Bab 7
PAGI menjelma. Taman perumahan sudah cerah disimbah cahaya matahari pagi. Kehidupan sudah bermula lagi. Ada yang sibuk ke tempat kerja. Ada yang sibuk ke sekolah. Ada yang sibuk berjualan. Semuanya sibuk meneruskan kehidupan sehari lagi.
Muhammad keluar ke hadapan rumah menyedut udara pagi. Sejak berpindah ke situ, dia belum sempat berkenalan dengan jiran-jirannya lagi. Rasa segan pula kalau tidak menegur sesiapa. Nanti dikatakan sombong dan tidak tahu berjiran pula.
"Nak pergi kerja?" tanya Muhammad seraya mendekati seorang lelaki yang pernah dilihat beberapa kali sebelum ini. Lelaki itu tinggal hanya di seberang jalan. Rumah yang bertentangan.
Lelaki itu tersenyum memandang Muhammad. Tangan dihulurkan untuk bersalam.
"Hari ni off," katanya.
"Tapi nak pergi beli barang dapur sikit."
"Saya... Baru pindah ke rumah ni. Saya... Muhammad."
Muhammad membalas seraya menjeling ke halaman rumah, kalau-kalau ternampak keluarga lelaki itu. Mungkin boleh diperkenalkan kepada Aisya dan anak-anaknya. Tetapi rumah itu sunyi sepi seperti tidak berpenghuni.
"Saya... Jamal. Ada nampak lori hari tu." Jamal tersenyum.
"Dah lama tinggal kat sini?"
"Sejak taman ini dibuka. Masa saya beli dulu taman ni belum siap lagi," balas Jamal.
Muhammad angguk.
"Kerja kat mana?" Jamal pula bertanya. Redup wajahnya menyeluruhi wajah Muhammad.
"Kerja kat rumah aje," jawab Muhammad.
"Saya buat kerja penyuntingan. Drama. Filem."
"So far macam mana tinggal kat rumah tu? Okey?" balas Jamal.
"Okey," balas Muhammad. Pertanyaan Jamal seperti ada makna yang tersirat tetapi dia tidak mampu meneka.
"Baguslah," balas Jamal seraya tersenyum tawar.
"Kalau ada masa lapang, datanglah berjemaah kat masjid. Penduduk kat sini semuanya baik-baik. Boleh kenal-kenal. Senang bila kenduri-kendara."
"Okey." Teragak-agak Muhammad membalas sebelum meminta diri cepat-cepat. Sebut sahaja soal masjid, dia rasa tidak selesa.
SEMENTARA itu Aisya kelam-kabut di dapur menyediakan sarapan. Bukan tidak biasa, cuma di dapur baharu segalanya masih kekok.
"Papa dari mana?" Aisya terkejut apabila ternampak Muhammad masuk ke rumah.
"Borak dengan jiran depan tu tadi," jawab Muhammad seraya mengikut Aisya ke dapur semula. Dia tarik kerusi lalu membuka surat khabar.
Aisya sediakan telur goreng mata kerbau untuk sarapan pagi itu. Bagaimanapun apa yang telah berlaku pada malam tadi masih menghantui fikirannya.
"You tahu tak malam tadi Umar berjalan dalam tidur lagi?" Dia bertanya.
Muhammad angkat muka beberapa saat.
"Kita kena pasang juga safety gate tu. Bahaya! Semalam nasib baik dia jatuh bila dah selamat sampai bawah. Kalau dia jatuh kat tangga?" kata Aisya.
"Dia berjalan sampai ke bawah?" Muhammad baru perasan.
"Haah."
"Nanti I pergi cari... Kan I dah pesan, tutup pintu bilik budak-budak tu. Dah tau Umar tu selalu jalan dalam tidur..." balas Muhammad. Apa yang diberitahu Aisya sedikit sebanyak membuat perasaannya terganggu.
Aisya tarik nafas. Dia pula yang dipersalahkan.
"Adam yang lupa. Tapi kalau ada safety gate tu kan lagi selamat? Double protection."
Aisya letak telur mata kerbau di atas pinggan dan bergerak ke arah Muhammad. Ketika itu dia terkesima melihat kubah masjid yang kelihatan dari tingkap.
Sungguh menawan. Dia teringatkan sesuatu yang kebelakangan ini selalu bermain dalam fikiran. Sesuatu yang mengganggu perasaan.
"Sedap kan bunyi azan subuh tadi?"
"I tertidur kat meja. Tak perasan." Muhammad terus mengunyah. Kata-kata Aisya dibuat endah tidak endah.
Jawapan Muhammad buat Aisya terdiam seketika. Hampa rasa hati.
"Bila kita nak pergi solat jemaah kat masjid? You janji, kan?"
"Nantilah." Muhammad hela nafas dalam-dalam. Dia mula rasa tidak senang.
"But, you dah janji... Nak jadi imam keluarga yang baik bila kita balik sini," balas Aisya.
Janji itu sengaja diingatkan semula. Janji Muhammad sebelum mereka berpindah balik ke Malaysia. Janji yang buat hatinya lega dan berbunga-bunga.
Dada Muhammad berdebar-debar. Dia sedar apa yang cuba disampaikan Aisya cuma dia belum bersedia. Dia masih banyak kerja. Garpu diletakkan ke bawah. Baru sahaja dia hendak membuka mulut, Adam dan Umar meluru masuk ke dalam dapur. Dia menoleh ke arah anak-anaknya.
Umar memegang patung Thor. Adam dengan patung Hulk. Kedua-duanya leka berlawan dan berkejar-kejaran. Keadaan itu membuatkan Muhammad menarik nafas lega. Perbincangan itu terhenti setakat itu sahaja.
"My Thor is stronger than your Hulk!" kata Umar seraya menunjukkan anak patung Thor yang dipegang tinggi.
"No! Hulk can smash!" Adam memukul anak patung Thor milik Umar tetapi dengan tidak sengaja terpukul dagu Umar.
"Ouch! Mama look!" Umar terjerit sakit.
Aisya mengeluh perlahan. Ada sahaja yang berlaku. Hal tadi belum selesai sudah timbul hal lain. Hatinya terkilan kerana Muhammad masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu ke masjid.
"Adam! Jangan main ganas sangatlah..." tegurnya kepada Adam.
"Superheroes fight, mama! We are not playing dolls!" balas Adam tanpa rasa bersalah.
"Ha... Cakap bahasa Melayu, Adam!" tegur Aisya.
"Susahlah! Penny won't understand me." Adam membantah.
"Tu boleh... You have to teach Penny how to speak Malay too!" balas Aisya tetapi tegurannya tidak diendah. Adam dan Umar bermain lawan-lawan semula.
Aisya hilang sabar. Dirampasnya permainan itu.
Muhammad tergelak.
"Haha! Mama paling kuat," katanya apabila Umar dan Adam sama-sama tercengang dengan kelakuan Aisya.
Aisya singsing lengan baju dan tunjuk otot lengan. Umar ketawa. Tetapi Adam menarik muka marah.
"Dah, cepat sarapan. Nanti lambat sampai sekolah," gesa Aisya. Tidak sedar masa terus berlalu. Hari semakin siang.
Adam dan Umar duduk di tempat masing-masing tetapi tiba-tiba Adam bersuara kuat.
"Mama! You don't prepare a plate for Penny!" katanya.
"Sorry, mama lupa." Aisya mengeluh. Dia lemparkan senyuman buat Adam sebelum mengambil pinggan dan meletakkannya di sebelah Adam.
Cepat-cepat Adam letak sedikit daripada makanan dia di atas pinggan dan memberi isyarat kepada Penny untuk segera menghabiskan makanan itu.
Sementara itu Umar sibuk menghabiskan telur di atas pinggannya. Aisya juga duduk mencicipi kopi. Secara tiba-tiba sahaja satu suara menerjah.
"Pagi, boys! Cucu tok dah ready nak pergi sekolah? Awww..."
Aisya tersedak. Air kopinya tersimbah ke baju. Muhammad cuba menahan ketawa tetapi tersembur juga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro