08 - Hans dan Nur
MIMPI hanyalah permainan tidur. Tetapi, bila tiga malam berturut-turut Nur mimpikan Hans, itu bukan lagi permainan tidur, tetapi permainan syaitan. Malam ketiga itu, Nur terjaga bila mimpi yang sama di dua malam sebelumnya bertandang lagi.
Nur tekap tapak tangan kanan ke dada yang berdegup kencang. Telefon bimbit dicapai.
"Ya Allah, baru jam tiga pagi."
Nur menoleh ke sebelah. Tangan dilingkarkan ke pinggang suami. Rasa bersalah menyelinap walaupun dalam mimpi itu Nur dan Hans hanya berbual biasa seperti mereka masih di universiti.
Nur eratkan pelukan. Dalam hati berbicara, 'Nur sayangkan abang. Maafkan Nur. Nur tidak sempurna.'
.
.
.
PAGI itu seperti biasa Nur mengemas, memasak dan menyelesaikan urusan kain baju. Suami Nur, kebetulan sedang bercuti. Anak-anak pula memerap dalam bilik, membaca komik dan membelek gadget. Nur bagi kebebasan waktu cuti sekolah.
Selesai urusan rumahtangga, suami pun sudah lepak-lepak depan tivi, Nur capai novel untuk membaca. Nur duduk di samping suami. Tangan suami, melingkar di bahu Nur. Kepala Nur berlabuh di dada suami.
Telefon bimbit Nur memancarkan cahaya. Lagu yang Nur tak tahu lagu apa mula menyanyi. Nur syak panggilan daripada ASTRO. Nur malas nak jawab. Jadi, Nur hanya jengah macam itu sahaja. Memanjangkan leher ke arah meja untuk memastikan yang panggilan itu benar-benar daripada ASTRO.
Besar mata Nur.
Hans!
Dalam debar mengingatkan mimpi yang tiga malam berturut-turut mengganggu fikirannya, Nur capai telefon dan tekan butang 'terima'.
"Assalammualaikum Puan Nur."
Suami Nur angkat kening, bertanya 'siapa'?
Nur hanya menggerakkan bibir tanpa suara, 'Hans.'
Kening suami Nur mula berkerut.
"Waalaikumsalam, Tuan Hans. Mimpi apa tiba-tiba tak ada angin tak ada ribut, kau telefon aku, ni?" Nur gelak-gelak. Sedangkan, dalam hati dah bagai nak gila menahan degupan yang menolak-nolak. Dia yang sebenarnya bermimpi. Tapi, sibuk dia bertanya pada Hans.
Eh, tapi ... mungkinkah Hans juga mengalami perkara yang sama? Mimpi yang sama? Bertambah kencang debaran di dada Nur.
Hans ketawa di hujung talian. "Aku ada kat area rumah kau. Aku ingat nak singgah. Arif ada kat rumah?"
Arif - nama suami Nur.
"Ada ni. Dia cuti hari ni."
Nur berbicara bisu lagi dengan suaminya. 'Hans ada kat area sini. Dia nak datang, singgah.'
Suami Nur mengangguk. Ibu jari dinaikkan, tanda memberi izin.
"Aku datang dengan Din."
"Datanglah. Sekejap lagi aku share location."
"Okay, Nur. Sekejap lagi aku sampai."
"Orait." Talian dimatikan.
"Hans buat apa kat KL?" Suami Nur bertanya.
"Eh, Nur tak tahu. Dia cuma kata dia ada kat sini. Bila dia turun ke KL dan sebab apa, nanti abang tanyalah kat dia sendiri." Encik suami Nur ni, soal Nur macam Nur selalu sangat berhubung dengan Hans. Tahu segalanya tentang aktiviti Hans.
Suami Nur tersengih. Dia tahu, Nur tak pernah berhubung dengan Hans. Kalau ada, semuanya dengan makluman. Nur tidak pernah berahsia dengan suamiya.
Hubungan baiknya dengan Hans sudah diceritakan seawal perkenalan mereka lagi. Semuanya.
Kadang-kala cemburu mencuit hati si suami. Dia tahu, nama Hans pernah bertapak di hati Nur, walaupun Hans tidak pernah sedar akan perkara itu. Nur pula, manusia pelik yang menolak apa yang ada di hati kerana percaya dia wanita yang tidak sempurna dan tidak layak untuk seorang lelaki bernama Hans Zulkifli.
Pernah sewaktu mereka reunion di tepi laut, suami Nur tiba-tiba memeluk pinggang Nur erat. Berbisik yang dia sayangkan Nur di hadapan muka Nur. Nur tergamam. Tidak pernah suaminya nak bermesra dengan dia di tempat awam.
"Kenapa?" bisik Nur pada bibir suaminya.
"Ssshh ... ada orang tengah pandang kita."
Pantas Nur menoleh ke belakang, mencari siapa yang memandang dan kenapa pula kalau ada yang memandang mereka? Perlu ke nak buat aksi mesra? Untuk apa? Polos akal fikir Nur.
Kepalanya ditolehkan semula oleh si suami.
"Tadi, Hans pandang kita. Sekarang, dia dah berlalu."
Nur pandang wajah suaminya. Pelik.
Suami Nur tersenyum. Genggaman tangan dieratkan. Dia ajak Nur berjalan menelusuri pantai, menantikan matahari berlabuh.
"Abang sayang Nur. Abang nak 'dia' tahu yang Nur dah tak available lagi. Nur milik abang."
Langkah kaki Nur terhenti. Wajah suaminya ditatap.
"Abang tak perlu buat macam tu. 'Dia' dan Nur tak ada ikatan hati. Tak pernah ada. Nur pernah suka dia. Tapi, itu sudah jadi sejarah. Nur dah ada abang. Dia pula, suka Nur hanya sebagai kawan. Tidak pernah lebih dari itu.
Kalau kami ada ikatan hati, kami dah kahwin awal lagi. Tapi ternyata Nur dan abang adalah aturan terbaik Tuhan. Bukan 'dia'.
Nur hanya anggap dia kawan. Tidak lebih, tidak kurang. Abang yang terbaik buat Nur. Abang terima Nur seadanya. Nur tak cantik, Nur tak sempurna. Tetapi, di mata abang ... Nur adalah segalanya. In-sha-Allah, dengan nama Tuhan ... abang yang pertama dan selamanya."
Suami Nur tersenyum.
"Terima kasih, sayang."
Ubun-ubun Nur dikucup. Mereka berpelukan di tepi pantai.
"Nur, tengok tu!" Tubuh Nur dipalingkan, memandang ke arah laut.
"Subhanallah! Cantiknya lukisan alam ..."
"Cantik, kalau dipandang dengan hati. Dah tengok, kan? Jom balik. Solat Maghrib. Jangan leka sangat dengan kecantikan, semua itu akan hilang bila tiba masanya."
Saat itu, Nur tahu yang hati suaminya tidak sekuat mana setiap kali nama Hans muncul. Tetapi, tidak juga menunjukkan halangan untuk Nur terus berkawan dengan Hans. Itu yang membuatkan Nur terus membaja sayang pada suaminya, Arif Ikhwan.
Malah, bila berdepan dengan Hans, suami Nur sangat professional. Dia mampu layan Hans seperti Hans itu kawan-kawan dia yang satu universiti dengan dia. Boleh berbual banyak perkara. Bola, politik, isu semasa ...
"KAU apahal datang rumah aku tak nak makan?" Nur tanya Hans. Dia yang duduk di sisi suami, berdepan dengan Hans rasa pelik bila makanan tengah hari yang dihidang, ditolak oleh Hans.
"Maaf, aku betul-betul tak nak makan. Dah kenyang. Aku makan kueh ni je, ya?" Hans capai seketul karipap yang Nur hidang bersama air oren Sunkist. Di meja makan, Din sedang makan dengan ditemani adik dan anak buahnya.
"Nur, biarkan je si Hans tu. Bagus juga kalau dia tak makan. Bahagian dia, boleh bagi kat aku. Hahaha ..." Din menyampuk dari meja makan. Berpaling hanya sekejap pada Nur, suami Nur dan Hans yang duduk di ruang tamu, di atas sofa.
Hans tersenyum, kelat.
"Rugi Hans, kau tak rasa masakan Nur. Bukan selalu datang ke rumah Nur." Din menggiat lagi.
"Makan je lah. Jangan banyak cakap, Din. Tu setan tengah bertenggek sebelah pinggan, share makan sekali dengan kau." Hans membalas, geram.
Nur dan suami hanya ketawa.
"Err ... Nur." Hans panggil Nur.
Nur angkat kening.
"Ada air panas tak?"
"Ada. Kau nak aku bancuh air apa? Teh, kopi?"
"Tak payah. Aku nak air kosong je. Panas suam, boleh?"
"Boleh. Sekejap." Nur bangun. Mata Hans mengekori.
Nur datang kembali dengan segelas air panas suam yang dialas dengan piring. Nur menunduk, hidangkan air pada Hans.
"Terima kasih. Maaf, susahkan kau." Hans capai gelas air suam lalu terus menghirup sehingga berbaki separuh. Hans senyum pada Nur dan suami Nur.
"Kau datang KL, sebab apa Hans?" Suami Nur bertanya.
"Ada event. Aku kena handle. Tu yang tumpang tidur rumah Din. Malaslah nak tidur kat hotel sorang-sorang."
"Kenapa tak bawa Sara dan anak-anak?" Nur pula bertanya.
"Aku datang naik flight. Naik flight tak bolehlah bawa ramai-ramai. Budget tersekat. Kalau bawa kereta sendiri, bolehlah bawa family. Tapi, malaslah nak drive. Penat. Pantai timur - KL, bukan dekat."
"Lama aku tak jumpa Sara. Nanti bila senang, kau bawalah dia datang rumah aku."
"In-sha-Allah."
Sepanjang mereka berbual, tangan Nur sentiasa dalam genggaman suaminya. Sesekali digosok, lembut. Nur biarkan sahaja. Faham dengan gejolak rasa si suami. Sebab itu jugalah Nur tidak duduk jauh. Sentiasa di sisi suami. Bahu mereka bukan lagi sekadar bersentuh, tetapi seolah melekat, rapat ya amat.
HANS, Din dan adik Din pulang sebelum Asar.
"Abang ..." Nur menyapa. "Okay tak, ni?"
Suami Nur tersenyum. "Okay, sayang."
"Ya, ke? Lain macam je."
"Terkesan sikit masa Nur bagi 'dia' air suam tadi. Macam isteri hidang air pada suami."
"Allahuakbar. Maaf, bang. Nur rasa, Nur hanya hidang air pada tetamu. Tak ada apa-apa rasa, pun."
"Bukan salah Nur. Bukan juga salah Hans. Abang yang terasa tiba-tiba." Suami Nur memaksa senyum.
"Abang ... Nur dengan dia dah tak ada apa-apa. Tak pernah pun ada 'apa-apa'. 'Apa-apa' itu tidak pernah wujud pun."
"Nur ... sebenarnya abang rasa, Hans pun memang sukakan Nur. Tapi, abang pun tak faham kenapa dia tak bersungguh untuk dapatkan Nur."
"Abang nak tahu, kenapa? Nur ada jawapannya."
Suami Nur memandang muka Nur dengan pelik.
"Sebab ... dia bukan yang terbaik buat Nur. Sebab tu Allah tak gerakkan hati dia untuk sukakan Nur. Bersungguh dengan Nur. Allah buat Nur nampak hodoh di mata dia. Kami hanya boleh berkawan baik sahaja. Tidak lebih daripada itu. Allah temukan Nur dengan jodoh yang terbaik. Cukup-cukuplah fikir perkara remeh ini, bang. Jom kita fikir hal kita."
"Hal kita?" Suami Nur tersenyum, nakal.
Cepat Nur melarikan diri, masuk ke bilik. Eh, bilik?
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro