07 - Prank
Bab 6
DOKTOR Airil Hisyam abang kepada Aish Haikal? Kebetulan atau ini adalah satu konspirasi untuk prank yang seterusnya?
"Kenapa Husna?" soalan Airil menyentakkan kekeliruan yang bersarang di kepala Warda.
"Err ... tak ada apa. Saya nak balik ke wad. Rasa lama sangat duduk di kafe ni."
"Jomlah, saya pun sama." Airil mengukir senyum. Tetapi dalam hatinya mula tertanya-tanya.
Wardatul Husna!
Wajah gadis ini berubah serta-merta bila nama Aish Haikal disebut. 'Mungkin betul dialah orangnya.' Hati Airil berbisik. 'Ya Allah, Aish. Jika betul gerak hati abang, ini adalah Warda - gadis yang namanya tertulis dalam setiap helaian diari kau, kau perlu bertindak lebih cepat dik.'
.
.
.
"KENAPA angah balik awal tak bagitahu?"
"Saja je mak. Tak nak susahkan mak. Dan tak nak susahkan perut angah ni," Airil tergelak sambil menggosok perutnya. Dia tahu sangat yang mak akan masak banyak kalau diberitahu yang dia akan balik awal.
Dan dia terpaksa juga makan sebab nak jaga hati mak walaupun dia tahu makan malam selepas jam 7, dengan kuantiti yang banyak dan tidak seimbang, tidak elok untuk kesihatan.
"Aish mana mak?"
"Dalam biliklah. Macam anak dara, terperuk je."
"Angah naik dulu. Nak jumpa Aish." Dan, ibunya yang berkerut muka ditinggal. Kakinya melangkah ke bilik Aish. Pintu bilik yang renggang itu dijengah sedikit sebelum diketuk perlahan. Masih menghormati privacy si adik.
Dari dalam bilik Aish menjengah, "Oh, angah! Awal kau balik? Selalu lepak lama kat hospital."
"Nak cerita sikit dengan Aish."
"Cerita?" Aish yang leka dengan komputer ribanya terus berpaling. Tidak pernah Airil nak berbual dengannya. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja.
"Ada doktor baru kat hospital, angah. Perempuan," Airil tersenyum. Dia cuba menduga hati Aish.
"So?" Aish tak minat nak dengar. Dia kembali memandang ke arah skrin komputer ribanya.
"Cantik. Terus rasa macam nak kenal dengan mak ayah dia," Airil terus tersenyum. Muka tanpa perasaan Aish Haikal dipandangnya.
"Baguslah kalau dah ada yang angah berkenan. Tapi, kenapa cakap dengan orang? Cakaplah dengan mak," balas Aish tanpa memandang wajah Airil yang sejak tadi tersenyum, menanti reaksi adiknya.
"Memang angah nak cakap dengan mak, ni. Nak suruh mak merisik. Tapi ... kau tak nak tahu nama dia ke?" Airil masih tersenyum.
"Siapa nama dia?" Aish bertanya acuh tak acuh, walaupun dia rasa pelik dengan abangnya yang bermain teka-teki di malam hari.
"Nama dia ... Wardatul Husna."
"Apa kau cakap, ngah?" Kepala Aish terus tegak, berpaling. Memandang ke wajah Airil. "Nama dia Wardatul Husna? Binti apa? Umur berapa?" kalut hati Aish Haikal. Nama itu memang satu magnet yang tidak boleh tidak akan menarik dia untuk bertindak.
Airil tersenyum. Umpannya mengena. "Wardatul Husna binti Abd Rahman. Umur ... sebaya kau agaknya. Tapi aku nak tanya pendapat kau dulu. Agak-agak mak setuju tak, sebab umur dia sebaya kau."
"Nanti! Kau jangan cakap dengan mak dulu. Aku ... aku ..." Aish pejam mata. Nafasnya sudah tidak terkawal.
Diam.
Airil memandang Aish yang sedang cuba mengawal nafas, yang mencungap.
"Kenapa? Budak ni ke yang kau prank dulu?" Airil menembak.
Aish mengangguk. Tangannya membentuk penumbuk lalu dilepaskan ke atas bantal, sekali. Tak guna dia menipu. Airil tahu kisah dia. Diari dia sudah dibaca Airil dan Aiman. Semua isi hatinya tertulis di situ. Cuma di dalam diarinya tidak tertulis nama penuh Warda. Airil tidak tahu nama penuh Warda apatah lagi rupa Warda.
"Aku dah jumpa dia balik, sebulan yang lalu. Tapi aku tak tahu dia bertugas satu hospital dengan kau, ngah!"
Dada Aish berombak. Kenapa dalam banyak-banyak perempuan kat hospital tu, Airil terbuka hati untuk Warda? "Aku tahu, siapa-siapa pun akan suka dia. Kau ... betul ke kau suka dia ngah?"
"Kau?"
"Kau dah tahu jawapannya. Kau sengajakan, ngah? Kau nak uji aku!" Aish pandang Airil. Matanya menyalur rasa marah.
"Woi ... relaks la. Aku tak cakap dengan mak lagi ..."
"Aku nak jumpa dia esok. Aku ikut kau pergi hospital."
"Kau tak kerja ke?" Airil pelik dengan Aish yang tergesa-gesa. Lagaknya macam nak nikah esok juga.
"Aku nak berterus-terang dengan dia apa yang sebenarnya berlaku sepuluh tahun yang lalu. Aku dah tak sanggup nak tengok dia buat-buat macam tak kenal aku. Aku rindu gila dengan dia."
"Habis aku ni?" Airil bertanya.
"Kau cari orang lain. Nama sama pun tak apa asalkan bukan Wardatul Husna binti Abd Rahman yang sebaya aku. Wardatul Husna binti Abd Rahman yang ini, aku punya!" Aish terus bangun lalu menuju ke pintu.
"Woi, kau nak pergi mana tu?"
"Aku nak cakap dengan mak, aku nak kahwin."
Airil menggeleng, ketawa. Lucu dengan adiknya. Tetapi dalam hati terselit juga rasa kecewa. Warda memang gadis istimewa. Kalau bukan kerana Aish adiknya. Dia juga akan rebut Warda.
.
.
.
"KITA perlu bercakap, Warda."
"Maaf, saya sibuk."
"Itu hanya alasan. Sekarang ni waktu rehatkan? Tak payah nak lari dari aku, Warda. Aku nak selesaikan perkara yang berlaku antara kita."
"Tak pernah ada apa-apa di antara kita, Aish!"
Aish tersenyum, dalam hati. Warda sudah kembali menyebut namanya yang dulu.
"Aku benar-benar maksudkannya Warda. Aku memang nak kau jadi special aku, dulu. Dan sekarang, aku nak kau jadi isteri aku. Dulu tu bukan prank. Ianya perasaan aku yang sebenar. Cuma cara aku salah."
"Aku ingin percaya. Tapi ... maaf Aish, penjelasan kau mengambil masa terlalu lama untuk aku dengar. Kalau seminit selepas perkataan 'prank' itu kau gunakan untuk penjelasan, aku boleh terima. Tetapi sepuluh tahun! Terlalu lama Aish."
"Ya. Aku silap. Aku terlalu jaga air muka aku depan Azim. Tapi aku betul-betul sukakan kau. Sepuluh tahun aku berusaha ubah diri aku. Supaya bila aku jumpa kau, kita sudah setaraf dan aku tak malu untuk melamar kau."
"Melamar? Prank kali kedua ke?" Warda tersenyum sinis.
"Baik! Kalau kau tak percaya. Hujung minggu ni aku suruh mak aku datang merisik. Aku akan beritahu pada orang tua kau, sekarang!" Dan Aish terus pergi meninggalkan Warda yang sudah terdiam.
Warda pejam mata. Apa yang boleh dia buat? Aish benar-benar ingin membuktikan perasaan dia yang sepatutnya semua itu berlaku pada sepuluh tahun yang lalu.
"WARDA fikir betul-betul. Kahwin ni bukan main-main. Betul ke Warda nak terima Fitri jadi suami Warda? Dia muda setahun dari Warda."
"Mak ... hari tu mak yang beria-ia suruh Warda kahwin sebelum umur 30. Sekarang ni kenapa mak cakap macam ni pulak?"
"Ya, kak. Kau fikirlah baik-baik. Aku rasa kau bukan nak kahwin sangat dengan Ustaz Fitri ni. Kau cuma nak elakkan diri dari abang Haikal je, kan? Kenapa?"
"Ayah suka lagi kat kawan Danish, budak Haikal tu. Memanglah Fitri tu baik dan dia yang masuk melamar dulu ... tapi bila ada pilihan yang umur sebaya dengan latar belakang agama, keluarga, kerjaya yang baik tak salah untuk kita memilih lamaran yang kedua, kan?"
"Dia belum melamar pun. Baru cakap-cakap je, pun," Warda menjawab perlahan.
"Abang Haikal kata dia nak suruh mak dia datang hujung minggu ni, kan? Kita tunggu je, lah. Atau, kau nak aku telefon suruh dia datang malam ni ... kak?" Danish sudah mula menyakat.
"Tak payah! Akak boleh telefon dia suruh dia batalkan niat main-main dia tu. Mak, ayah ... Warda naik dulu." Warda melangkah masuk ke biliknya. Dia perlu bercakap dengan Aish Haikal.
TERSENTAK dan rasa tak percaya bila nama 'Bakal Zaujah' timbul di skrin telefonnya. Warda! Warda telefon dia. Cepat Aish tekan butang terima.
"Assalammualaikum, Warda," bibir Aish menguntum senyum.
"Waalaikumsalam. Aish, aku nak minta kau batalkan niat kau untuk datang merisik. Itupun kalau betullah ..."
Bertukar masam wajah Aish Haikal. Keras betul hati Warda. Seolah tiada kemaafan untuk kesilapan yang Aish dah lakukan.
"Kenapa?"
"Aku dah buat keputusan untuk terima lamaran Ustaz Fitri."
"Tak. Kau tak boleh buat macam tu. Kau tak sukakan dia. Kau sukakan aku. Kau jangan buat macam ni Warda."
"Aku dah buat keputusan pun. Aku dah beritahu pada mak ayah aku."
"Kau terima Fitri tiba-tiba hanya kerana nak lari daripada aku, kan? Tak kira! Aku akan suruh juga mak aku datang lamar kau, Warda."
"Nak buat apa? Aku tak akan terima, sebab aku sudah buat pilihan."
"Tak! Itu bukan pilihan. Itu satu escapism. Pelarian! Kau hanya nak lari dari aku. Dan, lari dari perasaan kau sahaja. Aku tak kira. Selagi status isteri belum kau pegang, aku akan teruskan lamaran ini. Lagipun ..." Aish berhenti seketika. "Kau kata aku tak bersungguh. Dan kau hanya ingat, kata-kata aku ni 'prank' semata. Biar aku buktikan."
"Kau hantar lamaran bukan sebab kau nak aku jadi isteri kau, tapi sekadar nak buktikan ia bukan prank? Begitu?"
"Cakaplah apa kau nak cakap Warda. Aku dah tak nak buang masa, tak nak main-main lagi. Aku tak nak terlepas peluang kedua. Aku benar-benar sukakan kau, Warda."
Warda terdiam di hujung talian. Aish Haikal tetap dengan keputusan. Warda menggigit bibir bawahnya tanpa sedar. Hatinya berkocak liar. Dia tidak faham.
Apakah perasaan dia yang sebenar? Dia gembira atau kesal dengan apa yang Aish akan lakukan. Warda pejam mata. Dia menarik nafas dalam sebelum dia lepas perlahan.
"Aish ..." lembut suara Warda.
Hati Aish mula jadi tak tenang. Ah, Warda! Suara lembut kau buat aku goyah.
"Warda ..."
"Aish ... kalau ini bukan prank, dan jujur kau cintakan aku, tolong biarkan aku berkahwin dengan Fitri."
"Warda!"
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro