Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

05 - Dia Bukan Mahsuri


Bab 24

PUTUS renungannya pada tiga beranak yang sedang bersila di atas hamparan kotak, yang di alas helaian suratkhabar, di kelilingi bondot-bondot yang mungkin berisi pakaian, sedang menjamah makanan, walau dalam gelap, di lorong, di dinding bertentangan dengannya bila tiba-tiba terasa ada cuitan di lengan.

Fahim menukar arah pandangan.

"Kenapa?" tanya Isa.

"Memang setiap hari ke, kau belikan mereka makanan?"

"Ya. Tapi cuma makan malam je. Siang mereka pandai cari sendiri."

"Semua yang di lorong ini?"

Isa mengangguk, "Bukan ramai pun."

Isa menepuk-nepuk kotak yang menjadi alas duduknya sebentar tadi. Dialas dengan sehelai kain pelekat. Kemudian, dia baring menelentang. Mata membilang bintang yang kelihatan dari celahan bangunan.

Lolongan anjing sesekali menyapa, membuatkan hati Fahim bergetar. Isa buat tak endah. Kayu besbolnya dipeluk rapat ke dada, seolah-olah kayu besbol itu bantal peluk dari kekabu gebu sahaja layaknya.

"Tidurlah Fahim. Esok nak kerja."

Mata Fahim masih belum mahu lena. Masih memerhati kehidupan lorong di malam hari.

Seorang lelaki sedang bersila di penjuru bangunan berhadapan, sebaris dengan tiga beranak tadi. Memeluk bondot kusam sambil mengira tin-tin kosong.

Satu-satu. Tanpa jemu. Tidak kira siang, tidak kira malam.

Sejak awal menghuni lorong ini lagi, Fahim sudah memerhati gelagat si lelaki bersama tin-tin kosong. Terkadang Fahim melarik senyum, bila lelaki itu tiba-tiba ketawa, mengangguk-angguk kepala, selepas berjaya membilang tin-tin kosong miliknya.

Bahagia.

Siapa kata, bahagia itu hanya bila kaya? Bahagia itu rasa yang wujud atas kehendak kita.

Kelentang!

Balingan tin oleh lelaki itu buat Fahim tersentak.

"Biarkan dia. Dia bahagia. Dan, dia tidak ganggu kita. Tidur Fahim." Sekali lagi Isa mengingatkan.

Fahim terus memandang. Ingin sekali dia pergi ke sana, bertanya, berbual. Apa masalah dia? Bagaimana dia boleh menjadi penghuni lorong? Mengapa dengan tin-tin kosong ini? Apakah ada cerita di sebaliknya?

Telinga Fahim menangkap gumam suara si lelaki. Lelaki itu bangun mengutip kembali tin yang dibaling tadi. Disusun dan dibilang. Kemudian tersenyum, bertepuk tangan.

Fahim turut tersenyum.

"Seronok tengok cerita tanpa suara?"

"Boleh tahan," balas Fahim.

Isa tergelak kecil.

"Baringlah, nanti kau pasti terlelap. Selagi kau tidak tidur, selagi itulah siang tak akan muncul. Atau ... kau masih tidak biasa?"

Fahim membalas hanya dengan segarit senyum. Isa faham. Fahim masih tidak biasa walau sudah sebulan tidur di lorong. Beralaskan bentangan kotak, berbantalkan lengan, berselimutkan kesejukan malam ... semua itu bukan mudah bagi Fahim Hadi.

Kulitnya masih belum mampu menerima kesat kotak. Hidungnya masih rasa asing dengan bau hancing, entah kan kencing orang atau entah kencing tikus longkang. Telinga juga masih belum lali dengan sunyi dan kelembapan lorong di waktu malam.

"Kenapa kau memilih untuk jadi gelandangan?" Fahim tiba-tiba menyoal. Dia tahu, Isa juga masih belum lelap. "Bukankah kau punya pekerjaan yang mampu untuk menyara sekurang-kurangnya sewa bilik untuk seorang?"

"Ya, aku tak nafikan dengan gaji seorang Safety Officer di tapak pembinaan, aku mampu menyewa bilik kecil di tengah-tengah kota metropolitan ini. Tetapi, aku memilih untuk hidup bergelandangan, sebab ... aku perlu kumpul duit dalam masa yang singkat, Fahim."

"Kau nak kahwin?"

Isa menarik senyum. Senyum pada langit. "Aku tak pernah fikir tentang itu."

"Habis, kenapa?"

"Untuk menebus kembali tanah tapak rumah, yang sekangkang kera di kampung. Yang ayah cagarkan untuk membiayai pelajaran aku di universiti."

"Sampai begitu sekali? Kalau tak mampu, kenapa kau paksa diri untuk sambung belajar juga? Kerja dulu dan kemudian boleh ambil kursus separuh masa. Kenapa sampai nak cagarkan tanah yang belum tentu kau boleh tebus kembali?"

"Aku lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang susah. Kais pagi makan petang. Malam pernah berlapar. Tapi mak dan ayah aku tak pernah putus asa untuk menyekolahkan kami. Kata ayah, apa lagi yang orang miskin seperti kami ada untuk berada sebaris dengan orang-orang kaya jika bukan ilmu?

Ayah kata lagi, biar bergolok-bergadai, asalkan anak-anaknya memiliki ilmu yang dinilai manusia pada sehelai kertas bernama ijazah. Dia ingin kami semua ke universiti. Dapatkan ilmu, jadi yang terbaik, banggakan keluarga, naikkan martabat orang-orang miskin agar tidak lagi dipandang hina.

Rezeki Tuhan untuk anak-anak belajar akan selalu ada. Dan, dengan keazaman ayah, susah payah dan pengorbanan ayah itulah aku menanam tekad. Aku sudah pernah membuatkan ayah menitis air mata gembira saat aku dinobatkan sebagai pelajar cemerlang, pemilik Anugerah Rektor.

Dan, aku tidak ingin itu hanya jadi satu sejarah tanpa aku mengembalikan hak ayah, tanah tapak rumah milik keluarga, satu-satunya harta. Aku nak ayah bangga buat kali kedua. Jadi, ini yang sedang aku lakukan. Setiap sen kukira, amat berharga.

Duit gaji aku, aku kirim hampir semua kepada ayah. Ayah akan kumpul untuk tebus semula tanah. Yang tinggal pada aku hanya cukup untuk makan. Dan, aku tak kisah hidup sebagai gelandangan walaupun aku pemilik ijazah sarjana dengan anugerah tertinggi di universiti. Di sini, tidak ada siapa hairan dengan semua yang dinamakan anugerah itu."

"Kalau setiap sen berharga, tapi ... yang tadi tu ..." Fahim memuncungkan mulutnya ke arah tiga beranak yang sudah pun lena.

Isa tersenyum lagi. Kali ini bukan hanya pada langit, tetapi juga pada bintang kecil yang sedikit demi sedikit mulai kelihatan. Berkelip seolah-olah sedang bersembang sesama bintang. Mungkin bercerita tentang bulan. "Aku mencari keberkatan dari setiap rezeki pemberian Allah. Semakin kau rasa susah, semakin kerap kau perlu bersedekah. Inshaallah, rezeki Allah tak akan putus. Kau akan berasa cukup, walau tidak mewah. Dan, itulah yang aku sedang buat. Ini pesan ayah aku pada setiap seorang anak-anaknya. Aku pegang kata-kata dia."

"Aku lihat, kau belikan mereka lauk ayam, sedangkan kau sendiri hanya makan nasi, telur asin dan sayur. Kenapa?"

Meletus tawa kecil dari bibir Isa. "Kau seorang pemerhati yang hebat."

"Aku sedang mengadaptasi kehidupan di dunia baru ini, Isa. Aku perlu banyak memerhati."

"Hidup ini pilihan, Fahim. Sama ada kau memilih untuk membahagiakan diri kau, atau membahagiakan orang di sekeliling kau. Dan, sanggupkah kau hidup bahagia sedangkan mata kau menatap derita?

Aku tak sampai hati lihat mereka. Bukan selalu aku belikan mereka lauk ayam, hanya sekali-sekala. Anak-anak kecil memang suka makan ayam goreng. Aku orang dewasa masih mampu mengekang nafsu makan. Masih mampu secara rasional melihat yang makan itu hanyalah dengan satu tujuan iaitu - untuk kelangsungan hidup.

Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Tidak mahu aku dituntun nafsu, sedangkan bila-bila sahaja nyawa dicabut dari badan. Dapat kenyang pun sudah cukup bersyukur. Aku tidak memerlukan lebih dari itu. Biarlah. Itu rezeki mereka. Rezeki aku Allah dah sedia."

"Sampai bila?"

"Maksud kau?" Isa mendongak sedikit, memerhatikan wajah Fahim yang masih belum baring.

"Jadi gelandangan."

"Yang pasti bukan selamanya. Sasaran yang aku tetapkan punya masa juga, dan berperingkat. Sekarang, sasaran utama - tebus semula tanah tapak rumah keluarga aku di kampung.

Selesai yang itu, aku ingin menabung untuk mak ayah aku mengerjakan haji. Selebihnya untuk adik-beradik aku. Aku anak sulung lelaki. Bukan sorang dua adik-beradik aku, tujuh semuanya. Aku yang kedua. Aku perlu uruskan usia lelaki aku untuk berbakti. Hidup hanya sekali, fikir apa yang kau cari. Tidak pernah wujud kelahiran kedua di dunia. Hanya bangkit bila kau terdengar bunyi sangkakala kedua."

Fahim menghela nafas. Sesusah dia, susah lagi hidup Isa. Tetapi Isa punya hati yang kuat, memiliki iman dan tekad. "Terima kasih, Isa."

"Untuk apa?"

"Pertemuan, ilmu dan penerimaan."

"Ucap syukur pada Tuhan."

"Ya, aku tahu. Tapi aku ingin kau juga tahu, yang aku bersyukur ditemukan dengan orang macam kau. Kau banyak tolong aku, ajar aku tentang kehidupan."

"Setiap pertemuan yang Tuhan aturkan itu ada rahsia yang kita sebagai hamba tidak akan pernah menjangka. Tidurlah Fahim. Malam pun dah tua sangat ni. Kita perlu bangun sebelum jam lima. Nak rebut bilik air awam, dan berada di masjid sebelum jemaah lain datang. Esok aku jadi bilal."

"Selamat malam, kawan," Fahim mengibas-ngibas kotak yang terbentang. Dicapai kain pelikat dari dalam beg lalu dibuat alas tidur. Hanya berbantalkan lengan, yang esok pagi, pasti berbirat dengan pelbagai corak.

Terkelip-kelip matanya. Rindu melayan lena. Wajah Aisy Khadijah tiba-tiba terlayar di gelita mata. "Selamat malam, dik. Abang selamat, abang sihat. Abang punya seorang kawan. Cerita dia buat abang rasa ingin terus berjuang. Aisy macam mana? Moga adik abang sihat dan tabah. Abang rindu Aisy. Inshaallah, abang akan pulang."

***

"LARI!"

Hampir terpelanting bungkusan nasi yang ditatang Fahim. Mulutnya yang masih penuh, hampir terbuka. Terkejut melihat rakan-rakan sekerja dia yang menyusup-nyusup lari menyelamatkan diri.

Fahim yang tidak faham, terus berlari sama. Bungkusan nasi masih lagi dalam pegangan. Tidak dibuang rezeki itu walau dia dalam kecemasan. Dia mengikut larian salah seorang pekerja tapak pembinaan. Mereka menyorok di bawah sebuah kanvas yang menutupi besi cerucuk yang masih berikat.

"Kenapa Aminur?" Fahim berbisik kepada seorang lelaki Bangladesh, rakan sekerja dia.

"Sshh ... nanti line sudah clear, saya cerita sama baiya. Diam-diam, sudah."

Fahim mengangguk. Hampir satu jam mereka menyorok. Menyorok daripada apa, Fahim tak tahu. Berpeluh-peluh dia dibakar haba kanvas pada tengah hari rembang. Dia boleh bertahan. Cuma ... hati dia kuat berdebar. Fikirannya tiba-tiba memetik nama Dragon Mah. Orang-orang Dragon Mah kah? Wajah Aminur Rahman di pandang. Aminur berhutang juga dengan ceti haram? Dengan Dragon Mah? Kalau benar, tentu dia juga berada dalam bahaya.

Dragon Mah pasti tidak akan lepaskan dia. Fahim pejam mata. Berdoa agar itu hanya satu tanggapan yang tidak benar.

Tiba-tiba, kanvas yang menutup tubuh mereka ditarik kasar. Mata Fahim dipanah silau matahari.

"Fahim!"

Besar mata Fahim melihat wajah yang menarik kanvas.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro