
Bab 14
LAPORAN yang perlu dia tulis, hanya direnung sahaja. Naaila dah tak boleh nak fokus. Sudah hampir enam bulan berlalu, dah macam ini jadinya. Sebelum ini, tak adalah dia kesah sangat sebab Naaila tahu, semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.
Tapi, sejak Fitri mula beri amaran beberapa hari lalu, dia rasa tak sedap hati.
"Kau kenapa ni?!"
Nak luruh jantung Naaila melihat Fitri yang balik dalam keadaan lebam sana sini.
"Aku baru lepas main basikal. Jatuh," selamba sahaja jawapan yang diberikan Fitri. Bengang sungguh Naaila ketika itu.
"Aku tanya betul-betullah!"
Fitri tertawa kejap sebelum rasa sakit di pipi mula menyerang. "Aku kena pukul, Naaila. Takkan tu pun aku nak kena cakap?"
"Siapa pelakunya kali ni? Dapat tangkap?"
Kepala digeleng. "Tak sempat Bad dengan Hamid nak kejar, lima pemukul tu dah mati dulu."
"Lima orang?!"
Kertas yang dipegang, dicampak kasar di atas meja. Huh! Sumpah, dia memang tak boleh fokus ketika ini. Lima orang datang dan belasah Fitri? Gila ke? Apa lagi yang perlu dia buat supaya orang yang dia sayang takkan disakiti macam ni?
"Naaila!"
Tersentak gadis itu apabila namanya diseru. Mata terus memandang kaunselor yang ditugaskan untuk memantaunya.
"Hempas kertas dah kenapa? Report dah siap ke? Saya nak tengok perkembangan klien yang buat sesi dengan kamu tadi."
"Baik, Cik Celine. Satu jam lagi, saya hantar report dalam bilik cik."
Petugas itu hanya berlalu meninggalkan Naaila di mejanya. Nafas dihela kasar sebelum kembali fokus kepada kerjanya.
"Sabarlah, Naaila. Sikit lagi. Satu minggu lagi, intern kau habis. Lepas tu, tak payah hadap dah report ni."
Sungguh, perlu menulis laporan selepas melakukan sesi kaunseling adalah satu hal yang memenatkan. Semasa sesi berlangsung, tak teringat pula tentang laporan. Khusyuk sangat dengar isu yang klien ceritakan. Dah habis sesi, barulah sakit kepala nak fikir. Nak dengar semula rakaman, nak tulis apa isu yang klien bincangkan. Semua itu makan masa.
Tapi, Naaila betul-betul suka dengar masalah manusia yang tidak dia kenal. Sepanjang dia menjadi kaunselor pelatih, banyak hal yang dia dapat belajar. Cara nak mengatasi masalah, cara berkomunikasi dengan pelbagai jenis manusia lapisan umur dan yang paling penting, cara untuk mendengar dengan aktif.
Siapa cakap senang sahaja dengar masalah orang? Susah nak faham apa isu yang seseorang itu alami jika tak mendengar secara aktif. Maksudnya, dengar dan faham kemudian buat kesimpulan atas setiap ayat yang klien ucapkan.
Tepat jam lima petang, Naaila keluar dari pejabat. Dia mahu pulang dan tidur sahaja. Entah kenapa, hari ini sangat memenatkan!
"Hai."
Kaki Naaila seakan terpasung di pintu lobi pejabat apabila dia nampak satu tubuh yang menegurnya. Mata pandang jejaka itu atas bawah. Tiada yang berubah melainkan rambut panjangnya sebelum ini sudah dipotong pendek. Nampak lagi kemas.
Ini... bukan mimpi kan?
"Baru enam bulan tak jumpa, takkan dah tak kenal aku? Aku potong rambut aje. Bukannya buat pembedahan plastik."
Suara lunak berbaur gurauan itu menembus gegendang telinga dan Naaila tersedar dari lamunannya. Cepat-cepat dia melangkah pergi. Namun, jejaka itu lebih pantas menghalang laluannya.
"Nak lari mana? Tak rindu aku ke?"
Dengar sahaja perkataan rindu, jantung Naaila mula bekerja keras. Dengan kelajuan mengepam darah macam ni, orang pun boleh dengar degupan jantungnya.
"Jantung kau cakap ya. Mulut tak nak cakap apa-apa?"
Bukan main galak lagi si jejaka mengusik sehingga Naaila mula rasa rimas. Sudahnya, kaki diangkat sembilan puluh darjah dan memijak kaki lelaki tadi.
"Aduh! Sakitlah, gila!"
"Kau tu yang gila! Datang entah dari ceruk mana, tiba-tiba cakap rindu. Otak tertinggal dekat mana-mana ke?"
Fadh senyum. Nampaknya, Naaila Natasha masih sama. Garang dan bengis.
"Aku memang gilakan kau. Dan, otak aku memang dah hilang sejak aku kenal kau. Jadi, kau punca aku jadi macam sekarang."
Mata mula menjegil. Sesuka hati je nak salahkan orang macam tu! Ish!
"Pergilah, Fadh. Aku nak balik rumah. Penat."
"Aku hantar."
"Aku balik dengan Fitri."
"Fitri dah balik tadi. Aku suruh. Aku cakap dekat dia, aku yang hantar kau balik."
"Ingat aku nak percaya?"
"Tak percaya? Check whatsapp."
Cepat-cepat Naaila mengambil telefon pintarnya dan nama Fitri dicari.
+ Aku balik tau.
+ Fadh cakap dia nak ambik kau. Aku tak boleh nak larang dia.
+Stay safe, okay?
Mata kembali memandang Fadh yang senyum manis sambil tangannya diletakkan di dalam kocek seluar.
"Kali ni je."
Senyuman yang sedia terukir semakin lebar sebaik sahaja dengar jawapan Naaila. Dengan senang hati, Fadh membukakan pintu di bahagian penumpang hadapan untuk gadisnya duduk.
"Get in, beautiful!"
Naaila hanya menurut. Nak melawan pun, dia benar-benar malas ketika ini. Dia hanya nak rehat. Sebelum memulakan perjalanan, Fadh bertanya kepada gadisnya.
"Alamat rumah? Nak masukkan dalam waze."
"Aik? Bukan kau tahu semuanya tentang aku ke? Kata stalker, takkan rumah aku pun tak tahu?"
Sinis sekali nada bicara si gadis sehingga membuat si teruna terdiam. Balasan Naaila membuatkan Fadh sentap. Rupanya, Naaila masih marahkan dirinya. Sebab itulah gadis ini langsung tidak bertanya khabarnya selama enam bulan. Sekali pun tak pernah!
Riak Fadh berubah sedih dan terbias sedikit kekecewaan. Naaila rasa bersalah. Aduhai, mulut! Cubalah cakap hal yang tak menyakitkan hati orang.
"Taman Kejora Lorong 16. Rumah nombor 3," jawab Naaila.
Dengan senyuman plastik yang terukir di bibir, Fadh teruskan pemanduannya.
"Rumah kau dekat dengan rumah lama Waail," ucap Fadh sekadar untuk hilangkan suasana janggal di antara mereka berdua. Naaila pula masih memilih untuk berdiam diri. Pandangannya juga dilempar ke luar tingkap.
Seminit.
Dua minit.
Sepuluh minit berlalu pun, suasana masih sunyi sepi sehingga dengar bunyi angin penghawa dingin. Ketika lampu isyarat menunjukkan warna merah, Fadh hentikan kereta. Tangan kanannya menongkat kepala sekejap sebelum tangannya menghentak stereng kereta beberapa kali.
"Fadh! Kau kenapa?!" Keluar pun suara Naaila apabila melihat lelaki di sebelahnya ini mula menggila. Tapi, Fadh tidak pula membuka bicara. Dia memilih untuk diam dan teruskan pemanduan apabila lampu isyarat berubah warna hijau.
Naaila memegang tali pinggang keledarnya erat. Aura Fadh yang tidak enak meluap-luap dan dapat Naaila rasakan sendiri. Entah apa pula yang akan Fadh buat selepas ini. Sampai sahaja di hadapan rumah, Naaila tidak terus keluar sebaliknya dia menunggu untuk Fadh membuka bicara.
"I'm sorry..." perlahan namun masih jelas di telinga Naaila.
"Aku minta maaf sebab aku tahu kau mesti mula takutkan aku lepas aku dah jujur. Tapi percayalah, aku buat semua tu bersebab. Aku tak sanggup nak tengok kau terluka, Naaila."
Nada suara Fadh benar-benar kedengaran seperti orang yang hampir putus asa untuk jujur. Liur ditelan. Ketika ini, Naaila rasa dia kejam dengan Fadh. Sepatutnya, dia berterima kasih dengan apa yang Fadh telah lakukan. Walaupun cara si jejaka salah, selagi tidak membahayakan nyawa, tidak apalah. Bukannya dia tidak biasa diikuti seperti itu. Seharusnya, Naaila hanya memaafkan, bukannya menghukum sampai tahap ini. Naaila turut merindui lelaki itu selama enam bulan ini namun dikeraskan hatinya kerana ego yang ada.
"Fadh, aku..."
Nafas ditarik dalam-dalam. Dia tidak tahu mahu memulakan bicaranya macam mana. Kalau ego tidak menjadi raja, sudah lama Naaila berlari dan bertanyakan sendiri khabar Fadh Qayeed. Namun, dia perlu pertahankan ego ini supaya tidak memberikan sebarang bahaya kepada orang yang dia cinta.
"It's okay. Aku faham. Masuklah, rehat. Nanti ada masa, aku jumpa kau lagi."
Rasa bersalah menghempap diri apabila Fadh berkata begitu. Naaila tahu dia perlu berkata sesuatu. Sesuatu yang akan membuatkan Fadh tahu bahawa dirinya sudah lama memaafkan.
"Aku tak marah kau, Fadh. Aku tak takutkan kau. Aku cuma... tak nak kau terluka lagi sebab aku."
Itu hakikatnya. Tiada secebis pun rasa takut atau benci kepada lelaki ini walaupun apa yang Fadh pernah buat itu salah. Naaila hanya ingin melindungi Fadh. Jika lelaki ini tak sanggup tengok dia terluka, begitu juga dirinya. Naaila tidak mahu Fadh diapa-apakan lagi. Cukup sekali.
Wajah keruh tadi berubah, menampakkan senyuman tipis yang manis. Fadh suka dengar pengakuan Naaila.
"Terima kasih sebab ada rasa macam tu untuk aku. Nanti ada masa, kita jumpa."
"Next two weeks dekat library. Boleh?"
Entah dari mana keberanian yang Naaila dapat sehingga boleh bertanya begitu kepada Fadh. Padahal, dia sendiri sudah janji pada diri sendiri untuk menjauhi Fadh selagi semua ini belum selesai. Fadh Qayeed... memang ada satu magnet pada lelaki itu yang sentiasa membuatkan Naaila Natasha tertarik apabil Fadh mula mendekat.
"Sure. Aku jumpa kau dekat sana."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro