Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TEASER 1


"Abang Ki. Rehat kejap, minum air." Seseorang yang dimaksudkan abang iparnya semalam tiba-tiba muncul di depan mata. Bersama senyuman manis yang cukup melebar sambil tangan membawa sebiji pinggan berisi makanan.

Anas terkaku di tempat dia berdiri. Kaget. Tubuh bagaikan membeku. Enjin jentera pinjam yang tergalas di belakang badannya masih berbunyi. Mata Anas tak lepas dari memandang seorang wanita yang sedang menuju ke arah meja kayu lalu meletakkan pinggan.

"Abang Ki. Minum dulu. Ni, Yam ada buat jemput bilis." Wanita itu masih melambai. Langsung tak tahu siapa sebenarnya yang dia lambai.

Anas tak berkelip memandang. Dada semakin sendat menakung rasa yang hanya dia dapat merasakannya.

"Abang Ki." Maryam kembali memanggil. Dia capai jag berisi air oren lalu air yang cukup likat dan sempurna rasanya itu dituang ke dalam sebiji gelas.

Anas tak tunggu lama. Langkah dibuka luas untuk dia meninggalkan kawasan itu. Meninggalkan Maryam yang berkerut dahi sambil berkali-kali memanggil nama yang bukan nama dia.

Anas tak peduli. Dia pun tak perlu nak betulkan salah tanggapan wanita itu. Wanita yang dia tahu memang merupakan orang yang sama dari cerita abang iparnya semalam. Adik kepada Cikgu Najmah. Masalahnya kenapa mesti mereka menjadi orang yang sama?

"Abang Ki, nak pergi mana?" Maryam masih berteriak memanggil. Semakin menjadi kerut di dahinya sebelum dia mengekori.

Anas tetap tak peduli. Tangan kiri menyeluk poket seluar lusuh yang dia pakai. Kunci motosikal dikeluarkan lalu dia melangkah naik motosikal yang sedia tersadai di luar kawasan rumah. Tanpa sempat mengenakan helmet, Anas hidupkan enjin dan motosikal itu terus dipandu meninggalkan kawasan tersebut. Jentera mesin rumput di belakang badannya masih berbunyi enjin kerana belum dimatikan.

Dada Anas terasa sendat. Lebih daripada yang dia rasakan masa mula-mula pakai topeng muka penuh tu. Lebih daripada lemas yang terasa untuk dia menyesuaikan diri dengan keadaan kerana bernafas di sebalik benda tertutup.

Anas ralat. Dia tak percaya wanita itu akan kembali muncul di depan mata. Sedangkan dia yang sekarang bukan seperti yang dulu lagi. Dia seorang manusia pendosa. 



_FROM_ME_WITH_LOVE_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro