bab 04
"Sudah cukup tu!" Suara yang lantang itu memeranjatkan Auni dan Musyrifah.
Mereka berdua terloncat, berasa gerun mendengar suara garau itu menjerit. Masing-masing memalingkan kepala ke arah susuk tubuh seorang lelaki yang berdiri di atas tangga besar, berhadapan pintu masuk.
"Ini ke layanan yang kamu semua tunjukkan terhadap orang-orang yang bakal selamatkan kita semua?" sambung lelaki tersebut. Perlahan, dia mulai menuruni tangga.
"Kalau beginilah jawabnya… hah! Saya perlu mengaku yang kamu semua sangat mengecewakan."
Auni berpaling muka, memandang wajah kawan baiknya. "Engkau rasa dia tengah kata apa?"
"Entahlah, aku tak faham. Eh, tapi an…muka dia nampak macam tengah marah tau. Marah dekat orang lainlah. Ke dia marah kat kita sekali?"
"Sebab apa? Kita terjah masuk macam tu tadi ke?" Auni menggaru kepala, bingung.
"Maybe? Ataupun sebab kita masuk lepas tu bising macam orang jakun… boleh jadi jugak!"
Auni mengangguk laju. "Boleh jadi jugak tu! Eh, tapi boleh jadi salah…"
Bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di sekeliling mereka jelas kedengaran asing di telinga. Oleh itu, sukar untuk kedua-dua mereka memahami situasi yang berlaku saat itu. Masing-masing berdiri kaku sehinggalah empunya suara lantang tadi datang menyapa mereka.
"Auni dan Musyrifah, bukan?" soal lelaki tersebut sambil tersenyum.
Ketinggian lelaki yang berdiri di hadapan mereka ternyata jauh berbeza daripada apa yang mereka lihat dari jarak jauh. Cukup untuk membuatkan mereka berdua mendongak ke atas. Lama, mereka merenung wajah lelaki itu. Rambut putihnya yang panjang pada paras pinggang, dan sepasang mata merah jambu yang terang. Tidak perlu kata apa lagi, lelaki tersebut sememangnya kacak.
"Hah, ya… kitorang la tu," jawab Musyrifah, tersengih.
"Mari ikut saya. Kami semua dah lama menunggu kehadiran kamu berdua."
"Okey?" Auni mengangguk kepalanya sebelum berpaling kepada Musyrifah.
"Why so formal though?" bisik dia.
Musyrifah hanya mengangkat bahu, tanda tidak tahu. Mereka kemudiannya mengekori lelaki berambut putih itu dari belakang.
Pada awalnya, masing-masing mendiamkan diri. Namun, untuk mereka berdua yang berpersonaliti ceria, suasana senyap dan sunyi sepi pada ketika itu membuatkan mereka berasa amat janggal. Selepas seminit mereka menyiku antara satu sama lain, Auni mengaku kalah dan membuka mulut.
"Uhh… tadi, kau ada kata 'kami semua' dah tunggu. Siapa yang kau maksudkan tu?"
Lelaki itu memandang Auni dan tersenyum. "Nanti kamu berdua akan tahu."
"Oh, okey? Taknak jawablah ni," balas Auni.
Lelaki itu tergelak kecil. "Bukan taknak jawab, tapi biar dia jadi kejutan untuk kamu berdua."
"Next question, kenapa formal sangat cara kau bercakap?" Musyrifah pula yang bertanyakan soalan.
"Oh, formal sangat ke untuk kamu berdua?"
"Haah!" kata mereka berdua serentak.
"Kamu berdua… korang, kami berdua… kitorang. Takyah formal sangat dengan kitorang. Kalau ada Sar ni, mesti dia dah gelak," ujar Musyrifah, ketawa.
"Weh, betul do. Kalau Alia pulak, mesti dia dah pandang pelik. Itupun… kalau dia ada la." Wajah Auni bertukar muram apabila mengenangkan nasib yang menimpa kawan karib mereka.
Lelaki tersebut dapat merasakan suasana yang tadinya ceria telah bertukar. Dia memalingkan kepalanya ke hadapan. "Kita dah sampai," katanya sambil tangan membuka pintu.
"Selamat datang ke pejabat pengetua Akademi Demronia."
Auni dan Musyrifah melangkah masuk ke dalam pejabat dengan lelaki berambut itu di belakang. Masing-masing dengan mata yang meliar, teruja dengan suasana di dalam pejabat tersebut sehinggalah pandangan mereka terjatuh pada enam susuk tubuh yang berdiri di hadapan mereka. Mereka berdua kaku, terkejut dengan apa yang mereka lihat.
"..."
Kelu lidah mereka. Satu bunyi pun tidak dapat didengar daripada mulut mereka.
"Hei, terkejut sangat ke nampak aku sampai korang kaku macam patung ni," sakat seorang wanita muda itu.
"Alia!" Auni dan Musyrifah menjerit, berlari ke arah wanita tinggi itu dan memeluknya.
"Yo!" balas Alia, tersenyum lebar.
"Macam mana kau boleh ada dekat sini? Bukan kau kat Jepun ke? Eh, first of all… kau sihat tak? Kitorang dengar kau dalam koma," tanya Musyrifah bertubi-tubi.
Alia tergelak kecil. Dia menepuk bahu sahabatnya lembut lalu tersenyum. "Relax dulu. Apa baru jumpa dan tanya banyak soalan macam kena siasat dengan polis daa… aku sihat, thank goodness and yeah, aku memang dalam koma pun but only for a year since that adventure. Second, aku ada kat sini macam korang tapi aku datang dari Jepun la."
"Macam kitorang?" Auni hairan.
"Sarah yang cerita," jawab Alia dengan ibu jarinya di hala ke arah Sarah.
"Sarah!"[Auni dan Musyrifah]
"Ooh! Baru sekarang korang nak nampak aku ya. Tadi, bukan main buat aku macam halimunan kat sini." Sarah mencebik.
Auni dan Musyrifah tersengih sambil memeluk Sarah. Kemudiannya, mereka berempat berpelukan antara satu sama lain sebelum masing-masing ketawa riang.
"Hah~ seronoknya dapat jumpa kau balik," ujar Auni. "Kecuali diorang berempat. Aku dah menyampah tengok muka diorang."
'Diorang berempat' yang dimaksudkan Auni semestinya tidak lain dan tidak bukan keempat-empat kawan lelaki yang turut sama menyertai mereka dalam pengembaraan yang sebelum ini.
Elyaz, Irfan, Taufiq dan Syafiq.
Auni, Musyrifah dan Sarah menjegil tajam ke arah mereka. Mungkin kerana mereka bertujuh belajar di universiti yang sama, masing-masing telah lali melihat wajah antara satu sama lain. Auni dan Irfan dalam bidang perubatan yang sama, Musyrifah dan Taufiq dalam bidang akauntan. Begitu juga dengan Sarah dan Syafiq yang mengambil bidang perniagaan. Yang berbeza cumalah Alia dan Elyaz. Namun, ada sedikit persamaan yang dapat dilihat antara mereka berdua.
Teaching English as Second Language (TESL).
Di universiti yang sama dengan kawan-kawannya yang lain, Elyaz telah mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam bidang bahasa Inggeris. Seperti Elyaz, Alia juga mempelajari bidang yang sama akan tetapi, sebagai seorang yang bakal digelar guru pada masa akan datang.
"Haaa… menyampah betul aku tengok muka korang ni," luah Musyrifah, kedua tangannya disilang rapat ke dada. "Time kelas tengok muka kau, time waktu rehat muka tengok kau… time macam ni pun, kena tengok muka kau lagi."
"Entah, meluat aku dibuatnya," sokong Sarah.
Kata-kata Musyrifah dan Sarah membuatkan Irfan dan Taufiq berasa bengang. Mereka berdua tersenyum sinis.
"Hei, perempuan. Kau fikir kitorang nak sangat ke tengok muka korang, hah?" Taufiq membentak. Satu demi satu jari tangan diketak.
"Kitorang pun nak meluat la tengok muka korang," sambung Irfan. "Kan, Syafiq?"
Irfan menoleh ke arah Syafiq, cuba untuk mendapatkan sokongan.
"Huh? Apa?" Syafiq terpinga-pinga, seolah-olah dia tidak mengambil peduli dengan pertelingkahan mereka. "Hah, yelah tu… kot."
"Ish, kau ni! Kau dengar ke tak apa yang diorang kata?" Taufiq menyiku sisi Syafiq, geram.
"Oh, sorry do. Aku tak berapa nak dengar sangat tadi. Hehe"
"Alah, siot betullah kau ni."
Sedang mereka berlima sibuk bertekak dengan Syafiq yang kini mula menjadi pemerhati, Elyaz melontarkan pandangan ke arah Alia. Satu demi satu, langkah diambil menghampiri kawan perempuannya tersebut.
"Jadi… uh, kau… macam mana tinggal kat sana, okey?" Elyaz bersuara sambil tangan kanannya mengusap lembut belakang tengkuk.
Alia memandangnya sekejap sebelum memalingkan semula wajahnya ke arah yang lain. "Okey… jauh la beza dia tu tapi okey je."
"Oh… okeylah kalau macam tu."
"Haah."
Keadaan kembali senyap antara mereka berdua dan Elyaz tidak suka dengan suasana sebegitu. Dia mula menjadi cemas. Mana tidaknya, setelah semua yang dilalui oleh dia dan yang lain pada pengembaraan mereka yang lepas, Elyaz mula sedar sesuatu dalam diri dia. Perubahan yang akan mengubah hidup dia.
Elyaz cuba untuk membuka mulut dan bersuara sekali lagi. Namun, dipotong oleh suara Alia yang mencelah.
"Ehem, korang… apa kata kita stop dulu pertelingkahan dan majlis reunion kita ni lain kali. Ada benda penting yang patut kita utamakan dulu," kata Alia, menepuk tangan dua kali untuk mengambil perhatian kawan-kawannya.
Sesaat selepas itu, yang lain mula mendiamkan diri. Alia tersenyum sebelum memandang ke arah seorang lelaki tua dalam lingkungan 50-an yang sedang duduk di atas kerusi di sebalik meja kayu yang besar.
"Rasanya… kita dah boleh mulakan perjumpaan kita, Headmaster Randolph?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro