
Prolog
Aku mematikan lampu ruang tamu dan masuk ke dalam bilik tidur. Malam-malam hujan lebat seperti malam ini adalah sesuatu yang harus diambil peluangnya. Peluang untuk tidur awal selepas meminum teh panas.
Aku memasang lilin aromaterapi dan scented humidifier. Pantas aroma itu menerawangi setiap ceruk bilik tidur utama itu. Aku menghidupkan pendingin hawa sebelum berbaring di atas katil.
Baru aku teringatkan sesuatu. Aku masih punya kerja yang belum selesai. Ah, esok sahajalah aku siapkan. Lagipun, tugasan yang memerlukan aku membuat pembentangan itu hanya akan diperlukan lagi dua hari. Nanti sajalah aku lakukan.
Aku bingkas dari pembaringan dan pergi ke meja kerja aku yang bersebelahan dengan tingkap. Aku malas hendak membuka lampu jadi aku biarkan saja limpahan cahaya dari luas menyinari bilik tidur aku yang tidaklah besar mana ini.
Sesekali, mata aku akan terbuang pandang ke luar tingkap. Pemandangan aku terbahagi kepada sebahagian kecil pemandangan bandar dan separuh lagi adalah bangunan blok sama kerana apartmen yang aku duduki ini adalah berbentuk L.
Aku ralit dan hanyut dalam tuntutan kerja yang mendesak. Sejujurnya, aku bukanlah pekerja yang rajin tapi seperti aku katakan, aku terpaksa. Hidup di kota, memerlukan kekerasan mental.
Ibu aku pernah bertanya, apalah sangat penat berkerja di dalam bilik pejabat yang sejuk, duduk saja di hadapan komputer dan bergaji yang besar. Bapaku dulu pagi-pagi sudah keluar rumah membanting tulang empat kerat untuk pendapatan tak seberapa ada. Cukup untuk menyara kami tujuh sekeluarga.
Untuk soalan ibuku itu, jujurnya aku sendiri tidak tahu jawapannya apa. Tapi salah satu darinya boleh aku katakan adalah aku mampu membayar untuk duduk sendiri di rumah apartment tiga bilik yang boleh dikatakan mewah di tengah ibukota ini. Cukup untuk pergi bercuti setiap bulan ke pelbagai destinasi. Cukup untuk membeli kopi ais berharga lebih RM10 setiap pagi sebelum kerja.
Hujan masih lagi turun cuma tidaklah selebat tadi. Aku memandang jam digital di atas meja kerjaku. Sepuluh minit lagi hendak jam dua pagi. Aku mengeluh melihat itu. Siapa saja yang hendak berkerja sejujurnya.
Mataku terpandang ke luar tingkap dan aku melihat di salah sebuah tingkap di sudut lagi satu bangunan kudiami itu, ada seorang lelaki berdiri di situ menghadap ke luar. Lampu biliknya dinyalakan jadi aku tidak dapat melihat jelas wajahnya terbias oleh cahaya.
Aku tahu lelaki itu. Tahu, bukan kenal.
Cukup sekadar dia lelaki yang tinggal di aras yang sama dengan aku di bangunan yang sama dan ada masanya, pergi dan pulang dari kerja pada masa yang sama. Bezanya adalah pakaiannya lebih kelihatan professional dariku.
Aku bangun dari dudukku dan pergi ke jendela. Aku melihat kini dengan lebih jelas, dia sedang menghisap rokok dan pandangannya menghala ke langit. Aku nampak samar-samar sepertinya dia sedang mengeluh. Mukanya, walau hanya melalui siluet, sepertinya dia sedang berkerut.
Aku tak pasti sama ada dia sudah berkeluarga atau belum. Aku pernah melihat dia menghubungi seseorang di dalam telefon semasa sedang menunggu lif. Nadanya serius tapi aku tak rasa di hujung talian itu seorang isteri atau tidak.
Semasa aku sedang mengemas balkoni aku, pernah aku melihat di balkoninya terdapat beberapa orang rakan (aku rasa) yang dia bawa pulang ke rumah. Aku juga tak pernah melihat kalau ada orang lain yang tinggal di situ juga ataupun tidak. Selain daripada dua, tiga orang rakannya yang akan meleser di balkoni, tiada lagi yang lain.
Kebiasaannya, malam-malam sebelum ini, aku tak pernah melihat lampu rumahnya dimatikan lambat. Biasanya sekitar jam sepuluh begitu, lampu sudah dimatikan. Ini adalah kali pertama aku melihat dia berjaga lagi di saat seperti itu
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro