Bab 1
Tahun 2016
"KALAU dibandingkan antara filem seram Woman In Black tahun 1989 dengan filem Woman In Black tahun 2012 memang banyak bezanya, mak. Jalan cerita berbeza. Ending juga tak sama. Perwatakan hero pun tak sama. Boleh dikatakan filem yang diadaptasi tahun 2012 lebih mematuhi segala teori kisah seram menjadikan ideanya lebih kukuh. Lebih menonjol." Muhammad menjawab pertanyaan ibunya, Suraya.
"Novelnya kamu baca ke?" Suraya bertanya sambil memandang lama wajah Muhammad yang begitu serius.
"Belum ada masa lagi, mak. Tapi kalau ada kesempatan nanti, nak juga baca. Nak tengok macam mana mereka adaptasikan dua filem berbeza daripada satu novel yang sama. Menarik tu."
"Asyik buat filem seram aje, bila kamu nak buat filem lain pula?"
"Buat filem seram ni keseronokan dia lain, mak. Orang macam saya ni tak boleh rasa puas kalau buat filem yang tak seram."
Belum sempat Suraya menjawab, Aisya menyampuk.
"Malam nantilah sambung borak tu, pa. Nak pergi ke tak ni?"
Aisya sudah penat menunggu. Perbualan itu seolah-olah tidak akan berhenti. Anak-anaknya, Adam dan Umar sudah tidak boleh duduk diam. Melompat ke sana. Berlari ke sini.
"Kamu semua nak keluar?" Suraya baru tahu. Besar matanya merenung Aisya yang sudah bersiap.
Pertanyaan Aisya membuatkan Muhammad tersedar yang dia sudah terlewat. Lantas dia bangun dari kerusi lalu tergesa-gesa mencapai tuala.
"Nak hantar barang sikit lagi. Lepas tu nak pergi cari barang lain." Aisya menjawab.
"Mak nak ikut?"
"Bukan kamu aje yang pandai berjalan. Mak pun nak berjalan juga."
Suraya menjawab. Dia letak surat khabar yang dipegang ke tepi. Sememangnya sudah ada rancangan yang diatur petang itu tanpa memberitahu sesiapa.
"Mak nak ke mana?"
"Jumpa kawan lama," jawab Suraya sambil tersenyum nipis.
"Kami bawa kunci. Mungkin kami balik lambat." Aisya tidak risaukan ibu mentuanya. Selama ini pun ibu mentuanya tinggal seorang di situ. Dia sekeluarga yang menumpang.
Setelah Muhammad bersiap, mereka terus bertolak.
SUKAR untuk dijelaskan perasaannya saat itu. Ada waktunya terasa lega dan ada waktunya terasa sedih. Akhirnya dapat juga dia tinggal di rumah sendiri walaupun sebelum ini dihalang oleh ibu mentua. Kalau boleh Suraya mahukan mereka sekeluarga tinggal di rumah dia tetapi Aisya bertegas untuk tinggal di rumah sendiri. Kerana kalau tinggal di rumah Suraya, selama-lamanya dia rasa seperti menumpang dan tidak bebas mengatur kehidupan.
"Banyak ke barang kat belakang?" Muhammad bertanya. Sememangnya dia tidak tahu kerana Aisya yang memasukkan barang ke dalam bonet belakang.
"Banyak mana sangatlah boleh bawa. Bonet belakang tu bukan sebesar lori." Aisya hela nafas.
"Esok aje kita nak pindah. Tak payah bawa tadi pun tak apa. Sumbat aje dalam lori esok."
"Kalau boleh malam ini pun I dah nak tidur situ."
"Haih... Tak sabar-sabar nak pindah rumah baru," komen Muhammad.
"Mestilah."
Aisya membalas. Tidak diterangkan kenapa dia begitu teruja. Bimbang akan menyinggung perasaan Muhammad. Bagaimanapun, Suraya itu ibu suaminya. Silap cakap boleh bergaduh jadinya.
"Rasanya hari tu kita ikut jalan lain." Mata Aisya tidak berkelip memerhati kiri dan kanan jalan. Dia yakin dia betul kerana segalanya nampak asing.
Muhammad yang sedang memandu ketawa kecil.
"Memang ada dua jalan masuk. Ini jalan yang lebih jauh. Sengaja I ikut. Boleh tengok rumah-rumah kat sini."
"Ingatkan papa sesat." Aisya tersenyum nipis. Lega hatinya.
"Takkanlah boleh sesat? Kalau sesat pun takkan sampai ke Singapore." Muhammad mengusik.
Sewaktu melintasi sebuah masjid, Muhammad memperlahankan kereta. Aisya di sebelah semakin ralit memandang masjid yang tersergam indah di tepi jalan.
Sementara itu di tempat duduk belakang, Adam leka dengan patung mainan di tangan. Kembarnya Umar, sedang leka memerhati pemandangan di luar tingkap. Sebaik sahaja tiba di hadapan sebuah rumah, kereta Muhammad berhenti.
"Is this our new house?" Adam separuh terlopong melihat sebuah rumah besar di hadapannya. Dia ralit memandang dari bumbung ke tanah. Merayap pula ke persekitaran.
Aisya usap kepala Adam dan tersenyum.
"Adam mesti suka, kan?" Aisya melangkah masuk dengan yakin. Sudah lama diimpikan tinggal di rumah yang punya halaman seluas itu. Adam mengikut di belakang.
Ketika itu Muhammad sedang membukakan pintu pagar lebar-lebar untuk memasukkan kereta. Umar sudah berlari ke hadapan. Tiba-tiba langkah kaki Umar terhenti. Mulutnya terlopong. Matanya tidak berkelip.
Melihatkan Umar begitu, Aisya datang mendekat.
"Pergilah naik. Best kan rumah kita ada buai bawah pokok, ada pit pasir, halaman luas..." katanya.
Mendengarkan kata-kata ibunya, Umar dan Adam serentak berlari ke arah buaian lalu berebut ingin naik dahulu. Masing-masing memegang tali buaian seorang satu dan berebut-rebut mahu duduk.
"Janganlah berebut. Sorang-soranglah naik," tegur Aisya dari jauh.
Menyedari hal itu tidak akan selesai selagi mereka berebut, akhirnya Umar mengalah. Dia biarkan Adam yang naik dahulu. Dia yang mengayun.
"Macam itulah," kata Aisya. Semuanya sudah dijangka. Adam mesti hendak menang dan Umar mesti hendak mengalah.
Muhammad hanya ketawa melihat gelagat Aisya dan anak-anaknya.
"Jom masuk, ma," ajaknya seraya membuka pintu hadapan.
"ESOK kita masukkan barang-barang kita, lepas tu rasmilah kita tinggal kat sini," kata Muhammad. Kunci rumah dimasukkan ke dalam poket. Mereka berdua berdiri di ruang tamu yang menghadap pintu gelangsar yang belum berlangsir. Sungguh lega dan bangga rasanya kerana memiliki rumah sendiri setelah berusaha berbulan-bulan.
"Rasa tak sabar nak pindah sini. Tinggal kat rumah mak lama-lama pun leceh juga." Aisya luahkan rasa hati.
Sejak balik ke Malaysia, mereka menumpang di rumah ibu Muhammad sementara dapat mencari rumah sendiri. Dan akhirnya mereka menemui rumah itu dengan pertolongan seorang kawan. Setelah mengambil kira banyak faktor, rumah itulah dirasakan yang terbaik buat masa itu.
"I pun dah tak sabar ni. I dah dapat job baru. Tak boleh tangguh-tangguh, nanti bos tak suka pula."
"Really?" Mata Aisya membesar.
Berita itu menghadirkan rasa gembira yang berganda-ganda. Kerana bukan mudah untuk mereka membuat keputusan balik ke situ. Ada jalur-jalur kebimbangan yang menjalar dalam hati namun mereka percaya rezeki Allah itu luas dan Allah jua yang memberi rezeki. Maka mereka nekad pulang.
Muhammad senyum. Dia dapat membaca rasa lega dalam hati Aisya.
"Syukurlah, pa. Nanti pindah sini, you buatlah kerja you. I jaga anak baik-baik. You fokus aje dengan kerja you. Don't worry."
Aisya peluk Muhammad. Dilabuhkan kepala pada dada suaminya. Detak jantung suaminya mendetakkan juga rasa selamat dan tenang dalam hatinya. Dia tahu Muhammad seorang suami yang bertanggungjawab. Dan dia berharap Muhammad akan terus begitu hingga ke hujung nafasnya.
"Cukuplah tu. Nanti anak-anak nampak." Muhammad mengusik.
"Buat apa nak malu? I peluk papa mereka juga." Ketika itu Aisya masih belum mahu berhenti dari menikmati detik-detik yang indah itu. Kalau boleh biarlah selamanya begitu.
"Bukan malu tapi bila nak siapnya kerja kita kalau macam ni sampai malam?"
Aisya tergelak kecil. Akhirnya dilepaskan pelukannya.
"Nanti malam kita sambung, okey?" Muhammad tersenyum memandang Aisya.
Aisya pandang ke lain. Rumah yang semak itu menyedarkan dia betapa banyaknya kerja yang perlu dilakukan lagi sebelum rumah itu tampak seperti sebuah rumah.
"You jangan risau sangat. Kita kemas perlahan-lahan. Bukan nak lari ke mana pun selepas ni. Inilah rumah kita."
Muhammad menyedari kerisauan yang bermain dalam hati Aisya.Dia bukan tidak kenal Aisya bagaimana orangnya. Cukup kemas dan teratur. Dia yakin pada saat itu Aisya sedang runsing melihatkan keadaan itu begitu.
Aisya senyum pahit.
"Selepas ini kita pergi beli barang-barang yang asas dulu. Yang lain tu kita beli perlahan-lahan," sambung Muhammad.
Aisya tidak membantah kerana mereka tidak bawa balik banyak barang semasa pulang ke Malaysia. Yang besar-besar semuanya ditinggalkan.
"Sebelum tu... Bawalah dia orang tengok bilik." Muhammad kembali teruja.
"I nak kemas studio sekejap."
Cadangan Muhammad diterima. Aisya bergegas ke pintu.
SEMENTARA itu di luar, hal tadi masih belum selesai.
"It's my turn now, Adam," kata Umar dengan lembut. Sudah puas dia menunggu tetapi Adam masih belum mahu turun dari buaian. Kesabaran dia kian nipis.
Adam buat tidak endah. Kaki kecilnya menunjal-nunjal tanah untuk membuatkan buaian itu bergerak kerana Umar sudah berhenti mengayunnya. Sedangkan dia masih mahu bermain. Dia masih belum puas.
Sikap Adam yang tidak mahu bertolak ansur membuatkan Umar mengeluh. Akhirnya, dia pergi bersandar pada batang pokok. Di situ redup dan berangin. Dia masih menunggu dengan sabar meskipun hati sudah mula mendongkol.
Adam buat tidak nampak. Dia teruskan menunjal-nunjal tanah untuk menggerakkan buaian. Semena-mena dia terdengar bunyi kicauan burung dari atas pokok. Bunyinya sangat merdu dan menarik hati.
Dia langsung mendongak dan tergamam. Kerana di atas salah satu cabang dahan pokok itu ada seorang budak perempuan sedang duduk berjuntai kaki di situ sambil tersenyum kepadanya.
Dia terkesima; bercampur hairan. Tidak sedar dia telah kaku seberapa lama.
"What are you looking at?" tanya Umar apabila buaian Adam tidak lagi bergerak tetapi Adam seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya. Adam terlalu asyik memerhati sesuatu di atas pokok. Kemudian, Umar juga mendongak dan memerhati tetapi tidak melihat apa-apa selain daun dan dahan.
Adam ingin menjawab tetapi Aisya sudah memanggil.
"Adam! Umar! Jom tengok bilik!"
Sebaik sahaja mendengar panggilan ibunya, dengan spontan Umar terus berlari-lari anak mendapatkan Aisya.
"Adam!" Aisya terus memanggil apabila Adam masih tidak meninggalkan buaian.
"Wait!" Adam membalas. Dia mendongak semula ke atas tetapi budak perempuan yang dilihat tadi sudah hilang.
Akhirnya dia tinggalkan buaian sambil menggaru kepala.
"CANTIK tak bilik Umar dan Adam?" Aisya rasa tidak sabar untuk menunjukkan bilik itu kepada anak-anaknya. Dia harap mereka berdua suka.
Dia dan Muhammad gigih mencari dan memilih perabot yang sesuai untuk diletakkan di situ sejak beberapa hari yang lepas. Itu pun mereka hanya memilih perabot yang asas sahaja memandangkan kedua-dua anak mereka lelaki. Mungkin lasak dan memerlukan ruang yang lebih luas untuk berasa selesa.
"Wow!" kata Adam sebelum meluru memilih katilnya.
Antara dua buah katil bujang, dia memilih katil yang di tengah-tengah. Dekat dengan ruang kosong yang dilapisi karpet bercorak peta dunia, sebuah almari pakaian dan dinding yang kosong. Di dalam kepala sudah terbayang mahu melekatkan lukisan-lukisannya pada dinding itu. Lukisan dia dan Penny.
Umar pula pilih katil yang paling dekat dengan pintu.
"Bilik mama dan papa di sebelah hadapan sana. Toilet di luar." Aisya terangkan keadaan di situ yang berbeza dari rumah mereka yang lama.
"Loteng, jangan masuk. Itu tempat kerja papa."
Umar dan Adam dengar sahaja segala arahan Aisya.
"Okey, mama nak kemas bilik mama sekejap. Umar dan Adam main kat sini, okey?"
Umar dan Adam serentak mengangguk apabila Aisya keluar dari situ, Adam bergegas ke tepi tingkap. Langsir diselak, dia terus terpandang pokok besar di sebelah biliknya.
Apabila dipandang lama-lama, dia ternampak budak perempuan tadi sekali lagi. Kali ini budak itu duduk di atas buaian sambil menyanyi.
Adam terus berlari keluar dari bilik dan turun ke bawah. Sayangnya, apabila dia tiba di luar, buaian telah kosong.
Dia tercari-cari.
DARI bilik Umar dan Adam, Aisya masuk ke bilik tidur utama yang dijadikan bilik tidurnya. Katil dan almari sudah siap dipasang. Tinggal lagi mengemas pakaian dan memasang cadar. Sedang leka menyelongkar beg pakaian, dia terasa ada seseorang duduk di belakangnya sambil mengeluh berat.
"Kenapa mengeluh ni, pa? Papa dah siap kemas ke?" Dia bertanya sambil menoleh ke belakang.
Berderau darahnya. Matanya terkelip-kelip. Dia salah dengar ke? Tapi dengan seluruh pancainderanya dia yakin ada orang lain di situ tadi. Kenapa pula tidak ada?
"Pa?"
Dia memanggil sebelum bangun mencari sampai ke luar bilik tetapi bayang Muhammad pun tidak kelihatan. Kemudian sekali lagi dia terasa seperti ada seseorang berdiri di belakangnya. Sangat dekat sehinggakan bulu tengkuknya merinding.
"Pa? You..."
Dia menoleh. Sekali lagi, tiada sesiapa di situ. Dia tarik nafas panjang. Akhirnya dia melangkah masuk semula ke dalam bilik tetapi kakinya terhenti di hadapan pintu. Kali ini mulut Aisya terkunci. Namun tanpa dapat ditahan, sekujur tubuhnya menggeletar.
Di tengah bilik tidurnya, satu makhluk hitam sedang duduk terbongkok di atas lantai. Rambut makhluk itu menggerbang dan berjurai ke serata arah sehinggakan lantai berubah hitam pekat. Bunyinya bagaikan haiwan liar; menderam dan sesekali merungus. Apabila makhluk itu menoleh dan merenung Aisya dengan matanya yang merah menyala, Aisya terus terpaku.
"Dah siap?" Suara Muhammad menerjah secara tiba-tiba.
Telinga Aisya bagai dipalu tabuh. Dalam kerenjatan, dia menjerit bagaikan orang histeria. Menggelupur ingin lari.
"Kenapa ni?" Muhammad pegang kedua-dua belah tangan Aisya yang meronta-ronta. Umar dan Adam juga berlari ke luar bilik untuk melihat apa yang berlaku.
"Aisya!" Muhammad bertempik. Tidak pernah dilihatnya Aisya begitu sebelum ini.
Tempikan Muhammad membuatkan Aisya tersedar tetapi tubuh Aisya menjadi lemah. Dia terjelepok ke atas lantai. Muhammad ikut duduk dan memeluk Aisya.
"Kenapa tiba-tiba menjerit ni?" Muhammad masih inginkan penjelasan. Ketika itu Aisya sudah sedar tetapi detak jantung masih terlalu laju. Nafas yang dihela juga belum teratur. Umar dan Adam tercengang-cengang.
Aisya masih membisu. Mulutnya masih berat untuk dibuka. Apa yang dilihat tadi membuatkan dia seperti lupa diri seketika. Mujurlah Muhammad ada di situ.
"Jom kita pergi minum dulu. Kita relaks-relaks. Lepas tu kita pergi shopping."
Muhammad harap Aisya lebih tenteram selepas itu. Mungkin jiwa Aisya tertekan dan letih dengan kerja-kerja mengemas di rumah itu kebelakangan ini.
Aisya tidak menjawab. Apabila Muhammad menarik tangannya, dia mengikut tanpa membantah. Apa yang dilihat tadi masih terbayang-bayang di ruang mata dan lututnya masih lagi ketar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro