Bab 13
"NAAILA."
Fokusnya menyiapkan dokumen latihan industri di laman universiti terganggu apabila Waail menegur.
"Boleh aku duduk sini?" soal Waail, sopan.
"Duduklah."
Takkan Naaila mahu menghalau pula? Waail minta cara baik. Biadaplah dia jika berkasar dengan Waail.
"Aku dengar apa yang kau dengan Fadh gaduh pagi tadi dekat hospital."
Terangkat wajah Naaila yang sedang ralit membaca syarat yang syarikat latihan industrinya sediakan. Waail ada di luar bilik rawatan Fadh, dengar setiap bait bicara mereka berdua. Sebab itulah dia berada di hadapan Naaila sekarang.
"Kau nak cakap apa sebenarnya ni?" soal Naaila tanpa basa-basi.
"Aku tahu aku tak ada hak nak cakap pasal ni tapi satu je aku nak cakap. Semua yang Fadh cakap tu, ada yang betul, ada yang tak betul."
Terkebil-kebil Naaila mendengar ayat Waail. Lelaki ni nak cakap apa sebenarnya? Sedar Naaila yang sudah tercengang, Waail meraup wajahnya berkali-kali. Aduilah, mulut ni pun! Bagilah kerjasama sikit!
Waail berdeham kejap sebelum kembali membuka bicara.
"Macam ni. Apa yang Fadh buat, memang salah. Sangat salah. Aku pun tak membenarkan perbuatan dia. Dia ada upah orang untuk bagi maklumat dekat dia tentang rutin harian kau."
"Kau tahu?!"
Belum sempat Naaila nak naik hantu, Waail cepat-cepat bersuara.
"Tapi dia buat tu sebab dia betul-betul risaukan kau!"
Bisu terus mulut Naaila apabila Waail menjerit sebabnya. Dia memandang lelaki di hadapannya ini.
"Maksudnya?"
"Kau ingat tak masa hari sukan universiti tahun lepas, kau hampir kena langgar dengan motor?"
Fikiran Naaila mula mengorek kembali ingatan itu dan dia jumpa!
"Ingat. Kenapa?"
Masa tu, memang Naaila tak fikir apa. Dia beranggapan motor itu memang tak nampak dirinya. Maklumlah, dia sendiri yang berjalan tak tengok kiri kanan.
"Motor tu memang sengaja nak langgar kau."
"Hah?!"
"Fadh tahu siapa yang buat semua tu. Vince, anak Dato' Zack. Kalau kau ingatlah, sebab Fadh pernah kata dekat aku yang kau kenal dia juga."
Vince Chayton. Naaila kenal dia. Jadi, itu pelakunya! Kenapa Vince nak langgar dirinya? Bukan ke baba dengan ayah dia tu kawan baik? Tapi setahu Naaila, Tuan Nadhir dan Dato' Zack tidak lagi berhubung sejak tiga tahun lalu.
Naaila bingung. Dia sendiri tak percaya dengan apa yang dia dengar. Dia dan Vince pun memang berkawan. Tapi itu semua dulu sebelum Tuan Nadhir khabarkan seluruh keluarga Vince berpindah ke luar negara. Sebab itulah mereka terputus hubungan. Waail tunjukkan beberapa bukti yang menunjukkan Vince adalah pelakunya. Lagilah terbeliak mata Naaila.
"Sebab tu dia marah sangat kalau ada yang sentuh kau. Memang Fadh kenal kau dah tiga tahun tapi dia upah orang jaga kau dari jauh tu lepas kau hampir kena langgar dengan Vince. Hampir setahun macam tu. Sebelum tu, tak pernah pun. Tapi lepas dia munculkan diri dia depan kau, dia dah tak suruh sesiapa ikut kau sebab dia tahu dia boleh ada untuk kau tanpa perlu bersembunyi. Malam yang kau kena serang dekat kedai runcit, Fadh tahu. Sebab tu kau terserempak dengan dia. Fadh ada cerita dekat aku yang dia nampak kau seorang diri ke kedai runcit tu. Dia nak tegur awal-awal, dia tak berani. Itu yang dia buat-buat terserempak dengan kau lepas kau kena serang. Nak muncul tiba-tiba dekat kedai tu, Fadh tak naklah nampak dia acah-acah hero yang cuba selamatkan heroin."
Wajah Waail dipandang. Beria-ia betul dia membela sahabatnya yang masih ditahan di wad hospital itu. Selama ini, dia bersikap tidak tahu apabila berhadapan dengan Naaila. Hakikatnya, Waail tahu segala hal mengenai gadis ini kerana Fadh tidak pernah berahsia dengannya.
Naaila mula rasa ragu-ragu. Nak percaya sepenuhnya... Naaila tidak yakin kerana ada satu serpihan cerita yang belum lengkap.
"Tentang Zahin. Macam mana dia boleh tahu yang aku dan Zahin dah putus?"
"Masa tu, Fadh kata dia pergi kan?"
Naaila hanya mengangguk.
"Aku ada dekat belakang kau dengan Zahin masa tu. Kau je yang tak sedar."
Okey, yang ini Naaila terkejut. Macam mana dia boleh tak perasan? Berdasarkan cerita Waail, Fadh dapat tahu yang dia putus dengan Zahin daripada...
"Kau bagi tahu Fadh?"
Dengan tenang, Waail mengangguk.
"Aku tahu aku tak patut cakap dekat dia sebab itu hal peribadi kau. Tapi aku rasa perlu. Ini pertama kali aku tengok dia betul-betul sukakan seorang perempuan." Waail mula membuka cerita tentang kisah percintaan rakannya.
"Kalau kau nak tahu, tahun pertama Fadh kenal kau, dia berubah. Aku nampak dia mula senyum seorang diri. Dia bukan macam Fadh yang pernah aku kenal. Masa tu, aku tahu dia dah jatuh cinta. Dalam tahun yang sama, ada seorang perempuan yang sukakan Fadh. Bersungguh-sungguh dia nak ambil perhatian Fadh. Dan Fadh pun sungguh-sungguh tolak perempuan tu. Tapi, makin lama, Fadh rasa kesian. Dia rasa, dia patut bagi perempuan tu peluang memandangkan dia baru je sukakan kau dan tak ada keberanian nak berdepan dengan kau. Jadi, dia terima perempuan tu.
Enam bulan. Enam bulan je hubungan mereka bertahan. Bila Fadh dah mula boleh terima perempuan tu, Fadh dapat satu kejutan yang tak terjangka. Perempuan tu tidur dengan lelaki lain. Fadh nampak sendiri dengan mata kepala dia. Sejak tu, Fadh hancur. Aku nampak dia kecewa. Aku nampak dia terseksa. Aku nampak dia salahkan diri dia sebab mudah percaya perempuan macam tu. Aku nampak dia marahkan diri dia sendiri. Dia rasa, tu semua balasan sebab dia tak setia dengan kau."
Entah kenapa, hati Naaila terasa seperti dicucuk sembilu. Sakitnya tak terkata. Apa perasaan Fadh ketika itu? Kekasihnya tidur dengan lelaki lain? Gila!
"Sejak tu, Fadh tekad. Dia hanya akan setia dekat seorang perempuan dan perempuan tu adalah kau. Dia takkan berundur selagi dia sendiri tak lelah nak kejar kau. Dia pernah cakap, sejauh mana pun kau tolak dia lepas dia munculkan diri dia depan kau, dia tetap akan kejar kau. Tiga tahun dia boleh tunggu dan ambil masa untuk beranikan diri dia. Takkan tak boleh sabar sikit sampai kau jatuh hati dekat dia? Itu yang dia cakap dekat aku."
Tanpa dipinta, pandangan Naaila mula kabur. Tubir matanya terasa panas. Bila-bila masa sahaja air matanya boleh mengalir. Naaila tahu Waail tidak mereka cerita memandangkan lelaki ini seorang lelaki yang sangat jujur.
"Kenapa Fadh pilih untuk setia dengan kau? Sebab dia dah tahu macam mana sakitnya dikhianati, macam mana rasanya ditinggalkan sendiri. Dia tak ada sesiapa, Naaila. Keluarga dia semua dah pergi. Aku dengan Fadh dah berkawan lama. Kami membesar sama-sama dekat rumah anak yatim. Bila aku nampak dia senyum sebab kau, aku rasa senang untuk dia. Dah lama Fadh tak senyum ikhlas macam tu sejak mak, ayah dan adik dia tinggalkan dia. Jadi aku harap, kau takkan tolak dia. Aku harap kau takkan marah dia macam tadi. Fadh buat semua tu bersebab. Walaupun niat tak menghalalkan cara, aku harap kau boleh maafkan dia. Dia tahu pedihnya rasa bila orang yang dia sayang disakiti. Sebab tu dia tak boleh tengok kau terluka."
Tiada kata yang mampu Naaila keluarkan ketika ini kerana dia sangat terkejut dengan semua hal yang Waail sampaikan. Dia benar-benar buntu. Apa perlu dia minta maaf kepada Fadh? Apa perlu dia terima lelaki itu? Apa yang patut dia buat?
.
.
.
.
SELEPAS lima hari, Fadh boleh keluar dari rumah sakit. Waail terus memandu pulang ke rumah sewa. Sebaik sahaja Fadh nampak kereta Jaguar bewarna biru milik Ray, dia mendengus kasar.
"Apa masalah mamat ni? Tak ada rumah sendiri ke sampai nak menyemak dekat rumah sewa orang?"
"Fadh, dia pun bayar sewa rumah tau."
Waail mengingatkan sahabat baiknya ini. Dia yakin, Fadh pasti marah gara-gara hal Tania.
"Sudahlah tu marahnya. Kau pun tahu macam mana mulut sting-Ray tu."
Dengar saja lawak Waail, terus hilang rasa marah Fadh. Senyuman di bibir mula melebar. Lega Waail melihatnya. Dah okeylah tu. Fadh dipapah masuk ke dalam rumah. Perutnya masih terasa sakit jika banyak bergerak.
"Kau kenapa? Macam orang sakit je."
Sebaik sahaja dua sahabat itu melabuhkan punggung, Waail menjawab soalan Ray bagi pihak Fadh.
"Itulah kau. Member masuk hospital pun tak tanya."
"Oh? Fadh masuk hospital? Sakit apa? Senggugut ke? Asyik pegang perut je daripada tadi."
Selamba sahaja Ray buat lawak seperti tak kesah langsung dengan kondisi rakan serumahnya. Fadh dah panas. Penumbuk digenggam, bibir diketap. Ada yang makan buku limanya petang ini.
"Fadh kena tikam masa malam pesta fakulti."
"Kena tikam?! Dah kenapa pula?" Kali ini, Ray benar-benar terkejut beruk. Tak sangka pula separah itu keadaannya.
"Manalah aku tahu. Aku kacak sangat kut sampai dia nak bunuh aku."
Sinis sekali nada suara Fadh menjawab pertanyaan Ray. Tahu Fadh dalam mood yang tidak baik, sudahnya Waail dan Ray mendiamkan diri. Masing-masing khusyuk menonton televisyen.
"Waail, Naaila macam mana?"
Perlahan sahaja suara Fadh bertanya. Sudah dua hari gadis itu tidak menghubunginya.
"Dia okey. Kau jangan risau. Intern dia nak start tak lama dah. Nanti lepas kau dah sihat sepenuhnya, kau pergilah jumpa dia."
Walaupun mata merenung TV, telinga bukan main mencuri-curi dengar apa yang Fadh dan Waail bualkan. Fadh sedar akan hal itu mula senyum sinis.
"Kau tengoklah kawan rumah kau, Waail. Nak curi-curi dengar aje kerjanya. Aku kerat telinga, bagi makan anjing baru tahu."
Terus dia bangkit, mahu sambung berehat di dalam kamar. Waail hanya membantu rakannya itu sehingga masuk ke dalam kamar.
"Rehat, Fadh. Apa-apa, panggil aku."
"Iya."
Pintu dikatup. Fadh baring di atas katil. Kesan tikamannya itu dipegang lalu bibirnya menguntum senyum.
"At least, I have a sweet memory with you, chica."
Tikaman itu sebagai tanda bahawa mereka berdua pernah duduk bersama, meluangkan malam indah bersama. Kalau bukan kerana Fadh menemani Naaila ketika malam pesta universiti, pasti dia takkan rasa betapa seronoknya berjalan di sisi gadis itu.
Beberapa minit kemudian, dia mengeluh.
"I miss you..."
Bagai satu rasa yang sentiasa mekar, Fadh benar-benar rindukan gadis itu. Padahal, baru dua hari tak bersua muka. Minggu depan, Naaila akan mulakan intern. Pasti lebih susah untuk dia bertemu gadisnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro