Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

DALAM masa yang sama, Suraya baru sahaja mengunci pintu rumah. Oleh kerana Muhammad, Aisya dan anak-anak mereka tidak ada di rumah, dia juga mahu ke sebuah tempat.

"Senyap aje rumah, kak?" Umie yang tinggal di sebelah rumah Suraya terus menegur.

"Cucu-cucu tidur ke?"

Suraya tersenyum menyambut teguran Umie.

"Mereka keluar. Katanya tadi nak hantar barang ke rumah baru."

"Dah dapat rumah ke? Kat mana?" Umie makin berminat untuk ambil tahu. Selama ini dia tahu anak dan menantu Suraya menumpang di situ.

"Tak jauh pun. Dekat Taman Merak Mas." Suraya tersenyum.

"Eloklah tu. Boleh balik selalu. Ataupun kakak aje yang ke rumah dia orang."

"Haah. Sebab tu aku setuju. Sebab tak jauh. Apa-apa hal senang aku nak jenguk," jawab Suraya seraya menyarung sandal. Kalau diikutkan hati, dia lebih suka Muhammad tinggal bersama dengan dia di rumah itu.

"Ni nak ke mana pula lawa-lawa ni, kak?"

"Nak ke Kampung Hulu Hitam sekejap."

"Isy! Jauh juga tu, kak. Nak buat apa ke situ? Ada rumah saudara ke?"

"Taklah, Umie. Nak cari Bomoh Awang."

"Eh! Kenapa sampai nak berbomoh-bomoh ni, kak? Kakak sakit ke?" sampuk Umie dengan muka terperanjat.

"Engkau ni, Umie. Bukan ada sesiapa yang sakit. Aku nak jemput dia ke rumah Muhammad tu."

Umie tarik nafas lega.

"Nak buat apa?"

"Mereka kan baru masuk rumah baru. Kenalah semah dan pagar dulu rumah tu. Manalah tahu kalau-kalau rumah tu ada benda lain yang duduk dulu."

"Ooo... Nak pagar rumah. Ingat nak buat apa tadi." Kali ini Umie terangguk-angguk.

"Dulu rumah ni pun dialah yang memagarnya. Sebab tu aku percaya pada dia."

Umie hanya tersengih. Suraya terus keluar dan mengunci pagar.

HAMPIR sejam perjalanan, baru Suraya tiba di hadapan sebuah rumah kampung. Ketika itu ada beberapa buah kereta diparkir di halaman. Setelah memberi salam, Suraya dijemput naik ke atas oleh seorang perempuan muda.

"Abah dah lama tak ada, mak cik," kata perempuan muda itu. Namanya Halimah.

Suraya berasa hampa.

"Habis tu, kenapa orang masih ramai ke sini? Mereka ni berubat dengan siapa pula?" Suraya pandang ke serata rumah.

Ramai orang di situ. Ada yang duduk. Ada yang terbaring. Daripada barang-barang yang dibawa sekali pun, Suraya percaya semua itu datang untuk berubat. Tambahan lagi bau kemenyan sangat kuat menusuk hidung.

"Sekarang, abang sulung kami yang ambil alih tempat abah," terang Halimah lagi.

"Begitu..." kata Suraya.

"Mak cik datang ni bukan nak minta ubat tapi nak ajak abah kamu tu ke rumah anak mak cik. Dulu masa mak cik pindah rumah mak cik, abah kamulah yang tolong semah dan pagar rumah tu. Jadi, ni pun mak cik fikir nak panggil dia juga."

"Abang saya pun boleh buat, mak cik. Ramai yang panggil dia ke mana-mana," balas Halimah dengan lembut.

Suraya tersenyum.

"Kalau dia pun boleh buat, eloklah. Bila dia boleh datang?"

"Mak cik berikan alamat rumah tu dan nombor telefon mak cik. Nanti dia akan tengok bila hari yang sesuai untuk dia buat kerja. Bukannya boleh datang macam tu aje. Kena tepat hari dan masanya baru menjadi."

Senyuman Suraya semakin lebar. Tanpa berlengah, dia berikan semua maklumat yang diminta bersama deposit lima ratus ringgit.

"Jangan tak datang. Selagi rumah tu tak dipagar, hati mak cik risau," katanya sebelum turun dari tangga.

Halimah angguk berulang kali.

KERETA Suraya sudah hilang dari pandangan. Akan tetapi Halimah masih termenung di tepi pintu sampaikan tidak sedar namanya dipanggil. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya saat itu.

"Halimah! Tok bomoh panggil." Seorang lelaki datang menegur apabila Halimah terus terpacak di situ.

Halimah tersentak lalu berpaling pergi. Dia bergegas masuk ke dalam bilik yang dijadikan bilik rawatan. Apabila diselak kain langsir yang menjadi tabir, dia dapati hanya abangnya yang berada di situ.

"Nak panggil pesakit lain ke?" Halimah menyedari yang abangnya sudah selesai merawat pesakit sebelum itu.

"Ada berapa orang lagi?" Bomoh Alang membalas.

Halimah pandang ke luar bilik kemudian menjawab.

"Ada seorang lagi. Itu pun rawatan susulan aje."

"Selepas tu dah tak ada?"

"Dah habis untuk hari ni. Tapi bang, tadi ada seorang mak cik datang minta semah dan pagar rumah. Dia cakap, dulu abah yang buatkan untuk rumah dia. Kali ini dia minta buat untuk rumah anak dia pula."

Bomoh Alang bergumam seraya tertunduk. Daun sirih di tangan digosok-gosok sebelum ditabur hirisan pinang muda yang sudah dikacip halus.

"Abang boleh buat ke? Halimah dah kata abang boleh buat. Duit deposit pun Halimah dah ambil."

"Boleh." Bomoh Alang tidak mengangkat muka.

"Tapi abang tak pernah buat."

"Buat ajelah apa yang boleh." Suara Bomoh Alang meninggi. Dia tidak akan menolak peluang untuk mencari duit. Itu sahaja punca pendapatannya dia sekarang.

"Kalau macam tu, bila abang boleh pergi abang bagi tahu Halimah. Nanti Halimah bagi tahu mak cik tu. Tapi kalau boleh, dia mahu cepat. Nampaknya dia percaya sangat pada kita."

Bomoh Alang tidak membantah. Pada malam itu dia mentelaah kitab-kitab lama termasuk buku-buku ajaran ayahnya dahulu.

PADA sebelah malamnya, setelah Umar dan Adam tidur, Muhammad berbaring di sebelah Aisya. Ketika itu ibunya, Suraya juga sudah lama masuk tidur.

"Kenapa you menjerit di rumah sana tadi?" Muhammad bertanya dengan lembut. Sejak kejadian tadi, dilihatnya Aisya agak muram dan diam.

"You percaya tak kalau I kata I nampak makhluk hitam dalam bilik kita tu?" Aisya pandang lama muka Muhammad.

Senyuman Muhammad melebar. Dia paut bahu Aisya ke arah dia.

"You letih sangat kut? Tu yang ternampak benda yang bukan-bukan."

"Betul, pa!" Aisya berkerut dahi. Suara mula meninggi.

"I nampak jelas benda tu duduk mencangkung kat lantai tu. Mata dia merah menyala, pa. Rambut dia menggerbang sampai ke lantai. Badan dia, pa... Besar. Tinggi kalau berdiri."

"Shhh! Jangan kuat-kuat. I tak nak anak-anak kita dengar. Nanti tak pasal-pasal semuanya jadi penakut macam you."

Aisya terkedu sesaat. Hatinya mula panas.

"I bukan buat cerita. I nampak sendiri."

Muhammad hempas nafas. Dia tenung muka Aisya.

"Semua tu tak ada. Imaginasi you aje tu."

Aisya baru nak buka mulut tetapi Muhammad sudah mencelah.

"Dah. You lupakan aje. Jangan sesekali cerita pada anak-anak."

"Pa..." panggil Aisya.

"You tak nak ke panggil ustaz ke apa datang rumah?"

"Nak buat apa?" Mata Muhammad terkelip-kelip merenung wajah Aisya.

"Suruh dia orang baca Yasin ke, doa ke..."

"Tak payahlah. Kita bukan kenal sesiapa kat situ. Kemudian-kemudianlah kita buat." Muhammad membetulkan letak badan dan menarik bantal.

Aisya mengiring ke arah lain. Air matanya menitik ke bantal. Malam itu dia bermimpi ngeri. Makhluk itu mengejar dan memutuskan lehernya hidup-hidup.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro