Bab 18
"ANGKATLAH," gumam Naaila sendirian. Sudah berkali-kali dia menelefon Fadh sedari dia pulang makan malam tadi tetapi tidak dijawab. Ini dah hampir pukul dua belas malam. Lelaki itu baik-baik sahaja kan?
"Yes, Naaila?"
"Fadh! Kau kat mana? Kepala kau okey ke?" Laju Naaila bertanya sebaik sahaja panggilannya itu dijawab.
"Kau dah makan?"
Soalan Naaila dibalas dengan soalan. Naaila mencebik. Fadh sengaja mengelak daripada menjawab soalannya. "Jangan mengelak, Fadh. Kau okey tak?"
"I'm okay, cuddle bug. Risaukan aku ke?" Suara Fadh kedengaran seperti orang yang baru terjaga daripada tidur. Bukan main garau suaranya. Seksi.
Fadh tertidur di dalam kereta selepas dia beredar daripada Waail tadi. Niatnya mahu tenangkan fikiran di tepi pantai sahaja. Tidak sangka terlelap sama. Dia bangun pun disebabkan panggilan gadisnya.
Naaila bangun dan menuju ke balkoni kamarnya.
"Aku akan jadi manusia kejam kalau aku tak risaukan kau lepas kau dah selamatkan aku petang tadi."
Gadis itu mengeluh perlahan tetapi sempat Fadh terdengar keluhan tadi.
"Naaila, kau okey? Kenapa mengeluh?"
Suara garau itu berubah resah. Fadh paling takut kalau Naaila dalam kesusahan.
"Aku nak minta maaf. Sebab aku, kau sakit macam ni. Lagi. Tak patut kau yang kena semua tu. Sorry..."
Naaila mula berubah cengeng. Air matanya mengalir kerana rasa bersalah terhadap Fadh. Dirinya yang menjadi sasaran. Kenapa malah orang lain yang perlu rasa sakit itu?
"I'll do anything for you. Like I said, I'll always be waiting for you. Dan dalam penantian tu, aku takkan benarkan sesiapa sakiti kau."
Jeda.
"Aku sanggup mati untuk kau, Naaila."
"Tapi aku yang tak nak kau mati untuk aku." Laju Naaila membidas kata-kata Fadh. "Cukup, Fadh. Aku tak nak jadi punca orang lain tersakiti sebab aku."
"Kan aku dah cakap, kau tak perlu rasa bersalah. Aku yang degil sebab nak dekat dengan kau. Lagi kau tolak, lagi aku nak dekat."
Terlepas juga tawa kecil daripada celahan gigi Naaila. "Kau memang keras kepala kan?"
"Sebab orang yang aku cinta seribu kali degil daripada aku."
Walaupun Naaila tidak boleh melihatnya sekarang, Fadh ukirkan satu senyuman ikhlas.
"Terima kasih, Fadh. Terima kasih."
"You're welcome, chica. Tidurlah. Dah pukul berapa ni."
"Okey. Kau pun. Selamat tidur."
Panggilan dimatikan. Naaila menghela nafas berat. Dia tahu hatinya akan sakit. Enam bulan yang lepas, sebenarnya bukan mudah juga untuk dia melangkah. Ada hal-hal yang akan mengingatkan memorinya bersama Fadh. Namun, apabila si jejaka tetap berkeras mahu berada di sisi, perkataan apa lagi yang perlu Naaila ucapkan selain terima kasih?
.
.
.
.
.
.
NAAILA terjaga daripada tidurnya sebaik sahaja telefonnya mula menjerit. Perlahan-lahan tangannya dipanjangkan dan telefon dicapai.
"Hmm..."
"Boleh kau keluar kejap?"
Terus membulat mata Naaila apabila dengar suara si pemanggil. Telefon dijauhkan daripada telinga untuk melihat nama si pemanggil. Waktu yang terpapar di muka depan telefonnya dipandang. Sudah jam tiga pagi. Tadi bukan ke dah telefon?
"Aku dekat bawah ni," kata si pemanggil lagi.
"Kejap, aku turun." Panggilan dimatikan. Naaila memakai cardigan berwarna kelabu dan tudung sarung berwarna hitam untuk pergi ke laman belakang. Pondok rehat dituju dan dapat Naaila lihat jejaka itu sedang menunggunya di luar pagar kecil.
"Kepala kau dah okey?" soal Naaila sebaik sahaja dia nampak kepala Fadh dibalut. Hanya senyuman yang Fadh berikan sebagai jawapan. Melihat senyuman itu, Naaila tahu bahawa lelaki di hadapannya ini baik-baik saja. Tetapi melihat raut wajah Fadh, gadis tahu pasti ada sesuatu yang menganggu fikiran lelaki itu.
"Kenapa datang rumah aku lewat malam macam ni?" soal Naaila.
"Saja. Aku rasa nak jumpa kau."
"Fadh, aku tahu kau datang sini bersebab. Kenapa?"
"Aku rindukan mama papa," luah Fadh. Kemudian, dia duduk dan besandar pada tembok bersebelahan pagar. Naaila turut melakukan hal yang sama cuma dia duduk di dalam kawasan pagar rumahnya.
Cukup dengan luahan si jejaka, Naaila mengerti perasaan Fadh. "Aku pun rindukan ibu ayah. Kita senasib. Hilang parents di usia awal. Tapi kau kena kuat. Aku yakin semua ni berbaloi untuk kita."
Dahi Fadh berkerut apabila mendengar bicara si gadis. "Maksud kau? Apa yang berbaloi?"
"Anggap je dunia ni tempat kita menahan rasa sakit rindu sebab rasa tu takkan kekal. Yang selamanya kekal nanti adalah kita di syurga. Masa tu, tiada had masa untuk kita berbual dengan orang yang kita sayang."
"Tapi kau lupa yang neraka wujud dan kekal untuk pendosa," laju Fadh memotong. Ketika itu, Naaila memalingkan badannya memandang lelaki itu.
"Dan kau lupa yang syurga itu juga tempat kekal untuk pendosa yang sudah bertaubat. Kenapa perlu pilih pengakhiran yang mengerikan sedangkan kita boleh kejar penamat yang jauh lebih baik?"
"Layak ke orang macam aku ni masuk syurga?" soal Fadh perlahan. Naaila tersenyum nipis di sebalik tembok itu.
"Layak atau tidak itu bukan urusan kita. Dambakan dan kejar penamat yang baik tu. Dia tahu dimana tempat kita yang selayaknya. Dan, mampu ke kau tahan seksa neraka?"
Fadh terdiam. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan sekarang. Sejujurnya, dia benar-benar rapuh ketika ini. Bermacam hal yang bermain di fikirannya. Entah bila semua mimpi ngeri ini akan berakhir. Perihal orang tuanya, adiknya dan Naaila sendiri. Fadh mahu melindungi gadis ini. Cukup sekali dia rasa kehilangan yang maha sakit rasanya. Dia tak sanggup rasakan hal itu untuk kali kedua.
"Naaila, kau cintakan aku?" Tergamam si gadis ketika soalan itu diajukan secara tiba-tiba.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro