Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

APABILA terlihat Suraya, Adam terus melompat turun dari kerusi lalu memeluk neneknya. Umar hampir turun juga tetapi apabila dilihat Adam leka, diambil telur dari pinggan Penny lalu disuap ke mulut.

Suraya tersenyum melihat gelagat cucu-cucunya.

"Hari ini tok masakkan muffin untuk cucu-cucu tok makan kat sekolah nanti tau!" katanya penuh semangat.

"Yay!" jerit Adam. Bungkusan muffin dalam tangan Suraya diambil.

"Can I share with Penny, tok?"

"Penny?" Dahi Suraya berkerut. Dia pandang keliling. Tidak nampak pula sesiapa yang bernama Penny di situ.

"Kawan imaginasi dia." Muhammad menjawab dengan selamba.

Dia faham sesiapa yang belum tahu memang akan keliru dengan sikap Adam. Selama tinggal di rumah ibunya, tidak pernah pula Penny muncul. Mungkin malu.

Suraya tergamam. Kawan imaginasi? Serba salah untuk menjawab. Dia tidak faham kenapa Aisya dan Muhammad boleh membenarkan Adam mempunyai kawan imaginasi. Dia tidak bersetuju. Bagi dia itu sesuatu yang tidak wajar seperti berkawan dengan hantu.

Sementara itu Aisya kurang senang dengan sikap ibu mentuanya.

"Kat sekolah ada bagi makanan yang sihat, mak. Takut kalau ditambah dengan muffin, budak-budak tu kenyang sangat pula waktu balik sekolah, nanti tak nak makan tengah hari," kata Aisya.

Sedaya upaya dia cuba menerangkan hal itu. Dia tidak selesa Suraya masuk campur hal pemakanan anak-anaknya. Bagi dia, itu tanggungjawab dia sepenuhnya untuk mengatur apa yang terbaik untuk keluarganya.

"Alaaa... Kamu tu asyik bagi dia orang makanan sihat aje memanjang. Mana nak masuk lemak? Tulang berjalan aje nanti cucu-cucu mak ni," balas Suraya dengan sinis. Hal seperti itu pun menjadi hal yang besar sangat kepada Aisya. Bukannya dia berniat tidak baik.

"Kurus tapi alhamdulillah sihat, mak," balas Aisya.

Muhammad sudah terbau perang dunia ketiga akan tercetus. Aisya dan ibunya sama-sama tegang. Dia harus bertindak cepat.

"Okey, Umar! Adam! Salam mama dengan tok. Nanti lambat sampai sekolah." Dia turun dari kerusi.

Aisya menjeling Muhammad. Dia terkilan kerana Muhammad sedikit pun tidak menyokong dia dalam hal itu.

Mendengarkan suara ayah mereka, Umar dan Adam cepat-cepat bersalam dengan kedua-duanya sebelum mengambil beg dan anak patung masing-masing. Kemudian mereka mengekori Muhammad keluar. Tiba-tiba Adam berpatah balik.

"Penny cakap terima kasih, tok!" katanya kepada Suraya.

Suraya tergagap-gagap.

"Sama-sama, Adam..." Setelah ketiga-tiganya hilang dari dapur dia terus menyambung.

"Kamu jangan galakkan Adam tu berbual dengan kawan imaginasi dia tu. Syaitan tu... Nanti diapa-apakan anak kamu, macam mana?"

Aisya menahan perasaan. Satu hal lagi memeningkan kepala. Dia mula sedar, berpindah ke situ bermakna dia perlu bersedia untuk ibu mentuanya masuk campur dalam hal keluarganya. Dia tidak selesa. Rasa terganggu.

"Taklah, mak. Adam itu memang dari dulu macam tu. Ada aje kawan-kawan dia yang kita tak nampak. Tapi tu semua imaginasi dia aje. Bagus untuk perkembangan otak, mak."

Mulut Suraya terlopong.

"Kamu kata imaginasi, Aisya? Mungkin pendamping! Kamu tengoklah nanti. Makin lama anak kamu makin teruk."

Aisya tergamam. Pendamping? Dia tahu ibu mentuanya memang seorang yang percaya kepada kepercayaan-kepercayaan karut. Tetapi dia sedaya upaya untuk tidak membalas.

Bimbang akan jadi lebih teruk. Dia juga akan dikatakan kurang ajar. Akhirnya dia diam sahaja. Semena-mena terdengar suara orang lelaki memberi salam dari luar.

AISYA terus menjenguk di tingkap dapur. Di luar pagar belakang, berdiri seorang lelaki tua yang berkopiah. Lelaki itu tampak menakutkan dan mencurigakan. Aisya mahu keluar bertanya tetapi cepat-cepat ditahan oleh Suraya.

"Takkan kamu nak keluar dengan baju comot macam tu!" Suraya menegur.

Dengan spontan Aisya melihat ke arah bajunya yang comot dengan kesan kopi. Dia tidak jadi membuka pintu.

"Pergi bersihkan, tukar baju tu dulu. Biar mak aje yang tengok siapa..."

"Tapi, mak." Aisya rasa berat hati. Itu rumah dia. Dia yang sepatutnya berada di situ.

"Pergi," gesa Suraya.

Akhirnya Aisya mengalah. Dia naik ke bilik. Sementara itu Suraya tersenyum penuh makna menyambut lelaki yang datang.

DI dalam kereta Adam menarik muka masam. Dia tidak suka duduk berhimpit-himpit begitu. Selain dia dan Umar, ada Penny dan budak perempuan tersebut. Dia tidak selesa.

Muhammad menjeling ke belakang. Dia lihat Umar sibuk memerhati jalan raya tetapi Adam hanya memalingkan muka ke arah kiri hampir sepanjang masa.

"Umar dan Adam bergaduh ke?" Dia bertanya.

Umar pandang ayahnya tetapi Adam hanya buat tidak tahu.

"Kenapa muka Adam masam sangat ni? Adam tak sihat ke?" Muhammad makin curiga.

Lantas Adam menggeleng lemah. Dia tidak menoleh kerana di sebelah kirinya duduk budak perempuan itu yang berbau busuk. Penny tidak begitu. Dia tidak suka.

"Habis tu? Kenapa masam aje? Adam marah apa?"

"Can you..." Adam bersuara. Dia mahu ayahnya menurunkan budak itu di mana-mana sahaja.

"Apa?" tanya Muhammad. Dia masih belum faham.

Akhirnya Adam menggeleng. Dia tahu sesiapa pun tidak nampak budak perempuan itu selain dia, seperti mereka tidak mampu melihat Penny.

"Adam? What's wrong?" Muhammad mendesak. Adam seperti menyimpan perasaan tidak puas hati. Sayangnya sehingga mereka sampai ke sekolah, Adam masih membisu.

"You stay!" kata Adam apabila mereka sampai di pintu sekolah. Dia tidak mahu budak perempuan berbau busuk itu mengikutnya sampai ke dalam. Dia benci.

Muhammad pandang sahaja tanpa suara.

"EH, Muhammad!" tegur seorang lelaki yang berpapasan dengan Muhammad di pintu pagar sekolah. Wajahnya penuh senyuman.

Muhammad langsung berhenti berjalan. Dia mengamati wajah lelaki yang menegurnya tadi beberapa saat sebelum ikut tersenyum.

"Mus! Kau buat apa kat sini?" balas Muhammad. Gembira hatinya apabila bertembung dengan Mus, kawan lamanya.

"Hantar anaklah. Bila kau balik Malaysia?" balas Mus pula. Tangan Muhammad dijabat erat.

"Baru lagi. Eh! Datanglah rumah. Dah lama kita tak sembang."

"Kau tinggal kat mana?" Dahi Mus berkerut rapat. Mata tidak berkelip.

"Kat Taman Merak Emas."

"Taman tepi highway tu ke?"

Muhammad angguk.

"Aku biasa juga ke situ. Rumah adik aku pun kat situ."

"Bolehlah singgah rumah." Muhammad tersenyum.

"Rumah engkau yang mana satu?"

"Rumah corner lot. Dekat dengan masjid. Jumpa masjid, jumpalah rumah aku," jawab Muhammad.

"Rumah tu... Rumah yang ada pokok besar yang ada buaian tu, kan?"

Muhammad tergamam tetapi tetap tersenyum.

"Mana kau tahu?"

"Aku pernah tanya rumah tu dulu tapi tak mampulah nak beli. Mahal sangat harganya. Lagipun ada macam-macam cerita aku dengar pasal rumah tu." Suara Mus mengendur.

"Cerita macam mana?"

"Ada yang kata sewaktu taman perumahan tu nak dibangunkan, pemaju cuba tebang pokok besar tu tapi tak boleh. Macam-macam dia orang cuba tapi satu pun tak berjaya. Jentolak tu sampai patah. Akhirnya pemaju buat keputusan, pokok tu dibiarkan aje. Kemudian ada yang bermimpi, supaya dipasang buaian pada pokok tu. Itu yang ada buaian sampai sekarang tapi tak ada siapa yang berani usik. Ada juga yang cerita, pernah nampak perempuan merayau-rayau kat situ macam mencari sesuatu."

"Setakat ini tak ada pula apa-apa yang pelik berlaku. Family aku pun suka dengan pokok dan buaian tu. Aku rasa okey aje. Macam ada sentimental value. Macam romantik pun ada." Muhammad tersenyum lebar. Dia rasa semua cerita itu karut.

"Mungkin cerita yang diperbesar-besarkan aje, kan? Maklumlah, tak ada cerita sensasi, tak seronoklah." Mus tersenyum sama.

"Tapi elok juga kalau engkau tengok-tengok apa yang patut. Sebab walau taman tu dah dekat 10 tahun dibuka, rumah tu tak pernah ada orang tinggal. Orang kata, rumah ni... Kalau ditinggalkan 40 hari saja, adalah benda lain yang tumpang free. Ni kan pula dah bertahun-tahun."

Muhammad ketawa kecil. Yang sebenarnya dia susah hendak rasa takut atau percaya dengan segala cerita orang. Mungkin kerana dia sudah terlalu biasa disajikan dengan kisah-kisah seram semasa melakukan kerja. Urat-urat seram seperti sudah tidak berfungsi.

Dia percaya semua itu hanyalah permainan minda seperti dia yang selalu memanipulasi minda penonton dengan teknik visual dan bunyi yang tepat. Semuanya boleh dibuat.

"Terima kasihlah atas nasihat engkau. Nanti datang rumah," katanya sebelum meminta diri. Semua cerita Mus dilupakan sahaja.

DALAM perjalanan balik ke rumah, Muhammad singgah di sebuah stesen minyak. Sedang leka mengepam angin ke dalam tayar kereta hadapan, dia ditegur seorang perempuan muda.

"Ada apa?" tanya Muhammad sambil berdiri. Pada raut wajah perempuan itu terbayang kesusahan.

"Encik nak balik ke Taman Merak Emas ke?" Perempuan itu terkebil-kebil merenung muka Muhammad.

"Ya, saya. Kenapa?" Muhammad hairan.

Perempuan itu tersenyum manis.

"Kalau macam tu, bolehlah saya tumpang. Kereta saya rosak." Perempuan itu menjelaskan masalahnya.

"Cik duduk dekat situ juga ke?" Muhammad bertanya. Kalau setakat itu masalahnya, dia tidak keberatan membantu.

"Ya. Rumah dekat masjid. Tapi kalau hantar sampai ke jalan masuk saja pun dah cukup. Saya boleh jalan kaki ke dalam."

"Dekat masjid?"

Perempuan itu angguk.

"Saya pun tinggal dekat situ. Tapi baru aje berpindah. Rumah cik yang mana satu?"

"Sebelah rumah corner lot."

Dahi Muhammad berkerut seketika.

"Oh! Yang di sebelah kiri, ya?"

Perempuan itu angguk dan tersenyum.

"Nama saya, Inayah."

"Saya, Muhammad. Isteri saya, Aisya. Kami baru aje berpindah ke rumah corner lot tu. Tapi belum sempat nak kenal dengan jiran tetangga. Tak sangka kenal kat sini pula."

Inayah tersenyum lebar. Pagi itu dia pulang dengan menumpang kereta Muhammad.

"Cik tinggal dengan siapa?" Muhammad terus menyambung perbualan sambil memandu.

Inayah di sebelah duduk diam tanpa menoleh.

"Sorang aje."

"Mak ayah? Suami?"

"Mak dan ayah dah lama meninggal. Suami pula meninggal semasa bertugas." Inayah menjawab satu per satu.

Muhammad terus kelu. Dia tidak berani bertanya lebih lanjut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro