Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

18 - Contengan Hati

Bab 5

"DALAM pendrive ni ada dua fail. Anne kata, satu tu dalam bentuk PDF dan satu lagi MS Words. Anne kata, kalau awak nak tukar apa-apa maklumat, buat salinan dulu. Maksudnya, copy yang fail daripada format MS Words tu, baru ubah apa-apa yang awak nak ubah. Lepas tu ... Anne kata lagi, fail yang baru tu, awak kena rename belakang dia sebagai REV1."

Panjang berjela dia menyampaikan pesanan Anne. Mencungap juga nak bercakap laju. Takut lelaki di hadapannya ini tiba-tiba berlalu. Bukan tidak pernah berlaku. Anne dan kawan-kawannya pun sudah selalu kena. Kadangkala, belum habis berbincang, Kif sudah angkat kaki tanpa sepatah kata. Itu yang membuatkan Anne melabel Kif sebagai seorang yang kurang ajar!

"Nah!" Kirana tidak mahu berlama-lama berdiri di hadapan lelaki itu. Yang penting, pesanan Anne tadi sudah disampaikan. Dia tidak kisah jika Kif tidak membalas sepatah kata pun, asalkan pesanannya itu masuk ke telinga dan Kif buat sepertimana yang Anne minta.

"Ambillah. Saya ada kerja lain ni." Kirana sudah rasa tidak kena bila hulurannya tidak bersambut. Tidak mungkin Kif mahu Anne sendiri menyerahkannya. Atau, menjelaskannya. Tak ada beza pun.

"Anne tak sihat. Dia malas nak salin baju, nak sarung tudung turun ke bawah. Sebab itu saya yang turun, tolong sampaikan. Selepas ini pun, saya nak naik ke koperasi sana. Nak belikan Anne Panadol." Mahu sahaja Kirana tarik tangan Kif dan meletakkan pendrive itu di telapak tangan lelaki beku, bisu dan kaku. Oh, ya! Tambah satu lagi label yang Anne beri - menjengkelkan!

Bila Kif menaikkan tangannya ke telinga, lalu menolak hud yang menutupi kepalanya, Kirana menggeleng. Terhela nafas kecewanya. Pada telinga Kif, terlekat earphone.

"Apa awak cakap tadi?"

Menyesal pula Kirana tidak minta Anne tulis nota sahaja buat Kif. Ditarik nafasnya dalam-dalam, cuba menganyam sabar. Setiap hamba Tuhan yang muncul di dalam hidup kita, adalah ujian semuanya. Kif adalah salah seorang daripada hamba Tuhan yang menguji kesabarannya.

"Ki!"

Jeritan Anne dari tingkap bilik mereka membuatkan Kirana cemas.

"Kau ada lagi ke kat bawah tu?"

"Aa ... aaa ... ya, aku ada lagi kat sini. Dengan Kif. Sekejap, aku pergi beli. Kau ... kau minum air suam dulu. Tidur dulu."

"Okey ..."

"Awak dah dengar, kan? Saya nak cepat ni. Saya ulang apa yang saya cakap dalam perjalanan ke koperasi. Awak punya laluan balik pun, arah yang sama, kan?" Kirana terus melangkah. Dia harap, Kif ikut dia. Berjalan seiring dan mendengar pesanan Anne yang akan disebut sekali lagi.

"Bagi pendrive." Kif menghulur tangan.

Kirana berhenti melangkah. Melepas keluh. Dia mengalah. Orang macam Kif seperti tidak faham bahasa. Tidak hadam suasana.

"Nah! Buat fail pendua MS Words kalau awak nak ubah apa-apa. Rename letak REV1 menandakan awak ada revise fail itu." Pendrive bertukar tangan. Kirana melangkah laju meninggalkan lelaki yang dia masih tidak faham mengapa begitu sikapnya. Tetapi, dia bersabar untuk cuba faham.

Kif tidak berganjak. Dia mendengar setiap patah kata Kirana. Entah mengapa, dia tidak langsung kisah bila Anne mewakilkan Kirana. Sewaktu kali pertama gadis itu mewakilkan Anne, dia agak tidak selesa. Dia tidak kenal Kirana. Tidak betah hendak bertanya apa sebab bukan rakan sekelas dia. Sedangkan dengan Anne pun dia hanya bercakap sepatah dua, apatah lagi 'wakil' yang dihantar oleh Anne. Tetapi, semakin hari dia mengetahui dan sering pula bertembung dengan gadis ini, dia rasa lebih dekat. Malah, lebih selesa berbanding dengan rakan-rakan sekelasnya yang perempuan.

Langkah Kirana, diperhati. Perlahan-lahan diikuti sebelum tubuh gadis itu hilang, menukar arah laluan.

"KAU pandang siapa?"

Kif mengalihkan anak mata. Melihat pada cawan di atas meja. Dikacau-kacau air teh o yang masih berasap.

"Kif." Lengan Kif dicucuk dengan belakang garfu oleh Adli. Garfu yang sebelum itu digunakannya untuk makan puff sardine.

Kif mengangkat kepala, memandang muka Adli seolah-olah bertanya, 'apa?'

"Kau pandang siapa?"

Dia menggeleng. Dia tidak memandang siapa-siapa. Kalau benar ada pun, mustahil untuk dia bercerita.

"Tipu."

"Dahlah. Yang kau nak tuduh dia menipu tu, kenapa? Dia memang macam tu, kan? Pandangannya kosong. Kau mungkin nampak macam dia pandang seseorang, tapi tak. Dia pandang ruang kafe ini sahaja." Pian menegur Adli sebelum mengalih soalan kepada Kif, "Mak kau dah sihat?"

Kif mengangguk-angguk sebelum menjawab, "Alhamdulillah. Kurang sikit."

"Adik kau yang jaga?"

Kif mengangguk lagi. Wajah pucat, kurus ibunya terbayang pada air dalam cawan.

"Bila lagi kau nak balik?" Adli pula menyambung tanya.

"Minggu hadapan."

"Kirim salam kat adik kau."

Kif buat tak dengar. Dia lebih fokus kepada air di dalam cawan yang sudah tidak berasap. Tetapi, masih terus dikacau perlahan. Mencicipnya hanya sekali dua.

"Kirana!"

Jeritan itu membuatkan Kif tanpa sedar menoleh. Bukan ke arah suara yang menjeritkan nama 'Kirana', sebaliknya ke arah gadis yang bernama Kirana. Yang tadi sedang duduk minum di meja berhampiran dinding. Di bahagian meja berkerusi dua. Kini, gadis itu sudah berdiri berhampiran dengan mejanya. Menoleh ke arah kaunter yang ada gadis India pekerja kafe.

"Ya, Kak Seroja!" Suara girang Kirana tertangkap di pendengaran.

"Ini untuk Ki. Terima kasih sebab tolong akak buat poster jualan tempoh hari."

"Eh, apa berbalas-balas ni kak! Tak mahulah."

"Alah ... ambillah. Bukan emas berlian. Sepotong kek keju kegemaran Ki sahaja. Tak mahal pun."

Gadis itu tersenyum manis. "Terima kasih, kak. Lain kali, kalau ada apa-apa yang Kak Seroja nak saya tolong, beritahu sahaja. Dan ... tak perlu bagi apa-apa, tau!"

"Takut kalau akak bagi kek keju lagi, nanti badan jadi chubby, ya!" Gadis India itu mencubit pipi Kirana.

Tanpa sedar, Kif menarik senyum. Dan, perlakuannya telah menarik perhatian Adli dan Pian. Besar mata kedua-duanya melihatkan Kif tersenyum. Terasa dunia di sekitar membeku. Pipi Kif yang putih merah, naik merahnya bila wajah itu tersenyum.

Adli dan Pian terkesima. Seumpama melihat puteri kayangan menjejakkan kaki ke bumi manusia.

"Pian ..." bisik Adli. "... cubit aku."

"Mana telefon? Sempat tak nak rakam ..." Pian juga bersuara perlahan. Takut disedari oleh Kif yang tidak menjejak bumi. Terleka dengan hiburan sebabak oleh gadis kecil molek, mesra alam dan tak lokek dengan senyum tawa, gurau senda.

Tetapi, belum sempat mereka berbuat apa-apa, Kif kembali bertukar riak dan memandang ke arah mereka. Terlepas keluh daripada mulut Adli dan Pian, serentak.

Tawa ria Kirana juga sudah tidak kedengaran lagi. Terhenti sewaktu matanya menangkap pandangan Kif yang tidak beranjak menghala ke arah dirinya yang sedang tergelak. Kedua-dua mereka kemudian mengalih pandangan. Seorang memandang hanya pada wajah Seroja. Seorang lagi sudah memandang dua rakannya di meja yang sama.

"Okey, Kak Seroja. Terima kasih. Saya balik dulu," suaranya tertahan. Tidak galak, tiada gelak.

"Eh, sekejap! Ki balik rumah ke, hujung minggu ini?"

"Ya, kak. Kenapa?"

"Kalau akak bosan, boleh akak chat dengan Ki?"

"Eh, boleh! Boleh sangat. Kafe tutup ya, cuti semester ni? Akak tak balik rumah orang tua akak?"

"Tak. Akak ada date," Seroja berbisik pada telinga Kirana.

"Wuu ... untunglah ada boyfren!" Kirana menyakat. Ikutkan hatinya, ingin dia melompat seperti kanak-kanak. Reaksi biasanya bila rasa gembira. Paling tidak, bertepuk tangan dan menarik senyum lebar. Tetapi, ditahan perlakuan tu bila sedar yang Kif turut ada berhampiran dengan tempat dia berbual dengan Seroja. Dikawal sikapnya. Tidak mahu terlihat sebagai perempuan yang mengada-ngada ketika ada kaum Adam yang memerhatikannya.

Perangai keanak-anakannya itu hanya dihidupkan apabila dia bersendirian. Dia suka begitu. Dan, dia rasa bahagia dengan tingkah laku sebegitu. Tiba-tiba, riak wajah cerianya bertukar. Mengenang akan sesuatu yang sukar diluputkan daripada minda.

Kif masih mencuri pandang. Tetapi kali ini lebih berhati-hati bila dia sedar yang dia bukan bersendirian. Ada Adli dan Pian. Mereka tidak boleh tahu tentang perhatiannya kepada Kirana. Salah faham mungkin wujud jika mereka tahu arah pandangnya tadi. Dia bukan jatuh hati pada gadis itu. Tapi, dia hanya suka melihatnya. Seumpama hiburan yang membuatkan dia terlupa kepada masalah yang memberat di pundaknya. Gadis itu mampu mengalihkan perhatiannya daripada terus terikat dengan pemikiran-pemikiran berat yang berupa kerisauan dan tanggungjawab.

1214 pp

14 Jun 2022

09.20 malam

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro