Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

13 - Abel


Bab 8

SEBAIK kaki menjejak taman rekreasi yang terletak dua ratus meter dari rumah, mata Abel yang meliar terhenti pada satu tubuh. Ditujah bahu A'am yang sibuk membetulkan ikatan tali kasut sukannya. A'am yang lagaknya acah hendak berjoging, sedangkan tujuan mereka ke situ kerana berjanji temu dengan Dr. Afiq, terus mendongak.

"Apa?" Tidak puas hati, bila bahunya tiba-tiba ditujah, suara A'am sedikit meninggi.

Bibir Abel memuncung. Terhala ke arah belakang A'am.

"Dr. Afiq, ke?" A'am menoleh, lalu terlihat seorang lelaki berbaju T warna putih, tanpa kolar, berseluar tracksuit kain kapas, sedang duduk di bangku menghadap tasik buatan. Sebuah buku yang kejap di tangan, menjadi tumpuan mata lelaki berkulit putih, dengan kesan cukuran jambang. Tidak begitu jauh jarak mereka.

"Ya. Jom!" Abel menarik lengan A'am. Hatinya masih kuat dengan debaran. Bayangan mimpi malam tadi terus menghantui.

"Assalammualaikum."

Dr. Afiq terdongak. Dia melayang senyum, lalu berdiri sebaik wajah Abel dan seorang lelaki terlihat di matanya.

"Ahmad Adham bin Ahmad Zafrul Haq." A'am hulur tangan. Sengaja disebutkan nama penuhnya, beserta nama arwah abah.

Salam bersambut. Dua tangan berjabat, erat.

"Ahmad Afiq bin Ahmad Zafrul Haq." Dr. Afiq pula mengenalkan dirinya.

Dengan sebutan nama penuh, mata kedua-dua pemuda ini bersabung.

CUACA petang yang cerah. Angin menampar lemah kulit wajah ketiga-tiga mereka. Dr. Afiq masih duduk di posisi mengadap tasik. Di hadapannya, duduk sebelah menyebelah Ahmad Adham dan Adara Bella. Anak-anak Ahmad Zafrul Haq.

"Kau boleh panggil aku, Afiq. Doktor terlalu formal untuk urusan keluarga." Afiq memulai bicara.

"Panggil sahaja aku, A'am."

Afiq mengangguk.

Abel langsung tidak bersuara.

"Sebelum aku bercerita, boleh aku mengesahkan sesuatu dengan kau berdua?" Afiq bertanya.

A'am dan Abel berpandangan sebelum kedua-duanya mengangguk.

"Aku hendak pastikan bahawa aku sekarang ini sedang berdepan dengan anak-anak Ahmad Zafrul Haq bin Abu Sufiyan dengan Siti Adawiyah binti Rosman."

"Ya, kedua-duanya abah dan ibu aku." A'am menjawab.

"Adakah abah pernah bekerja di Australia sebagai tukang masak? Dan, ibu pelajar Business and Accounting, di negara yang sama?"

Kali ini, kedua-duanya - A'am dan Abel mengangguk serentak. Melihat anggukan itu, bening di mata Afiq terpancar. Bergetar bibirnya. Hati ingin membunga senyum, tetapi tidak mampu. Dia terlalu gembira. Pencariannya berakhir. Tanpa kata yang mampu diungkap dengan mata yang sudahpun berkaca, hati menzikir syukur, ditolak sebuah buku kepada A'am dan Abel.

"Ini ..." Dia sudah tidak mampu berbicara. Diseka air mata yang menabiri mata. Menarik nafas, mengawal kocakan di jiwa. "... ini. Ini diari 'dad' aku. Kau orang baca. Di situ ada cerita tentang aku. Tentang kita."

Pantas tangan Abel mencapai. Dibuka helaian pertama. A'am turut mendekat. Mereka membaca bersama.

Diari ini ditulis di dalam bahasa Melayu. Ditulis dengan tulisan tangan yang sangat kemas. Oleh pemiliknya dengan nama - Ahmad Zafrul Haq bin Abdullah @ Sean Mario Khun!

Wahai anakku!

Coretan ini adalah wasiat buat kamu. Juga buat mereka yang akan kau angkat menjadi saudaramu, jika kau dan mereka bertemu.

Biarlah aku memulai dengan kisah hidupku.

Aku, Sean Mario Khun. Lelaki berketurunan Thailand-Melayu. Aku telah berhijrah ke luar negara mengikut keluargaku sebelum kesemua mereka mati dalam kemalangan. Tinggal aku seorang diri yang pada waktu itu aku sedang menghadapi peperiksaan akhirku di universiti.

Seluruh harta keluarga menjadi milikku. Tetapi, harta itu tiada makna bila aku tinggal sebatang kara. Aku mula mencari cinta. Aku temui dia. Seorang teman yang selalu ada sewaktu suka dan duka. Dia, wanita berketurunan India yang sangat cantik. Berkulit putih, bermata bundar. Keningnya lebat, terbentuk indah. Giginya putih, tersusun kemas. Senyumannya ... lebih manis berbanding secawan madu. Aku jatuh cinta padanya.

Dia bernama, Selma Subhash.

Lebih membahagiakan hidupku bila Selma bukan sahaja membalas cintaku dengan cintanya, malah turut membalas dengan pengorbanan yang tidak terperi beratnya. Dia sanggup memilih untuk terus mencintai aku berbanding keluarga.

Cinta kami ditentang kerana perbezaan bangsa dan agama, tetapi kami tetap berkahwin. Ya, pastinya dengan pengorbanan dia, yang langsung dibuang keluarga.

Hidup kami jadi lebih bermakna bila selepas dua bulan perkahwinan kami, dia berbadan dua. Sungguh! Tiada kebahagiaan yang mampu menandingi kebahagiaan cinta kami bila mendengarkan berita itu.

Tetapi, ya! Cinta itu ibarat setangkai mawar yang sedang memutik merah. Bukan sahaja cantik, tidak terperi indah fizikalnya, tetapi ia juga memiliki duri yang menyakiti. Hakikat yang satu ini tidak mampu kusangkal.

Wanita kecintaanku - yang merupakan satu-satunya anggota keluarga yang aku ada, rupanya tidak mampu menanggung kesakitan ketika melahirkan putera pertama kami sebaik kandungannya cukup sembilan bulan, sepuluh hari. Yang kemudian anak itu menjadi putera tunggal. Satu-satunya anak penyambung keturunan.

Selma.

Cuba untuk melahirkan anak kami melalui proses kelahiran normal, tetapi tidak mampu. Dia kelelahan. Anak kami tersangkut di tengah bukaan faraj. Tidak mampu dikeluarkan. Maka, para doktor memilih untuk menariknya keluar dengan vakum. Selma menangis. Sakit. Lelah. Tidak tertanggung dek kesakitan dalam tempoh yang panjang.

Bila vakum juga bukan jalan penyelesaian, dengan keadaan Selma yang sudah tidak berdaya, doktor memutuskan untuk melakukan caesarian. Selma direhatkan dengan ubat bius.

Anak kami selamat. Tetapi, Selma ... koma.

Doktor menasihati aku untuk mencari seorang wanita lain. Bukan untuk dikahwini, tetapi untuk menjadi ibu susuan. Kata doktor, susu ibu itu khasiatnya berganda baik berbanding susu formula. Malah, penyusuan terus daripada dada seorang wanita, itu melahirkan rasa yang akan membantu tumbesaran anakku, juga jiwanya.

Aku jadi bingung degan saranan tuan doktor. Aku memandang Selma dari kejauhan. Mengharapkan agar isteriku itu cepat sedar dan menyusukan anak kami. Tetapi, dua puluh empat jam, Selma masih tidak menunjukkan apa-apa tanda untuk sedar. Doktor hanya memberikan anakku dengan susu formula dahulu. Tetapi, terus memaksa aku untuk mendapatkan seseorang demi tumbesaran anakku.

Pulang dari hospital, aku bertembung dengan jiran kami. Sepasang suami isteri yang masih belum memiliki cahaya mata. Si suami, menegur kemuraman wajahku. Aku, yang ibarat seorang mengantuk disorongkan bantal, terus meluah tanpa segan.

Dia, Ahmad Zafrul Haq bin Abu Sufiyan. Seorang Muslim yang sangat budiman. Isterinya, Siti Adawiyah binti Rosman, wanita yang penuh dengan kesopanan dan sentiasa menutup tubuh daripada terdedah pada pandangan umum. Aku hanya dapat melihat wajah dan tapak tangannya sahaja.

Sebaik aku selesai meluah, dia, yang kupanggil 'Ahmad' terus mendakap tubuhku erat. Dibisikkan kata-kata semangat, malah turut mendoakan aku, isteriku, malah anakku agar sihat, selamat dan diberi jalan daripada masalah yang membelenggu. Sungguh hatiku jadi sayu. Dia bukan sebangsa denganku. Bukan juga seagama. Tetapi, di saat aku tiada sesiapa, dia ada.

Malam itu, aku tidak mampu lena. Wajah Selma yang koma dan wajah bayiku yang masih tidak bernama, menerokai pandangan mata. Aku sudah berjanji pada Selma, yang aku akan memberikan hanya yang terbaik sahaja buat anakku sementara menantikan kasih Selma. Aku berjanji walaupun ketika itu, Selma masih lagi di dalam koma.

Fikiran-fikiranku yang tidak lena itu membawakan wajah Ahmad dan Adawiyah. Aku nekad. Aku perlukan Siti Adawiyah binti Rosman untuk kujadikan ibu susuan anakku. Dia wanita suci. Wanita Muslim yang baik. Suaminya juga baik. Aku ingin memberikan susu buat anakku daripada genetik yang baik. Dan, pada waktu aku bersangkaan bahawa permintaanku ini akan diterima dengan mudah oleh Ahmad dan isterinya, aku tersilap.

Ahmad meminta aku memikirkan permintaanku semula. Aku hilang arah tuju. Lalu kubertanya, mengapa? Adakah hina bayi bukan Islam untuk mendapatkan susuan daripada wanita Islam?

Kata Ahmad, tiada salahnya. Hukumnya harus. Malah, menurut Ahmad lagi, jika anak daripada kaum Muslimin ingin disusukan oleh wanita bukan Islam juga, tiada salahnya. Masih sama hukum - harus.

Ahmad membacakan dua surah. Surah at-Talaq 65:6 yang menerangkan tentang bantuan yang seharusnya diberikan kepada pihak yang memerlukan dalam urusan penyusuan. Ayat itu berbunyi:

"Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya."

Juga, hal yang sama ada disebut di dalam ayat 33 surah al-Baqarah:

"Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu."

Islam membenarkan demi kelangsungan hidup bayi bila ibu bayi itu telah meninggal dunia atau menghidap penyakit yang menghalanginya daripada penyusuan.

Aku bertanya adakah anakku ini perlu ku-Islamkan setelah dia mendapat susu daripada tubuh wanita Islam? Ahmad menjawab:

Tiada keperluan untuk salah seorang daripada yang menyusu atau disusukan untuk menukar agamanya. Wanita bukan Islam yang menyusukan anak orang Islam itu bebas untuk mengekalkan agamanya. Begitu juga sebaliknya. Bayi bukan Islam yang disusukan, tiada paksaan untuk menukar agamanya bila tiba waktu dia boleh memilih.

Malah, di dalam riwayat al-Bukhari (2362), keharusan menyusukan bayi demi kelangsungan hidup si bayi itu dinyatakan dengan kata-kata,

"Pada setiap hati yang basah (makhluk bernyawa) terdapat pahala."

Aku benar-benar lega mendengarkan penjelasan Ahmad. Tetapi, akalku masih menggantung pertanyaan, mengapa dia dan isterinya meminta aku memikirkannya semula? Seolah-olah akan menjadi satu keberatan di pihak aku jika penyusuan ini berlaku. Maka aku bertanya lagi padanya. Dan, ini jawapan dia yang kucoretkan buat pengetahuan kalian:

Katanya, di dalam Islam, bayi susuan akan menjadi mahram bukan sahaja kepada wanita yang menyusukan, tetapi juga kepada dia - Ahmad dan juga anak-anaknya.

Aku tidak faham.

Ahmad menjelaskan lagi. Mahram itu satu hubungan yang tidak dibolehkan berkahwin sesama mereka. Jika Siti Adawiyah menyusukan anakku itu, maka Siti Adawiyah itu menjadi wanita yang tidak boleh dikahwini oleh anakku. Malah, anakku boleh menyentuh dan memeluk Adawiyah, seperti ibu kandungnya sendiri. Tidak haram bagi bayi yang menyusukan terhadap yang menyusukan.

Aku berasa lega. Itu sesuatu yang sangat baik buat anakku. Jadi, apa yang menjadi kerisauan Ahmad sehingga meminta aku memikirkannya semula? Aku nantikan bicaranya.

Dia menyatakan bahawa, bila anakku itu sudah menjadi sebahagian daripada mahram keluarganya, aku dan dia perlu sentiasa berhubung. Dia takut jika perpisahan dan penjarakan di antara kami berlaku, dan pertemuan dua hati yang tidak dijangka berlaku pula di antara jiwa anak-anak kami yang tidak mengetahui hakikat hubungan saudara sesusuan, akan jadi dosa buat seluruh keturunan.

Perkahwinan sesama saudara susuan dilarang. Dan, kata-katanya mengingatkan aku kepada bantahan negara-negara Islam suatu waktu dahulu bila Penubuhan Bank Susu Ibu cuba diwujudkan.

Kata Ahmad, Islam amat menjaga keturunan. Cadangan mewujudkan Bank Susu Ibu itu jika tidak diuruskan dengan baik, akan berlaku percampuran keturunan yang menyalahi hukum sekalipun mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

Keraguan hukum di antara halal dan haram juga turut tercetus. Tidak tahu siapa anak susuan siapa. Dan, siapa pula adik-beradik susuan. Bagaimana hendak dielakkan jika semuanya yang sudah bercampur tanpa diketahui penderma susu dan siapa pula penerima susu.

Penjelasannya membuahkan satu rasa dalam hatiku. Aku tidak tahu mengapa. Tetapi, aku mula nampak akan kehalusan dan ketelitian Islam.

Lantas, kukatakan padanya, yang aku ingin memeluk Islam. Bukan kerana permohonan awalku yang meminta Siti Adawiyah menjadi ibu susuan kepada anakku, tetapi kerana penjelasan Ahmad terhadap perkara kecil yang impaknya amat besar dalam membina keturunan.

Ahmad gembira sebelum dia tersedar bahawa Selma isteriku itu masih di dalam koma. Malah masih di dalam agama lama. Katanya, jika aku memeluk Islam tanpa Selma, ikatan perkahwinan kami terlerai. Seorang lelaki yang sudah Islam tetapi isterinya tidak, adalah dilarang untuk bersama. Aku katakan padanya yang aku pasti, bila Selma sedar, dia akan mengikut perbuatanku. Ya, aku yakin.

Malah, bila anakku sudah kuserahkan kepada Ahmad dan Adawiyah, itu bermakna, aku juga menyerahkan agamanya kepada mereka. Malah, aku meminta mereka memilih nama untuk anakku yang masih bayi itu. Nama Islam. Nama yang ada makna yang baik bagi seorang manusia Islam.

Ahmad memilih nama, 'Ahmad Afiq'. Katanya, 'Ahmad' itu bermaksud, 'terpuji' dan 'Afiq' itu pula maknanya, 'yang mulia'. Aku gembira mendengar nama pilihan itu. Aku terima tanpa sebarang ragu.

Ahmad Afiq.

Ya, nak. Itu namamu. Dipilih oleh keluarga susuanmu. Pasangan yang akan menjadi bapa dan ibu yang harus kau santuni, sayangi dan hormati. Jika mereka dalam susah ketika kau temui mereka, serahkan hartamu, malah korbankan nyawamu demi mereka. Kerana mereka telah memberi kesinambungan nyawa buatmu melalui susu seorang wanita bernama Siti Adawiyah binti Rosman dengan izin suaminya, Ahmad Zafrul Haq bin Abu Sufiyan.

Aku memilih nama Islamku dengan nama yang sama seperti nama Ahmad kerana aku ingin anakku dan anak-anaknya sedar yang mereka bersaudara. Mereka perlu nampak - dengan nama bapa yang sama, mereka tidak boleh berkahwin atau terfikir sesuatu sebelum berkahwin. Sekurang-kurangnya mencari susur galur keturunan dan memecah rahsia persamaan nama bapa sebelum memutuskan soal hati dan hubungan cinta.

Ya, aku takut jika aku dan Ahmad berdosa jika berlaku perkahwinan yang tidak dijangka. Takut jika perkara ini tidak diketahui, tidak dipecahkan rahsianya kerana salah seorang pemegang cerita, sama ada aku atau Ahmad atau Adawiyah sendiri sudah tidak ada di dunia ini. Jika ada, siapa yang menjangka apa yang akan berlaku pada ingatan kami. Mungkin ada yang terlupa. Aku dan mereka hanya manusia biasa. Tidak lari daripada keterlupaan.

Hal susuan tampak remeh, tetapi impaknya cukup besar dalam kesinambungan keturunan.

Cari mereka, anakku. Cari juga anak-anak mereka yang merupakan saudara susuanmu. Yang tidak boleh kau kahwini di kalangan wanitanya. Ingat itu, anakku. Ini bukan sekadar cerita. Ini satu amanah besar yang juga merupakan wasiatku untukmu.

ABEL dan A'am menghela nafas panjang, sebaik menghentikan bacaan. Wajah Afiq menjadi tempat mata mereka berlabuh. Afiq bukan saudara tiri. Arwah abah masih setia menjadikan ibu satu-satunya wanita di hati.

Ahmad Afiq.

Seorang abang susuan.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro