Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

BEBERAPA hari telah berlalu. Sejak berpindah ke situ, setiap malam Muhammad berada di dalam loteng. Keluasan yang mencukupi dan jauh daripada gangguan membuatkan dia merasakan tempat itu sangat sesuai untuk dijadikan studio tempat dia bekerja.

Malam itu seperti biasa, Muhammad berada di situ, menghadap dua buah monitor MAC yang besar. Sejak tadi, mata Muhammad terpaku pada babak-babak yang ditayangkan satu demi satu di skrin.

Dek terlalu asyik, rokok di celah bibir terbiar berasap begitu sahaja. Babak-babak yang ditayangkan benar-benar memaku segenap urat saraf dan tumpuan. Menarik sekali ceritanya. Sadis. Merindingkan bulu roma. Alih-alih, keheningan di situ dipecahkan oleh bunyi lagu yang berkumandang melalui telefon.

Dengan rasa terganggu, dia menoleh. Telefon diangkat. Perkataan -DIRECTOR WANNABE- terpapar di skrin telefon yang bercahaya. Dia tahu siapa yang membuat panggilan. Dia tekan butang Pause pada papan kekunci dan memulakan metronom.

"Bos! Editinglah ni. Gila gory cerita kau ni! Aku suka." Muhammad langsung menjawabnya.

Satu tangan lagi mencapai tin coke yang sedia ada di atas meja. Dia sempat meneguk seteguk dua. Yang sebenarnya dia sudah lupa bila kali terakhir dia membasahkan tekak. Sedar-sedar sahaja sudah rasa haus.

Terdengar jawapan dari sebelah sana.

"Tak darah-darah, biji mata terkeluar tak syoklah."

"Kau nak aku edit 'gore' macam Saw? Lepas ke LPF? Kalau kat New York aku tak hairanlah."

"Tahu pun. Ini Malaysialah."

"Kau memang kacau mood! Aku baru nak feel campak heroin kau ni dalam kubur!" Muhammad mengeluh.

Geram kerana tumpuannya terganggu. Rasa seram yang terkumpul tadi kini tercampak entah ke mana. Perasaan seram hendak timbul semula bukan mudah. Sebab itu dia pantang diganggu kalau sedang melakukan kerja penyuntingan. Dia seorang yang fokus dan teliti. Dia benci kerja seraya lewa. Ketelitian itu trademark dirinya.

"Haha... Okay. Ciao."

Muhammad campak telefon ke tepi. Dia memberhentikan metronom. Tekan butang Play. Babak terus bersambung. Bunyi jeritan, petir dan hujan kedengaran semula memenuhi bilik itu. Dia tidak sabar untuk menyaksikan babak-babak cerita seram itu seterusnya.

DI luar rumah, hujan juga turun mencurah-curah. Petir sabung-menyabung, akarnya berselirat di dada langit. Di ruang tamu, Aisya berdiri di tepi tingkap. Dia menyaksikan segala-galanya seraya mencicip secawan kopi. Setelah beberapa hari di situ perasaannya mula tenang. Dia sudah mampu melupakan kejadian yang lalu dan menyesuaikan diri dengan rumah itu.

Jauh di balik tingkap, sebuah masjid kelihatan samar-samar dikaburi rintik hujan tetapi dia tetap terpaku di situ kerana dalam hati rasa sangat terikat dengan apa yang dilihat. Begitu mendamaikan perasaan yang sering berkecamuk sejak berpindah ke situ.

Setelah kaki terasa letih berdiri, dia berpaling untuk duduk di kerusi. Kakinya terus terlanggar bola plastik dan alat permainan lain yang bersepah di atas lantai. Kotak-kotak kosong pula masih bersusun di tepi dinding. Segalanya masih semak dan tidak tersusun.

Rumah itu belum kelihatan sebagai sebuah rumah yang sepatutnya. Masih banyak barang yang perlu dikeluarkan dari kotak dan disusun semula.

Ruang tamu itu hanya diterangi lampu meja yang diletakkan di atas lantai. Malap namun menenangkan. Aisya tarik sebuah kotak yang mengandungi beberapa bingkai gambar. Dia keluarkan sebuah. Matanya terus tertancap kepada sekeping gambar dia, Muhammad, Umar dan Adam semasa berseronok di New York. Dia tersenyum nipis.

Di dalam itu, Adam dan Umar kelihatan seperti sepasang kembar yang tidak boleh dipisahkan. Dan mereka berempat seperti sebuah keluarga yang sempurna. Alangkah bertuahnya dia. Tiba-tiba ada tangan kecil menyentuh Aisya.

"Mama.."

"Adam... Terkejut mama!" Aisya tarik nafas. Terasa kejang segala urat saraf.

Adam pandang hairan. Dia tidak faham apa yang telah dia lakukan sehingga ibunya begitu terkejut.

"Kenapa Adam turun? Adam tak boleh tidur?" Nafas Aisya masih terbata-bata.

Adam menggeleng.

"Why?" tanya Aisya. Rasanya sudah lama Adam dan Umar naik ke atas katil tadi. Tiba-tiba pula terjaga dan turun ke situ.

"I don't like this house. It's scary. Penny hates this house. Right, Penny?" Adam toleh pula ke sebelah kanan. Kosong.

"Nanti lama-lama, mesti Adam..." Aisya pandang ke sebelah Adam yang kosong.

"Dan Penny... Suka. Rumah ni besar. Lebih besar daripada rumah kita kat sana dulu."

Aisya anggap itu perkara biasa. Mereka semua baru sangat berpindah ke situ. Segala-galanya masih terlalu baharu dan mereka semua dalam proses menyesuaikan diri. Lagipun sebelum memilih rumah itu, dia dan Muhammad sudah puas berbincang. Dan rumah itulah yang dirasakan paling sesuai dengan lingkungan kehidupan mereka sekeluarga. Juga dengan kedudukan kewangan mereka.

Muhammad ada tempat yang sesuai untuk dijadikan sebuah studio. Anak-anaknya ada halaman yang luas untuk bermain di luar dan dia pula, sangat suka kerana rumah itu berdekatan dengan sebuah masjid. Rumah ibu mentua pun tidak jauh dari situ.

Rasanya itulah tempat yang paling ideal untuk mereka memulakan sebuah kehidupan baharu di Malaysia. Cuma masalah yang satu itu sahajalah yang masih membelenggu perasaannya saat itu.

Tetapi tetap Adam menggeleng.

"I want to go back to our small house in New York..."

Aisya mengeluh halus. Dia angkat Adam dan letak di atas riba. Dia faham perasaan Adam tetapi apa dayanya. Mereka semua perlu juga menerima hakikat yang keadaan sudah tidak sama lagi. Hidup perlu diteruskan kerana masa tetap berputar. Selagi mereka berempat sentiasa bersama, segalanya akan baik-baik sahaja. Itulah pendapatnya saat itu.

Adam rebahkan kepala ke dada Aisya. Adam juga tepuk lantai dua kali untuk mengajak Penny duduk di situ. Setelah Penny duduk, Adam tersenyum. Perasaannya lebih tenang.

"Sayang... We can't. New York is our past. We are now back in Malaysia. Dan... Adam kenalah cakap Melayu..." Aisya geletek perut Adam.

Dengan spontan, Adam ketawa dan mengekek kegelian. Tanpa sengaja, kaki Adam tertendang sebuah bingkai gambar. Mereka berdua spontan berhenti ketawa. Adam angkat semula gambar yang tumbang dan melihatnya lama-lama. Gambar mereka berempat semasa berada di Brooklyn. Wajahnya berubah sayu.

"Adam tak suka Malaysia. Adam suka sini..." Adam tunjuk gambar. Tanpa mereka berdua sedar ada satu bayangan hitam melintas di belakang mereka ketika itu. Senyap dan pantas.

"Adam cakap Melayu macam robot! We have so much to practice." Aisya cuba mengubah topik perbualan.

Yang sebenarnya, kata-kata Adam menyentuh hatinya. Sebagai seorang ibu, kalau boleh bulan dan matahari pun akan diberikan kepada anaknya tetapi dalam hidup ini bukan semua yang dimahukan akan dimiliki. Tidak semudah itu.

Tetapi dia percaya sedikit demi sedikit Adam akan dapat menerima perubahan hidup itu. Semua itu akan dapat diatasi satu hari nanti. Semua akan baik-baik sahaja. Adam cuma memerlukan masa.

Adam diam sahaja. Kecewa.

Sementara itu bayang hitam tadi bergerak tidak jauh dari mereka berdua. Tiba-tiba ada bunyi jatuh yang kuat dan diikuti bunyi tangisan seorang budak lelaki.

Sekali lagi Aisya tersentak. Berderau darahnya apabila melihat apa yang telah berlaku.

"Umar! Alaaa... Umar jalan dalam tidur lagi..." Aisya menerpa kepada Umar yang sedang duduk di atas lantai dan menangis. Kemudian menoleh ke arah Adam.

"Adam tak tutup pintu bilik waktu keluar tadi, ya?"

Wajah Adam berubah riak Dia menoleh ke arah Penny.

"Penny! I told you to close the door." Dia menyalahkan Penny.

Aisya hela nafas. Dia tarik Umar ke pangkuan. Dia pujuk Umar yang masih lagi menangis. Mujurlah Umar kembali diam.

"Let's go back to sleep, okay? Jom!" kata Aisya. Nampaknya kerja mengemasnya pada malam itu tidak dapat diteruskan lagi.

Dia bangun semula dan menarik tangan Umar menaiki tangga yang gelap. Sementara Adam hulur tangan ke arah Penny. Dia dan Penny naik bersama. Aisya pandang sekilas lalu. Dia sudah lali dengan perangai Adam bersama kawan imaginasinya, Penny.

Di pertengahan jalan, Adam jenguk ke luar tingkap. Hujan masih lebat. Apabila kilat menerangi alam, dia terlihat seorang budak perempuan duduk di atas buaian tetapi apabila kilat menyambar sekali lagi, buaian itu tampak kosong pula.

"Adam?" tegur Aisya. Dia perasan Adam tidak bergerak.

Adam menggeleng.

"Come on, Penny." Dia teruskan langkah.

SETIBANYA di bilik, Aisya bawa Umar ke katil. Umar naik ke atasnya dan Aisya selimutkan Umar elok-elok. Begitu juga dengan Adam yang kini naik di atas katilnya sendiri.

"Tidur, okey?" kata Aisya kepada Adam dan Umar. Dia harap kedua-duanya akan tidur nyenyak tanpa sebarang gangguan lagi selepas itu. Dia sendiri sudah terlalu letih.

Kedua-duanya angguk serentak dengan mata kuyu.

"Di mana pun kita, kita akan selalu bersama. Mama dan papa akan tetap bersama Adam dan Umar. Itu yang paling penting. Tak ada apa yang nak ditakutkan. Apa pun yang berlaku kita akan hadapi bersama," kata Aisya.

Dia harap Adam dan Umar faham bahawa keadaan boleh berubah tetapi bukan kasih sayang mereka berdua. Dengan adanya dia dan Muhammad, anak-anaknya tidak perlu rasa gementar dengan sebarang perubahan. Dia mahu mereka berdua rasa selamat dan dikasihi. Dia akan selalu berada di sisi sepanjang masa.

Adam dan Umar kembali lelap.

Aisya merenung wajah mereka berdua sehingga hatinya sendiri rasa tenang. Selepas itu dia ke loteng pula.

Dari celahan pintu dia dapat melihat Muhammad masih tekun menghadap monitor. Dia faham suaminya sedang fokus melakukan penyuntingan. Dia bersyukur kerana suaminya sentiasa ada kerja untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Dia tidak mahu mengganggu dan kembali ke bilik tidur. Cuma pada malam itu dia bermimpi buruk lagi. Dia dicampak makhluk hitam itu ke dalam lubang yang dipenuhi api.

DI dalam bilik, Adam berselubung sampai ke kepala. Umar pula sudah tidur lena tetapi dia masih lagi terjaga. Ada sesuatu mengganggu perasaannya kebelakangan ini yang menyebabkan dia berasa takut setiap kali malam menjelma. Dia juga tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya kepada Aisya.

"Penny..." Dia berbisik.

"I'm scared."

Dia rasa hendak terkencing apabila terdengar ketukan berulang kali pada tingkap di hujung kepalanya. Dia tahu siapa yang mengetuk dan meminta untuk masuk.

"Alright, Penny," jawab Adam apabila Penny menyuruhnya memejamkan mata kuat-kuat sehingga terlelap. Namun ketukan di tingkap terus kedengaran.

"Kuntum nak masuk..."

SEMENTARA itu, Jamal baru sahaja mahu meninggalkan rumah. Setelah mengunci pintu dan pagar, dia masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Baru sahaja keretanya bergerak beberapa meter, lampu keretanya tersuluh satu susuk tubuh dalam hujan lebat.

Dia mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas.

"Siapa pula yang jalan sorang-sorang dalam hujan ni? Gila ke apa?" Keretanya diperlahankan lalu dia membuka tingkap sedikit untuk bertanya.

Akan tetapi belum sempat dia membuka mulut, dia terus beradu pandang dengan perempuan berkebaya putih dan bersanggul itu. Juga terpandang tompokan-tompokan darah di bajunya.

"Allahuakbar!" Jamal terus menekan minyak. Semena-mena keretanya bergoncang bagai dihempap sesuatu yang berat.

Jamal tidak mempedulikannya. Dia terus membaca ayatul Kursi tidak henti-henti. Hanya setibanya di hujung lorong, barulah keretanya terasa ringan semula dan dia terus memecut laju ke tempat kerja. Sekujur tubuhnya berpeluh dingin.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro