Prolog
Prolog
Tahun 1949
"MAKAN! Makan!" Dengan perasaan teruja, Pak Hazman mencampakkan beberapa hirisan daging yang masih berdarah ke dalam sebuah lubang.
Dan setiap kali cebisan daging yang masih berkulit itu jatuh, ia disambut bunyi berdesir yang kuat.
Bau rentung yang tengik, terpeluwap ke udara. Memualkan isi perut sesiapa sahaja yang mempunyai deria bau yang normal. Api pula semakin galak menjulang bagai dicurahkan minyak.
Pak Hazman semakin khusyuk melapah korban. Dengan sebilah parang kecil yang sudah diasah dan diasap tiga malam Jumaat, setiap bahagian berdaging diasingkan daripada tulang dengan teliti. Ketika itu, bau hamis darah bagaikan wangian kasturi yang menyegarkan rohani. Dan bahang hangat yang memanggang muka dan tubuhnya, terasa seperti usapan lembut yang memesrai jiwa.
"Makan! Makan kenyang-kenyang!"
Dia bersuara lagi seraya mencampakkan kesemua daging yang dilapah sekaligus ke dalam nyalaan api. Kini upacara memberi makan tuannya pada setiap malam bulan gelap hampir selesai.
Tinggal lagi bahagian yang paling penting iaitu kemuncak penyembahan. Namun, dia yakin seperti sebelum ini, tuannya amat berpuas hati dengan hidangan yang diberi. Darah dan daging segar dari tubuh seorang manusia.
Semuanya sebagai bayaran bulanan selain jiwa dan keimanannya yang sudah diserahkan bulat-bulat. Semuanya demi kesenangan hidup di dunia, dia rela tinggal selamanya di neraka. Dia, pengikut syaitan yang setia.
Sebagai penutup upacara malam itu, kepala korban diangkat separas dada. Mantera dibaca seraya melayah tubuh ke hadapan dan ke belakang. Cukup rangkap dan bilangan ulangannya, kepala korban itu dicampak ke dalam lubang.
Api pun menyambar lalu menjulang sehingga tujuh kaki tinggi. Hilang sahaja terpaan bahang dan asap yang memenuhi ruang, sekujur tubuh hitam legam duduk tercangkung di hadapan Pak Hazman.
Tingginya hampir setinggi pokok. Rambutnya lurus tajam bagaikan duri kabung; panjang menggerbang hingga ke tanah. Matanya merah berbara. Dia memandang kepala korban yang ada di tangan bagaikan sedang kelaparan.
Tanpa berlengah, kepala korban di tangannya dijilat dengan lidahnya yang hitam dan panjang. Dengan sekali kunyah, tengkorak korban terserpih dan terkopek.
Otak yang masih segar terdedah lalu dicungkil dengan kukunya yang panjang dan hitam lantas disuap ke mulut yang dipenuhi gigi runcing.
Pak Hazman tidak gentar. Jauh berbeza dari waktu kali pertama dia bertemu dengan makhluk itu tiga tahun yang lalu di hutan itu.
Kini, wajah dan tubuh itu sudah sebati dengan dirinya. Lantas dia menyembah-nyembah, mengharapkan lebih banyak tuah dan kekayaan dalam hidupnya selepas itu.
SETELAH dinihari, baru Pak Hazman pulang ke rumah di desa yang jauh dari situ. Setibanya di halaman, dia terus ke perigi membersihkan diri. Pakaian yang berlumuran darah dan berbau hamis, dilucutkan dan diletakkan di atas sehelai daun keladi yang masih berembun lalu ditanam di belakang rumah dalam keadaan berbogel. Itulah antara syarat yang perlu dipatuhi.
Sebaik sahaja kedengaran azan subuh sayup-sayup dari masjid di hujung kampung, dia tergesa-gesa naik ke rumah dan mengurung diri di dalam bilik. Tubuh yang menggeletar cuba ditenangkan. Telinga yang panas disumbat dengan daun sirih di kiri dan di kanan. Hanya setelah azan subuh berakhir, baru dia merehatkan diri. Terang sahaja tanah, tiga orang anak buahnya datang ke rumah.
"Dengar cerita, mereka dah sampai ke kampung hulu."
Salah seorang daripada tiga lelaki itu memuntahkan kerisauan. Sejak berita itu sampai di telinga, laut risaunya bergelora. Wajah anak isteri tidak lekang di mata.
"Aku tak risau. Kampung ini dah dipagar. Komunis-komunis tu takkan nampak kampung kita ni. Mereka takkan sampai ke sini. Percayalah."
Pak Hazman membidas dengan senyuman. Gelora dalam hati anak buahnya mampu diteka dengan sekali jelingan. Dia yakin tuannya akan menjaga kampung itu. Kerana itu memang salah satu permintaannya sejak dahulu selain menjaga segala harta dan ahli keluarganya.
"Tapi mereka dah dekat sangat ni, tok ketua. Kalau askar kita tak jumpa mereka, sampai juga mereka ke rumah kita."
Nampaknya kata-kata Pak Hazman belum dapat meredakan ribut di dada anak buahnya. Masing-masing masih berperang dengan kebimbangan.
"Kamu semua tak percaya pada aku?" Pak Hazman rasa tercabar.
Ketiga-tiganya terdiam. Wajah mereka muram.
"Kamu semua baliklah dulu. Kalau takut sangat, kamu pergi berjaga-jaga di sempadan kampung. Kalau ada apa-apa, cepat beritahu aku."
Anak buah Pak Hazman saling berpandangan. Masing-masing menunjukkan muka tidak berani.
Pak Hazman hela nafas berat. Nampaknya dia juga yang terpaksa menguruskan hal itu pada malam nanti. Mungkin setelah dikorbankan nyawa malam tadi, tuannya dapat menutup pandangan komunis-komunis tersebut. Kalau tidak pun dilencong ke kampung lain. Itulah fikirnya. Tetapi pada malam itu, segalanya tidak berjalan seperti apa yang dirancang.
MASUK sahaja waktu senja, Pak Hazman sudah tiba semula ke tempat persembunyiannya. Tiba sahaja di situ, dia terus menyalakan jamung yang terpacak di tepi pintu sebuah pondok. Selepas menyalakan pelita, dia duduk menghadap bekas membakar dupa di atas lantai.
Sepotong arang kecil dicucuh ke api pelita. Dibiarkan menyala dan berbara sebelum diletakkan semula ke dalam bekas tembaga. Tanpa berlengah, serpihan dupa dilempar ke atas bara. Sebaik sahaja dupa mencair, asap berkepul-kepul naik. Pondok kecil itu mula berbau dupa.
Pak Hazman mula meratib. Mantera semakin khusyuk dibaca. Diseru tuannya datang untuk berbicara dan merundingkan hajat. Bertih yang dibawa dari rumah, digenggam dan diletakkan di atas lantai. Namun, entah kenapa pada malam itu bertih yang dibawa tidak disantap sesiapa.
Pak Hazman rasa kecewa. Fahamlah dia, permintaan itu tinggi harganya. Tuannya tidak mahu bertih segenggam dua tetapi mahukan darah dan nyawa manusia. Malangnya dia juga sudah kesuntukan masa.
Prolog 2
Tahun 2006
"ABAH mana, mak?" Azli tertoleh-toleh ke belakang. Akan tetapi ayahnya masih tidak kelihatan di antara jemaah yang beramai-ramai keluar dari masjid.
"Ada kat belakang tu." Zura menjawab.
Hatinya tidak risau langsung soal suaminya. Dia yakin suaminya masih leka berbual dengan ahli jawatan kuasa masjid sehabis ceramah agama tadi. Setelah selesai berbual, suaminya akan pulang dengan bermotosikal.
"Abah lambat balik ke?" Azli menggenggam tangan ibunya lebih kuat.
Zura perasan lalu menoleh ke arah Azli yang berjalan semakin dekat dengan tubuhnya. Malah kini menghimpit. Dia hairan.
"Kenapa ni? Jalanlah elok-elok."
Zura menegur. Hati mula rasa marah. Akan tetapi Azli semakin rapat dengan tubuhnya malah kini hampir menyembamkan muka ke pahanya. Dia jadi susah hendak melangkah.
"Laaa... Budak ni. Kenapa jalan macam ni? Hampir terjatuh mak." Zura membebel.
Ketika itu mereka sedang melewati lorong menuju ke rumah mereka. Rumah-rumah yang masih kosong di kiri dan di kanan serta lampu jalan yang belum lagi dipasang menjadikan lorong itu agak gelap. Hanya nampak samar-samar dengan bantuan bulan penuh dan cahaya dari rumah-rumah yang sudah berpenghuni. Itu pun jauh-jauh.
"Mak..." Azli merengek. Malah hampir menangis. Kakinya melangkah tetapi tangannya memaut erat tubuh Zura.
Belum sempat Zura memarahi Azli, telinganya menangkap bunyi seorang perempuan sedang mengongoi panjang. Sesekali teresak-esak.
Langkah kakinya terus mati. Dia tercegat memerhati rumah corner lot yang masih lagi kosong. Setahu dia, rumah itu belum berpenghuni.
"Mak..." rengek Azli ketakutan. Kepalanya disembam ke paha Zura yang masih berbalut kain telekung. Azli langsung tidak mahu memandang ke arah lain.
Krek!
Bunyi buaian berayun berbunyi.
Kini mata Zura semakin tertumpu ke situ. Namun sebaik sahaja terpandang sekujur tubuh besar bermata merah menyala sedang mengongoi di atas buaian, tengkuk Zura terus sahaja meremang. Rahang terasa cekang. Lidahnya kelu.
"Mak..." Azli terus merengek apabila tubuh Zura tidak bergerak.
Zura bagaikan baru tersedar. Tanpa berfikir panjang, dia sentak tangan Azli lalu berlari laju balik ke rumah.
Malam itu juga, dia dan Azli sama-sama demam panas.
EMPAT hari berlalu. Demam Zura dan Azli masih tidak kebah. Sudah dibawa ke klinik berjumpa doktor tetapi masih tidak banyak berubah. Kedua-duanya bukan sahaja demam panas tetapi juga sesekali meracau dan mudah terperanjat. Akhirnya Husin meluahkan masalah itu kepada Imam Ali.
"Saya pun tak tahu apa puncanya, tuan imam. Balik aje dari ceramah agama hari tu mereka berdua terus macam tu. Ingatkan demam biasa tapi tak juga kebah-kebah. Lemah aje saya tengok. Saya nak pergi kerja pun susah hati." Husin memberitahu sewaktu Imam Ali datang ke rumah.
Imam Ali mengerling Azli yang terbaring lemah di ruang tamu. Disentuh badan Azli dengan tapak tangan, memang terasa hangat berbahang. Muka Azli juga pucat dan kehilangan seri.
"Bawakan saya air satu jag." Dia meminta. Mungkin dia boleh berikhtiar sedikit sebanyak.
Husin terus ke dapur. Satu jag air masak dibawa kepada Imam Ali. Kemudian dia duduk memerhati.
Penutup jag dibuka lalu diletak ke bawah. Imam Ali mula bertaawudh dan membaca surah al-Fatihah sebanyak 41 kali dengan tenang dan khusyuk.
"Air ni beri mereka minum pagi dan petang. Boleh juga dicampurkan dalam air mandian. Ataupun disapu ke seluruh badan." Imam Ali serahkan air itu semula kepada Husin. Kemudian dia meletakkan tangan kanannya ke tubuh Azli lalu diusap perlahan seraya membaca doa.
"Ya Allah, Ya Rabb semua manusia, hilangkanlah penyakit ini dan sembuhkanlah. Engkau adalah Asy-Syafi (Yang Maha Penyembuh), tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Amin."
Husin angguk faham. Semua yang disuruh Imam Ali difahami betul-betul. Hatinya terkesan dengan doa yang dibaca Imam Ali. Mujurlah selepas itu isteri dan anaknya pulih perlahan-lahan.
GENAP dua minggu selepas kejadian itu, Zura dan Azli pulih sepenuhnya. Kedua-duanya tidak lagi demam dan terlantar dan mampu meneruskan aktiviti seharian seperti biasa. Akan tetapi hati Zura masih berdebar-debar setiap kali melintasi rumah corner lot itu. Seperti ada yang tidak kena di situ.
Lebih-lebih lagi kalau terpandang pokok besar dan buaian di bawahnya. Masih ternampak-nampak rupa makhluk hitam bermata merah menyala itu di situ. Malah dia masih terdengar-dengar bunyi ngongoian dan esak tangis.
"Pandang apa tu?" Husin menegur.
Zura yang tercegat di muka pintu menoleh ke arah suaminya dengan muka risau.
"Dah dekat maghrib ni, kenapa Azli tak balik-balik?"
Husin lihat jam di tangan. Memang betul kata Zura. Dia sendiri tidak perasan.
"Dia ke mana tadi?" Dia bingkas bangun dari kerusi lalu ke muka pintu juga. Dijenguk-jenguk ke luar, lorong sudah kosong tanpa sesiapa. Langit pula semakin menguning tanda senja akan tiba.
"Tadi... Dia main basikal depan ni aje."
Husin mengeluh. Azli masih tidak nampak bayang.
"Abang pergilah cari." Zura menggesa. Hatinya sudah resah bagai nak gila.
Tanpa menjawab apa-apa, Husin terus menyarung selipar dan menghidupkan enjin motosikal. Zura di rumah resah gelisah.
HUSIN mula meronda dari satu lorong ke satu lorong. Diperhati elok-elok rumah-rumah di situ. Setiap kali bertemu dengan sesiapa, dia berhenti bertanya. Sayangnya, sehingga azan maghrib dilaungkan dari masjid, Azli masih belum ditemui.
"Anak saya, imam. Dia hilang. Dah puas saya cari." Husin hampir menangis.
"Sabar." Imam Ali memujuk Husin yang datang ke masjid memberitahu.
"Kita solat dulu. Kita doa. Insya-Allah."
Melihatkan wajah Imam Ali yang begitu tenang, sedikit sebanyak kerisauan Husin berkurang. Selepas berwuduk, mereka bersolat jemaah dan berdoa.
"Sabar. Ingat Allah." Imam Ali memujuk lagi. Dilihatnya Husin sangat resah. Dia memahami kerana dia juga memiliki anak tetapi Allah pemilik segala-galanya.
Selesai sahaja urusan di masjid, semua yang ada dikerahkan untuk mencari Azli serta-merta terutamanya di rumah-rumah yang belum berpenghuni.
MASA berlalu, kehilangan Azli kini menjadi buah mulut penduduk taman perumahan itu. Operasi digerakkan dan penduduk dipecah-pecahkan kepada beberapa kawasan. Semua kelam-kabut. Zura di rumah sudah menangis tidak henti-henti.
"Dia bermain di mana tadi?" Imam Ali masih memahamkan duduk perkara.
Rasa risau dipendam dengan zikrullah dan doa yang tidak putus-putus. Segala bayangan buruk sedaya upaya dibuang jauh-jauh.
"Depan rumah aje. Dia memang tak berani main jauh-jauh. Lagipun bukan ada kawan yang sebaya." Husin menjawab.
Kehilangan Azli petang itu benar-benar buat dia susah hati. Itulah satu-satunya anak yang dia ada. Dapat pun bila sudah lanjut usia.
"Marilah kita cari lagi." Imam Ali memujuk meskipun sudah merata tempat mereka pergi.
"Ke mana lagi?" Husin sudah hampir hendak putus asa.
"Jangan cepat putus asa. Allah ada." Imam Ali paut bahu Husin lalu diusap. Sambil itu mereka terus menapak ke hadapan.
Husin tidak membantah. Dalam hati sudah sebu dengan seribu satu perasaan. Bayangan yang menakutkan mula tiba satu per satu.
"Masya-Allah!" Suara Imam Ali menyentak perhatian semua yang ada di situ.
"Kenapa? Kenapa?" Keadaan mula riuh-rendah.
"Cuba suluh ke bawah pokok tu." Imam Ali tunjuk jari ke arah sebatang pokok tunjuk langit yang tumbuh rendang di halaman rumah corner lot yang masih kosong.
"Itu anak kamu, kan?" Imam Ali cuit bahu Husin. Dia ternampak sesusuk tubuh sedang duduk di atas buaian.
Darah Husin berderau.
"Haah. Tadi tak nampak."
Husin menerpa ke pagar tetapi pagar itu berkunci dengan rantai besar dan sebuah mangga. Tetapi tanpa berfikir panjang, dia memanjat pagar dan melompat masuk. Begitu juga dengan Imam Ali dan beberapa orang penduduk yang ikut mencari.
"Azli!" Husin memanggil sambil menerpa. Dia tidak faham kenapa Azli boleh masuk ke situ.
"Jangan dekat! Dia anak aku!" Tiba-tiba sahaja Azli menempik. Matanya terbeliak sehingga menampakkan urat-urat merah. Renungannya jauh ke hadapan, menembusi kegelapan malam.
Langkah kaki semua yang ada di situ terpaku.
UNTUK seketika, masing-masing tidak bergerak. Masing-masing masih terkejut dengan apa yang sedang berlaku di situ. Hanya lampu suluh yang masih dihalakan ke arah buaian dan sekitarnya.
"Azli..." Husin memanggil, sungguhpun ketika itu dia tahu yang berhadapan dengannya saat itu bukan lagi Azli anaknya, dia tetap mahu mencuba. Azli bagaikan sedang dikuasai sesuatu yang tidak nampak oleh mata kasar.
"Pergi!" Azli menjerit dengan suara garau dan dalam. Sambil itu dia terus berbuai dan tidak mempedulikan sesiapa yang memandangnya.
Krek!
Buaian terus berbunyi. Ngilu dan merindingkan bulu roma.
Husin berpeluh sejuk. Sekujur tubuh meremang.
Melihatkan keadaan itu, Imam Ali maju ke hadapan. Selepas berselawat dan berdoa dia terus melafazkan surah-surah lazim. Semena-mena Azli menjerit dan meronta. Kepala digeleng laju ke kiri dan ke kanan.
"Berhenti!" Azli menjerit semakin garau.
Imam Ali menguatkan hati. Dia tahu tubuh Azli yang kecil itu kesakitan tetapi makhluk yang merasuk itu perlu dikeluarkan.
"Lepaskan budak ini."
"Tidak. Aku mahu dia. Dia anak aku."
"Dia bukan anak engkau. Engkau iblis. Dia manusia." Imam Ali berselawat lagi tujuh kali sebelum menepuk dahi Azli.
"Tak mahu!"
"Keluar sekarang!" Imam Ali juga berkeras.
Azli semakin meronta-ronta tetapi Imam Ali juga tidak berganjak. Mujurlah sebaik sahaja azan isyak berkumandang dari masjid, tubuh Azli tersentak-sentak kuat sebelum terkulai. Husin sempat menyambutnya sebelum terhempas ke atas tanah.
Serentak dengan itu, masing-masing tercium bau daging yang hangus.
"Alhamdulillah. Bawa dia balik." Imam Ali terus meninggalkan halaman itu tanpa memandang ke belakang lagi.
DI rumah Husin, Azli dirawat dan diberikan air penawar. Zura pucat apabila mendengar cerita suaminya tentang apa yang telah berlaku sebelum itu. Ternyata pokok dan buaian di rumah itu punya angkara. Memang benar telahannya selama ini. Pokok dan rumah itu berpuaka.
"Ada mak cik cantik ajak main buaian tu. Dia ada anak perempuan sorang. Anak dia nak kawan dengan Azli." Azli bercerita setelah rasa tubuhnya lebih segar.
Masing-masing yang ada di situ saling menjeling. Bulu roma masing-masing merinding.
"Kan abah selalu ajar, kalau orang yang kita tak kenal ajak, jangan ikut." Husin menyampuk cerita Azli.
Azli terdiam. Dia kebingungan.
"Tak apalah. Yang sudah berlaku, itu sudahlah. Lain kali berhati-hati apabila senja. Elakkan berada di luar rumah kalau tak perlu. Ada beberapa hadis nabi menerangkan soal ini. Jadi, ini bukan soal kecil."
Imam Ali meleraikan persoalan. Dia memang nampak satu makhluk hitam yang besar mengayun buaian Azli tadi. Cuma sekarang, dia berharap agar kejadian itu tidak berulang lagi.
"Tempat kita ni dulu hutan yang tak diteroka sesiapa. Jadi, faham-fahamlah masalahnya. Sementara taman ini dipenuhi penduduk, kita yang ada ni berwaspadalah. Jaga anak-anak. Panggil mereka masuk sebelum maghrib. Suruh mereka mandi, mengaji sebelum ajak bersolat. Jangan dibiarkan leka bersenja di luar rumah."
Yang ada di situ semuanya bersetuju. Sewaktu Imam Ali pulang ke rumah, dia melintasi rumah corner lot itu. Dia tidak melihat apa-apa kecuali buaian yang masih berayun tinggi.
Masa berlalu tahun demi tahun. Kejadian itu langsung dilupakan. Rumah corner lot itu terus terbiar tanpa pembeli.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro