Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

TIBA di Ankara, Arash terus menuju ke rumah Arissa. Kedatangannya ke situ disambut teruja oleh anak-anak Arissa; Izwan dan Ikhwan. Kembar tak seiras yang sudah berusia lapan belas tahun itu.

"Ma, pak su dah sampai!" jerit Izwan sambil tangan menyalami Arash. Sesaat kemudian, muncul pula Ikhwan. Berebut-rebut si kembar itu hendak mengangkat bagasi Arash.

"Tak payah nak berebut. Pak su bagi duit sama rata juga ni." Arash bersuara.

"Iz ikhlas nak tolong pak su ni."

"Kalau macam tu, nah." Bagasi diserahkan kepada Izwan.

"Wan pun ikhlaslah, pak su." Ikhwan turut mencelah.

"Wan tolong buatkan kopi untuk pak su. Boleh?"

"Tak ada hal!" Laju Ikhwan memecut masuk ke dalam rumah.

Arash yang melihat gelagat anak-anak buahnya itu tersenyum. Setiap kali melawat Arissa sekeluarga, tak kira di mana wanita itu berada, dia merasakan seperti pulang ke pangkuan keluarga.

"Kak..." serunya seraya mendekati Arissa. Tangan wanita itu dicium hormat dan Arissa menarik tubuhnya ke dalam pelukan.

Arissa merupakan satu-satunya manusia yang memahami apa yang dia lalui. Semenjak dia membuat keputusan untuk mengahwini Aileen, wanita itu tak pernah berhenti menyokongnya. Dari Jordan sehinggalah Arissa sekeluarga berpindah ke Turki, hubungan mereka tetap utuh seolah-olah berada di negara yang sama.

"Lapar? Akak dah siap masak tu untuk makan tengah hari."

"Kita makan sama-sama aje nanti. Abang Zarul tak balik lunch?" Arash melabuhkan punggung ke atas sofa. Berdekatan dengan fireplace. Badan turut disandar lemah.

"Tak. Dia sibuk sangat kebelakangan ni. Balik pun kadang-kadang dah malam. Nasib baik kau ada sepanjang budak-budak ni kat Greece nanti."

"Lama ke mereka kat sana?"

"Seminggu tak silap akak."

Perlahan kepala Arash mengangguk. Baru dia nak pejam mata, Ikhwan menghidangkan kopi buatnya.

"Tak pahit dan tak manis. Macam yang pak su suka."

"Thanks, Wan." Kopi itu dihirup perlahan lalu memberikan ibu jari kepada Ikhwan tanda sedap.

"Dah boleh jadi barista ni, ma." Anak muda itu bersuara sambil tersengih-sengih.

"Nanti bolehlah buat kerja sambilan. Boleh dapat duit hasil titik peluh sendiri. Tak payah tunggu mama, papa yang bagi," nasihat Arash. Walaupun pendapatan Zarul lebih dari mencukupi, dia mahu anak-anak Arissa berusaha mencari duit sendiri.

Dulu dia juga begitu. Sebelum dibuang keluarga, dia juga bekerja sambilan. Macam-macam yang dia cuba. Jadi barista pernah. Jadi pelayan restoran pun pernah. Niatnya ketika itu kerana ingin merasa duit sendiri. Setelah dibuang keluarga, kerja sambilannya semakin bertambah, bukan saja sekadar satu pekerjaan dalam sehari.

"Tu la, pak su. Tapi rasanya kalau nak kerja barista, peluang lebih tinggi kat Istanbul."

"Amboi! Kat sini pun kafe berlambak. Kenapa susah-susah nak cari kat Istanbul? Tu ha, kat Fameo ada. Casa di Pietra pun ada mama tengok. Yang kita makan piza minggu lepas tu." Laju Arissa menyampuk. Si anak turut dijeling.

"Alah, mama ni. Wan acah aje. Saja nak tengok mama setuju atau tak."

"Pandailah kamu!"

Arash hanya ketawa mendengar perbalahan 'manja' antara ibu dan anak itu. Dia mengambil kesempatan untuk memejamkan mata. Sekadar untuk mengurangkan rasa penatnya.

"Pergilah tidur sekejap. Akak dah sediakan bilik untuk kau tu."

Suara Arissa itu membuatkan Arash mencelikkan mata.

"Tak apa. Nak rehat kat sini dulu."

"Kau bermalam kat Istanbul tu sebab apa?"

Arash menggeleng.

"Saja sebenarnya. Tapi..."

"Tapi apa?"

"Tak sangka pula boleh terserempak dengan Eshal." Matanya tak memandang Arissa kerana dia tahu, wanita itu pasti terkejut.

"Wan, Iz... Baju dah kemas?" Arissa cuba 'menghalau' anak-anak dari situ.

"Dah."

"Pergi cek lagi. Karang tertinggal, susah pula nanti."

Anak-anak hanya menurut. Seolah-olah mengerti, si ibu inginkan privasi untuk berbual dengan Arash.

"Eshal tu... Dia sihat, Rash? Dah lama akak tak dengar berita pasal dia," sambung Arissa setelah anak-anak beredar dari ruang tamu itu.

"Dia sihat. Kami tinggal kat hotel yang sama."

Semakin membulat mata Arissa. Adakah ini suratan atau hanya sekadar kebetulan?

"Dia tahu akak dah pindah ke sini?"

"Saya ada bagi tahu dia. Tapi akak janganlah cuba-cuba call dia pula." Arash tak mahu mengganggu hidup Eshal lagi. Tak mahu wanita itu terkenangkan masa lalu mereka. Kerana semua itu hanya akan mengundang kesedihan di antara mereka.

"Nombor telefon dia masih sama macam dulu?"

Bahu dijongket malas.

"Tak sure. Tengok gambar WhatsApp macam dah tukar orang lain."

"Akak dah lama tak jumpa dia, Rash. Tak silap akak, dah tiga tahun kau bercerai dengan dia, kan?"

Perlahan kepala itu mengangguk.

"Dah ada tanda-tanda dia ada pengganti?"

Arash menarik nafas dalam.

"Entahlah... Mungkin belum kut."

Melihat cincin nikah yang masih elok tersarung di jari Eshal itu, membuatkan Arash rasa, wanita itu belum ada pengganti lagi.

"Kau tak nak kembali dengan dia semula ke?"

Badan yang bersandar tadi, kini menegak. Soalan itu paling susah untuk dijawab.

"Kak... Yang lepas, biarlah lepas."

"Rash... Mungkin pertemuan ni Allah nak satukan kau semula dengan dia. Kita tak tahu. Akak harap sangat kau bagi peluang untuk diri kau sendiri."

Arash meraup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan.

"Saya dah buat silap, kak. Keluarga Eshal takkan terima saya lagi."

"Memang kau buat silap tapi siapapun yang berada di tempat kau waktu tu, mungkin akan mengalami situasi yang sama."

Arash kembali diam. Orang lain mungkin takkan faham situasi yang dihadapinya ketika itu. Yang orang tahu cuma mencari kesalahannya. Mencari kelemahannya pada saat itu. Dan kemudian, menjatuhkan hukuman tanpa sebarang pertimbangan.

"Tak apalah, kak. Benda dah jadi."

"Eshal tu baik orangnya. Dia dengan arwah Aileen tu bagi akak, sama. Tak ada yang kurang di mata akak. Lagi-lagi bila tengok dia jaga Fayad."

Arash tunduk seraya siku berpangku pada lututnya. Hatinya tersentuh mendengar luahan kata daripada Arissa itu.

"Akak nak sangat tengok kau bahagia, Rash," sambung Arissa lagi. Tanpa dapat ditahan, air matanya menitis. Dia sedih bila terkenangkan betapa sukarnya hidup Arash. Betapa besarnya dugaan yang ditanggung oleh lelaki itu.

Arash menggenggam erat tangan Arissa setelah sedar wanita itu menangis.

"Insya-Allah, saya akan bahagia suatu hari nanti, kak. Sekarang ni pun saya dah bersyukur, hidup saya dah kembali normal."

Jauh dalam sudut hatinya, dia ingin bahagia seperti orang lain. Tetapi bahagia dan dirinya seolah-olah tak serasi bersama. Andai ada pun bahagia yang menanti, dia tak pasti adakah dia mampu bertahan hingga tiba saat itu atau mengalah sebelum waktunya?

"Oh ya... Hari tu akak ada call umi, dia kata, kau dah tak tinggal dengan mereka." Pipi yang basah, diseka. Tak semena-mena Arissa teringatkan perbualannya bersama Sharifah Khalida.

Arash mengusap perlahan tengkuknya.

"Betul. Saya menyewa rumah dekat dengan uni."

Dia tak menyimpan apa-apa dendam pada orang tuanya. Dia tahu, dia juga salah kerana ingkar dengan arahan Syed Faliq dan Sharifah Khalida suatu ketika dulu. Dan dia berterima kasih kerana orang tuanya sudi menerimanya kembali. Cuma keadaan sudah tidak sama seperti dulu. Dirinya sudah terbiasa hidup berdikari. Susah dan senangnya juga ditanggung sendiri.

"Rumah yang akak bagi kau tu, macam mana pula?"

"Kita sewakan kat orang lain?" soalnya kembali.

"Rash... Akak dah tukar nama rumah tu ke nama kau. Takkan nak bagi orang menyewa pula? Nak tunggu akak balik Malaysia, memang lambat lagi. Selagi Zarul ni kerja, selagi tu kami tinggal kat negara orang."

Arash mengeluh berat.

"Akak kan tahu, sebelah tu rumah parents Eshal. Saya tak nak mereka kurang selesa bila saya pindah ke situ semula."

"Sampai bila kau nak lari?"

"Bukan lari. Saya tak nak keruhkan keadaan." Dia membuat keputusan untuk berpindah dulu pun kerana tak mahu bergaduh dengan Ehsan. Apatah lagi, lelaki itu memberinya amaran untuk tak mendekati Eshal. Dan menyewa rumah berdekatan dengan universiti dia mengajar adalah keputusan yang terbaik buat masa ini.

"So, rumah tu kau biar kosong ajelah? Langsung tak datang melawat?"

Arash diam seketika. Badan kembali disandar.

"Baru-baru ni saya ada datang melawat. Tapi waktu tengah malam. Kadang bermalam kat situ tapi sebelum subuh, saya dah gerak."

Hanya dengan itu saja cara yang dia ada. Datang ketika manusia enak dibuai mimpi dan pergi sebelum manusia kembali kepada realiti.

Lengan Arash ditepuk lembut.

"Bersabarlah selagi mampu, Rash. Hanya itu yang dapat akak katakan. Kalau akak di tempat kau, mungkin dah lama akak tersungkur."

Tersungkur.

Itu yang hampir terjadi pada Arash. Malah, dia juga hampir hilang arah seolah-olah hidup itu sudah tidak ada tujuan lagi. Namun begitu, dia masih diberi kesedaran untuk menghargai apa yang ada walaupun ketika itu, dia sudah 'kehilangan' hampir kesemuanya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro