh ya, Wawa? Tolong janji dengan aku," rayu Wahi lagi.
Wawa tidak mampu untuk membantah. Dia mengangguk seolah-olah anggukan itu mampu dilihat oleh Wahi.
"Insya-Allah, aku janji akan jaga anak kau dengan baik."
Beberapa bulan berikutnya...
SEORANG lelaki merenung kosong tanah kubur yang masih merah. Hujan renyai-renyai membasahi bumi tidak dipedulikan. Air mata yang bercucuran di pipi juga tidak dihiraukan. Sayu hatinya apabila mengenangkan jasad orang yang disayanginya telah selamat disemadikan sebentar tadi.
Betapa seksa hatinya kerana terpaksa berpisah dengan isteri tersayang walaupun baru setahun mereka mendirikan rumah tangga. Pilu hatinya apabila teringatkan anak kembar mereka berdua yang masih dalam jagaan ibunya di rumah. Apalah nasib anak kembarnya nanti, membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia menyeka air mata yang menuruni laju di pipinya.
Tepukan di bahu mengejutkan lelaki itu. Dia mengangkat muka. Pandangannya masih berbalam dengan sisa air mata yang tidak kering. Ditambah pula dengan air hujan yang menitis membasahi wajahnya. Lelaki itu tersenyum dalam kepayahan.
"Sudahlah tu nak, jangan menangis lagi. Kesian arwah kat dalam sana. Bersabarlah, semua ini ujian daripada Allah. Jika kamu reda dengan pemergiaannya, insya-Allah, Allah akan tempatkan isteri kamu dalam kalangan orang yang beriman," nasihat seorang lelaki tua sambil tersenyum tawar.
Lelaki itu membalas senyuman tersebut dengan hambar. Nasihat bapa mentuanya itu lekat di dalam kepala namun, mata dan hatinya tidak mampu membendung rasa yang bermain dalam jiwa. Dia cintakan wanita itu malah cintanya tak mungkin berubah. Baru dia ingin menyulam cinta dan hidup bahagia tetapi, pemergian wanita itu meragut segalanya.
Lelaki itu sebak apabila terkenangkan wanita itu yang masih sempat tersenyum walaupun ajal semakin menjemput.
"Saya hadiahkan abang sepasang anak kembar. Inilah lambang cinta saya abang. Tolong jaga mereka baik- baik. Bila mereka besar nanti, abang tolong cakapkan kepada mereka yang saya sangat sayang dan rindukan mereka. Saya tahu masa saya tak lama tapi, saya nak abang tahu yang saya akan selalu sayang dan cintakan abang biarpun saya tiada di sisi abang," ucap isterinya dengan suara yang lemah.
Dia menggelengkan kepalanya dengan laju. Air mata sudah menuruni lekuk pipi. Dia meletakkan jari telunjuk di bibir isterinya yang terbaring lesu. Sebaik saja selesai pembedahan, keadaan wanita itu menjadi semakin kritikal kerana penyakit barah rahim yang dialaminya semakin teruk. Dia sendiri tidak menyangka yang isterinya sanggup menyembunyikan penyakit itu semata-mata ingin memberikannya zuriat, penyambung cinta mereka.
"Sayang akan sihat, percayalah cakap abang. Abang tak boleh hidup tanpa sayang di sisi. Tolonglah sayang jangan cakap macam tu. Sayang tak boleh tinggalkan abang. Abang sangat cintakan sayang," balas lelaki itu sambil mengusap pipi si isteri yang sedang tersenyum tawar.
"Saya pun sayangkan abang tapi, mungkin jodoh kita hanya sampai di sini. Tapi itu tak bermakna saya lupakan abang. Saya sayangkan abang meskipun jasad saya sudah tidak bersama-sama abang lagi di dunia ini," ucap isterinya dengan linangan air mata yang tidak berkesudahan. Dia menggenggam tangan suaminya dengan erat. Dia mengucup tangan itu, mungkin untuk kali terakhir.
Lelaki itu menggeleng. Tidak! Tidak! jerit hatinya saat melihat mata wanita itu tertutup.
"Sayang, jangan tinggalkan abang!" jeritnya.
Dia tersedar apabila terdengar bunyi guruh yang berdentum. Akhirnya dia bangun. Dengan langkah yang berat, dia berlalu meninggalkan tanah perkuburan itu dengan perasaan yang sayu. Tak sangka, sayang tinggalkan abang juga akhirnya!
Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya. – HR al- Bukhari.
Bab 1
"NUHA, tolong hantarkan air ni," arah Puan Maryam setelah selesai membancuh
kopi O dan meletakkannya di atas dulang.
Nuha hanya mengangguk dan mengikut arahan yang diberikan. Maklumlah hari ini hari pertama dia bekerja di kantin sekolah setelah tamat SPM. Rasa kekok pula nak bekerja selepas sekian lama menghadap buku dan kerja sekolah.
"Siapa yang pesan air ni, mak cik?" soal Nuha lembut.
"Cikgu Thaqif..." beritahu Puan Maryam dengan senyuman.
Cikgu Thaqif? Nuha menelan air liur. Hatinya berdebar-debar. Tanpa menunggu lama, dia menatang dulang dan berlalu ke ruang makan di kantin sekolah itu.
Nuha menolak pintu gelangsar dan mencari kelibat Thaqif yang tidak kelihatan. Dia memandang ke sudut meja yang menempatkan juadah makanan. Dia tersenyum memandang belakang lelaki yang berkemeja biru lembut. Cikgu Thaqif, seru hatinya.
Tiba-tiba Thaqif berpaling dan terkaku memandang Nuha yang sedang berdiri di sisi meja tidak jauh darinya. Tiba-tiba bibirnya mengukir senyuman.
"Awak kerja dekat sini, Nuha?" soal Thaqif seraya melabuhkan punggung di atas kerusi. Pinggan yang berisi nasi dan lauk diletakkan di atas meja. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan malu-malu untuk memandang wajahnya.
"Haah cikgu... Sementara tunggu result keluar," balas Nuha lembut.
Cikgu Thaqif hanya mengangguk dan tersenyum. Dia menunduk dan meneruskan suapan. Manakala Nuha berlalu dengan hati yang berdetak. Aura Thaqif sangat kuat pada dirinya. Sampaikan lidahnya kelu untuk berkata lebih.
Nuha tersenyum. Wajah Thaqif bermain-main dalam fikirannya. Thaqif seorang lelaki yang tenang, seorang yang tegas dan yang paling penting, seorang yang... kacak. Nuha tersenyum lagi.
"Amboi, Nuha... Apa yang disenyumkan tu?" laung Mak Cik Zakiah sewaktu Nuha masuk ke kawasan dapur.
Nuha tersengih. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Senyum sebab ingatkan Cikgu Thaqif, mak cik, bisik hatinya nakal. Kemudian dia meneruskan kerja yang terbengkalai. Roti burger dan daging burger yang sudah digoreng diambil.
"Qif tu tak nak kahwin lagi ke, Kak Yam? Dah setahun arwah pergi, kesian pula tengok si kembar tu tak dapat kasih sayang ibu," tanya Mak Cik Zakiah yang sedang memotong sayur untuk dimasak tengah hari nanti.
Nuha hanya memasang telinga apabila nama Thaqif disebut. Entah kenapa saat nama cikgu lelaki itu disebut, pasti jantungnya berdegup.
"Entahlah, Yam. Qif tu sayang sangat arwah Wahi tu. Dah penat akak suruh dia kahwin, tapi dia tak nak. Bukannya akak nak suruh dia lupakan arwah tapi, biarlah Dani dan Dania tu ada ibu bila besar nanti." Puan Maryam meluahkan rasanya bersama keluhan berat.
"Kadang-kadang kesian pula saya tengok Si Qif tu. Terpaksa bawa si kembar ke kantin. Mana nak kerja, mana nak jaga budak berdua tu lagi. Dahlah si kembar itu semakin membesar," sambung Mak Cik Zakiah sambil mengupas bawang pula.
"Akak pun tak tahu macam mana nak nasihatkan anak akak yang sorang tu," keluh Puan Maryam lagi.
Tiba-tiba perbualan mereka berdua terganggu apabila kedengaran suara anak kecil menangis. Sepantas kilat, Puan Maryam melangkah menuju ke bilik rehat yang telah dikhaskan untuk menjaga cucu kembarnya.
Telinga Nuha dapat menangkap suara tangisan itu yang semakin kuat. Sayu pula mendengar keluhan hati Puan Maryam tadi. Kata-kata Puan Maryam membuatkan Nuha terfikir, sampai bila Puan Maryam mampu menjaga cucu- cucunya sedangkan wanita itu semakin berusia? Tidakkah Thaqif memikirkan semua itu?
"Syhhh... Sayang cucu opah. Kenapa menangis ni?" ucap Puan Maryam sambil menepuk-nepuk belakang Dani dengan lembut.
Nuha mengangkat muka. Kesian pula dia melihat anak kecil yang baru berusia setahun itu menangis sampai merah wajahnya. Dia tersenyum kepada Dani dan tiba-tiba tangisan Dani terhenti.
"Mama..." ucap Dani sepatah.
Nuha terpempan. Dia menelan air liur.
Puan Maryam tersentak. Dia memandang wajah cucunya dan Nuha silih berganti. Biar betul apa yang aku dengar tadi?
"Nuha, cuba kamu dukung Si Dani tu." Suara Mak Cik Zakiah membuatkan Nuha terkedu. Aku dukung Si Dani? Biar betul? kata Nuha dalam hati.
Lalu, Puan Maryam menghulurkan Dani kepada Nuha. Dengan teragak-agak Nuha menyambut. Namun, saat tubuh Dani berada di dalam dukungannya, anak kecil itu senyap dan melentokkan kepalanya di bahu Nuha. Sungguh, hati Nuha tersentuh saat itu. Dia membelai belakang Dani dengan lembut.
Puan Maryam tersenyum simpul. Suka dia melihat Dani yang kelihatan manja dengan Nuha. Nampaknya kata- kata Mak Cik Zakiah tadi ada benarnya. Dani dan Dania perlukan seorang ibu.
THAQIF selesai makan dan mula melangkah ke dapur kantin untuk berjumpa dengan ibunya sekali gus menjenguk buah hati pengarang jantungnya. Si kembar yang semakin membesar. Lambang cinta Waheeda bersama dengannya dulu.
Sewaktu dia tiba di muka pintu, Thaqif dapat mendengar tangisan anak lelakinya. Pantas, dia mengatur langkah namun langkahnya terhenti apabila anak kecilnya itu menyebut satu perkataan yang begitu menyentuh hati lelakinya. "Mama..."
Satu perkataan itu cukup membuatkan Thaqif terkedu. Tanpa disedari, air matanya menitis apabila terkenangkan anak kembarnya sudah setahun tidak merasa belaian seorang wanita yang bergelar ibu. Bukan dia tidak simpati akan nasib anak-anaknya namun mampukah dia untuk menerima orang lain selain arwah Waheeda?
"Sayang anak papa menangis..." sampuk Thaqif lalu mendapatkan Dani yang berada di dalam dakapan Nuha. Dia tersenyum sekilas pada Nuha yang kelihatan terkejut.
Thaqif cuba mengambil Dani daripada pelukan Nuha namun tidak semena-mena anaknya itu menangis sambil menghulurkan tangannya kepada Nuha. Sungguh saat itu dada Thaqif dihurung sebak. Pandangannya dilarikan ke tempat lain.
Sayang, kalau sayang ada. Abang tak perlu hadapi semua ini, desis hati kecilnya.
"Qif, biarlah Nuha yang dukung Dani. Dani tu rindukan ibunya kut," ujar Puan Maryam.
Thaqif terdiam. Dia memandang wajah Nuha yang kelihatan tenang. Gadis itu membalas pandangannya bersama senyuman. Lantas, Thaqif menyerahkan Dani kembali kepada Nuha. Sebaik saja Nuha mendukung Dani, anak kecil itu terus diam.
"Kamu nampak tak sentuhan seorang perempuan, Qif. Dani perlukan seorang ibu," bisik Puan Maryam sambil menepuk bahu anak lelakinya itu.
Thaqif tidak membalas. Hatinya menolak kata-kata Puan Maryam. Tiada siapa yang layak jadi ibu kepada Dani dan Dania kecuali Waheeda. Selamanya tetap Waheeda dalam hati Qif, ibu, bisik hati kecil Thaqif.
"Dania mana ibu?" soal Thaqif mengalih topik. Dia malas membincangkan perkara ini di hadapan Nuha. Gadis itu masih mentah untuk mengetahui apa yang dibincangkan.
"Ada dalam bilik tu. Tidur. Pergilah jenguk sekejap," Puan Maryam bersuara.
Thaqif hanya mengangguk. Langkahnya di atur menuju ke bilik rehat untuk menjenguk puterinya.
Nuha tersenyum apabila dapat memeluk tubuh Dani yang kecil. Kemanjaan anak kecil itu menyentuh hati perempuannya. Percaya atau tidak, tiba-tiba dia rasa sayang kepada Dani yang sedang erat memeluknya.
"Lepas ni, bolehlah Nuha tolong mak cik jagakan Dani dengan Dania. Mak cik pun tak larat sangat nak jaga budak berdua ni. Boleh, kan?" soal Puan Maryam dengan senyuman.
Nuha berpaling dan membalas senyuman Puan Maryam dengan ikhlas. Dia mengangguk.
"Insya-Allah boleh. Tapi kerja saya macam mana?" soal Nuha kembali.
"Pasal kerja tu kita letak tepi dulu. Bila Dani dan Dania tidur, Nuha bolehlah sambung kerja tapi, kalau dia orang terjaga, Nuha tolong tengok-tengokkan, ya? Lagipun mak cik rasa, Dani ni macam suka Nuha aje," ucap Puan Maryam sambil mencuit lengan Mak Cik Zakiah. Matanya dikenyitkan.
"Budak-budak kecil ni lain sikit, Nuha. Dia boleh baik dengan orang yang dia suka aje. Nampaknya, tak lama lagi Dani dapat mama barulah. Tak gitu, kak?" usik Mak Cik Zakiah.
Nuha terkedu. Serta-merta wajahnya berbahang panas. Dia mengalihkan pandangan ke tempat lain namun pandangannya bertembung pula dengan anak mata Thaqif yang baru saja keluar dari bilik. Lama mereka bertatapan sebelum Nuha menundukkan pandangan. Jantungnya sudah berlari kencang dek terkena panahan lelaki berkaca mata itu. Ya Allah, tolong redakan perasaan aku!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro