Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

"INI Bomoh Alang, ya?" Suraya menyambut lelaki itu di pintu pagar.

Agak musykil juga rasa hati kerana lelaki itu masuk dari pagar belakang. Tetapi dia percaya tentu ada sebab kenapa lelaki itu tidak mahu masuk dari pagar hadapan.

Bomoh yang berusia dalam lingkungan 50-an itu angguk sepintas lalu. Matanya yang tajam bak helang itu terus mengerling ke arah pokok besar di sudut halaman.

"Masuklah, tok. Halimah tak datang sekali?" pelawa Suraya. Dia bawa bomoh tadi ke pintu hadapan.

Pelawaannya diterima tetapi bomoh itu tidak masuk terus ke dalam rumah. Dia pergi ke setiap penjuru kawasan rumah untuk memerhati keadaan. Kemudian berhenti di bawah pokok besar berdekatan buaian. Lama dia di situ seraya terkumat-kamit membaca mantera.

Suraya hanya mampu menunggu dan melihat. Dia tidak mahu masuk campur kerana dia tidak faham apa yang dilakukan tok bomoh. Tetapi dia percaya apa yang dilakukan itu ada kena-mengena dengan apa yang mereka berdua rancangkan hari itu.

Kemudian baru tok bomoh itu masuk ke dalam rumah. Baru melangkah tiga tapak, dia berhenti di muka pintu. Beg sandang yang dibawa dibuka. Dikeluarkan sebutir kemenyan sebesar ibu jari, sebuah bekas dupa tembaga dan seikat sabut.

"Nyalakan sabut ini. Lepas tu bawa ke sini," arahnya kepada Suraya sambil menghulurkan bekas membakar dupa yang berisi sabut kelapa.

Sementara itu Bomoh Alang duduk di situ membetulkan sila dan memakai tengkolok. Ikatan di pinggang juga dikemaskan. Dia berdebar-debar mahu memulakan upacara sebab belum apa-apa lagi, sudah muncul beberapa makhluk di situ. Ternyata tempat itu ramai penghuninya.

Suraya pula bergegas ke dapur mencari pemetik api. Setelah dicuba beberapa kali, baru sabut itu mahu menyala. Lantas dibawa kembali ke ruang tamu dengan berhati-hati.

Sebaik sahaja bekas dupa sudah disediakan, tok bomoh layurkan kemenyan tadi beberapa minit sehingga kemenyan itu suam-suam di tapak tangannya. Kemudian dimasukkan ke dalam mulut, dikemam dan dipegang dengan lidah sementara dia membaca mantera menyeru kemenyan itu supaya hidup. Apabila kemenyan itu dirasakan bergerak-gerak di atas lidah, dia luahkan semula ke tapak tangan lalu dipecah-pecahkan. Kemenyan itu sudah bersedia untuk digunakan.

Sekali lagi dia membaca mantera sambil menabur serpihan kemenyan tadi ke atas sabut yang sudah berbara. Setelah selesai, dia bangkit berdiri membawa dupa itu ke setiap penjuru rumah.

Upacara pun bermula.

SELESAI sahaja menukar baju, Aisya segera tinggalkan bilik. Dia mahu tahu siapa lelaki yang datang tadi dan apa mahunya. Keluar sahaja dari bilik, langkahnya terhenti apabila melihat permainan, gambar dan barang-barang lain bersepah di situ. Dia kemaskan seketika. Semena-mena dia terpandang ke luar tingkap.

Dia ternampak seorang lelaki yang tidak terurus rupanya, sedang berdiri di situ. Di tangan lelaki itu ada bola plastik milik Adam. Aisya mula rasa curiga. Apa yang lelaki itu mahu? Kenapa bola Adam berada di tangan lelaki itu? Sedang terfikir-fikir, lelaki itu melontar bola Adam hingga masuk ke halaman rumah lalu berpaling pergi.

Lelaki itu berjalan pula ke sebuah rumah di seberang jalan. Mata Aisya makin membesar. Dada berdebar-debar. Orang hendak mencuri ke?

Hanya itu yang ada dalam fikiran Aisya ketika itu tetapi sangkaannya meleset apabila lelaki itu mengeluarkan segugus kunci sebelum membuka pintu. Baru dia sedar, lelaki itu jiran di seberang jalan. Tetapi kenapa begitu mencurigakan?

Aisya jadi tidak senang hati memikirkan hal itu. Tiba-tiba bau kemenyan mencecah hidungnya. Kemenyan?

AISYA melajukan langkah turun ke bawah. Langkahnya mati apabila terpandang seorang lelaki berpakaian serba hitam dan bertengkolok kuning di dalam rumahnya. Aisya terpempan.

Mulut lelaki itu riuh membaca jampi serapah yang tidak jelas sebutannya seraya meludah ke serata arah. Lelaki itu juga menabur serbuk putih di setiap penjuru rumah. Kemudian menanam empat biji telur ayam kampung di dalam pasu bunga yang terletak di empat penjuru rumah Aisya dan satu di bawah pokok. Kesemua telur itu ditebuk dengan paku dan ditegakkan ke tanah sebelum ditimbun semula.

Serta-merta Aisya rasa tubuhnya dielus hawa dingin yang tidak tahu datangnya dari arah mana. Bulu romanya terpacak tegak satu demi satu. Sekujur tubuhnya meremang dan hilang rasa. Tidak sedar, dia terus meluru untuk menegah tetapi sempat ditahan oleh Suraya.

"Apa ni, mak?" Aisya membentak. Perasaannya saat itu tambah kusut. Berdebar-debar dan tak tenteram.

"Shhh... Jangan kacau. Tok bomoh sedang semah rumah!" Suraya pegang lengan Aisya kuat-kuat.

"Apa?" Dahi Aisya berkerut. Semah rumah? Beri makan hantu? Tidak sangka dia akan melihat semua itu di dalam rumahnya.

Suraya berbisik.

"Dia tengah pagar rumah kamu ni. Biar tak masuk hantu. Biar keselamatan kamu sekeluarga terjamin."

"Ini semua khurafat, mak. Tak boleh ni."

Air matanya bergenang. Hatinya sakit kerana hal itu tidak dibawa berbincang terlebih dahulu. Dia tidak bersetuju dengan cara itu.

Suraya hampir lagi menjerit apabila mendengar jawapan Aisya, tetapi dapat menahan diri. Bagi dia Aisya bukan tahu apa-apa. Orang muda zaman sekarang.

"Isy, kamu ni! Suka-suka aje mulut tu lepas cakap. Dari dulu tok moyang kita buat benda ni waktu masuk rumah baru. Ini adat! Bukan khurafat. Rumah mak dulu pun buat juga."

Ketika itu tok bomoh sedang mengikat setiap pagar dan grill dengan cebisan kain berwarna kuning.

"Adat tak membetulkan cara, mak. Aisya tak percaya semua ni." Aisya tetap dengan keputusan dia. Daripada apa yang dilihat pun dia percaya semua itu tidak betul.

"Kamu mana tau? Kamu tu orang muda. Benda-benda yang beri manfaat macam ni, kamu waswas! Ini amalan berkurun! Mak tau ia berkesan!" Suraya mula panas hati.

Sementara itu lelaki yang dipanggil tok bomoh tadi terus meludah ke serata tempat termasuk ke empat penjuru rumah.

Aisya rasa jijik dan tidak selesa. Dia mahu menghalau lelaki itu keluar tetapi tangannya dipegang kejap oleh Suraya. Aisya bengang.

"Suruhlah dia berhenti, mak." Aisya terus mendesak. Hatinya sakit

"Biarkan!" Suraya tetap dengan keputusannya.

Kesabaran Aisya mula hilang.

"Mak, ini rumah Aisya. Aisya berhak tentukan apa yang boleh dibuat dalam empat penjuru ni dan apa yang tak!"

"Ini rumah anak lelaki tunggal, mak. Mak pun ada hak. Ini untuk kebaikan kamu sekeluarga!" jawab Suraya sama tinggi nadanya.

Sedang mereka leka bertengkar, tubuh tok bomoh tadi tiba-tiba sahaja, menggeletar kuat. Tubuhnya bergoyang-goyang. Matanya tegak ke atas. Kulitnya berubah merah dan tegang. Dia kesurupan.

Sementara di luar, pasir di halaman bergerak-gerak dan berpusar bagaikan pasir jerlus. Angin bertiup kencang.

Melihatkan semua itu, Aisya sudah tidak tahan lagi. Dia sendiri rasa hendak pitam. Dia ingin beredar tetapi tangannya cepat disambar Suraya.

"Tunggu..." kata Suraya.

Baru sahaja hendak membuka mulut, keadaan tok bomoh itu pulih semula. Kemudian tok bomoh itu datang mendekati mereka.

"Sudah! Syaitan, penunggu semua sudah kuhalau! Jin seekor duduk di penjuru sana tu sudah aku nyah! Rumah ini sudah selamat," katanya dengan yakin.

"Seriously?" kata Aisya.

Rasa hendak pecah kepala dengan semua yang didengar. Rasa hendak ketawa pun ada. Ingin sahaja dihalau orang tua itu keluar pada masa itu juga. Tetapi dengan spontan, Suraya menjegilkan mata. Kemudian pergi mendekati tok bomoh yang masih menunggu.

"Terima kasih, tok bomoh. Baru lega hati saya."

"Jangan risau... Semua sudah selamat..." jawab tok bomoh seraya menyerahkan sebuah beg plastik yang berisi bunga-bungaan pelbagai warna, kapur, limau dan paku yang berkarat kepada Aisya.

Aisya buat tidak nampak tetapi Suraya cepat-cepat mengambil beg tersebut bagi pihak Aisya.

"Rendam dan perah airnya kemudian buat mandi untuk penghuni rumah. Hampasnya nanti buat sapu di bahagian sulit, buat penguat kasih sayang suami isteri. Paku itu, ketuk di tiang seri rumah. Syaitan dan jin tak akan ganggu."

Aisya hanya mampu menggeleng kepala. Semua itu tidak mampu dihadam akalnya saat itu.

"Pengerasnya macam mana, tok?"

"Satu ribu, satu ratus, sebelas ringgit."

Mata Aisya membesar. Takkan sebanyak itu? Suraya pula merenung Aisya.

"No way!" Aisya tidak mahu bergerak. Semua itu tidak masuk akal dan dia tidak akan membazirkan duit sebanyak itu.

Suraya mengeluh. Dia lepaskan tangan Aisya dan menyeluk poket baju kurungnya. Duit yang ada diserahkan ke tangan tok bomoh.

Aisya cepat-cepat ke dapur. Betapa dia berharap mampu menghalau kedua-duanya keluar dari situ pada masa itu juga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro