Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

10 - Manuskrip Kisah Sarah

Bab 4

"AYAH ..."

"Kau ... kau ... ada duit?" Wan Salleh dengan suara terketar dan tubuh menahan gigil semakin hampir. Matanya yang kuyu, layu merenung ke dalam mata Sarah.

"A ... ada," jawab Sarah takut-takut.

"Bagi aku, sikit. A ... aku ... sakit," tangan kanannya dihulur sementara tangan kiri masih memeluk tubuh yang menggigil.

Pucat muka Sarah. Takut jika ayahnya bertindak kasar jika tidak diberi apa yang diminta. Dia pernah nampak ibunya ditampar dan ditolak dengan kasar ke dinding bila Saimah bermati-matian tidak mahu memberikan wang kepada Wan Salleh.

"Se ... sekejap," Sarah tarik beg sandangnya yang terletak di bawah kaki kerusi. Dia membongkok, cuba menyorokkan muka beg daripada dilihat Wan Salleh. Beg duitnya dibuka dari dalam beg sandang. Dicapai lima helai wang seratus lalu dicampak ke dalam beg sandang.

Beg duit di tangan dibawa keluar. Dibuka di hadapan mata Wan Salleh. Mata lelaki itu tajam mencuri-curi lihat tatkala sehelai wang berwarna oren ditarik oleh Sarah. "Ini duitnya ..." Sarah menghulur wang RM20 pada ayahnya.

"Bagi aku RM50, tu ..."

Sarah menghela nafas. Dia masukkan semula wang RM20 ke dalam beg duitnya. Dan duit RM50 yang ada dua keping dalam beg duitnya ditarik sehelai. Mujur juga tidak diminta dua helai. Sarah menghulur yang sehelai itu pada Wan Salleh. Ralat rasa hati bila wang hasil titik peluhnya bakal digunakan untuk membeli dadah.

"Terima kasih ..." Wan Salleh pantas mencapai wang RM50 sekeping yang dihulur Sarah. Mudah! Lebih mudah meminta daripada anaknya Sarah, berbanding isterinya Saimah. Dalam hati Wan Salleh sudah terbayang syurga ciptaannya. Dia mengukir senyum. Mengangguk pada Sarah lalu bergegas keluar.

"Ayah ..."

Langkah kakinya terhenti bila Sarah memanggil dia. Wan Salleh menoleh. Mata kuyunya merenung pada Sarah.

"Err ... tak ada apalah," Tak jadi Sarah nak suarakan apa yang terfikir di benak. Takut pula jika kata-kata itu bakal menjadi kata-kata terakhir yang akan dilafazkan. Dia masih tidak punya keberanian untuk menasihati ayahnya.

Wan Salleh terus berpusing membelakangkan Sarah lalu menyarung kasut dengan tergesa-gesa. Dia perlu pergi sebelum Saimah pulang dan merampas wang RM50 yang dimintanya daripada Sarah.

Sarah mengeluh. Terduduk dia di kerusi. Beg duit di tangan, direnungnya. 'Nasib baik sempat,' bisiknya. Wang lima ratus yang sempat dicampak ke dalam beg galas tadi, selamat. Jika Wan Salleh tahu yang dia punya lebih daripada apa yang ada di dalam beg duitnya, tentu diminta lebih lagi.

Dan, hanya itu sahaja wang yang Sarah ada. Dia keluarkan dari mesin ATM untuk dia serahkan pada ibunya tiga ratus - duit belanja bulanan rumah. Selebihnya untuk dia buat tambang dan makan selama sebulan. Ah, dua ratus untuk diri sendiri selama sebulan? Memang sakit.

"Kau bagi ayah duit ke, kak?" Syafinaz muncul di muka pintu bilik.

"Hmm ..."

"Mesti mak bising kalau mak tahu," sambung Syafinaz. Dia sudah mula duduk di hadapan Sarah.

"Kau jangan bagi tahu mak."

"Kenapa kau bagi duit pada 'dia'?"

"Dia tetap ayah kita. Lagipun, ini baru kali pertama dia minta pada aku."

"Dia nak beli dadahlah!"

"Aku tahu."

Sarah menyimpan semula beg duitnya ke dalam beg sandang. Dia hanya menjeling sekilas pada adiknya, Syafinaz.

"Kau bagi dia duit sebab ... kau nak dia jadi makin teruk, ya kak? Aku ingat kau anak yang paling baik. Rupanya kau lagi kejam berbanding aku dan mak. Bravo kak! Bravo!" Syafinaz bertepuk tangan, sambil tersenyum.

Tersentak Sarah!

Termenung dia seketika memikirkan kata-kata adiknya. Nafas dihela. Bukan! Bukan itu yang dia mahukan. Bukan itu yang dia fikirkan, bila dia menghulur wang pada ayahnya tadi, dia langsung tidak berniat untuk memburukkan keadaan. Seburuk-buruk perangai Wan Salleh, Sarah masih punya rasa kasih dan hormat pada ayahnya itu.

Dia hanya ...

Takut.

Kenapa Syafinaz tidak nampak ketakutan yang menyelubungi dirinya? Yang menjadi penyebab dia menghulur wang pada ayahnya? Sebaliknya Syafinaz nampak dia punya agenda lain. Agenda membunuh ayah dalam diam. Membunuh cara senyap dengan membiarkan si ayah terus-terusan mengambil dadah dan mati dalam kehinaan?

Tak!

Itu bukan niatnya. Tidak pernah langsung terlintas di dalam minda Sarah perkara itu.

"Aku tak pernah fikir pun apa yang kau fikir dan cakapkan tu," balas Sarah. Dia menunduk. "Aku ... aku cuma ... takut."

"Takut?"

"Ya. Takut. Takut kalau ayah apa-apakan aku. Kau tu ... yang lari terus masuk ke dalam bilik masa nampak ayah balik tadi, kenapa? Bukan sebab kau takut juga?"

"Hmm ... tapi, boleh je kau tipu dia yang kau tak ada duit."

"Menipu tu lebih susah. Dan aku tahu dia tak mungkin percaya."

"Lepas ni mesti dia cari kau lagi. Kau sedia jelah ...."

Dan kata-kata Syafinaz itu membuatkan Sarah terpempan! Dia jadi takut, kecut. Macam mana kalau ayahnya datang ke kilang? Macam mana kalau ayahnya buat bising, cari pasal kat sana? Tentu dia malu. Tentu dia akan dikenakan tindakan. Dan ... tentu dia akan dibuang kerja.

Sarah terdiam. Kesal pun ada. Kenapalah mak tak ada waktu-waktu begini? Dia mula rasa akan kepentingan ibunya. Hanya Saimah yang mampu berhadapan dengan Wan Salleh.

Lebih dua puluh tahun usia perkahwinan keduanya. Masih bertahan walau Wan Salleh sudah berubah. Saimah masih bertahan.

Tidak dituntutnya fasakh.

"Ah! Sama saja. Cerai ke tidak, dia akan balik juga ke sini!" Itu kata Saimah bila adik-beradiknya berbunyi. "Lagi susah aku kalau dia balik tapi aku dengan dia dah tak ada ikatan halal."

Agaknya sebab perkara-perkara beginilah yang membuatkan sikap maknya menjengkelkan, fikir Sarah. Selalu membebel tak tentu hala. Selalu marah-marah melontarkan segala masalah di hadapan dia dan adiknya, tanpa rasa segan-silu.

Orang yang tertekan dengan masalah hidup boleh berubah tingkah. Orang yang memandang hanya tahu menyalah. Dunia tak pernah adil. Dunia tak pernah menzahirkan apa yang sebenarnya berlaku. Dunia hanya dilihat daripada pandangan mata kasar tanpa ada yang ingin menyelam ke dasar, menyelidiki punca sebenar.

Sarah mengeluh. Apa yang perlu dia lakukan? Runsing hatinya bila mengingatkan kata-kata Syafinaz. Wan Salleh akan cari dia lagi untuk mendapatkan wang!

⏱️⏱️⏱️

LAPAN ratus empat puluh lapan patah perkataan. Dan aku hentikan ketukan di papan kekunci. Daripada kedudukan duduk, aku kini sudah meniarap. Aku turunkan komputer riba, lalu kuletakkan di atas lantai. Kerusi yang kududuki tadi kuanjakkan sedikit ke tepi. Membesarkan ruang untuk aku bergolek-gelantang. Membaca kembali apa yang sudah tertaip di helaian Microsoft Words di depan muka.

Aku tiba-tiba teringatkan Musa, abang kandungku. Duit RM50 yang Wan Salleh dapat daripada Sarah itu aku bayangkan akan masuk ke kantung Musa. Dan kemudian dihulur Musa ke tangan orang tuaku.

Musa akan terus kaya-raya. Tetapi Sarah? Akan terus menderita. Aku termenung memikirkan putaran hidup manusia-manusia di dunia. Yang jujur, yang hina, yang bahagia dan yang bermuka-muka.

Di mana noktahnya?

Bila hayat dikandung tanah. Bila nyawa diambil semula. Bila yang dibawa hanyalah amalan yang tak seberapa. Semua manusia di dunia ini tahu penghujung hidup mereka di mana tetapi masih leka. Masih tak menghitung masa yang bersisa.

Aku?

Setiap hari menghitung nyawa. Kadangkala aku rasa bersyukur dengan penyakit yang Allah kurniakan. Ia menjadi penanda aras untuk aku sedar yang aku perlu memenuhkan hidup ini dengan sesuatu yang Allah redha. Yang akan memberi manfaat pada manusia lain di dunia walaupun aku sudah tiada.

Dan, masa yang ada ini pun rasa seperti tidak cukup untuk menambah amalan. Ilmu agamaku masih cetek dan masih lagi bertatih dalam cuba memahamkan. Bagaimana untuk aku masukkan dalam penulisan jika semuanya dangkal?

Mata terus membaca hasil cerita sendiri. Aku tidak akan sunting atau buat sebarang perubahan pada waktu ini. Biasanya akan aku eram selama 24 jam sebelum aku baca semula dan sunting satu atau dua para. Dan kemudian meneruskan dengan bab yang baru. Bab yang masih lagi memenuhi minda, tidak dizahirkan sama ada melalui mata pena mahukan ditaip aksara-aksara ke dalam komputer riba.

Butang 'simpan' aku tekan sekali lagi sebelum aku klik pada ikon pangkah di hujung atas, kanan skrin. Penulisan ini aku hentikan. Cukup dulu. Jangan terlalu leka dengan penulisan sehingga terlupa untuk hidup di dunia sebenar.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro