Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

DLM 2 : 49

If nak refresh lebih faham, boleh baca bab satu part Daneen before jumpa Aidan.

"KAU dah tak sayang umi ke? Umi jaga kau dari kecil, beri kau kasih sayang bahkan lebih daripada kita orang!" marah Maisara dalam bahasa isyarat. Jelas terpancar kekecewaan di wajah gadis bisu itu.

"Umi tipu. Dia tak pernah pun sayangkan aku. Aku dengar dia cakap yang aku ni menyusahkan dia." Daneen memberi alasan lain.

Air matanya tidak henti-henti tumpah. Hatinya sakit mengenangkan disebalik kasih sayang Umi Aesya padanya. Ternyata Umi Aesya berpura-pura menyayanginya semata-mata demi mendapatkan wang ringgit. Umi Aesya turut tahu kenyataan mengenai ibu bapanya.

"Daneen Inara! Kalau kau pergi jugak, aku akan pastikan umi tahu!" ugut Maisara lagi. Daneen mengeluh sebaik mendengarkan ugutan itu. Kau tak tahu duduk sebenar masalah yang aku hadap, Maisara.

Daneen tetap tidak kalih. Dia nekad.

"Kalau kau jadi aku, kau pun akan pergi dari sini. Umi bukan ikhlas sayangkan aku, umi sayangkan aku pun disebabkan inginkan wang ringgit."

Dari abah. Ingin sahaja dia menyambung. Tapi, Maisara tak perlu tahu. Dia tidak mahu lagi membebankan kehidupan orang lain dengan nasib baik yang tidak menyebelahinya.

"Astaghfirullahalazim Daneen, tergamak kau tuduh umi macam tu!" Tubuh Daneen ditolak ke dinding. Maisara bengang. Jelas ketara di wajahnya ekspresi marah. Ketidaksempurnaannya bukan bermakna dia tidak mampu menzahirkan emosinya melalui ekspresi dan tingkahnya.

"Kau ingat aku senang ke nak tuduh tanpa bukti? Dahlah Maisara, biar aku pergi tinggalkan tempat ini. Tempat ini tak bermakna dah bagi aku." Kendur intonasi suaranya.

"Pergi! Pergilah Daneen! Kau tanggunglah azab membuatkan seorang wanita yang tulus memberi kasih dan sayang, menitiskan air mata."

Tatkala itu, ingin sahaja Daneen menghamburkan segalanya. Mudah bagi Maisara terus mempercayai Umi Aesya. Tapi tidak pada dia. Dia sudah menaruh kebencian mendalam terhadap wanita bergelar umi itu! Dia hanya punya satu umi sahaja yang ikhlas menyayanginya.

"Air mata penipuan! Dia yang patut terima azab sebab sakitkan hati anak yatim seperti aku!" tempik Daneen bersama deraian air mata kesedihan.

Menyakinkan Maisara? Tidak akan dapat! Maisara memang sahabatnya, tapi Maisara meletakkan sepenuh kepercayaan buat Umi Aesya. Sekadar kata tanpa bukti dia perkatakan, seribu tahun belum tentu kepercayaan diberi kepadanya.

Daneen meninggalkan bilik yang dikongsinya bersama Maisara. Maisara melihat kawan baiknya dari sisi cermin sebelum tubuh Daneen hilang disebalik pintu yang ditutup.

Maisara menghenyakkan punggungnya di atas katil. Dia terfikir sendiri. Kata-kata Daneen benar. Dia tidak menafikan. Dia turut mendengar setiap butir bicara Umi Aesya.

Tetapi, Umi Aesya segala-galanya bagi mereka di rumah anak yatim ini. Jika dia membuat onar menyampaikan cerita, anak-anak yang lain akan bersedih kerana Umi Aesya sahaja yang sering melayan ragam mereka.

Tanpa berfikir panjang lagi, dia lantas mencapai jaketnya dan menyarung dengan pantas. Langsir diselak seraya melihat keluar. Masih hujan. Dia perlu menemani Daneen, Daneen tiada sesiapa. Hanya dia yang selalu disamping Daneen. Bahkan Daneen tiada apa-apa, wang ringgit jauh sekali.

Tombol pintu dipulas lalu dibuka. Mata meliar memerhati jika ada yang terjaga.

Saat matanya meliar, terlihat Umi Aesya sedang tergesa-gesa menuju ke keretanya. Maisara pantas menyembunyikan dirinya apabila menyedari mata Umi Aesya melilau. Bimbang Umi Aesya tahu.

Maisara memerhati setiap tindak tanduk Umi Aesya. Jelas terpampang di ruangan mata, Umi Aesya lekas mengatur langkah menuju ke bilik stor.

Maisara memerhati sebaik mungkin. Maisara melopong. Tangannya ditekup ke mulut. Umi Aesya keluar bersama sebilah pisau yang tajam. Malah, gerak mulut Umi Aesya menyebut sebaris nama Daneen.

Jantung Maisara berombak laju apabila Umi Aesya sudah memasuki kereta. Cepat sahaja enjin dihidupkan lalu dipecut laju keluar daripada kawasan rumah anak yatim itu. Maisara tersedar. Air matanya melimpahi pipi, tidak sanggup membayangkan seandainya Daneen yang dikejar oleh Umi Aesya.

Cepat Maisara berlari menuju ke pintu belakang rumah anak yatim yang ditinggal oleh mereka. Hanya melalui pintu belakang, dia akan mendahului kereta Umi Aesya. Daneen pasti melalui jalan belakang dan Daneen pasti tidak jauh lagi.

Entah dimana silapnya, dia terjatuh betul-betul bersebelahan laluan yang baru sahaja Umi Aesya lalui. Hampir sahaja dia lemas dek lopak air yang dipenuhi air hujan. Maisara pantas mengelap wajahnya dengan tapak tangan. Dia bangun daripada situ dan berlari mengejar kereta Umi Aesya.

Hujan semakin lebat, Daneen tetap meredahnya. Dia tetap dengan keputusannya. Untuk apa lagi tinggal di situ? Hanya menyakitkan hati dan diri sendiri.

Daneen terhenti. Dia perasan sebuah kereta kancil membelah jalan terpencil yang beradanya sekarang itu. Lampu kereta itu menyuluh jalan. Dia menangkap nombor plat. Itu nombor plat kereta umi!

Daneen pantas menjarakkan diri. Dia berlari bersembunyi di belakang sebuah bangunan di lorong sunyi itu.

"Daneen, keluarlah sayang. Umi tahu Daneen merajuk dengan umi tapi janganlah lari macam ni sayang. Umi sayangkan Daneen. Sayangkan Daneen sepenuh hati umi."

Daneen kecewa. Umi tipu. Akhirnya dia tahu, Umi Aesya membesarkannya hanya untuk mendapatkan harta daripada wasiat yang ditinggalkan oleh arwah ibu dan ayah dan juga lebih menguntungkan setiap bulan dia peroleh duit dari abah. Tidak hairanlah Umi Aesya akan mudah mendapat info lebih jelas kerana dia pemilik rumah anak yatim itu.

Hari ini baru dia tahu, arwah mak dan ayah telahpun meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Sakit hatinya. Perasaannya disakiti. Kesakitan ini sukar untuk pulih. Hatinya benar-benar berdarah parah.

Tergamak wanita yang dianggap sebagai ibu itu menipunya hidup-hidup. Kenapa perlu menyiksanya sehingga begini? Betul pesan arwah Umi Aida, dia perlu berhati-hati dalam menerima kasih.

Ini memang nasibnya. Terlalu mendambakan kasih, akhirnya kasih itu makan dirinya.

Ya Allah, hati aku sakit. Benar-benar sakit.

Hujan lebat yang turun membasahi bumi membuatkan Daneen menggigil kesejukan. Dia takut. Semua jalan gelap.

Langkahnya dibiarkan terhenti, dia memang memilih jalan mati. Dia tidak pernah sampai ke sini. Selama dia membesar, keluar juga hanya sesekali, kawasan sini pun sekadar dilalui. Itu pun cuma beberapa kali. Bagaimana dia hendak meredahi hutan yang penuh bahaya itu?

Tanpa membuang masa, dia cepat menyembunyikan dirinya di belakang kereta lama di situ. Tatkala dia mengundurkan tubuhnya, tangannya ditarik ke belakang dengan kasar.

"Tolong!" Mulut Daneen ditekup. Orang itu cepat memaling muka Daneen mengadapnya.

Daneen hampir sahaja menangis. Ya Allah, Maisara!

"Maisara..." Kedengaran tangisan tercetus di bibirnya. Dia sudah menangis teresak-esak. Hanya tuhan sahaja yang tahu ketakutan yang dirasainya tadi.

"Mujur aku nampak kau Daneen. Aku syukur Daneen, alhamdulillah." Daneen mengangguk tanda turut memanjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi.

"Macam mana kau boleh sampai sini Maisara?" soal Daneen masih tertanya-tanya. Dia juga perhati Maisara di dalam keadaan basah lencun. Pakaiannya bukan basah dengan air jernih, tapi air kotor.

"Aku kejar kau Daneen. Umi tahu kau lari, umi tahu kau dengar dia cakap siang tadi. Aku nampak dia bawa pisau Daneen. Aku takut dia apa-apakan kau," ujar Maisara berisyarat tangan.

"Astaghfirullahalazim," lafaz Daneen. Terkejut mengetahui apa yang disampaikan oleh Awfiya.

"Dia umi kita, aku tak sangka dia sanggup nak buat kat aku sampai macam tu sekali. Allahu, hasbunallah wanikmal nakil." Kalimat zikir diucap sebelum dia memeluk Maisara. Beberapa saat kemudian, dia merasakan cecair pekat menitis ke kakinya. Dia lantas memastikan.

"Tapi kau okey tak? Kau jatuh ke? Ya Allah Maisara, kaki kau..." Daneen terlopong. Cepat-cepat menyedarinya dan menekup luka di kaki Maisara.

"Tak apa Daneen, tak sakit." Maisara menggeleng tanda dia tidak berasa terlalu sakit.

Daneen memerhati sekeliling sebelum bangun. Sehabis daya dia membantu Maisara untuk bangun. Sedih dia melihat kecederaan di kaki sahabatnya itu.

"Kalau kaki kau rasa sakit cengkam tangan aku, kita boleh berhenti. Kita cuma perlu lari jauh sedikit dari sini. Kau percayakan aku kan Maisara?" Dalam hujan lebat, Daneen masih meneruskan kata-katanya dengan lantang.

Maisara mengangguk. Kasihan hatinya memandang wajah itu. Pucat lesi. Terima kasih Maisara.

Lama mereka dibasahi hujan, petir dan kilat sambung menyambung makin dahsyat. Berat setiap langkah Daneen dengan pakaiannya yang sudah lencun kebasahan. Maisara yang dipapah dipandang demi mengisi kekuatan.

"Kita nak ke mana ni Daneen? Kaki aku dah sakit sangat."

Tika itu, entah bagaimana kekuatannya habis. Dia kehilangan keupayaannya memapah Maisara. Lemah tubuhnya sebaik sahaja dia terjatuh ke atas jalan tar yang turut basah kerana hujan.

"Maaf Maisara. Maafkan aku." Teresak-esak Daneen. Cepat dia bangun dan mengangkat Maisara. Maisara lantas memegang tangannya.

"Kita pergi rumah abah kau. Hanya rumah abah kau yang patut kita tuju," cadang Maisara. Daneen kelu lidah. Dia faham Maisara menyatakan tentang abahnya satu-satu yang boleh membantu mereka. Mustahil! Pasti abah yang meminta umi berbuat demikian. Takkanlah dia hendak pergi ke rumah orang yang sememangnya punca tercetusnya semua ini.

"Tak nak. Aku tak nak." Daneen menggeleng. Sebak bertandang menggurungi jiwa. Ingatannya saat arwah ibu dijemput ilahi masih segar di fikiran. Masihkah ada lagi ruang untuknya jika masih menggemis kasih pada yang tidak sudi?

"Maafkan Daneen abah, maafkan Daneen!" Tak henti-henti suara Daneen menjerit dan meraung memohon keampunan dari Encik Amsyar namun hampa, Encik Amsyar nekad menampar wajahnya.

Masih terasa tamparan yang hinggap di pipinya. Tamparan itu menyedarkannya bahawa hidupnya di dalam genggaman abahnya, Tuan Amsyar.

Mampukah lagi untuknya terus bertahan?

Malam itu, bersaksikan mata-mata yang memandang. Daneen ditolak, lututnya jatuh mencium tanah. Bibirnya menggigil dek tamparan yang masih terasa di pipi. Sekelilingnya cuma ada beberapa orang tadi yang menyaksikan.

"Semua itu dah berlalu Daneen. Abah mesti rindu kau. Dia hidup seorang, jalani hidup sunyi sahaja lepas arwah umi kau meninggal dunia. Kita ke sana melawat sekali, pasti abah takkan halau kau," pujuk Maisara. Sudah lama kejadian itu. Abah angkat Daneen pasti sudah lama melupakan hal itu.

Pada Daneen, abah tidaklah seperti yang Maisara sangkakan. Ya Allah, aku takut. Lindungilah kami Ya Tuhanku.

"Sebab kau Maisara. Aku tak nak kau sakit macam ni, tahan sekejap. Aku masih ingat jalan ke rumah abah." Daneen meneruskan langkah seraya memapah Maisara. Jika tidak kerana Maisara, dia takkan ke rumah abah. Abah bencikan dia, abah takkan suka akan kehadiran dia. Ya Tuhanku, aku takut.

RUMAH besar itu ditekan punat loceng. Bunyi loceng itu kedengaran sehingga di gegendang telinganya. Masih berdesing loceng ketika arwah umi lambat membuka pintu untuk abah. Arwah umi kena marah teruk. Saat ini, penuh kekesalan menjengah kembali di ruang ingatannya. Dia kesal. Kerana kehadirannya, abah tak bahagia. Abah bencikannya.

"Seman, tolong pergi tengokkan siapa yang datang hujan lebat sebegini," arah Tuan Amsyar pada sebuah alat seraya membuka lampu biliknya. Pak Seman yang menerima arahan melalui alat seperti walkie talkie canggih itu, segera menuju ke pintu utama.

Pak Seman menyarungkan selipar seraya mendapatkan payung di tepi kabinet kasut. Alat kawalan pagar digenggam erat seraya membuka payung. Hati-hati Pak Seman menuju ke pintu pagar.

Pak Seman cuba mengecam wajah seorang gadis yang pernah dikenalinya. Lama dia mencerna kemudian dia segera memayungkan gadis itu bersama seorang gadis lagi.

"Daneen, kenapa tak teduh bawah port guard sementara tunggu pagar buka? Basah lencun. Ya Allah, Maisara juga ada. Apa yang terjadi?" Risau benar suara Pak Seman. Tambahan pula, Pak Seman sudah lama berkhidmat dengan Tuan Amsyar. Sejak Daneen kecil lagi, dia sentiasa ada dan tinggal di situ. Mustahil dia tidak ingat anak yang sangat disayangi oleh Puan Aida. Satu-satunya anak yang tinggal, walaupun Daneen anak angkat majikannya.

"Daneen lari daripada rumah anak yatim. Daneen tak sanggup duduk situ lagi. Maisara ikut Daneen sebab Umi
Aesya cuba nak kejar Daneen. Umi Aesya bukan orang baik, Pak Seman." Pak Seman terkejut mendengarnya. Berulang kali di ucap istighfar. Dia sungguh tidak menyedari langsung bahawa umi di tempat anak yatim itu bersikap sebegitu.

"Jangan pergi mana-mana. Pak Seman masuk dalam ambilkan tuala," ujar Pak Seman lalu memasuki rumah.

Sebaik sahaja Pak Seman masuk ke dalam rumah. Satu susuk tubuh menjengah ruang mata Daneen setelah sekian lama tidak bertemu. Daneen sebak. Dia tidak bereaksi. Dia tidak mampu mengawal sebaknya ketika itu.

Maisara cuba menenangkan. Maisara menolak sedikit tubuh Daneen agar berhadapan dengan Tuan Amsyar. Daneen enggan namun langkahnya diatur merapati. Dia takut. Dia sedih. Sedih kerana masih mengenangkan tamparan yang hinggap di pipinya.

"Apa sebab kau datang ke mari?" Suara itu kedengaran mendatar.

"Daneen perlukan tempat perlindungan. Daneen..."

"Kau masih tak tahu malu. Masih ingin mengemis!" Tercarik-carik hati Daneen ketika itu. Beginilah setiap kali terlukanya dia menghadap abah.

"Daneen cuma ada abah. Tolong Daneen. Kawan Daneen kaki dia luka teruk, abah doktor. Abah boleh tolong kawan Daneen." Daneen tunduk merayu di kaki Tuan Amsyar. Maisara terhinjut-hinjut kakinya mendapatkan Daneen yang sudah menunduk di kaki Tuan Amsyar.

"Jangan malukan aku depan kawan kau." Keras nada suara Tuan Amsyar. Dia masih angkuh.

"Tuala..." Terhenti langkah Pak Seman sebaik sahaja matanya menyinggah pada seraut wajah Tuan Amsyar, majikannya.

"Seman, bawa mereka masuk. Kau, bawa kawan kau ke bilik aku," arah Tuan Amsyar. Nadanya masih sama. Mendatar.

Daneen akur. Dia memanjatkan kesyukuran. Memadai baginya, asalkan abah sudi rawat Maisara.

Setengah jam berlalu, dia menghembuskan nafas lega sebaik sahaja abah selesai merawat Maisara. Sekujur tubuh Maisara diperhati. Dia bersyukur segalanya baik-baik sahaja. Meskipun kecederaan tidak terlalu berat, tapi dia takut sekiranya apa-apa terjadi. Maisara sahabatnya. Dia sayang Maisara. Dia sudah menganggap Maisara seperti adiknya sendiri.

Daneen mengundurkan posisinya ke belakang apabila Tuan Amsyar keluar daripada bilik tetamu itu. Daneen menunduk. Dia tak berani hendak memandang wajah itu.

"Kenapa kau lari daripada rumah anak yatim yang aku dah susah payah tempatkan kau?"

"Daneen nak bina hidup sendiri." Dia enggan memberitahu.

Untuk apa? Nak jerat diri sendiri? Abah sering bertanya. Setiap kali abah merancang sesuatu. Dia pasti bertanya. Kenapa? Kenapa abah tak pernah berhenti seksa Daneen?

"Lepas kawan kau dah baik, pergi dari sini. Aku tak ingin tengok muka kau lagi, pergi bina hidup kamu di luar sana. Jangan pernah jejak rumah aku, walaupun hayat kau tak panjang, pesan pada kawan kau jangan sesekali heret aku. Sampai aku mati, aku takkan sukakan kau."

"Baik abah. Terima kasih sebab sudi tolong Daneen. Daneen akan cari duit dan bayar rawatan Maisara secara ansuran dengan abah," ujar Daneen. Dia masih menunduk. Tidak berani bertentangan mata dengan Tuan Amsyar.

Tuan Amsyar meninggalkan ruang itu. Namun tidak sampai sesaat, tidak semena-mena Daneen meraih tangannya.

Daneen menyalam tangan Tuan Amsyar sebelum perlahan-lahan melepaskannya. Tuan Amsyar memandang wajahnya bersama riak muka yang ketat. Tidak sedikit pun tercalit senyuman di bibir lelaki tua itu.

Mata Daneen mengekor gerak langkah Tuan Amsyar sehinggalah hilang daripada pandangannya. Dia mengesat air matanya yang tumpah ke pipi.

Entah mengapa sayu hatinya tatkala merasakan kehangatan di tangan Tuan Amsyar tadi. Masih sama kehangatan yang dirasainya itu. Dia sungguh mendambakan kasih sayang daripada lelaki itu. Namun dia sedari, abah tidak menyukainya.

__________________
Writer Comment : Ini sebenarnya yang Daneen lalui before jumpa Aidan. Berliku-liku ye.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro