Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

KEESOKAN harinya, sebuah lori kecil tiba di rumah baharu Muhammad. Selain Muhammad dan Aisya, Suraya juga ada di situ membantu apa yang perlu. Rumah yang selama ini sunyi kini berubah riuh-rendah.

"Kenapa tercegat lagi kat situ?"

Muhammad menegur Aisya yang belum lagi menjejakkan kaki ke dalam rumah sejak tiba di situ. Umar dan Adam sudah leka bermain di halaman.

Teguran Muhammad buat Aisya rasa serba salah. Sejak tiba di situ tadi pun, tubuhnya sudah meremang tanpa sebab. Dada juga sentiasa berdebar-debar bagaikan ada yang tidak kena.

"Masuklah." Muhammad menggesa lagi.

Akhirnya Aisya masuk juga ke dalam rumah dengan berat hati.

"Jangan macam tu. Penat I beli rumah ni untuk family kita. You patut suka dan menghargainya."

Muhammad cuba berseloroh. Wajah muram Aisya buat dia turut berasa tidak sedap hati.

Aisya tersenyum pahit. Rasa gementarnya ditolak ke tepi perlahan-lahan. Kerana mahu atau tidak, di situlah dia akan tinggal. Dia harus berani. Harus kuat demi keluarganya. Tiba-tiba suara Suraya memecah keheningan.

"Perlahan-lahan sikit. Engkau ingat murah alat-alat tu? Anak aku bawa balik dari US tu," tegur Suraya kepada beberapa orang lelaki yang mengangkat peralatan studio milik Muhammad naik ke tingkat dua. Kotak-kotak dan beg pakaian sudah diangkat lebih awal.

"Mak... Tahulah dia orang buat kerja. Mesti dia orang dah biasa." Aisya menegur. Dia rimas melihat ibu mentuanya sibuk tak tentu pasal.

"Barang tu bukan murah. Kalau dah rosak, tak dapat dibuat apa lagi." Suraya membidas seraya menjeling tajam. Sakit hatinya apabila ditegur.

Aisya terdiam lalu tidak mempedulikan Suraya lagi.

"Biarkan aje mak tu." Muhammad cuit bahu Aisya sebelum keluar semula ke kereta. Suraya juga keluar ke halaman.

Sementara itu Aisya perlahan-lahan menolak pintu dapur. Dari muka pintu, matanya meliar ke serata arah, untuk memastikan makhluk hitam itu tidak ada di situ. Mujurlah tidak ada. Dia tarik nafas lega meskipun rasa seramnya masih ada.

TIDAK lama kemudian, di luar pula riuh-rendah.

"Kenapa nak duduk dalam pasir tu? Kotor, kan? Kudis nanti!"

Suraya menjerit ke arah Adam dan Umar yang sedang leka menggali pasir di dalam pit pasir. Tetapi tegurannya hanya dibuat tidak tahu. Cucu-cucunya terus leka bermain. Kerana geram dia mencari Muhammad pula.

"Kenapa dibiarkan pasir tu kat situ? Tak elok budak-budak main pasir. Nanti kudis, kurap, batuk..." Suraya terus membebel.

Muhammad yang sedang mengangkat sebuah kotak hanya ketawa kecil.

"Itulah yang best, mak. Ada pasir, ada pokok. Macam masa saya kecil-kecil dulu. Biarlah dia orang berseronok. Duduk saja dalam rumah nanti dia orang cepat bosan. Sebab tu saya cari corner lot. Ada halaman sikit."

"Zaman kamu kecil tu lain. Ini pasir entah dari mana dikautnya. Macam-macam kuman ada." Suraya belum mahu mengalah. Benci betul dia melihat kotak pasir di halaman rumah itu. Seperti tidak masuk akal.

"Biarlah, mak. Bukan selalu dapat main pasir. Nanti lama-lama jemulah tu." Muhammad juga tegas dengan keputusannya.

Suraya tarik muka empat belas. Sewaktu dia memandang ke arah pokok besar, dia terpandang seorang perempuan berbaju putih sedang duduk di atas buaian.

Dia pandang sekali lagi, tetapi kali ini buaian itu kosong pula. Meremang tubuhnya.

"Jom masuk dalam!"

Dia mengajak Umar dan Adam. Dia mula cemas. Ada rasa tidak sedap hati.

"Alaaa... Nak main..." Umar merengek. Dia masih leka membina istana pasir bersama Adam. Adam langsung tidak pandang kiri kanan.

Suraya mengeluh. Oleh sebab cucu-cucunya terus berdegil, dia yang masuk ke dalam rumah.

"KENAPA, mak?" Muhammad menegur apabila dilihat wajahnya ibunya agak pucat. Mulut ibunya pun tidak seriuh selalu.

"Ambilkan mak air."

Suraya terus duduk di atas kerusi. Badan terasa lain macam. Mungkin kerana masih terkejut ataupun terlalu penat. Dia tidak pasti tetapi apa yang dilihat tadi masih jelas di ruang mata. Sebagai orang tua, dia tidak ambil mudah perkara itu. Makhluk seperti itu bukan menunjukkan diri suka-suka sahaja. Pasti ada sebab.

"Mak pening kepala ke?" Muhammad masih cuba mencari punca.

Suraya sambut air yang dihulur Muhammad. Sejuk tekaknya sekejap tetapi apa yang bermain dalam fikirannya masih tidak hilang.

"Rumah ni dulu kamu beli dari pemaju ke atas tangan orang?" Dia bertanya. Dia sudah lupa hal itu lagipun tidak begitu masuk campur urusan Muhammad.

"Pemaju," jawab Muhammad sebelum menolak sebuah kotak ke tepi lalu duduk di sebelah ibunya untuk melepaskan lelah.

"Pelik juga, kan? Taman ni dah lama tapi kenapa rumah ni tak ada orang beli?"

"Entahlah, mak. Mungkin pada masa tu harganya mahal."

"Selalunya rumah macam ni, berebut-rebut orang nak beli. Rumah macam inilah yang selalunya cepat habis."

"Dengarnya dulu, rumah ni rumah contoh. Lepas tu tak ada orang beli."

Suraya tidak komen apa-apa lagi. Tetapi dia yakin rumah itu ada sesuatu dan tindakannya ke rumah arwah Bomoh Awang sangat tepat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro