DLM 2 : 48
SEORANG wanita terhenti langkahnya apabila mendengar satu suara kecil menjerit seiring tangisan. Bahkan di kawasan itu dilalui banyak orang.
"Budak tu abang, kesian dia," ujar seorang wanita yang berhenti tidak jauh daripada Daneen. Lelaki di sebelah wanita itu memusat pandangan ke arah yang sama.
Lelaki itu berdecit sinis.
"Tak payah kesianlah, budak macam tu sebenarnya berlakon je. Semua dibayar semata-mata nak kaut duit kita. Budak, memanglah kita senang terpaut sebab kesian."
"Tak baik abang cakap macam tu," tegur wanita itu seraya menarik tangannya dari pegangan suaminya.
"Aida nak pergi mana?" Tangan isterinya pantas diraih.
"Kita ada beli makanan lebih harini, bolehlah sedekah yang lebih tu. Boleh budak tu makan waktu buka puasa."
"Belum tentu lagi budak tu berpuasa." Masih lagi prejudis terhadap Daneen.
"Abang, kalau abang tak suka abang masuk kereta dulu. Aida menyusul kemudian," tuturnya sama seperti intonasinya tadi.
Aida yang masih dalam keadaan tenang, memang menguji kesabarannya. Wajah Aida sukar sekali untuk menghadirkan perasaan marah di dalam hatinya, sejuk sahaja matanya tiap kali memandang. Cuma tatkala ini, dia benar-benar tidak puas hati.
Isterinya mudah sangat terpedaya dengan agenda anak-anak kecil yang sanggup menjadi mangsa sindiket pengemis demi mencari wang ringgit.
Sudah terang lagikan bersuluh, terpampang isu sindiket pengemis seperti ini di dada akhbar. Ada yang orangnya susah, ada yang berpura-pura susah. Tak tahulah budak ni kategori mana satu, dengan wajah sugul sememangnya senang dapat duit. Isterinya pula masih membuta tuli membantu.
Dia mendengus kasar. Sejak dia belum berkahwin lagi, memang tidak suka dengan budak-budak. Menyusahkan! Puas memujuk diri setelah mengetahui isterinya gemar melayan karenah budak-budak.
Ingin sahaja dia menghalang, tapi dia tahu Aida masih merindui arwah anak mereka. Aida tak dapat menerima kenyataan. Menyalahkan diri kerana lahir sahaja Dina sudah menghidapi masalah jantung berlubang.
Dina lambat mendapatkan rawatan kerana mereka menyedarinya saat Dina pengsan. Aida rasa bersalah kerana sakitnya sebelum ini pasti asbab Dina mempunyai masalah itu.
Dengan angkuh, dia meninggalkan isterinya di situ tanpa menunggu. Sakit mata melihat betapa kasihnya Aida terhadap budak-budak. Nak berkasih pun beragak-agaklah. Budak itu nampak sangat tidak sesuai nak dibandingkan dengan darjat mereka.
Tipu atau tidak, dia tetap akan buat laporan sindiket pengemis ini. Gelandangan bersepah, seperti tiada tujuan hidup. Jelek Tuan Amsyar menyaksikan satu per satu gelandangan di situ. Kotor, busuk dan tak tahu malu!
"Sayang," panggil Aida seraya menunduk separas ketinggian Daneen.
Daneen pantas mendongak. Sebelum tangan wanita itu menyentuhnya, laju Daneen menjauhkan diri.
Aida senyum manis. Daneen kelihatan takut dengannya.
"Jangan takut dengan umi." Aida cuba memujuk. Dia menyentuh tangan Daneen. Apabila Daneen menggerakkan jarinya, Aida mengenggam tangan kecil itu.
Sebak berkunjung di lubuk hatinya. Sejurus itu menampar kuat di dadanya. Tangan kecil ini persis tangan kecil arwah anaknya. Dina, umi rindu Dina.
"Sayang marah siapa, sayang?" tanya Aida seraya mengusap pipi kanak-kanak kecil itu.
Daneen terus menunjukkan ke arah beberapa orang yang memandang mereka.
Aida kalih ke arah jari kecil itu tuju. Dia keluh berat. Setidaknya simpati terhadap nasib anak kecil di sini. Sekali lihat, dia sudah jatuh sayang. Andai suaminya mengizinkan, pasti dia sudah memberi mereka semua ini perlindungan.
"Ikut umi ye sayang." Aida mendukung tubuh kecil itu.
Baru sahaja Tuan Amsyar hendak meninggalkan si isteri, matanya terbelalak seketika saat terlihat isterinya melepasi keretanya.
Tidak sempat dia keluar, Aida hilang di sebalik bangunan bersama budak kecil itu tadi.
Kuat stereng keretanya dihentak dengan tangan kekarnya. "Makin dilarang, makin mencabar!" Bergetar-getar suara Tuan Amsyar. Seakan kekotoran budak itu akan merosakkan hati isterinya. Membayangkan sahaja, sudah berat!
Kian hari bayang budak itu makin jelas di mata lelakinya yang penuh kebencian. Malah dia dipujuk oleh si isteri agar menerima budak pengemis itu!
"Abang takkan izinkan Ai jaga atau sentuh budak gelandangan tu! Jauh sekali untuk abang benarkan wujud gelandangan dalam keluarga kita terutamanya sebagai anak angkat! Kalau Ai betul-betul mahukan anak, ada berpuluh ribu anak di rumah anak yatim yang lebih layak dijadikan anak angkat kita, tapi bukan budak gelandangan tu!
Badan budak tu dah penuh kotor, kalau dihakis takkan jadi orang bersih seperti kita, hidup dia tetap mencelah di setiap longkang yang ada. Bahkan sikap yang diserap sepanjang merempat dekat lorong tu, akan lebih mencemarkan nama baik kita!" Naik turun dada Tuan Amsyar membantah sekeras-kerasnya rayuan isterinya.
"Abang silap, bukan nama baik kita. Tapi, nama baik abang. Abang tak ada di tempat Ai, Ai bukan daripada keluarga kaya seperti abang, Ai nampak di sekeliling Ai orang hidup susah. Ai sedih sebab Ai juga turut merasai kehidupan yang susah dan dipandang hina seperti mereka. Hidup yang ada pasang surutnya, kala sampai Ai terpaksa merempat dengan adik-adik Ai macam Daneen.
Bila abang lamar Ai, Ai rasa jauh sangat kehidupan Ai kalau nak dibandingkan dengan kehidupan abang. Tapi bila abang terima Ai seadanya, abang tolong Ai. Dan Ai yakin abang boleh tolong orang sekeliling Ai sepertimana abang tolong Ai. Tapi, hari ini abang dah tunjuk sikap abang yang sebenar. Abang caci Daneen, abang hina Daneen! Abang turut hina Ai. Kehidupan yang pernah Ai lalui dulu." Hati si isteri itu hampa. Sudah dia menyatakan niat ingin menjadikan Daneen anak angkat mereka, namun semua itu cuma boleh di ruang mimpi.
"Maafkan abang sayang. Abang salah." Resah hatinya lalu memujuk. Langkah isterinya dikejar dari tingkat bawah.
Tersentap hatinya saat pertama kalinya isterinya enggan melihat wajahnya. Pintu ditutup sekuatnya oleh tangan Aida. Tak pernah dia melalui saat ini dengan Aida.
"Apa yang ada sangat pada budak tu, Aida? Abang ni suami Aida." Tuan Amsyar tetap bersuara. Sakit, sangat sakit.
"Salah ke niat Aida, bang? Kita pun dah hilang Dina, bagilah Aida rasa dapat jaga seorang anak. Aida dah jatuh sayang pada Daneen." Sayu suaranya sambil memandang sekujur tubuh Daneen yang dibaringkan di atas katil. Sungguh lena Daneen merasa tidur di alas yang selesa. Ya Allah, sungguh rasa hati ini seperti melihat Dina dalam diri anak itu.
"Dia bukan layak jadi anak, tapi gelandangan yang cuma akan buat diri Aida macam ni sayang. Mereka lebih mahu simpati, lihat dia sekarang, berpaut seperti budak tidak tahu malu!"
"Aida tak sangka abang yang Aida kenal berhati sebegini. Aida tahu Daneen berasal dari tempat yang teruk di mata abang, tapi dia juga manusia seperti kita abang. Andai Dina masih hidup dan kehidupan kita sama seperti keluarga abang, pasti darjat kita tak jauh beza seperti Daneen sekarang ni! Merempat!"
Tuan Amsyar menghentak pintu itu sehingga Aida di belakang pintu hanya mengalirkan tangisan. Siapa sangka sikap lelaki yang dia cinta pergi sejauh ini?
"Jangan pernah hina keluarga abang, mereka jatuh angkara khianat orang. Mereka masih ada abang untuk lindungi mereka!"
"Jadi, jangan hina anak Aida juga. Anak Aida juga ada Aida untuk lindungi dia!" Sekerasnya Aida mempertahankan Daneen.
Sudah berbulan keadaan mereka suami isteri dicengkam pertengkaran. Dia menghadapi Tuan Amsyar dengan pelbagai pujukan. Tetapi, Daneen cuma dihina. Dia sebagai isteri juga Tuan Amsyar sanggup marah.
Dia akui dia sebagai isteri telah berdosa terhadap suami. Namun hatinya sebagai isteri juga hancur, dia sudah tidak mampu memberi zuriat, Dina juga meninggal dunia gara-gara sakitnya. Dia sudah merayu agar suaminya memberinya peluang. Dia mahukan anak angkat.
Tuan Amsyar tak pernah benarkan. Bahkan anak yatim sekalipun, katanya anak yatim itu anak yang tidak tahu asal usulnya. Sekarang ini bila kehadiran Daneen? Anak yatim disebutnya.
Tuan Amsyar pesan dia boleh cuba lagi untuk mendapatkan zuriat dari hasil sendiri. Puas dia memujuk sehingga Daneen hadir di dalam hidupnya tika ini.
Dia jatuh sayang, Ya Allah. Bukakanlah hati suaminya.
Hubungan mereka suami isteri mulai baik selepas beberapa tahun. Itupun Tuan Amsyar mengugut hubungan mereka akan dia akhiri dengan penceraian. Hatinya bercampur baur, dia merayu demi cinta dan masih ingin mempertahankan Daneen sebagai anaknya.
Pujukan itu membuat hati si suami terpujuk tetapi suaminya meletakkan syarat, enggan Daneen berada di rumah itu. Si suami akan memberikan perlindungan pada Daneen tetapi di rumah anak yatim, dia juga mengizinkan seandainya Aida ingin melawat Daneen asalkan kaki budak itu tidak menjejak di rumahnya.
Seiring usia, Daneen makin menyayangi susuk yang menjaganya itu. Aida juga tidak lepas melawati Daneen di rumah itu, hari-hari tanpa lelah. Tuan Amsyar hanya menganggap usaha isterinya itu menyusahkan diri.
"Ai nak pergi mana?" Suara itu membuatkan tingkah Aida yang sedang menyusun makanan di dalam bekas, terhenti.
Aida senyum nipis. Tangannya mencapai segulung egg roll kegemaran suaminya. Dia kalih lalu menyuapkan ke dalam mulut Tuan Amsyar.
"Ai ada tinggal untuk abang egg roll yang abang suka ni, nanti dah siap mandi, abang sambung jamah ye?" Aida kembali menunduk usai menolak patah kata. Berat dia hendak mengatur ayat.
"Yang lain tu untuk siapa dan sayang nak pergi mana, dah malam ni." Tuan Amsyar masih ingin tahu. Tubuh Aida dipeluk erat dari belakang.
"Ai nak keluar kejap."
Dia mendaratkan kepalanya di bahu Aida sebelum matanya dipejam. Dia harap bukan Daneen lagi yang keluar dari mulut Aida.
"Hari ni hari lahir Daneen, kan abang? Daneen cakap dia nak rasa egg roll yang abang suka," tutur Aida berjaga-jaga.
"Semua yang abang suka, semua dia nak rampas. Abang hajat nak ajak sayang keluar malam ni, masa abang dengan isteri pun dia nak rampas!" Pada mulanya sudah kedengaran suara lelaki itu akan mulai tinggi. Tangan dan tubuhnya juga sudah jauh dari berpaut di tubuh.
"Abang... faham Ai bang... Harini hari lahir Daneen, tadi pun abang tak bagi Ai jumpa Daneen. Kesian Daneen bang, tahun lepas hari lahir dia pun abang tak bagi Daneen datang sini. Ai nak pergi dekat Daneen pun abang tak bagi," rayu Aida diterpa sayu. Dia tetap memujuk inginkan keizinanan suaminya itu.
"Ai hak abang, sayang. Hari-hari Ai tinggalkan abang demi dia. Mana layanan selayaknya abang terima sebagai seorang suami? Abang suami Ai, sayang." Dalam nadanya masih cuba berlembut.
"Ai janji Ai pergi sekejap saja bang." Aida meraih beg di kabinet. Bekas makanan tadi segera dimasukkan.
Mata lelaki itu penuh dengan amarah. Ingin sekali dia menghalang saat itu. Hatinya tercabar? Ya. Cinta di dalam hatinya yang membenarkan Aida membuat semahunya.
"Ai sayang abang. Ai pergi kejap je abang." Tangannya yang Aida raih untuk salam, dia tepis.
Melihat Aida yang berlalu meninggalkannya meskipun dia melakukan sebegitu, sungguh menghancurkan seluruh tempat di hatinya.
Khabar Aida maut dalam kemalangan ketika perjalanan ke rumah anak yatim itu sampai di telinganya. Tuan Amsyar menyahut panggilan yang dibuat oleh bahagian kecemasan itu dengan ketawa berat. Sejurus dia menamatkan panggilan, hanya rumah itu yang mendengarkan tangisannya.
VAN jenazah yang meninggalkan halaman rumah, direnung sendu oleh Daneen sehinggalah van jenazah itu hilang dari pandangan mata. 6 tahun dia dijaga oleh wanita itu, pelbagai ujian yang wanita itu lalui, dia saksikan selama enam tahun berakhir masih kerana dia.
Air mata Daneen melimpah berduyun-duyun tatkala van jenazah itu meninggalkan laman. Tidak terhingga rasa sebak mencengkam jiwa.
Basah pipi tatkala mengenangkan raut wajah arwah Aida. Masih terlayar kenangan indah bersama Aida. Air mata yang berlinang di pipi Daneen kesat sebelum mengucup pipi arwah uminya yang dibalut tubuh dengan kain kafan tadi. Kain kafan putih itu digenggam. Seerat pelukan kasih yang pernah arwah Aida berikan kepada dia. Betapa ketulusan itu mencengkam sanubarinya.
Figura abah kelihatan di segenap ruang mata. Pilu Daneen melihat titisan air mata yang melimpah ke pipi abah. Lelaki itu tak pernah mengizinkannya memanggil abah. Bahkan sebaris nama Tuan Amsyar juga lelaki itu merasa jijik.
Wajah abah tergambar seribu kepedihan yang amat mendalam. Arwah Aida sentiasa mengungkapkan rasa kasih, cinta dan sayang kepada abah biarpun abah sudah membenci kerana kehadirannya. Tapi, kerana kehadirannya arwah Aida pasti diabaikan.
Dia sedih. Setiap kali arwah Aida datang melawatnya, mata arwah Aida pasti merah. Merah kerana tangisan. Akan tetapi, disebabkan keinginannya untuk memiliki seorang ibu, dia sanggup mengabaikan apa yang dilalui oleh arwah Aida.
Umi pasti masih bernyawa kalau umi tak jumpa Daneen. Jika tidak kerana Aida turut menyayanginya, dia sendiri yang akan meraih simpati wanita itu sehingga menjaganya. Daneen terlalu dambakan seorang ibu sampai Daneen tak sedar Daneen dah hancurkan kebahagiaan abah dan umi. Maafkan Daneen, umi...
Lemah langkah Daneen dihayun.
"Mana anak tak guna tu?" Daneen meninggalkan pinggan yang sedang dibasuh itu ke dalam singki setelah menutup paip dapur.
Gadis berusia 15 tahun itu menapak ke ruang tamu. Dia risau mendengar jeritan yang tidak henti-henti daripada tadi.
Tatkala kakinya pijak diruang tamu, tubuh Daneen terus ditolak ke dinding. Tindakan ganas itu membuatkan matanya terbeliak.
Abah...
"Kau punca isteri aku mati! Aku dah beri amaran dekat kau jangan raih simpati dia lagi!" Leher gadis yang terlalu disayangi oleh isterinya itu dalam genggamannya.
Jika Aida masih di sini, pasti menghalangnya dari menaikkan tangan terhadap budak jijik ini! Lihat, Aida. Anak jijik ini akan aku buat dia hilang nyawa seperti yang kau sanggup buat demi dia malam tadi!
"Kau suka makanan sama dengan aku? Kau cuma saja mahukan aku jadi sama bodoh sayangkan kau macam isteri aku!" Merah matanya menikam sedalamnya mata anak itu. Sakit? Itu patut kau rasa, budak hina!
"Sabar Amsyar, sabar!" Suasana bingit. Ramai ahli keluarga Tuan Amsyar cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku.
Walaupun mereka berjaya meleraikan namun mata Tuan Amsyar masih menerkam ke arah Daneen. Matanya merah, wajahnya juga merah seperti percikan darah berlabuh.
"Kau anak tak guna, anak pembawa nasib malang! Anak tak mengenang budi! Kau lupa ke aku keluarkan duit aku supaya kau dapat menetap di rumah anak yatim tanpa sebarang bantahan? Aku dah beri amaran, cuma menjauhi isteri aku! Tapi kau memang tak gentar setiap amaran aku! Sekarang aku akan buat kau menyesal seumur hidup kau!"
"Abah!" Daneen menjerit kuat.
"Maafkan Daneen abah, maafkan Daneen!" Tak henti-henti suara Daneen menjerit dan meraung memohon keampunan dari Encik Amsyar namun hampa, Encik Amsyar nekad menampar wajahnya.
"Semua ni disebabkan kau!" jeritnya sekuat hati.
__________________
Writer Comment : Kisah sebenar uhuk2 mula2 si Daneen.
ni sebenarnya si perempuan tu👇
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro