Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

16 - Azal (Kasyaf)

PAGI, selepas solat Subuh, yang jam locengnya pastilah suara Puan Saodah, aku menapak ke tempat kerja. Aku bekerja di sebuah kilang pembuatan barang-barang elektronik yang mana aku adalah salah seorang juruteknik merangkap jurukimpal di sana.

Aku sendiri tidak menyangka yang aku akan sambung belajar, mengambil bidang kemahiran mengkhusus kepada bidang kimpalan. Tidaklah sampai ijazah. Setakat diploma sahaja. Tapi, itupun aku dah cukup bersyukur sebab mak dan ayah aku sanggup tanggung. Dapatlah juga aku merasa jawatan lebih tinggi sedikit berbanding operator kilang. Gaji pun alhamdulillah, boleh tahan.

Selain itu, aku bersyukur sebab bila aku buat kerja-kerja kimpalan, fokus fikiran aku tidak lagi tersangkut hanya pada Mia. Aku boleh menumpukan fikiran sepenuhnya pada peralatan kimpalan di tangan kanan aku dan filler rod di tangan kiri aku. Kerana aku tahu, bila aku terlalai, padah menunggu.

Tidak mudah, tetapi aku sukakan kerja aku. Majikan aku pun kata, kerja aku, kemas.

Awalnya aku fikir yang mak aku, Puan Saodah itu nak suruh aku terus bekerja, bantu ayah aku. Tapi, fikiran aku tersasar. Mak aku walaupun bebelnya bak peluru, mulut menyindir tak habis dengan perangai tak semenggah aku, macam benci segunung, tapi sebenarnya dia sayang sangat dengan aku. Dia nak aku ada segulung sijil lebih sedikit daripada SPM.

Hari ini aku bertugas di bengkel. Awal-awal lagi aku sudah bagi amaran pada Mia. Jangan muncul di tempat kerja aku. Terutama pada hari-hari aku di bengkel. Aku tak nak hilang fokus. Hilang fokus bermakna, aku mungkin hilang pekerjaan. Bahan-bahan kimpalan, rod-rod dan aluminium itu semua bukan murah.

Sekali salah kimpal, beratus-ratus ringgit boleh hilang. Dua tiga kali salah, mahu makan ribu. Dan, yang lebih menakutkan, salah percaturan boleh membawa kepada fataliti. Kimpalan bukan sekadar bekerja dengan peralatan dan sumber elektrik, tetapi juga melibatkan gas yang jika lalai boleh meletup.

Pernah masa aku mula-mula bekerja, Mia muncul tiba-tiba. Hampir-hampir aku mencederakan rakan setugas. Puas aku disoal oleh pihak majikan bagaimana boleh cuai. Aku nak cakap apa? Tak ada alasan logik yang boleh aku bagi.

Nak kata sebab Mia?

Mati, ditanam tujuh kaki bawah tanah, digali, dihidupkan kembali pun memang orang tidak akan percaya cerita aku tentang Mia. Hanya mak aku, Puan Saodah binti Sood sahaja yang percaya. Malah, mak aku siap boleh berbual sama dengan Mia. Akulah yang jadi perantara di antara mereka kerana hanya aku yang nampak dan dengar suara Mia. Mia, dulu masa hidup, bisu. Tapi, bila dah jadi roh, boleh bercakap dengan aku.

Waktu itu, aku rasa sedih gila!

Mana tak sedih, kalau kau tengok mak kau macam orang gila bercakap dengan makhluk tak nyata? Hanya kerana kau. Sumpah, aku sayang gila dengan mak aku. Dan, aku layankan Mia sebab aku juga sayangkan dia. Aku pernah terlepas cakap pada diri sendiri, kalau Mia tak mati, aku sanggup jadi suami Mia. Jaga Mia walaupun Mia bisu.

Mungkin betul kata Helani aka Lan yang rasa bersalah aku pada Mia itulah yang mengikat Mia untuk terus berada di sisi aku.

"Syaf!"

Aku yang sedang melakukan brazing terhenti.

"Ya, bang. Ada nak suruh saya welding apa-apa ke?"

Abang Meor merapati aku. "Kau ada adik perempuan ke?"

Aku menggeleng dalam kepelikan rasa.

"Habis, anak dara yang di rumah kau itu, siapa? Aku rasa, aku tak salah lihat masa lalu depan rumah kau tadi. Mustahillah kalau yang aku nampak itu mak kau. Muda sangat!"

Aku tahu, siapa yang Abang Meor maksudkan. Tak lain, tentu Helani. Kenapalah dia boleh duduk di luar rumah. Satu masalah pula aku nak terangkan pada orang sekeliling. Dan, aku tidak tahu apa yang mak kata pada jiran tetangga. Takut maklumat aku dan apa yang mak ceritakan pada orang sekeliling, tidak sama.

"Entahlah bang. Ada orang datang jual barang agaknya. Manalah saya tahu. Saya kan, selepas Subuh sudah masuk kerja."

"Ya tak ya juga."

Fuh, selamat.

Abang Meor on-call malam tadi. Jadi, dia dapat time-off setengah hari untuk masuk pada jam 12 tengah hari. Dia menyinggah di bengkel sebab baru pukul 11.45 pagi. Saja nak jumpa aku tanya fasal Helani. Pantang nampak perempuan! Budak pendek, macam budak sekolah itu pun dia boleh perasan.

Memang aku perlu luangkan masa dengan Helani hujung minggu ini. Aku nak tahu siapa dia dan muncul dari mana. Semakin lama dia tinggal di rumah aku, semakin serabut kepala aku. Sudahlah dia itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri. Memang nahas kalau ditahan polis.

Dia juga tiada pakaian. Datang sehelai sepinggang. Nampak aku di luar kilang, tanpa kenalkan diri terus kejar aku. Melaung-laungkan nama aku. Entah jatuh dari planet mana budak seorang itu. Kasihan ada, geram pun ada.

Aku anggap semua ini ujian Tuhan sebab, dulu masa sekolah, aku budak nakal. Aku berubah pun sebab Mia. Sebut tentang Mia, dia ada sahaja di hadapan mata aku. Macam isteri yang setia menunggu suami. Tetapi, dalam tubuh yang tidak terlihat oleh mata manusia biasa. Hanya aku yang nampak dia. Aku, Kasyaf. Manusia penyebab kematiannya.

Aku senyum pada Mia, sebelum meneruskan kerja-kerja kimpalanku.

Mia.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro