Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

01 - Lastik Kayu

Bab 28:

SEBULAN berlalu. Atikah sudah mula menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Setiap hari Atikah akan datang ke rumah mereka. Akan berbual dan bercerita. Maryam juga sudah semakin mampu melafaz banyak kata. Sudah boleh dijadikan teman berbual. Jalannya juga sudah mulai stabil.

Saban pagi Syakila memimpin Maryam di sekeliling rumah. Asalnya dengan tongkat. Tetapi, lama kelamaan sudah boleh menapak sendiri. Perlahan dan berhati-hati. Sawah di sekeliling rumah hanya dipajakkan sahaja semenjak peristiwa kemalangan yang meragut nyawa Hassan dan meragut sama semangat Maryam.

Haji Hussain yang menguruskan segala urusan sawah bendang dan kebun. Sesekali bila Syahir pulang, dibawa Syahir bersama. Diajar segala ilmu mengurus harta arwah Hassan.

"Sya nak sambung belajar?" Satu hari Maryam bertanya. Atikah baru pulang. Datangnya tadi, berkongsi cerita tentang Azril. Si adik bongsu yang manja kata Atikah. Yang tidak pernah walau dalam sehari tidak menelefon ibunya.

Yang bila menelefon, akan merengek mengadu. Tentang assignment yang banyak. Tentang makanan yang kurang enak. Tentang rindu hendak pulang menemui si ibu. Juga ingin merasai angin kampung sambil makan mangga lemak manis yang dipotong dan disuap oleh ibu.

Maryam hanya melihat tawa Syakila tatkala Atikah bercerita. Di dalam hati wujud rasa terkilan. Sepatutnya si dara itu bukan berada di rumah. Tetapi di universiti. Mengaji ilmu duniawi. Mengejar cita-cita sebagaimana Azril, anak tok ketua.

Dan, mungkin, Syakila juga seperti Azril yang akan menelefon, bercerita tentang rindu hendak pulang ke kampung. Rindu akan masakan dia. Maryam membenih air mata di dalam hati.

Semakin ditenung anaknya itu, semakin dia sebak. Tawa Syakila berselindung duka. Anak itu bijak. Bijak menghijab duka di dalam dada. Dan, kerana itulah dia bertanya.

"Kenapa mak tanya orang soalan ni, tiba-tiba?"

"Mak tahu ... Sya sedih bila Ika bercerita tentang Azril di universiti. Tentu anak mak terkilan tidak dapat sambung belajar bersama-sama dengan Azril, kan?"

"Mak ... orang ketawa kan, tadi? Sedih apa pula? Orang seronok dengar Kak Ika mengata adik dia manja." Dan, Syakila ketawa.

"Sya ... pergilah sambung belajar." Tawa itu hanya diabaikan sahaja oleh Maryam. "Mak dah baik. Dah boleh jaga diri sendiri. Along pun, tak lama lagi akan balik bercuti, kan? Bila along habis cuti, angah pula dah habis belajar. Kalau Sya risaukan mak, Sya boleh telefon. Rumah ini pun, angah dah pasang segala macam kunci. Insya-Allah, tak ada apa-apa. "

"Mak ... insya-Allah, orang akan sambung belajar. Tapi, bukan sekarang mak. Sekarang ini masa orang dengan mak. Peluang mencari ilmu itu bukan hanya di universiti. Di rumah pun boleh. Sekarang ini pun, memang orang dah mula belajar. On-line learning. Mak jangan sangka yang bukan-bukan, ya?" Bahu ibunya diraih. Melayang senyum pada si ibu.

"Dengan orang lain, mungkin Sya boleh sembunyikan semua itu, tapi ini mak. Mak kenal ketawa suka, atau ketawa duka anak-anak mak. Terutamanya, Sya."

Semerta, senyuman Syakila sirna. Dia hanya mampu tunduk. Tangan yang tadi berlabuh di bahu si ibu ditarik kembali. Tanpa kemahuannya, helaan nafas yang tertahan, telepas di hadapan ibu.

"Sya ..." Dagu anaknya didongakkan. "... kalau bukan sebab sambung belajar, tentu sebab Azril. Betul, kan?"

Dan, rasa yang terbungkus rapi itu ... terburai. Disembamkan wajahnya di riba ibu. Menangis dia tanpa malu. Sungguh, dia tahan rasa itu hampir sebulan lamanya. Dikawal, sebab dia tidak mahu menangis pada perkara yang tidak tentu alasannya. Tetapi, bila ditegur Maryam, dia sudah tidak mampu bertahan.

Maryam tidak mahu bertanya lanjut. Biarlah. Itu urusan anak muda. Jika anaknya ingin meluahkan, dia sanggup menadah telinga. Jika tidak, dia tahu semua ini pasti tidak lama. Dia kenal anaknya. Dan, dia kenal juga Azril itu bagaimana orangnya.
.
.
.

DIA gembira, bila Atikah selalu datang ke rumah. Gembira bila dapat berbual dan bertukar cerita dengan Atikah. Walaupun, cerita Atikah tidak sama dengan apa yang selalu dia sembangkan dengan Azril.

Kehidupan Atikah hanya di dapur rumah Mak Cik Aisyah. Jadi, hanya itu yang Atikah akan kongsikan. Sembangkan. Dia mendengar dengan setia. Ketawa bila Atikah ketawa.

Mencerap setiap cerita dengan analisa psikologi sifat dan sikap manusia. Sikap Atikah sebagai seorang wanita yang lembut dan sukakan perkara memasak. Juga hal ehwal rumah tangga. Jadi, hanya itu cerita yang bermain di setiap bicara Atikah.

Dia suka.

Suka bila dihidangkan dengan watak-watak manusia dan sikap mereka.

Tetapi, dalam suka itu hatinya tetap rasa pedih. Ada ruang kosong yang wujud di celahan hatinya. Yang menekan dengan kejam. Yang memiliki ketajaman bilah belati. Menusuk dan menoreh dinding hati.

Sehari, malah seminggu dia bertahan. Bersangka baik. Masuk minggu kedua, ketiga dan cukup sebulan, dia sudah tidak mampu. Dinding hatinya jadi rapuh, bila ditoreh tanpa henti seiring dengan masa yang bergerak. Lalu roboh dan rebah bila ditanya oleh ibunya, Maryam.

***

"APA salah aku, Azril?"

Setiap malam, bila rasa pedih, dia akan melontarkan soalan. Dia putus hubungan dengan satu-satunya kawan. Entah kenapa, Azril langsung tidak menghubunginya. Bertanyakan khabarnya. Salam hanya dikirim melalui Atikah. Azril tahu, Atikah sekarang ini menjadi rakan bersembangnya.

Tetapi, yang Azril tidak tahu, Atikah itu tidak sama dengan dia.

"Kau jadi pengkhianat persahabatan kita, tanpa kau berani berdepan dengan aku untuk menjelaskannya. Kau lari macam itu sahaja. Aku benci kau, Ril."

Lalu, dia meninggalkan tempat tidurnya. Wuduk diambil. Dia kembali kepada teman yang paling setia.

Al-Quran'ul kareem.

***

HARI ini, Atikah tidak pula datang. Mungkin ada urusan.

"Sya, nanti pergilah ke rumah Mak Cik Aisyah. Hantarkan nasi tomato dan ayam masak merah ini. Ika sibuk agaknya."

"Mak okey ke, tunggu seorang di rumah?"

"Ya, Allah budak ini. Macam jauh sangat rumah Aisyah itu dari rumah kita. Pulau sebelah itu sahaja, kan? Lagi pun, mak dah boleh memasak nasi tomato, ayam masak merah bagai ini ... maknanya mak dah sihat. Insya-Allah, tak ada apa-apa. Sya pun, lepas dah hantar, baliklah cepat. Jangan pula leka menyembang."

"Amboi, mak! Sihat sungguh ni!" Tergelak Syakila bila Maryam sudah mula meletuskan buah bebel.

"Sudah, jangan macam-macam. Nanti orang dah selesai makan tengah hari, tak termakan nasi yang kita bagi."

"Okey, mak. Mak pegang telefon orang. Apa-apa hal, mak tekan sahaja nombor rumah Mak Cik Aisyah. Ada, orang letak paling atas."

"Hah, yalah!" Ditolaknya bahu anak daranya ke arah dapur. Dia sendiri sudah bangun bergerak. Mula mengeluarkan bekas-bekas makanan daripada rak. Dibasuh, dilap kering. Diserah pada Syakila untuk diisi nasi tomato dan ayam masak merah. Juga jelatah nenas dan timun.

"Orang pergi dulu, mak!"

"Hah, hati-hati bawa motosikal tu. Jangan memecut sangat. Jatuh dalam sawah, rosak pula pokok-pokok padi."

Syakila sudah ketawa di atas motosikal. Ibunya sudah kembali. Juga bebelan yang dia rindukan selama ini.

Sebaik memarkir motosikal, dan enjin dimatikan, mata Syakila tertancap pada motosikal di bawah rumah Haji Hussain.

Motosikal Azril!

"Assalamualaikum." Berat rasanya mulut ingin melaung salam bila dia tahu kawannya yang seorang itu ada di dalam.

"Waalaikumsalam."

Azril!

"Kak Ika, ada?" Entah kenapa, rasa janggal menerpa.

"A ... ada. Sekejap, aku panggilkan."

Pedih. Ditahan.

"Eh, Sya! Masuklah dulu."

"Tak apa, kak. Mak seorang di rumah. Ini, mak suruh Sya hantar." Diunjuk pada Atikah. Mata hanya pada wajah Atikah. Tidak mahu menoleh apatah berkalih pada mana-mana arah, terutamanya bila dia tahu ada manusia lain yang berdiri tegak memandang dia.

"Maaf, akak tak datang ke rumah Sya. Aril balik tiba-tiba. Ibu dan ayah pula tak ada. Itu yang tak ke sana. Sya tunggu sekejap, ya. Akak salin bekas ni. Naiklah dulu."

"Tak apa, kak. Sya tunggu di sini sahaja."

Cepat Atikah masuk ke dalam. Faham dengan keadaan Syakila. Memang dia pun tidak galakkan Sya untuk masuk ke rumahnya. Lebih-lebih lagi bila ada si adik. Risau jika fitnah memutik. Dia sekadar berbahasa.

Tanpa mempedulikan Azril di kepala tangga, Sya duduk di anak tangga dua dari bawah. Matanya melihat sekeliling rumah. Memerhati tanaman bunga tepi sawah yang masih terjaga dengan baik.

Sunyi.

Pedih.

Masa yang berdetik dirasakan terlalu lembab. Dia tidak tahu sama ada Azril masih berdiri di kepala tangga atau tidak. Dia tidak mahu menoleh.

"Sya ..."

Diabaikan.

Dia dapat rasakan pergerakan. Terasa hampir dengan tubuhnya. Mungkin berselang dua anak tangga daripada yang didudukinya.

"Kau ... sihat?"

"Macam yang kau nampak."

"Sya ... aku minta maaf. Sibuk sikit sejak akhir-akhir ini."

Kali ini dia menoleh. Wajah bekas kawan baiknya itu dipandang, tajam. "Tak payah cakap apa-apa Azril, kalau apa yang kau nak cakap itu hanya satu penipuan."

"Sya ... aku ..."

"Hah, nah! Ini bekasnya. Nanti kirim salam pada mak cik, ya!"

Kemunculan Atikah mematikan kata-kata Azril. Dia palingkan wajah. Takut jika dikesan oleh kakaknya.

Syakila memaksa senyum pada Atikah. "Insya-Allah, kak. Sya balik dulu."

Dia tidak menunggu lagi. Hatinya pecah berderai. Sebulan berlalu dengan pedih pengabaian. Hari ini, dengan penipuan yang entah apa maknanya! Dan, dia tidak akan menangis lagi. Memang jelas persahabatannya sedang dikhianati tanpa dia tahu apa puncanya.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro