Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

DI muka pintu, Suraya dan tok bomoh berbincang lagi. Wajah Suraya berseri-seri. Lega sungguh hatinya kerana upacara menyemah dan memagar rumah itu telah selesai dijalankan. Barulah dia rasa senang hati.

Setelah melihat keadaan Adam pagi tadi dan kejadian sebelum itu, dia yakin keputusannya itu tepat. Rumah itu memang perlu dipagar supaya keadaan Adam tidak bertambah teruk. Lagipun rumah itu selalu membuatkan tengkuknya meremang tanpa sebab. Dia percaya memang ada sesuatu di situ seperti apa yang dikatakan tok bomoh tadi.

"Terima kasih ya, tok. Lega hati saya," kata Suraya sekali lagi.

"Kalau ada apa-apa masalah lagi, bagi tahu aku cepat," balas Bomoh Alang.

"Baik, tok." Suraya terangguk-angguk.

"Ingat, semua yang aku buat rumah tadi jangan diusik atau diubah. Rumah ini tak boleh dibersihkan selama tiga hari tiga malam. Kalau tidak, semuanya tak menjadi. Dan mesti diulang semula."

Mulut Suraya tidak terkatup. Segala pesanan didengar betul-betul. Dia takut melanggar pantang. Nanti segala usaha tidak menjadi. Perkara buruk yang lain pula timbul. Tetapi dia lebih merisaukan Aisya dan Muhammad.

"Baik, tok. Nanti saya ingatkan mereka."

"Ingatkan mereka. Kalau langgar pantang, aku tak bertanggungjawab kalau berlaku apa-apa nanti," jawab tok bomoh.

Suraya angguk lesu.

"KALAU ada masa jemputlah ke rumah. Boleh kenal-kenal dengan isteri saya. Sejak berpindah ke sini dia belum ada kawan."

Muhammad terfikirkan hal itu. Mungkin sahaja Aisya boleh berkawan dengan Inayah kerana mereka hanya tinggal bersebelahan.

Tetapi Inayah tidak memberikan apa-apa janji. Dia sekadar membalas dengan ucapan terima kasih atas budi baik Muhammad menumpangkan dia pulang.

Selepas Inayah turun dari kereta, Muhammad terus beredar menuju ke rumahnya. Dari luar lagi dia terlihat ibunya sedang menghantar seorang lelaki yang tidak dikenali, keluar ke pagar. Setelah memasukkan kereta ke bawah anjung, dia melangkah masuk ke rumah mencari Aisya. Tetapi terus tercium bau kemenyan.

Hidungnya diterpa rasa gatal. Akibatnya dia terbersin beberapa kali. Makin laju langkahnya mencari Aisya.

Sementara itu Aisya masih di dapur mengelap lantai. Sebaldi air yang berisi sabun terletak di sebelahnya. Wajahnya muram.

"Laaa... Apa you buat ni, mama? Siapa orang yang mak hantar kat luar tu?" tanya Muhammad. Terkejut dia apabila melihat Aisya sedang terbongkok-bongkok mengelap lantai. Lupa sudah apa yang hendak ditanya tadi.

Namun Aisya sedikit pun tidak menoleh. Apatah lagi menjawab. Kemarahannya sudah sampai ke kemuncak. Rumah yang sudah bersih kini begitu jijik dan kotor. Rumah yang pada awalnya wangi kini sudah berbau kemenyan dan air liur.

"Kenapa ni?" Muhammad sudah rasa ada yang tidak kena. Belum pernah dilihat Aisya semuram itu.

Ketika itu juga Suraya masuk ke dapur.

"Astaghfirullahalazim! Apa kamu buat, Aisya?!" sergah Suraya pula tetapi Aisya masih buat tidak tahu.

"Tok bomoh tu cakap jangan bersihkan! Biar kering! Kamu tak boleh kemas rumah ni tiga hari tiga malam!"

"Satu rumah ni bau ludah, mak." Kali ini Aisya melawan. Sedih melihat rumahnya jadi begitu.

"Perasaan kamu ajelah! Dah! Berhenti, Aisya! Nanti tak menjadi upacara tadi!" Suraya tarik tangan Aisya dan paksa Aisya bangun dari lantai.

Aisya menahan geram.

Muhammad tertelan air liur.

"Tok bomoh?"

"Untuk pagar rumah ni. Untuk kebaikan kamu sekeluarga juga," balas Suraya. Tiba-tiba buaian di halaman berayun.

Krek!

Ketiga-tiganya tersentak dan terdiam. Pertengkaran di situ terus terhenti. Kemudian Aisya kembali meneruskan kerjanya.

Suraya mengeluh hampa. Dia menjeling marah ke arah Muhammad sebelum keluar dari situ.

Muhammad terpinga-pinga sendiri melihat kedua-duanya dengan sikap masing-masing. Tidak tahu yang mana satu mesti dipujuk dahulu.

Di luar, buaian terus berayun sendiri. Meninggalkan bunyi yang merindingkan bulu roma.

SELEPAS Suraya pulang, dapur kembali sunyi. Muhammad sudah kembali ke loteng. Tinggal Aisya di situ. Dia baru sahaja selesai mencuci keseluruhan dapur. Selepas itu mahu mencuci ruang tamu pula.

Sungguhpun rasa hendak muntah apabila memikirkan air liur tok bomoh yang merata-rata itu, dia terpaksa kuatkan hati. Dia bersabar kerana memikirkan kesihatan dan kepentingan anak-anaknya. Dia tidak mungkin bersubahat dengan kerja kotor dan gila itu. Dia jijik. Seraya duduk melepaskan lelah dia menelefon seseorang.

"Ayah macam mana hari ni? Dah boleh bangun?" Aisya bertanya.

Pada saat itu rasa sebak menghurung dada. Dia rindukan ayahnya yang jauh di negeri lain. Kalaulah ayahnya ada di situ, dia pasti ayahnya sendiri tidak akan bersetuju dengan hal seumpama itu.

"Boleh dah sikit-sikit," jawab Pak Ismail.

"Ayah memang teringat nak telefon Aisya tadi."

"Kenapa, ayah? Ada apa-apa yang ayah nak cakap?" Aisya berdebar-debar.

"Malam tadi ayah termimpikan Aisya."

"Mimpi baik ke mimpi buruk?" tanya Aisya tetapi Pak Ismail cuma menarik nafas.

Aisya segera faham kerana ayahnya pernah berkata, mimpi buruk tidak perlu diceritakan kepada sesiapa.

"Muhammad dan anak-anak kamu macam mana? Sihat?"

"Alhamdulillah. Sihat. Selepas Muhammad siapkan kerja dia sekarang, dia kata nak bawa Aisya dan anak-anak balik tengok ayah. Nanti ayah tinggal dengan Aisya, ya? Rumah Aisya ni dekat dengan masjid tau, ayah?" Aisya tersenyum sendiri.

"Baguslah. Sejak kecil, kamu tu suka sangat pergi masjid. Ni rumah dah dekat, senanglah Muhammad dan anak-anak ke sana."

Tekak Aisya terus terasa kering.

"Kamu pula macam mana?"

Aisya gugup. Tidak tahu hendak menyusun ayat yang bagaimana. Dia tidak pernah diajar berbohong.

"Perkahwinan itu tak ubah seperti kehidupan. Ada waktunya manis. Ada waktunya pahit. Tetapi apapun keadaannya, kamu sudah ditakdirkan bersama untuk menghadapinya. Selagi bekerjasama dan bersatu hati, apa pun yang datang, insya-Allah mampu untuk kamu hadapi."

Kata-kata ayahnya didengar dengan teliti. Sememangnya akan mudah sekiranya Muhammad memahami hatinya tetapi ini tidak. Dia rasa keseorangan.

"Apa pun yang berlaku, ingat Allah," tambah Pak Ismail.

"Setiap kesusahan yang menimpa, tanda Allah nak beri sesuatu kesenangan. Sebelum berjaya, kamu gagal dahulu. Sebelum berdiri, kamu rebah dulu. Asalkan kamu tetap sabar dan bersolat, insya-Allah. Semua itu ujian dan semua manusia pasti diuji. Bersabarlah."

"Insya-Allah, ayah." Aisya tidak mahu komen apa-apa tetapi hatinya sedikit tenang setelah mendengar suara ayahnya. Dia akan kuat. Dia akan sabar.

DUA jam sudah berlalu. Rumah sudah siap dimop dan dibersihkan tetapi debar di dalam dada Aisya masih tetap ada. Tidak hilang-hilang. Dia sendiri tidak faham kenapa. Sedang duduk berehat di meja makan, hidungnya terbau benda hangus.

Aisya mencuit-cuit hidung bimbang dia tersalah bau. Tetapi makin lama makin kuat pula bau yang tercium.

Dia bingkas bangun dan berlari ke ruang tamu. Di situ dia terlihat asap yang keluar dari peti televisyen. Belum sempat menjerit, api menyambar ke arahnya.

Langsung dia terjerit dan menggelupur apabila tubuhnya diterpa satu makhluk hitam bermata merah menyala yang keluar dari api.

Akhirnya pandangan matanya gelap. Dia terjelepok ke atas lantai. Pengsan.

Muhammad yang terdengar jeritan Aisya meluru turun.

"Aisya!" Langkah Muhammad semakin laju apabila ternampak Aisya terbaring di antara dapur dan ruang tamu.

"Aisya! Kenapa ni?" Muhammad goyang tubuh Aisya beberapa kali tetapi Aisya masih tidak sedarkan diri. Akhirnya dia letak Aisya ke lantai semula. Dia cari air di dapur lalu direnjis ke muka Aisya.

Mujurlah Aisya tersedar dan mencelikkan mata.

"Rumah kita terbakar, pa!" Aisya bertempik sebelum memaut tubuh Muhammad.

"Mana ada?" Muhammad terus menjawab.

"Ha?" Aisya pandang keliling.

Untuk beberapa saat dia terpegun. Ke mana perginya asap, api dan makhluk hitam tadi? Dia mula beristighfar dalam hati. Tetapi gigil di tubuhnya tetap berterusan.

"Kenapa Aisya terjerit tadi?" Muhammad pandang pelik.

"I... I... Ternampak makhluk hitam tu lagi, pa." Aisya renung muka Muhammad. Memohon pengertian.

Muhammad tarik nafas sepenuh dada. Dia toleh ke lain sebelum menjawab.

"Mana ada? You ni merepeklah. Cuba pandang betul-betul. Mana dia?"

Sekali lagi Aisya mati akal. Memang makhluk hitam sudah ghaib.

"Dahlah. Kalau you tak nak jemput anak-anak you cakap aje. I boleh pergi ambil." Muhammad bangkit berdiri dengan muka masam.

Aisya menggeleng.

"No. Biar I ambil." Dia terus bangun untuk ke bilik air. Rasa sedih dipendam dalam-dalam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro